top of page

Hati yang Setia, Kepimpinan yang Sejati

  • 14 hours ago
  • 2 min read

"Hati yang Setia, Kepimpinan yang Sejati"


Perkataan ini bukan sekadar peringatan teologi tetapi ia adalah cermin yang sangat jujur dalam perjalanan kepimpinan dan pelayanan.


Dalam pengalaman saya melayani, saya mula menyedari bahawa berhala (idolatry) tidak selalu berbentuk sesuatu yang kelihatan “jahat.” Kadangkala, ia datang dalam bentuk yang sangat “rohani” pelayanan itu sendiri, pencapaian, pengaruh, bahkan penerimaan orang terhadap kepimpinan kita.


Ada musim dalam pelayanan di mana hati kita begitu terikat dengan hasil berapa ramai yang datang, berapa yang menerima Injil, bagaimana laporan dilihat oleh pemimpin, atau bagaimana orang menghargai usaha yang telah dilakukan. Tanpa sedar, perkara-perkara ini mula mengambil tempat yang sepatutnya hanya milik Tuhan.


Secara luar, pelayanan berjalan. Tetapi secara dalaman, ada sesuatu yang mula bergeser.


Firman Tuhan mengingatkan dengan sangat jelas melalui Ulangan 20:3 “Jangan ada padamu allah lain di hadapan-Ku.” Ini bukan hanya larangan terhadap penyembahan berhala secara fizikal, tetapi juga satu panggilan kepada kesetiaan hati yang mutlak.


Dalam kepimpinan, ini menjadi ujian yang sangat halus.


Kita boleh mula: Mengutamakan kejayaan lebih daripada ketaatan. Mengutamakan pengiktirafan lebih daripada kerendahan hati. Mengutamakan sistem lebih daripada hubungan dengan Tuhan


Dan akhirnya, tanpa sedar, kita bukan lagi melayani dari kasih kepada Tuhan, tetapi dari keterikatan kepada sesuatu yang lain.


Saya belajar satu kebenaran yang mendalam: Apa yang kita kejar dalam hati, itulah yang sebenarnya kita sembah.


Ada satu titik dalam pelayanan di mana Tuhan seolah-olah “menarik balik” semua sandaran tiada pujian, tiada hasil yang cepat, tiada pengiktirafan. Pada waktu itu, Tuhan sedang menyaring hati: Apakah kita masih setia ketika hanya Dia yang tinggal?


Di situlah saya belajar bahawa kepimpinan yang benar bukan bermula dari strategi, tetapi dari penyembahan.


Firman Tuhan dalam Mat 22:37 menegaskan: “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu…” bukan sebahagian, bukan selepas pelayanan, tetapi sebagai pusat kepada segala sesuatu.


Apabila Tuhan benar-benar menjadi yang pertama: Pelayanan tidak lagi menjadi beban, tetapi respon kasih. Pengorbanan tidak lagi terasa rugi, tetapi satu kehormatan. Kejayaan tidak lagi membesarkan diri, tetapi memuliakan Tuhan


Sebaliknya, apabila sesuatu yang lain mengambil tempat itu: Kita mudah kecewa. Kita cepat letih secara emosi. Kita mula membanding dan mempertahankan diri. Ini tanda bahawa hati kita sedang “berpaut” pada sesuatu selain Tuhan.


Dalam konteks kepimpinan dan pelayanan hari ini, cabaran terbesar bukan kekurangan strategi atau sumber tetapi kesetiaan hati.


Kerana Tuhan tidak hanya melihat apa yang kita lakukan, tetapi apa yang kita pegang dalam hati ketika kita melakukannya.


Perkongsian ini menjadi refleksi peribadi saya: Saya tidak mahu pelayanan menjadi “tuhan” saya. Saya tidak mahu hasil menjadi identiti saya. Saya tidak mahu manusia menjadi ukuran nilai saya.


Saya mahu Tuhan tetap menjadi yang pertama bukan hanya dalam kata, tetapi dalam realiti hati.


Dan mungkin soalan yang paling jujur untuk kita renungkan hari ini adalah: Apa yang hati kita paling takut kehilangan? Kerana di situlah biasanya “allah” kita berada.


Kiranya dalam setiap aspek kepimpinan dan pelayanan, kita terus kembali kepada pusat yang sebenar: Tuhan bukan sekadar sebahagian daripada hidup kita Dia adalah segalanya. Oleh Pr Jerry Ignacio Sumber : Whatsapp channel @ jerry ignacio

Comments


bottom of page