Tetap Setia Dalam Proses Tuhan

Dalam perjalanan iman, saya semakin memahami bahawa pertumbuhan rohani tidak berlaku dalam satu malam. Ada prosesnya. Ada musim kita sangat bersemangat, ada musim kita diuji, ada ketika kita berada di tengah-tengah ibadah dan persekutuan yang penuh sukacita, dan ada juga ketika kita harus belajar berjalan bersama Tuhan dalam kesunyian dan rutin kehidupan sehari-hari. Demikian juga dalam pelayanan.
Saya pernah berada dalam ibadah yang kecil, persekutuan yang sederhana, program di pedalaman, perjalanan pelayanan yang jauh, sehinggalah kepada penganjuran acara yang lebih besar. Setiap keadaan mempunyai suasana dan cabarannya sendiri. Tetapi saya belajar satu perkara: Besarnya sebuah acara tidak semestinya menentukan besarnya pekerjaan Tuhan dalam hidup seseorang.
Dia boleh saja berbicara melalui sebuah konferensi yang besar melalui hamba-Nya. Melalui khutbah yang sederhana. Melalui nasihat seorang pastor. Melalui persekutuan kecil. Bahkan melalui pengalaman hidup yang tidak pernah kita rancangkan.
Yang penting ialah: Selepas kita dengar, apakah kita tetap berjalan dalam apa yang telah kita dengar? Yakobus 1:22 mengingatkan: “Hendaklah kamu menjadi pelaku firman dan bukan hanya pendengar sahaja.”
Saya juga memahami bahawa generasi muda hari ini mempunyai banyak bentuk ekspresi. Cara mereka bercakap, berpakaian, menghasilkan kandungan, menyampaikan mesej, menyanyi, berkomunikasi bahkan cara mereka melayani mungkin tidak sama dengan generasi sebelumnya.
Malah, para hamba Tuhan yang datang daripada generasi yang berbeza juga mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyampaikan kebenaran kepada pendengar mereka.
Perbezaan gaya tidak semestinya bererti perbezaan iman. Namun dalam segala bentuk ekspresi itu, kita tetap perlu bertanya: Adakah Kristus semakin nyata? Adakah Firman Tuhan tetap menjadi dasar? Adakah hidup kita menghasilkan buah? Kerana akhirnya Yesus berkata: “Daripada buahnyalah kamu akan mengenal mereka.” Matius 7:20.
Saya teringat kepada sebuah gambaran sederhana:
Anjing itu kurus kelabu, lidah terjelir, nafas termengah-mengah, menjaga istana tuannya yang gemuk, patuh, setia, menerima dan menyerah. Kadang ia menyalak bukan kerana musuh, melainkan kerana lapar dan memerlukan makanan.
Bagi saya gambaran ini boleh menjadi sebuah peringatan rohani. Ada masanya manusia kelihatan sangat aktif, sangat lantang, sangat bersemangat dan sangat ekspresif. Namun jauh di dalam hati sebenarnya ada kelaparan rohani. Jiwa manusia tetap memerlukan makanan.
Dan Yesus berkata: “Manusia hidup bukan daripada roti sahaja, tetapi daripada setiap firman yang keluar daripada mulut Allah.” Matius 4:4.
Sebab itu selepas sebuah kebaktian, konferensi, kem, persekutuan atau acara rohani berakhir, jangan biarkan pengalaman itu berakhir sebagai emosi sementara atau sekadar kenangan yang indah.
Ambillah kembali nota yang kamu tulis. Baca kembali Firman yang menyentuh hati kamu. Ingat kembali komitmen yang kamu buat di hadapan Tuhan. Teruskan beribadah. Teruskan bersekutu. Teruskan melayani. Teruskan belajar mengenal Tuhan. Kerana iman yang bertumbuh bukan dibina melalui satu acara, tetapi melalui kehidupan yang konsisten bersama Tuhan.
Galatia 6:9 berkata: “Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana apabila sudah sampai waktunya, kita akan menuai, jika kita tidak menjadi lemah.”
Kepada generasi muda, jangan takut menjadi generasi yang kreatif, berani dan mempunyai cara tersendiri dalam mengekspresikan iman. Tetapi dalam segala kreativiti itu, jangan kehilangan Kristus.
Jangan hanya mengejar vibe, tetapi kejarlah hadirat Tuhan. Jangan hanya mengejar perhatian manusia, tetapi kejarlah perkenanan Tuhan. Jangan hanya mahu kelihatan rohani, tetapi bertumbuhlah menjadi murid Kristus yang matang.
Dan kepada kita yang lebih dahulu berjalan dalam pelayanan, jangan terlalu cepat menghukum hanya kerana generasi berikutnya mempunyai gaya mahupun cara yang berbeza. Tugas kita ialah membimbing, menasihati dan menjadi teladan.
Paulus berkata kepada Timotius: “Jadilah teladan bagi orang-orang percaya, dalam perkataanmu, dalam tingkah lakumu, dalam kasihmu, dalam kesetiaanmu dan dalam kesucianmu.” 1 Timotius 4:12.
Akhirnya, dalam perjalanan iman ini kita semua masih dalam proses. Ada perkara yang Tuhan sedang bentuk. Ada sikap yang Tuhan sedang perbetulkan. Ada karakter yang Tuhan sedang matangkan. Yang penting ialah jangan berhenti berjalan bersama Tuhan. Kalau pernah jatuh, bangun kembali. Kalau pernah lemah, datang kembali kepada Tuhan. Kalau semangat mulai berkurang, kembali kepada Firman-Nya.
Kerana pengalaman rohani mungkin hanya berlangsung beberapa hari, tetapi kesetiaan kepada Tuhan adalah perjalanan seumur hidup. Apa yang Tuhan sudah mulakan dalam hidup kita, biarlah kita terus pelihara, hidupi dan kembangkan sampai Kristus semakin nyata melalui kehidupan kita.
“Dia yang memulakan pekerjaan yang baik di antara kamu akan meneruskannya sampai pada akhirnya pada hari Kristus Yesus.” Filipi 1:6.
Jangan hanya menjadi generasi yang pernah mengalami Tuhan.
Jadilah generasi yang terus membimbing dan berjalan bersama Tuhan.
Oleh: Pr. Jerry Ignacio
Sumber: Whatassap Channel@Renungan@Pr. Jerry Ignacio




Comments