top of page

Di manakah Tuhan ketika saya mengalami penderitaan?

  • 2 days ago
  • 2 min read

Dalam perjalanan saya melayani Tuhan baik sebagai pemimpin mahupun sebagai seorang hamba-Nya. Saya melihat di lapangan penginjilan, para penginjil sering berhadapan dengan satu persoalan yang sangat jujur dan mendalam: “Di manakah Tuhan ketika saya mengalami penderitaan?”


Ada masa dalam pelayanan, kita memberi sepenuh hati, tenaga, dan masa… namun hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Ada saat kita merasa letih secara emosi, disalahfahami oleh orang yang kita layani, bahkan terasa seolah-olah Tuhan diam. Dalam situasi seperti ini, mudah untuk kita meragui kehadiran-Nya.


Namun melalui pengalaman peribadi, saya belajar satu kebenaran yang tidak tergoyahkan: Tuhan tidak pernah meninggalkan kita, walaupun dalam penderitaan yang paling sunyi sekalipun.


Pernyataan ini sangat kuat dalam hati saya: “Where is God when we suffer? He is ever present and all knowing, with us in all our struggles and trials. Nothing in our lives takes God by surprise. We are not alone in our suffering …”


Dalam kepimpinan, kita sering membawa beban yang tidak dilihat oleh orang lain. Kita memikul tanggungjawab bukan sahaja terhadap organisasi, tetapi juga terhadap jiwa-jiwa. Ada tekanan, ada keputusan yang sukar, ada pengorbanan yang tidak difahami.


Tetapi di situlah saya melihat tangan Tuhan bekerja bukan selalu dengan mengubah keadaan, tetapi dengan menguatkan hati.


Saya teringat bagaimana Mazmur sering mengungkapkan realiti penderitaan, namun tetap berakhir dengan pengakuan iman bahawa Tuhan adalah perlindungan dan kekuatan. Begitu juga dengan kehidupan Yesus Kristus.


Dia sendiri tidak terkecuali daripada penderitaan, bahkan memikul salib demi kita. Itu menjadi peringatan bahawa penderitaan bukan tanda ketiadaan Tuhan, tetapi seringkali tempat di mana hadirat-Nya paling nyata.


Dalam pelayanan, saya belajar bahawa:


* Tuhan tidak selalu mengubah situasi, tetapi Dia sentiasa mengubah kita melalui situasi itu.


* Tuhan tidak menjanjikan kehidupan tanpa penderitaan, tetapi Dia menjanjikan kehadiran-Nya dalam setiap penderitaan.


* Kepimpinan dan pelayan Tuhan bukan tentang bebas dari tekanan, tetapi tentang setia walaupun dalam tekanan.


Apa yang menguatkan saya bukanlah keadaan yang sempurna, tetapi kesedaran bahawa Tuhan mengetahui segalanya bahkan sebelum saya mengalaminya. Tiada satu pun yang berlaku di luar pengetahuan dan kedaulatan-Nya.


Hari ini, jika kita sedang berada dalam musim yang sukar dalam pelayanan, keluarga, atau kehidupan peribadi ingatlah ini: Kita tidak berjalan sendirian. Tuhan hadir, Tuhan melihat, dan Tuhan bekerja, walaupun kita belum melihat hasilnya.


Sebagai pemimpin dan pelayan Tuhan, respon kita bukanlah melarikan diri dari penderitaan, tetapi tetap setia di tengahnya. Kerana di situlah iman kita dibentuk, karakter kita dimurnikan, dan pelayanan kita diperdalam.


Pertanyaan dan refleksi untuk kita semua: Bagaimana saya merespon kehadiran Tuhan dalam penderitaa adakah saya menjauh, atau semakin mendekat kepada-Nya? TUHAN merapati orang yang patah hati dan menyelamatkan orang yang menyesal. Orang yang benar banyak ditimpa penderitaan, tetapi TUHAN menyelamatkannya daripada segala-galanya; TUHAN menjaga setiap tulangnya, satu pun tidak patah.   - Mazmur 34:18-20


Oleh Pr Jerry Ignacio Sumber : Whatsapp channel @ jerry ignacio

Comments


bottom of page