Berserulah kepada Tuhan! (Kebaikan Tuhan pada semua orang)

Tuhan itu baik, panjang sabar dan mendengar seruan setiap orang yang berseru kepadanya.
Dalam Mazmur 107 ada empat kumpulan manusia yang telah mengalami kebaikan Tuhan dan apa yang mereka alami menjadi alasan untuk memuji-memuji Tuhan dan terus berserah dan bersandar hidup kepada-Nya.
Ada orang yang sesat jalan tidak ada tujuan hidup, bila mereka berseru kepada Tuhan, Tuhan menjawab dan memberi kepuasan kepada rasa dahaga dan kelaparan jiwa mereka.
Ada orang yang hidup memberontak pada Tuhan sehingga mengundang banyak masalah dalam hidup mereka. Mereka berseru kepada Tuhan, Dia pun menjawab dan mengampuni serta memulihkan mereka.
Ada orang yang menjadi bosan dengan makanan-makanan yang diterima dan ini bercakap tentang makanan rohani yang baik dari firman Tuhan, mengakibatkan hidup mereka tidak menentu dan bermasalah. Mereka berseru pada Tuhan dan Tuhan menjawab.
Ada pula orang yang setia pada Tuhan. Dalam hidup pekerjaan dan perniagaan mereka nampak banyak pekerjaan Tuhan tetapi mereka berhadapan banyak perkara mencabar dan menakutkan yang di luar kemampuan mereka. Ada juga kuasa yang cuba menggagalkan dan menjatuhkan mereka. Mereka berseru kepada Tuhan, Tuhan pun mendengar dan menjawab mereka. Mereka diberkati dan mereka menjadi berkat.
Tuhan yang kita baca dalam kitab Mazmur pada hari ini sudah datang ke dalam dunia dalam Tuhan Yesus Kristus. Dia telah mati disalib dan bangkit dari kematian untuk menebus kita dari dosa dan memberi kita kelahiran baru.
Apapun keadaan anda pada hari ini, bila ada berseru kepada Tuhan dalam nama Tuhan Yesus Kristus, Dia akan mendengar dan menjawab kamu. Sebab ada tertulis,
“Barangsiapa berseru kepada nama Tuhan akan diselamatkan!” (Roma 10:13).
Oleh: Pr. Jubilie Apin.
Sumber: Facebook@Jubilie Apin@Pena Raja wali.




Comments