top of page

Hamba Tuhan Dan AI

5 days ago
1 min read

Updated: 4 days ago

“Kitab Suci Taurat ini tidak akan lekang daripada mulutmu, tetapi hendaklah engkau merenungkannya siang dan malam, supaya engkau berhati-hati melakukan segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian perjalananmu akan beruntung dan engkau akan berjaya.”

Yosua 1:8 AVB

Baca juga Mazmur 1, 19, 119, Yohanes 15.


Dalam penggunaan AI, kita perlu sentiasa ingat bahawa Tuhan memanggil kita untuk merenungkan firman Tuhan siang dan malam. Apa yang kita renungkan menjadi makanan rohani dalam diri kita dan memberikan kita kekuatan, hikmat dan arah bagi kehidupan serta pelayanan.


AI boleh membantu kita mencari maklumat, menyusun pemikiran dan memperkemas penyampaian. AI berguna untuk banyak perkara yang baik. Namun, AI tidak dapat merenungkan dan menghadam firman Tuhan bagi pihak kita sewaktu saat teduh.


AI juga tidak dapat menggantikan perkara-perkara paling asas dalam kehidupan rohani: bertaubat, mengaku dosa, berdoa, merenungkan firman Tuhan serta menyembah Tuhan dalam roh dan kebenaran. Semua ini merupakan hubungan peribadi kita dengan Tuhan yang tidak mungkin diambil alih oleh teknologi.


Apabila disiplin rohani ini tidak dipelihara oleh seorang hamba Tuhan atau sesiapa sahaja yang menyampaikan firman Tuhan, perkongsiannya mungkin hanya dipetik daripada buku, internet atau AI, lalu disampaikan tanpa terlebih dahulu direnungkan, dihayati dan dilakukan.


Apabila itu berlaku, kita mungkin seperti seekor burung kakak tua yang pandai berkata, “Selamat pagi, selamat pagi,” padahal hari sudah pun masuk waktu senja. Kata-katanya betul, tetapi tidak lahir daripada pengertian dan kepekaan terhadap keadaan. AI boleh membantu kita menyusun apa yang hendak disampaikan, tetapi AI tidak dapat menggantikan apa yang mesti Tuhan kerjakan di dalam hati kita.


Semoga bermanfaat. Tuhan memberkati!

Oleh: Pr. Jubilie Apin

Sumber : Facebook@Jubilie Apin@Pena Rajawali


Comments


bottom of page