Menikmati Firman, Memberkati Sesama
Mengapa orang benar dalam Mazmur 1 begitu menyukai firman Tuhan? Apakah yang mendorongnya merenungkan firman itu siang dan malam? Tidakkah dia bosan?
Jawapannya terletak pada siapa yang ditemuinya melalui firman itu. Dia menikmati Taurat Tuhan bukan kerana dia dapat menghafal nama-nama kitab, hukum-hukum Tuhan, atau tajuk-tajuk teologi dan doktrin. Dia menyukai Taurat kerana melalui firman Tuhan, dia dapat mengenal Peribadi Tuhan, iaitu hati, kehendak dan kerinduan-Nya. Ini sesuai dengan apa yang Tuhan katakan kepada Yeremia, iaitu jika ada yang hendak bermegah, hendaklah orang bermegah kerana dia mengenal dan memahami Tuhan (Yeremia 9:23-24).
Menghafal nama-nama kitab, mengetahui hukum-hukum Tuhan dan memahami pengajaran teologi memang berguna. Namun, pengetahuan itu seharusnya membawa kita semakin mengenal Tuhan dan hidup dekat dengan-Nya. Inilah yang menjadikan firman Tuhan begitu berharga. Melaluinya, kita mengenal Tuhan yang kita percayai, kasihi dan sembah.
Dalam Mazmur 1, perkataan Taurat membawa pengertian pengajaran atau petunjuk Tuhan. Lima kitab Musa, dari Kejadian hingga Ulangan, memperlihatkan kekayaan pengajaran ini. Di dalamnya terdapat hukum-hukum Tuhan, tetapi juga kisah penciptaan, panggilan Abraham dan pembebasan Israel dari Mesir. Semuanya menyingkapkan siapa Tuhan itu dan bagaimana Dia berurusan dengan manusia.
Seruan untuk merenungkan Taurat siang dan malam juga terdapat dalam Yosua 1:8. Yosua diperintahkan supaya merenungkannya dan melakukan apa yang tertulis di dalamnya. Firman perlu memenuhi pemikiran, membentuk sikap hati dan membimbing tindakan kita.
Pada waktu Mazmur 1 ditulis pewahyuan firman Tuhan masih sedang berlaku melalui nabi-nabi sehingga ke zaman Perjanjian Baru melalui para rasul dan orang-orang yang terpilih dan penulisan ini berakhir di kitab Wahyu.
Sebagai orang percaya hari ini, kita menerima seluruh Alkitab, dari Kejadian hingga Wahyu. Kita boleh menerapkan prinsip Mazmur 1 kepada pembacaan seluruh firman Tuhan: membacanya dengan hati yang mahu mengenal Tuhan, merenungkannya dan memberikan respons dalam ketaatan. Baca 2 Timotius 3:16-17.
Siapakah orang benar yang disebut dalam Mazmur 1??
Kisah Abram dalam kitab Kejadian memberikan dasar yang penting. Abram percaya kepada Tuhan, dan Tuhan memperhitungkan hal itu kepadanya sebagai kebenaran (Kejadian 15:6). Rasul Paulus juga berkata kebenaran yang dimilikinya datang melalui iman kepada Kristus, bukannya hasil usahanya sendiri memenuhi hukum Taurat (Filipi 3:9).
Oleh itu, menikmati firman Tuhan ialah buah daripada iman. Kita tidak memperoleh kedudukan benar di hadapan Tuhan kerana rajin membaca Alkitab. Sebaliknya, hati yang percaya kepada Tuhan belajar merindui firman-Nya. Kita mahu mendengar suara Tuhan kerana kita mengenal dan mendalami firman-Nya serta mempercayai-Nya.
Mazmur 1:3 menggambarkan orang ini seperti pohon yang ditanam di tepi aliran air yang menghasilkan buah pada musimnya dan tidak layu daunnya. Kehidupannya mempunyai bekalan untuk bertumbuh. Melalui firman, pemikirannya dibimbing, sikapnya dibentuk dan tindakannya semakin mencerminkan kehendak Tuhan. Dan pertumbuhan itu akhirnya menghasilkan buah.
Maka sebagaimana buah pohon menjadi makanan yang menyegarkan orang lain, demikianlah kehidupan orang yang menikmati firman Tuhan: dia bertumbuh sihat dan matang, lalu menghasilkan buah yang memberkati sesama.
Keluarganya menikmati kasih dan kesabarannya. Gerejanya menerima manfaat daripada kesetiaan dan pelayanannya. Orang yang sedang bergumul mendapat penghiburan melalui perkataannya. Mereka yang memerlukan pertolongan merasakan kepeduliannya melalui tindakan yang nyata.
Marilah kita membaca firman Tuhan (Alkitab) dengan kerinduan untuk mengenal Tuhan. Ketika merenungkan firman-Nya, tanyalah: Apakah yang saya pelajari tentang Tuhan? Apakah sikap hati yang perlu saya ubah? Apakah yang perlu saya lakukan sebagai respons kepada-Nya?
Nikmatilah firman Tuhan, bertumbuhlah dalam pengenalan akan Dia, dan hasilkanlah buah yang dapat dinikmati oleh sesama.
Semoga bermanfaat. Tuhan memberkati kita semua.
Oleh Pr. Jubilie Apin.
Sumber: Facebook@Jubilie Apin@Pena Rajawali.




Comments