Konsep Tritunggal Dalam Perjanjian Lama

Orang Kristian kadangkala dituduh menyembah tiga tuhan kerana mempercayai doktrin Tritunggal. Ada pula yang mengatakan ajaran ini direka oleh Rasul Paulus atau dibikin-bikin dalam Konsili Nicea. Namun, apabila kita membaca seluruh kesaksian Alkitab, kita menemukan bahawa asas penyataan tentang Allah Tritunggal sudah berakar dalam Perjanjian Lama.
Iman Kristian mengakui satu Allah dalam tiga Peribadi: Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ketiga-tiganya berbeza sebagai Peribadi, tetapi memiliki hakikat ilahi yang satu dan sama.
Salah satu prinsip penting untuk memahami Alkitab ialah Alkitab menafsirkan Alkitab. Kita membaca setiap ayat dalam konteksnya, kemudian melihat bagaimana kesaksian seluruh firman Tuhan saling menerangkan.
Pertama, Allah itu esa.
Ulangan 6:4 menegaskan bahawa TUHAN itu esa. Inilah dasar yang terus dipegang oleh iman Kristian. Pengakuan tentang Bapa, Anak dan Roh Kudus tidak mengubah kebenaran bahawa hanya ada satu Allah.
Kedua, TUHAN dikenali sebagai Bapa.
Dalam Yesaya 63:16, umat mengakui TUHAN sebagai Bapa dan Penebus mereka. Pengenalan Allah sebagai Bapa sudah terdapat dalam Perjanjian Lama, melalui hubungan-Nya dengan umat yang dikasihi dan dipelihara-Nya.
Ketiga, Roh TUHAN berbicara dengan kewibawaan ilahi.
Dalam 2 Samuel 23:2, Daud menyatakan bahawa Roh TUHAN berbicara melalui dirinya. Ayat berikutnya menyebut bahawa Allah Israel berfirman. Perhatikan kesejajaran ini: Roh TUHAN berbicara, dan Allah Israel berfirman. Perkataan Roh mempunyai kewibawaan firman Allah sendiri.
Keempat, Anak yang dijanjikan disebut “Allah yang Perkasa”.
Yesaya 9:6 -atau 9:5 dalam sesetengah terjemahan - menyatakan bahawa seorang Anak dilahirkan untuk kita. Anak ini menyandang gelaran “Allah yang Perkasa”. Dalam terang penggenapannya dalam Yesus Kristus, kita melihat kesaksian penting tentang keilahian Anak yang datang untuk menyelamatkan kita.
Apabila dibaca bersama, ayat-ayat ini menyediakan asas bagi pemahaman Tritunggal: Allah itu esa; TUHAN dikenali sebagai Bapa; Roh-Nya berfirman dengan kewibawaan ilahi; dan Anak yang dijanjikan menyandang gelaran ilahi. Perjanjian Baru kemudian memperjelas hubungan Bapa, Anak dan Roh Kudus. Kita mengenal penyataan ini dengan semakin terang apabila membaca seluruh Alkitab.
Bagaimana pula dengan tuduhan bahawa Paulus mereka-reka doktrin Tritunggal? Kesaksian tentang Bapa, Anak dan Roh Kudus turut terdapat di luar surat-suratnya. Matius 28:19 mencatatkan perintah Yesus untuk membaptis dalam nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Dalam Yohanes 14–16, Yesus berbicara tentang Bapa yang mengutus-Nya serta kedatangan Roh Kudus. Pengajaran Paulus berdiri bersama kesaksian ini. Ia merupakan sebahagian daripada iman para rasul yang berpusat pada penyataan Allah melalui Yesus Kristus.
Konsili Nicea pula berlangsung pada tahun 325 Masihi. Antara tujuan utamanya ialah menangani pertikaian yang timbul daripada ajaran Arius, yang menganggap Anak mempunyai permulaan kewujudan dan tidak kekal sehakikat dengan Bapa. Konsili itu menolak ajaran tersebut dan menegaskan bahawa Anak “diperanakkan, bukan dijadikan”, serta sehakikat dengan Bapa.
Nicea merumuskan pengakuan gereja untuk mempertahankan keilahian Anak. Asas iman yang dipertahankannya sudah terdapat dalam kesaksian Alkitab dan telah dipegang sebelum konsili itu berlangsung.
Sebagai orang percaya, kita dipanggil untuk mengenal Allah yang kita sembah. Janganlah iman kita hanya bergantung pada apa yang sering disebut orang. Bacalah firman-Nya, telitilah kesaksiannya dan bertumbuhlah dalam pengenalan akan Dia.
Kita menyembah satu Allah - Bapa, Anak dan Roh Kudus. Semakin kita mengenal-Nya melalui firman-Nya (Alkitab), semakin dalam kasih, syukur dan penyembahan kita kepada-Nya.
Oleh: Pr Jubilie Apin
Sumber: Facebook@Jubilie Apin@Pena Rajawali




Comments