top of page

Apakah Yang Sangat Indah Tentang Perayaan Natal?

ree

“Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi..." (Lukas 2:14, AVB)

Sempena Natal ini, tanya diri sendiri soalan ini: "bila kali terakhir saya menghayati kemuliaan dan keindahan Allah?"

Dalam banyak-banyak perayaan, tidak boleh nafikan, Hari Natal ialah perayaan paling cantik kita boleh lihat. Lampu Natal berkelip-kelip dalam bilik pejabat, pokok Krismas berdiri tegak dalam supermarket, lagu Natal bergema dari radio. Namun kesemua ini tidak dapat dibandingkan dengan keindahan Allah.

Allah sejak dahulu sehingga kini tidak pernah putus asa untuk menyelamatkan manusia. Allah bina bahtera untuk melindungi Nuh dan sekeluarganya. Yahweh memimpin umat Israel keluar dari Mesir untuk ke tanah yang dijanjikan. Tuhan melantik hakim dan raja untuk memelihara umat-Nya. Ketika penjajahan pun, Allah tetap dengan setia menjaga mereka.

"Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal" Walaupun manusia berkali-kali memberontak terhadap Allah, malah sampai ke tahap menyalibkan seorang Peribadi yang tidak bersalah, namun dalam kasih-Nya yang sungguh besar dan mulia Allah tetap dengan rela hati menganugerahkan satu-satu Anak-Nya kepada kita.

"Kristus mengasihi kita dan menyerahkan diri-Nya untuk kita sebagai persembahan dan korban yang harum bagi Allah." Yesus sungguh mengasihi kita, sehingga Dia yang Maha Tinggi sanggup turun dari syurga menjadi Manusia yang fana seperti kita, supaya lebih mendekati kita dan merasakan penderitaan daripada akibat dosa manusia sama-sama. Tidak seperti Adam yang mula-mula dicipta sebagai manusia dewasa, Yesus berani menyerahkan diri-Nya sebagai seorang Bayi yang lemah dan kecil kepada kita. Biarpun lahir dan tidur di dalam palung, Kristus tetap harum bagi Bapa sebab kasih Kristus sungguh mulia. Dia sanggup berbuat demikian sebagai salah satu persediaan untuk mewakili kita di atas kayu salib, agar kita tidak lagi menerima upah dosa melainkan jubah perbenaran yang Kristus Sendiri jahitkan.

"Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi" nyanyian malaikat yang mengambarkan kasih Bapa dan Yesus yang tidak pernah berubah mahupun pudar dari dahulu sehingga kini. Dalam Natal ini, adakah anda terlihat keindahan kasih Allah? Ambillah sedikit masa untuk menghayati kemuliaan-Nya. Oleh : Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @edmund kumar

Comments


bottom of page