top of page

Berdoa Untuk Keluarga


Ayat firman Tuhan: Efesus 5:22-33 (AVB) Isteri, tunduklah kepada suamimu seperti kepada Tuhan.

Kerana suami adalah kepala kepada isteri sebagaimana Kristus kepala jemaah dan Penyelamat tubuh itu. Oleh itu, sebagaimana jemaah tunduk kepada Kristus, begitulah juga isteri terhadap suaminya dalam segala hal.

Suami, kasihilah isterimu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah dan menyerahkan diri-Nya untuk jemaah. Dengan demikian, Dia dapat menyucikan dan membersihkan jemaah dengan air melalui firman, dan menghadapkannya kepada diri-Nya sebagai jemaah yang mulia, tanpa cela atau kerut, tetapi suci dan tidak bercela. Demikian juga, suami harus mengasihi isterinya seperti tubuhnya, lelaki yang mengasihi isterinya itu mengasihi dirinya sendiri.

Tiada sesiapa pun pernah membenci tubuhnya sendiri, tetapi memelihara dan menyayanginya, seperti yang dilakukan oleh Kristus kepada jemaah –

kerana kita adalah anggota tubuh-Nya.

“Oleh sebab itu, seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.”

Ini adalah suatu rahsia besar – tetapi aku bercakap tentang Kristus dan jemaah.

Walau bagaimanapun, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasihi isterinya seperti dirinya sendiri, dan isteri hendaklah menghormati suaminya.


Efesus 6:1 (AVB) Anak-anak, turutlah perintah ibu bapamu dalam Tuhan, kerana ini adalah wajar.

 

Perkara Doa:

1. Sepakat berdoa untuk isteri

2. Sepakat berdoa untuk suami

3. Sepakat berdoa untuk anak-anak.


 

Doa:

“Bapa kami di syurga, dikuduskanlah nama-Mu. Ditinggikanlah nama-Mu sebab Engkau maha Tinggi. Dimuliakanlah nama-Mu sebab Engkau maha mulia. Dibesarkanlah nama-Mu sebab Engkau maha besar. Kami bersyukur atas kesempatan hidup pada hari ini.


Bapa, kerajaan-Mu datanglah, kehendak-Mu jadilah di bumi, dalam keluarga seperti di syurga.

Bapa, adalah kehendak-Mu supaya isteri tunduk kepada suami. Adalah kehendak-Mu supaya isteri menghormati suaminya. Kami memohon kepada-Mu supaya Roh-Mu yang bekerja dalam hati isteri agar mereka mengerti betapa pentingnya isteri tunduk kepada suami seperti mana dalam firman-Mu. Biarlah damai-Mu memenuhi hati mereka agar tetap tenang dan tabah sama ada berdampingan suami yang telah mengenal-Mu dan belum mengenal-Mu. Sehingga melalui kehidupan yang ramah dan lemah lembut serta penuh kasih, yang lahir dari roh yang telah dibaharui akan membuat suaminya yang belum mengenal-Mu akan percaya kepada-Mu sebagai Tuhan dan Juruselamat peribadi. Bagi suami yang mengenal Engkau, mereka benar-benar menyedari betapa pentingnya dan besarnya peranan isteri dalam hidup mereka.


Bapa, sebagaimana firman-Mu agar suami mengasihi isteri, kami memohon. Kami memohon kepada-Mu supaya Roh-Mu yang berkerja dalam hati suami. Biarlah kasih-Mu Bapa mengalir dalam hati suami agar suami mengasihi isterinya seperti Tuhan mengasih jemaah -Mu. Kiranya Engkau membuat mereka mengerti peranan suami sebagai pelindung, pembela, sahabat dan pemberi nafkah kepada isteri dan keluarga. Kiranya hati mereka dipenuhi kasih sehingga mereka memperlakukan isteri mereka dengan ramah, lembut dan bukan dengan kasar atau kekerasan. Kiranya mereka saling mengasihi dan saling menghargai.


Bapa, kami juga berdoa untuk anak-anak. Tuhan, tolonglah anak-anak agar mentaati orang tua mereka di dalam Tuhan. Kami memohon supaya Roh-Mulah yang menjamah hati anak-anak dan melembutkan hati mereka sehingga anak-anak rela dan mudah dididik dengan ajaran Kristus. Kiranya Engkau yang membuat hati para bapa berbalik atau bersatu dengan hati anak supaya saling mengasihi. Biarlah berkat kehidupan turun ke atas keluarga yang mengasihi-Mu, mengasihi sesama dan hidup rukun. Terpujilah nama-Mu.. Di dalam nama Yesus Kristus, amin.


Pr Hamjah @ Hamzah Sabin



bottom of page