top of page

Bukan Sekadar Diperbaiki, Tetapi Diciptakan Semula

  • 3 days ago
  • 2 min read

"Salvation is not a patching up of the old person—it is a new creation."


Semakin lama saya melayani semakin saya menyedari bahawa ramai orang datang kepada Tuhan dengan harapan agar hidup mereka hanya "dibaiki". Mereka mahu masalah mereka diperbetulkan, kegagalan mereka ditutupi, luka mereka dipulihkan, atau keadaan hidup mereka menjadi lebih baik. Namun Injil menawarkan sesuatu yang jauh lebih besar daripada itu.


Keselamatan yang diberikan oleh Kristus bukan sekadar membaiki manusia lama. Tuhan tidak datang untuk menampal bahagian-bahagian yang rosak dalam hidup kita seperti seorang mekanik membaiki kenderaan yang rosak. Sebaliknya, Tuhan datang untuk memberikan kehidupan yang baru, hati yang baru, pemikiran yang baru, dan tujuan hidup yang baru.


Sepanjang perjalanan pelayanan mahupun itu di bandar, pedalaman, pulau-pulau, dan kawasan yang terpencil, saya telah melihat ramai orang mengalami perubahan hidup yang luar biasa. Ada yang dahulunya terikat dengan ketakutan, kebencian, ketagihan, dan putus asa. Namun apabila mereka sungguh-sungguh mengenal Kristus, perubahan yang berlaku bukan sekadar perubahan tingkah laku. Mereka menjadi manusia yang berbeza.


Inilah yang dimaksudkan oleh Rasul Paulus apabila beliau berkata: "Jadi sesiapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru; yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang." (2 Korintus 5:17)


Sebagai pemimpin dan pelayan Tuhan, saya juga belajar bahawa prinsip ini berlaku dalam kepimpinan. Tuhan tidak hanya mahu memperbaiki cara kita memimpin. Dia mahu membentuk semula karakter, motivasi, dan hati kita. Kepimpinan Kristian bukan tentang menjadi lebih hebat daripada orang lain, tetapi membenarkan Kristus membentuk diri kita menjadi semakin serupa dengan-Nya.


Kepada generasi muda hari ini, dunia sering memberitahu bahawa kamu hanya perlu "upgrade" diri, memperbaiki imej, meningkatkan kemahiran, atau membina jenama peribadi. Tetapi Injil mengajar sesuatu yang lebih mendalam. Tuhan tidak sekadar mahu menaik taraf kehidupan kita. Tuhan mahu mentransformasikan kehidupan kita.


Mungkin hari ini kamu sedang bergumul dengan masa lalu, kegagalan, dosa, atau kelemahan diri. Ketahuilah bahawa harapan dalam Kristus bukan sekadar peluang kedua. Ia adalah kehidupan yang baru. Jangan hanya meminta Tuhan memperbaiki hidupmu. Izinkan Tuhan menciptakan dirimu semula.


Kerana apabila Kristus menjadi pusat kehidupan, kita bukan lagi versi yang lebih baik daripada manusia lama. Kita menjadi ciptaan baru yang hidup untuk kemuliaan Tuhan. Oleh Pr Jerry Ignacio Sumber : Whatsapp Channel @ jerry ignacio

Comments


bottom of page