Penerapan Krismas
- Komuniti Digital

- Dec 21, 2025
- 2 min read

Krismas... membawa kita untuk mengingati kedatangan Yesus ke dalam dunia ini, sebagai Juruselamat, Kristus dan Tuhan... Itulah yang diceritakan oleh malaikat kepada para gembala. Tapi, apakah penerapan Krismas bagi kita? Paulus menjelaskan itu dalam Filipi 2:5-11 dengan frasa, "Hendaklah kamu dalam hidupmu bersama, menaruh fikiran dan perasaan yang terdapat juga dalam Kristus Yesus..." Inilah kunci kepada penerapan Krismas – fikiran dan perasaan pada Yesus patut ada pada kita juga.
Apakah fikiran dan perasaan yang perlu dimiliki orang Kristian?
1. Yesus, walaupun dalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah sebagai hal yang harus dipertahankan. Dia tidak memperjuangkan status-Nya, Dia tidak mengembang diri, atau berlagak hebat. Dia merendahkan diri, bahkan sampai mengosongkan diri. Apakah kita juga ada sikap yang sama? Makin berpangkat, makin susah merendahkan diri? Makin berstatus, makin temberang? Mari ada fikiran dan perasaan yang dimiliki Tuhan Yesus.
2. Dia mengambil sikap dan status seorang hamba. Pembawaan Yesus di dunia ini terselubung dalam sikap hamba. Bukan untuk memerintah dan menyuruh-nyuruh murid-murid-Nya, tetapi sebagai hamba, sampailah menjadi penebus manusia, dalam kematian-Nya di kayu salib. Dari palungan ke salib – dari kecomelan bayi kepada kehinaan dewasa dipukul manusia. Mahukah kita jadi hamba seperti Dia? Rela melayani daripada dilayani? Mengabdikan diri kepada Allah?
3. Dia taat sampai mati. Perasaan dan fikiran kita juga harus ke arah sana – ketaatan kepada perintah Allah. Boleh saja Yesus berkata tidak mahu, boleh saja Yesus menolak. Tetapi Dia taat kepada Allah sampailah kematian. Kita juga patut mempunyai fikiran dan perasaan yang sama. Paulus sudah katakan “Bagiku hidup adalah untuk Kristus dan mati adalah keuntungan.” (1:21) Apakah kita juga rela taat sampai mati? Setia sampai nafas terakhir?
Perasaan dan fikiran yang sama seperti Kristus akan membawa kemuliaan dan pujian yang sama! Yesus, kerana kerendahan hati, sikap seorang hamba dan ketaatan sampai maut, menerima pujian dan Nama di atas segala nama – di mana semua lidah akan mengakui Dia Tuhan dan setiap lutut akan bertelut kepada-Nya. Kalau kita ambil pendekatan, fikiran dan perasaan yang sama, kita juga akan menerima pujian dan anugerah daripada Allah, bahkan memerintah bersama-sama dengan Kristus kelak di dunia. (2 Timotius 2:12, Wahyu 20:6) Oleh Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @ edmund kumar




Comments