top of page

Jalan Salib

  • 3 days ago
  • 2 min read

Perkataan Jalan Salib ini bukan sekadar pernyataan teologi tetapi ini adalah realiti yang akan kita alami sendiri dalam perjalanan kepimpinan dan pelayanan.


Dalam musim awal pelayanan, kita sering berfikir bahawa apabila kita melayani Tuhan dengan setia, segala sesuatu akan berjalan lancar.


Namun realitinya sangat berbeza. Ada masa di mana usaha kita tidak dihargai, pengorbanan tidak difahami, bahkan niat yang tulus pun boleh disalah tafsir.


Dalam kepimpinan mahupun pelayanan, tekanan bukan sahaja datang dari luar, tetapi juga dari dalam emosi, keletihan, dan pergumulan peribadi yang tidak semua orang nampak.


Saya percaya kita semua pernah berada di titik di mana kita bertanya dalam hati, “Adakah semua ini berbaloi?” Tetapi firman ini mengingatkan kita: tiada satu pun penderitaan dalam Kristus yang sia-sia.


Dalam pelayanan, khususnya di kawasan pedalaman dan tempat yang serba kekurangan, saya belajar satu perkara yang sangat penting bahawa pelayanan bukan tentang keselesaan, tetapi tentang ketaatan.


Jalan salib bukan jalan yang popular, tetapi ia adalah jalan yang benar. Dan setiap langkah ketaatan, walaupun disertai kesukaran, sebenarnya sedang membentuk karakter Kristus dalam diri kita.


Apa yang saya pelajari dalam kepimpinan adalah ini: Tuhan tidak pernah membazirkan kesakitan kita.


Setiap air mata, setiap penolakan, setiap keletihan semuanya dipakai oleh Tuhan untuk memperdalam iman dan memurnikan motivasi kita.


Dalam proses itu, kita belajar untuk tidak lagi bergantung kepada kekuatan sendiri, tetapi kepada anugerah-Nya.


Ada masa kita melayani tanpa melihat hasil yang segera. Kita menabur dengan air mata, tetapi belum menuai.


Namun firman Tuhan mengajar bahawa kesetiaan lebih penting daripada hasil yang kelihatan. Kita dipanggil untuk setia, bukan semestinya untuk melihat kejayaan menurut ukuran manusia.


Dalam kepimpinan dan pelayanan, jalan salib juga bermaksud: Berani terus melayani walaupun tidak dihargai. Tetap mengasihi walaupun disakiti. Terus memberi walaupun kekurangan. Tetap berdiri walaupun hampir menyerah


Kerana kita tahu, kita tidak berjalan sendirian. Kristus sendiri telah berjalan jalan itu terlebih dahulu.


Akhirnya, saya menyedari bahawa kekuatan seorang pemimpin mahupun pelayan Tuhan bukan diukur dari seberapa sedikit dia menderita, tetapi dari seberapa setia dia tetap berjalan bersama Kristus di tengah penderitaan itu.


Jika hari ini kita sedang melalui musim yang sukar dalam pelayanan, ingatlah: Kesakitan itu bukan tanda Tuhan meninggalkan kita, tetapi seringkali tanda bahawa kita sedang berjalan di jalan yang sama seperti Kristus.


Dan jalan itu walaupun sempit dan sukar adalah jalan yang membawa kepada kehidupan yang kekal dan kemuliaan yang sejati. Oleh Pr Jerry Ignacio Sumber : Whatsapp channel @ jerry ignacio

Comments


bottom of page