top of page

Hati Yang Boleh Diajar Lebih Berharga Daripada Pelayanan Yang Besar

  • Apr 23
  • 2 min read


“Ajarlah kami menghitung hari-hari kami, supaya kami beroleh hati yang bijaksana.” Mazmur 90:12


Semakin lama saya melayani dalam ladang penginjilan, semakin saya sedar satu kebenaran yang sangat sederhana tetapi mendalam: Tuhan tidak pernah terlalu tergesa-gesa dengan hasil, tetapi Dia sangat teliti dengan hati.


Ada satu musim dalam pelayana di mana jadual sangat padat. Lawatan kawasan ke kawasan. Mesyuarat demi mesyuarat.

Projek demi projek. Laporan demi laporan.


Di mata manusia, semuanya nampak “berhasil.” Orang melihat angka, pencapaian, program, perkembangan. Tetapi jauh di dalam hati, saya mula terasa kosong.


Saya berdoa hanya untuk “cukup kuat bekerja,” bukan untuk “cukup dekat dengan Tuhan.” Saya membaca Firman untuk menyediakan khutbah, bukan untuk membiarkan Firman membentuk jiwa saya. Saya sibuk melakukan pekerjaan Tuhan, tetapi perlahan-lahan kehilangan persekutuan dengan Tuhan.


Pada satu malam selepas satu perjalanan pelayanan yang panjang, saya duduk sendirian dan membaca Mazmur 90. Ayat itu seperti menegur saya secara peribadi: “Ajarlah kami menghitung hari-hari kami…”


Bukan “tambahkan projek kami.” Bukan “besarkan pelayanan kami.” Tetapi ajar hati kami. Di situlah saya tersedar Tuhan lebih berminat membentuk siapa saya, daripada memperbesar apa yang saya lakukan.


Pelayanan boleh berhenti, tetapi karakter kekal. Jawatan boleh tamat. Tugas boleh diganti oleh orang lain. Program boleh dibatalkan. Tetapi karakter…itulah yang kita bawa sampai akhir hidup.


Saya pernah melihat orang yang sangat berbakat dalam pelayanan, tetapi sukar ditegur. Sukar dibentuk. Sukar diajar. Akhirnya, pelayanan mereka besar, tetapi hati mereka kecil.


Sebaliknya, saya juga melihat hamba Tuhan yang mungkin tidak terkenal, tetapi lembut hati, mudah belajar, cepat bertaubat, dan sentiasa mahu dibentuk Tuhan. Dan anehnya, Tuhan memakai mereka jauh lebih lama.


Dari situ saya belajar satu prinsip rohani: Tuhan tidak mencari orang yang paling hebat, tetapi orang yang senang dan boleh diajar.


Teguran kecil yang membentuk saya. Dalam beberapa perjalanan pelayanan, ada masa Tuhan menegur saya melalui orang yang “kecil” di mata manusia mungkin seorang yang muda, mungkin seorang ahli jemaat biasa.


Pada awalnya, ego saya mahu mempertahankan diri. “Saya lebih berpengalaman.” “Saya sudah lama melayani.” Tetapi Roh Kudus berbisik lembut: “Kalau engkau tidak boleh diajar, bagaimana Aku mahu membentuk engkau?”


Sejak itu saya belajar untuk lebih banyak mendengar. Kurang mempertahankan diri. Cepat mengaku salah. Kerana saya sedar lebih baik hati saya dibetulkan hari ini, daripada pelayanan saya runtuh esok.


Apa yang Tuhan sedang kerjakan sebenarnya? Hari ini saya melihat pelayanan dengan perspektif yang berbeza.


Setiap kesukaran bukan sekadar cabaran kerja. Ia adalah kelas pembentukan karakter. Setiap kelewatan bukan sekadar gangguan. Ia adalah latihan kesabaran. Setiap konflik bukan sekadar masalah manusia. Ia adalah ujian kerendahan hati.


Tuhan sedang mengajar saya satu perkara: Dia lebih berminat menjadikan saya serupa Kristus daripada menjadikan saya kelihatan berjaya.


Kerana kejayaan tanpa karakter adalah rapuh. Tetapi karakter yang dibentuk Tuhan akan bertahan seumur hidup. Oleh Pr Jerry Ignacio Sumber : Whatsapp Channel @ jerry ignacio Credit gambar : KD / Pemuda Pemudi Bukit Mertajam Baptist Church

Comments


bottom of page