top of page

Firman Tuhan Membimbing, Tuhan Menentukan Langkah

  • 3 days ago
  • 3 min read

“Siapa memperhatikan firman akan mendapat kebaikan, dan berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN.”

(Amsal 16:20)


Amsal 16 mengajar bahawa kehidupan yang diberkati bukanlah kehidupan yang bergantung kepada kebijaksanaan manusia semata-mata, tetapi kehidupan yang dibentuk oleh firman Tuhan dan dipimpin oleh-Nya.


Salomo menulis kata-kata hikmat ini supaya para pembacanya belajar hidup dalam takut akan Tuhan. Orang yang takut akan Tuhan bukanlah orang yang hidup tanpa perancangan. Sebaliknya, dia merancang, berfikir, bekerja dan membuat keputusan, namun semuanya dilakukan dalam terang firman Tuhan..

Sebab itu Salomo berkata,

“Siapa memperhatikan firman akan mendapat kebaikan, dan berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN.”


Inilah ayat yang menjadi kunci untuk memahami keseluruhan Amsal 16.


Apabila firman Tuhan memenuhi hati seseorang, cara dia melihat kehidupan juga berubah. Dia sedar bahawa manusia boleh merancang (ayat 1, 9), tetapi Tuhanlah yang membimbing setiap langkahnya. Dia mungkin menganggap jalannya benar (ayat 2), namun Tuhan tetap menguji hati dan motivasinya.


Oleh itu, setiap pekerjaan perlu diserahkan kepada Tuhan (ayat 3), kerana hanya Tuhan yang mampu mengarahkan rancangan manusia supaya selaras dengan kehendak-Nya.


Amsal 16 juga mengingatkan bahawa Tuhan berdaulat atas seluruh sejarah manusia.


“TUHAN membuat segala sesuatu untuk tujuannya masing-masing…” (ayat 4).

Ayat ini membawa ingatan kita kepada Firaun dalam kitab Keluaran. Walaupun dia mengeraskan hati dan menentang Tuhan, akhirnya Tuhan menggunakan kehidupannya untuk menyatakan kuasa, keadilan dan kemuliaan-Nya. Tidak ada sesuatu pun yang berlaku di luar pengetahuan dan kedaulatan Tuhan. Dia tetap Alfa dan Omega, Tuhan yang memegang permulaan dan pengakhiran segala sesuatu.


Firman Tuhan juga membentuk karakter orang percaya dengan mengajar nilai kerendahan hati dalam hidup kita.


Kesombongan adalah kekejian di hadapan Tuhan (ayat 5), kerana orang yang sombong pada hakikatnya hidup seolah-olah dia tidak memerlukan Tuhan. Sebaliknya, kasih, kesetiaan dan takut akan Tuhan akan menjauhkan seseorang daripada kejahatan (ayat 6).


Kesombongan adalah sikap yang mengatakan saya boleh urus diri sendiri dan saya tidak perlukan Tuhan. Kata orang di tengah perkataan SIN (dosa) is the big “I”.


Apabila Tuhan berkenan kepada jalan seseorang, Dia bahkan mampu mendamaikannya dengan musuh-musuhnya (ayat 7). Kehidupan Yusuf menjadi contoh yang indah dalam hal ini. Dia dibenci saudara-saudaranya, dijual sebagai hamba, difitnah dan dipenjarakan. Namun kerana Tuhan berkenan kepada jalannya, akhirnya Tuhan mengubah hati ramai orang terhadapnya. Potifar mempercayainya, kepala penjara mempercayainya, Firaun mengangkatnya menjadi pemerintah, bahkan saudara-saudaranya akhirnya berdamai dengannya.

Amsal 16 juga mengajar bahawa lebih baik hidup sederhana dengan kebenaran daripada kaya melalui ketidakadilan (Nilai kehidupan di mata Tuhan bukan diukur melalui jumlah harta yang dimiliki, tetapi melalui integriti dan kehidupan yang benar di hadapan-Nya.)

Beberapa ayat dalam Amsal 16 ada menyebut tentang raja (ayat 10, 12, 13 dan 15). Raja yang dimaksudkan di sini bukanlah raja secara umum, tetapi raja Israel yang memerintah di bawah pemerintahan Tuhan di mana menurut Ulangan 17:18–20, setiap raja Israel diperintahkan menyalin sendiri Kitab Taurat, membacanya setiap hari, belajar takut akan Tuhan dan memerintah menurut firman-Nya. Oleh sebab itu, apabila Amsal berbicara tentang keputusan raja yang adil atau bibir raja yang benar, asasnya ialah seorang raja yang tunduk kepada firman Tuhan, bukan kepada kebijaksanaan manusia semata-mata.


Akhirnya, rahsia hidup yang diberkati bukanlah kecerdasan manusia, tetapi hati yang sentiasa memperhatikan firman Tuhan dan percaya kepada-Nya. Orang yang menyimpan firman Tuhan di dalam hati akan berfikir, merancang, memimpin, bekerja dan membuat keputusan menurut firman itu. Itulah kehidupan yang dipimpin oleh hikmat Allah, dan itulah yang sangat selaras dengan ayat kunci Amsal 16:20.

Renungkan :

1. Adakah saya sedang membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri, atau adakah firman Tuhan benar-benar menjadi pelita bagi setiap langkah kehidupan saya?

2. Di manakah saya dalam hubungan peribadi saya dengan Tuhan dalam firman-Nya (Alkitab) pada hari-hari ini?

Kiranya kita semua menjadi orang yang sentiasa memperhatikan firman Tuhan, kerana kepada merekalah dijanjikan kebaikan dan kebahagiaan yang sejati.

“Siapa memperhatikan firman akan mendapat kebaikan, dan berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN.” (Amsal 16:20)

Semoga bermanfaat. Tuhan memberkati kita semua! Oleh Pr Jubilie Apin / Pena Rajawali Sumber : Facebook @ jubilie apin Kredit Gambar : DUMC Bahasa // Caption Gambar : Jemaat DUMC Bahasa menulis ayat Firman di atas jubin lantai gereja sebelum di pasang carpet.

Comments


bottom of page