Tidak Mengikuti Yesus Lagi

Bacaan ayat : Yohanes 6:51-66
Dalam grup Telegram sekolah, cikgu akan minta alasan untuk ketidakhadiran anak ke sekolah. Ada-ada saja alasan yang diberi – tiada kenderaan (atau kereta rosak), demam (sampai berminggu-minggu), sakit perut (balik-balik sakit perut dan cirit-birit), dan baru-baru ini alasan baru “trauma kerana terjatuh di tandas.” Itu alasan untuk tidak mahu hadir ke sekolah!
Apakah alasan-alasan yang orang akan beri untuk tinggalkan Kristus? Kerana tidak dapat jawatan yang diingini. Kerana doa tidak dijawab. Kerana ahli keluarga meninggal. Kerana penderitaan yang dialami. G. K. Chesterton pernah berkata, “Ketiadaan makna bukan datang kerana letih menanggung kesakitan. Ketiadaan makna datang kerana letih mengejar kesenangan.” Tetapi hari ini, terlalu ramai yang meninggalkan Kristus bila jalan menjadi sesak dan sukar.
Dalam Yohanes 6 pula, alasan untuk meninggalkan Kristus sungguh menarik. Yesus berkata, “Akulah roti hidup yang telah turun dari sorga. Jikalau seorang makan dari roti ini, ia akan hidup selama-lamanya, dan roti yang Kuberikan itu ialah daging-Ku, yang akan Kuberikan untuk hidup dunia.” (6:51) Orang Yahudi sering tidak dapat memahami ajaran dalam bentuk alegori atau kiasan. Yesus, bila bercakap dengan Nikodemus, memberitahu bahawa hanya jika seorang dilahirkan kembali, barulah dia dapat masuk ke dalam Kerajaan Allah. Nikodemus terus bingung dan bertanya, “Macam mana mungkin orang yang sudah tua masuk semula ke dalam rahim ibunya.” Demikian juga bila Yesus berkata “Akulah roti hidup.... jikalau seorang makan dari roti ini...” Orang Yahudi keliru dan mula “bertengkar antara sesama mereka dan berkata: ‘Bagaimana Ia ini dapat memberikan daging-Nya kepada kita untuk dimakan.’ (6:52) “Sesudah mendengar semuanya itu, banyak dari murid-murid Yesus yang berkata: ‘Perkataan ini keras, siapakah yang sanggup mendengarkannya?' (6:60)
Zaman ini, alasan untuk meninggalkan Kristus bukan lagi kerana penderitaan, tetapi kerana ajaran-Nya makin dilihat membingungkan atau sukar untuk dilaksanakan. Ajaran-Nya dikritik dan dikecam sebagai tidak lagi relevan untuk dunia moden. Namun, ajaran-Nya akan memiliki aspek enigma dan misteri, hanya dimengerti oleh mereka yang benar-benar ingin memahami. Bahkan kalau kita cakap tentang ajaran Yesus dan para rasul, ada saja yang menentang kerana "itu bukan ajaran gereja kami." Zaman ini, kerana kecaman terhadap ajaran yang sukar, yang berteologi dan berdoktrin, maka mahu mendorong orang mengikuti kelas Alkitab pun susah. Dorong membeli Alkitab Studi pun tidak sanggup. Beli buku-buku rohani, cakap mahal!
Kuncinya diberikan oleh Yesus kemudian: “Rohlah yang memberi hidup, daging sama sekali tidak berguna. Perkataan-perkataan yang Kukatakan kepadamu adalah roh dan hidup.” (6:63) Ajaran-Nya memang harus dialami dan dimengerti secara rohani. Makan dari daging-Nya, minum dari darah-Nya bukan secara literal atau harfiah. Memang itu jadi tuduhan orang tidak percaya pada zaman itu. Orang bukan Kristian berlalu di luar rumah orang Kristian sempat mendengar ucapan orang Kristian waktu mereka merayakan Perjamuan Kudus, “Inilah tubuh-Ku, makanlah.... Inilah darah-Ku, minumlah....” Apa tidak orang tidak percaya hairan dan kecaman serta ejekan menyusul: “Orang Kristian itu kanibal!” Kerajaan Rom pada waktu itu menganiaya orang Kristian, dan salah satu tuduhan yang sering dilemparkan kepada mereka ialah orang Kristian kanibal!
Maksud "memakan daging Yesus" dan "meminum darah-Nya" adalah penerimaan dengan iman dan benar keberadaan Yesus dan pengorbanan-Nya. Perkataan-Nya adalah roh dan hidup – yang dialami secara rohani dan memberikan hidup secara rohani kepada orang yang tidak bingung. Menerima ajaran Yesus adalah langkah iman, berserta kepastian bahawa kebenaran itulah yang memerdekakan kita. Kita tidak perlu keliru, kita tidak perlu bingung, benda senang tidak perlu dirumitkan.
Akhirnya kita ada dua pilihan - ikut Yesus terus atau tinggalkan Dia. Respons itu kelihatan:
Ada yang meninggalkan Dia: "Mulai dari waktu itu banyak murid-murid-Nya mengundurkan diri dan tidak lagi mengikut Dia". ( Yohanes 6:66)
Ada yang terus kekal dengan-Nya: "Maka kata Yesus kepada kedua belas murid-Nya: 'Apakah kamu tidak mahu pergi juga? Jawab Simon Petrus kepada-Nya: ''Tuhan, kepada siapakah kami akan pergi?
Perkataan-Mu adalah perkataan hidup yang kekal; dan kami telah percaya dan tahu, bahawa Engkau adalah Yang Kudus dari Allah." (Yohanes 6:67-69)
Mana satu yang kamu pilih?
Oleh: Pr. Edmund Kumar.
Sumber: Facebook@Pr. Edmund Kumar.




Comments