top of page

Keunikan Iman Kristian

Krismas bukan hanya kisah manis yang diucapkan ketika bertukar mesej WhatsApp pada 25 Disember, tetapi lebih dari itu, ia adalah pernyataan radikal tentang siapa Allah sebenarnya.

Firman itu telah menjadi manusia. Bukan idea. Bukan simbol. Bukan metafora.

Cuba kita fikirkan dengan kritis; jika inkarnasi tidak pernah berlaku, maka salib hanyalah cerita dongeng.Tiada penebusan. Tiada penumpahan darah. Dan semua kata-kata tentang “Allah memahami penderitaan manusia” hanyalah kenyataan retorik seperti janji ahli politik semasa pilihanraya yang kedengaran indah, tetapi tidak pernah diuji oleh realiti hidup.

Namun iman Kristian berani membuat tuntutan yang tidak selesa: Allah tidak memerhati manusia dari jauh. Dia masuk ke dalam sejarah.Merasa lapar, letih, disalahfahami, ditolak, dan akhirnya menyerahkan nyawa-Nya.

Inilah keunikan iman Kristian.

Kewujudan Kristus direkod dalam sejarah sekular, dibincangkan dalam kajian akademik, dan diakui bahkan oleh pengkritik Alkitab seperti Bart Ehrman. Firman tidak sekadar berbicara, tetapi, "Dia menjadi". Dan kerana Dia menjadi manusia, penderitaan kita bukan lagi asing bagi-Nya.

Krismas mengingatkan kita bahawa iman ini bukan hanya ideologi,

tetapi Allah yang memilih untuk hadir di tengah dunia yang retak.

Selamat menyambut hari Krismas yang tidak lama lagi. Allah tidak jauh.

Dia pernah datang, dan itu mengubah segalanya. Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah. Dia bersama Allah pada permulaan. Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Daripada segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya. Hidup ada dalam-Nya, dan hidup itu cahaya manusia. Dan cahaya itu bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak menguasainya.


Yohanes 1:1-5


Oleh Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @ edmund kumar

Comments


bottom of page