top of page

Ego Rohani: Musuh yang Paling Senyap

  • 24 hours ago
  • 3 min read

Sebuah Perkongsian Peribadi dalam Perjalanan Pelayanan


Dalam perjalanan pelayanan saya selama bertahun-tahun, saya belajar banyak perkara tentang iman, kesetiaan, dan pengorbanan. Saya melihat Tuhan membuka jalan di tempat yang mustahil.


Saya menyaksikan jiwa-jiwa menerima Kristus. Saya melihat gereja bertumbuh di kawasan pedalaman, dan di ladang-ladang penginjilan.


Namun di sebalik semua pengalaman itu, saya menemui satu musuh yang tidak pernah saya jangka.


Musuh itu bukan kekurangan dana. Bukan tentangan masyarakat. Bukan juga keletihan tubuh. Musuh yang paling berbahaya sebenarnya sangat dekat dan ia berada di dalam hati kita sendiri. Musuh itu bernama ego rohani.


Firman Tuhan berkata, “Barangsiapa menyangka bahawa ia berdiri, hati-hatilah supaya ia jangan jatuh.” (1 Korintus 10:12)


Dulu saat saya membaca ayat ini sebagai peringatan umum. Tetapi semakin lama saya melayani, ayat ini menjadi sangat peribadi. Ia seolah-olah Tuhan bercakap terus kepada saya.


Saya masih ingat ketika mula-mula melayani dahulu. Saya sangat bergantung kepada Tuhan. Setiap keputusan kecil pun saya doa. Setiap perjalanan ke lapangan saya serahkan kepada Tuhan. Saya sedar saya tidak tahu apa-apa.


Waktu itu hati saya lembut. Saya mudah menerima nasihat. Saya mudah mengaku salah. Saya cepat berlutut dalam doa.


Tetapi tanpa sedar, apabila pengalaman semakin banyak, tanggungjawab semakin besar, dan orang mula menghormati kepimpinan kita, sesuatu mula berubah perlahan-lahan. Perubahannya sangat halus.


Saya mula berfikir, “Saya sudah biasa urus perkara ini.” “Saya tahu cara terbaik.” “Saya pernah lalui situasi seperti ini.”


Bunyinya seperti keyakinan. Tetapi sebenarnya itu permulaan kebergantungan kepada diri sendiri.


Suatu hari saya terfikir tentang rayap. Rayap tidak merobohkan rumah dalam sehari. Ia makan perlahan-lahan dari dalam. Dari luar rumah masih kelihatan cantik dan kukuh. Tetapi strukturnya sudah kosong. Saya tersentak apabila menyedari ego rohani bekerja dengan cara yang sama.


Pelayanan saya masih berjalan. Program masih berjaya. Mesyuarat masih teratur. Tetapi dari dalam, hati saya tidak lagi selembut dulu.


Saya mula sukar menerima pandangan orang lain. Saya mudah tersinggung bila ditegur. Saya lebih banyak bercakap daripada mendengar. Doa saya juga berubah. Dulu doa penuh bergantung kepada Tuhan. Sekarang doa lebih kepada formaliti.


Ada satu pengalaman yang benar-benar membuka mata saya. Dalam satu perbincangan pelayanan, seorang rakan memberi cadangan yang berbeza daripada perancangan sebelum ini. Secara spontan hati saya menolak. Saya mempertahankan idea saya habis-habisan.


Selepas mesyuarat, Roh Kudus menegur saya dengan lembut. Saya bertanya kepada diri sendiri: “Kenapa saya begitu defensif?”


Bukan kerana cadangan itu salah. Tetapi kerana ia bukan idea saya. Di situ saya sedar bahawa saya lebih mahu menang dalam perbincangan tersebut daripada mencari kehendak Tuhan.


Malam itu saya berdoa. Saya mengaku kepada Tuhan bahawa hati saya sudah mula membina takhta untuk diri sendiri. Saya lupa bahawa pelayanan ini bukan milik saya. Ia milik Tuhan. Saya cuma hamba.


Sejak hari itu, saya belajar satu perkara penting: Semakin lama kita melayani,

semakin kita perlu merendahkan diri. Kerana pengalaman boleh menjadi berkat, tetapi juga boleh menjadi jerat.


Kalau tidak berhati-hati, pengalaman membuat kita kurang berdoa. Kedudukan membuat kita kurang mendengar. Penghormatan membuat kita lupa siapa yang sebenarnya layak dimuliakan.


Kerana saya sedar: Ego membina takhta untuk diri sendiri, tetapi kerendahan hati membina mezbah untuk Tuhan. Dan saya mahu hidup saya menjadi mezbah, bukan takhta.


Hari ini, selepas bertahun-tahun melayani, saya tidak lagi berdoa meminta Tuhan membesarkan pelayanan saya. Saya berdoa supaya Tuhan menjaga hati saya.


Kerana pelayanan besar dengan hati sombong tidak bermakna apa-apa. Tetapi pelayanan kecil dengan hati yang rendah hati sangat berharga di mata Tuhan. Saya mahu kekal seperti pada hari pertama saya melayani iaitu bergantung sepenuhnya kepada Tuhan.


Kerana akhirnya, bukan pengalaman yang meneguhkan saya. Bukan jawatan yang menopang saya. Bukan penghormatan manusia yang memelihara saya.


Tetapi hanya satu: Anugerah Tuhan setiap hari. Dan tanpa Dia, saya tidak mampu berdiri walau sesaat.


Oleh Pr Jerry Ignacio

Sumber : Whatsapp Channel @ jerry ignacio


Comments


bottom of page