Jangan Menghakimi

Slogan yang balik-balik dipakai dan balik-balik diulangi berpotensi kedengaran sebagai kebenaran. Jikalau disuarakan dengan lantang dan dipakai dalam konteks gereja, tidak hairan hal itu dianggap Alkitabiah. Tapi di sanalah bahayanya ketika maksud sebenar sudah terbuang.
"Jangan menghakimi!" ialah salah satu daripada slogan itu. Anak-anak generasi ini sangat suka menggunakan frasa ini, kerana mereka tidak mahu dikritik atau ditegur. Sebarang kata negatif disusuli dengan kenyataan "jangan menghakimi". Don't judge!
Tapi betulkah tidak boleh menghakimi? Betulkah hanya Allah boleh menghakimi? Kalau itu betul, bagaimana para hakim menjatuhkan hukuman? Bagaimana pendakwa raya membuka kes? Bagaimana para pastor menegur dosa pada seseorang individu dalam jemaah? Bagaimana ibu bapa membetulkan kesilapan anak mereka?
Ketika Yesus mengungkapkan kenyataan "Jangan menghakimi", Dia bukan melarang tindakan menghakimi, tetapi sedang melarang sikap menghakimi tanpa usul periksa atau dengan sikap munafik. Justeru Matius 7:1 disusuli dengan Matius 7:2-5 dan 7:24! Menghakimi dengan saksama, dengan adil, tanpa kemunafikan. Bukan tidak boleh menghakimi, tapi menghakimi dengan adil. Dimarahi orang yang mencuri, sedangkan diri sendiri mencuri. Menegur keras orang yang berzina, sedangkan diri sedang berkhalwat dengan kekasih gelap. Sebelum menegur selumbar di mata orang lain, periksa dulu balak di mata sendiri.
Saya rasa lucu bila melintasi kedai Zero, yang menjual alatan senaman, exercise bike, treadmill dan kerusi urut. Semua alatan baik. Tapi tukang jual minta saya beli treadmill sedangkan badannya dua kali besar dari saya — semacam bola pantai! Mahu jual alat senaman, tetapi diri sendiri tidak fit! Demikian mentaliti salah dalam menghakimi.
Jadi menghakimi ialah suatu tanggungjawab moral dan rohani. Menegur ialah tindakan yang wajar. Menyatakan kebenaran tentang salah laku ialah kewajipan. Hanya, periksa diri di cermin ketika melakukannya. Tuhan Yesus tidak melarang tindakan dan perbuatan menghakimi. Dia melarang kemunafikan yang datang dari orang yang cuba menjatuhkan hukuman pada orang lain.
Oleh: Pr. Edmund Kumar
Sumber: Facebook@Pr. Edmund Kumar




Comments