top of page

Hari 17: Hidup Bijaksana

Tema: Menebus Masa (Efesus 5:15-17)

“Sebab itu, perhatikanlah baik-baik cara hidupmu. Jangan hidup seperti orang-orang bodoh; hiduplah seperti orang- orang bijak,” (Efesus 5:15)


Allah menginginkan kita hidup dengan bijaksana. Dia membekalkan kita dengan tujuh ‘roh-Nya’ (Yesaya 11:2) dan salah satu roh itu ialah ‘roh kebijaksanaan’ (Efesus 1:17). Dengan kebenaran ini, Bapa kita di syurga menginginkan anak-anak- Nya hidup dengan bijaksana.


Apakah itu roh kebijaksanaan? Roh kebijaksanaan berbeza dengan roh pengertian dan roh pengetahuan. Menurut Yesaya 11:2, Roh Allah mengurapi kita dengan roh kebijaksanaan, roh pengertian, roh nasihat, roh keperkasaan, roh pengetahuan dan takut kepada Tuhan.


Kebijaksanaan dalam Bahasa Ibrani ialah chochmah, yang bermaksud bijak, hikmah; yakni mahir secara seni dan bermoral atau berhikmah untuk hidup benar. Kemampuan untuk hidup benar, bermoral dan rohani – hidup memuliakan Tuhan.


Kebijaksanaan menurut Alkitab ialah mentaati segala perintah yang tercatat dalam Alkitab. Dalam erti kata lain, kebijaksanaan ialah penyatuan pengetahuan Firman Tuhan dengan tindakan. Inilah yang diibaratkan Yesus; “Sesiapa yang mendengar dan menurut perkataan-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu. Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu. Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut perkataan-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir. Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!” (Matius 7: 24-27)

Pemazmur Daud mengatakan sumber kebijaksanaan ialah; “Takut akan TUHAN permulaan kebijaksanaan; pengertian yang sempurna ada pada semua yang mentaati perintah-perintah- Nya. Pujian bagi-Nya kekal selama-lamanya.” (Mazmur 111:10)


Marilah kita mencari hikmah! Hikmah adalah kunci kejayaan dan kemuliaan (Amsal 4:5).


DOA HARI INI

  • Ya, Tuhan berikanlah saya hati yang ‘takut akan Tuhan’ supaya beroleh hati yang bijaksana. Mampukan saya menjadi pelaku Firman-Mu dan bukan orang yang mendengar tetapi tidak menurut perintah-Mu. Dalam Nama Tuhan Yesus. Amen.

  • Berdoalah agar gereja berusaha ke arah mengukuhkan hubungan antara-generasi untuk menghapuskan jurang generasi dan meningkatkan interaksi yang lebih erat di kalangan anggota mereka, terutamanya di gereja di mana kanak-kanak, belia dan orang dewasa ditempatkan dalam ibadah yang berbeza dan mempunyai aktiviti yang berasingan.

  • Berdoalah agar sistem pendidikan awam selaras dengan masa dan keperluan zaman, dan sukatan pelajaran akan inklusif, relevan dan dikemas kini. Berdoa untuk kesaksamaan di kalangan rakyat dalam akses kepada pendidikan awam. Berdoalah agar mereka yang berkhidmat dalam bidang pendidikan akan mencapai kecemerlangan yang terbaik, dan usaha mereka akan sangat dihargai oleh kedua-dua pihak sekolah, pelajar dan ibu bapa.


bottom of page