top of page

TEGUH SAMPAI AKHIR — APA ERTI SEBUAH KEHIDUPAN YANG SETIA?

17 hours ago
4 min read

Beberapa hari ini saya merenungkan kisah daripada buku Strong to the End: The Simple Service and Sudden Sacrifice of the Martyrs in Haiti. Buku ini membawa saya melihat kembali satu persoalan yang sangat dekat dengan kehidupan dan pelayanan saya: Apakah sebenarnya ukuran sebuah kehidupan yang berjaya di hadapan Tuhan?


Adakah kerana kita hidup lama? Adakah kerana pelayanan kita besar? Adakah kerana ramai orang mengenali kita? Adakah kerana pekerjaan kita berjaya? Atau kerana kita mempunyai kedudukan, pengaruh dan pencapaian yang membanggakan?


Kisah ini membuat saya berfikir lebih dalam. Mereka melayani di Haiti. Mereka melakukan pelayanan yang pada pandangan dunia mungkin kelihatan sederhana, mereka melayani kanak-kanak, gereja, anak-anak muda dan masyarakat setempat. Namun pada 23 Mei 2024, pelayanan mereka berakhir secara mengejut apabila mereka kehilangan nyawa dalam serangan bersenjata. Mereka masih muda. Masih banyak impian. Masih banyak perkara yang mungkin mahu dilakukan.


Sebagai seorang yang terlibat dalam pelayanan, kisah seperti ini sangat menyentuh hati saya. Kerana apabila kita bercakap tentang panggilan Tuhan, kita sering bercakap tentang perkara-perkara yang indah: “Pergilah.”“Layani Tuhan.”“Jadilah berkat.”“Jangkau jiwa.”


Tetapi kita kurang bercakap tentang satu perkara: Panggilan juga mempunyai harga. Tidak semua orang dipanggil menjadi misionari. Tidak semua orang dipanggil pergi ke tempat yang berbahaya. Tidak semua orang dipanggil menjadi pastor atau penginjil.


Tetapi saya percaya kita semua dipanggil kepada satu perkara yang sama: SETIA.


Seorang ibu boleh setia kepada Tuhan dalam keluarganya. Seorang ayah boleh setia melalui tanggungjawabnya. Seorang guru boleh setia melalui cara dia mendidik. Seorang doktor atau jururawat boleh setia ketika menjaga orang sakit.


Seorang pekerja boleh setia melalui integriti dalam pekerjaannya. Seorang usahawan boleh setia melalui cara dia memperlakukan pekerja dan pelanggannya. Seorang pelajar boleh setia melalui pilihan-pilihan kecil setiap hari.


Seorang pastor dan penginjil pula harus terus setia walaupun pelayanan tidak selalu mudah, tidak selalu dihargai dan tidak selalu kelihatan hasilnya. Kerana akhirnya, Tuhan mungkin tidak bertanya: “Berapa ramai orang mengenal namamu?” Tetapi: “Adakah engkau setia dengan apa yang Aku percayakan kepadamu?”


Saya semakin belajar bahawa pelayanan bukan hanya tentang berada di atas pentas. Pelayanan juga berlaku ketika tiada orang melihat. Ketika kita tetap berdoa walaupun letih. Ketika kita tetap mengasihi walaupun disakiti. Ketika kita tetap melakukan yang benar walaupun tiada siapa memuji. Ketika kita tetap hadir untuk seseorang walaupun kita sendiri sedang bergumul. Ketika kita tetap melayani meskipun hasilnya belum kelihatan.


Itulah sebabnya frasa “Strong to the End” — Teguh Sampai Akhir begitu kuat bagi saya. Ramai orang boleh bermula dengan semangat.


Tetapi persoalannya: Bolehkah kita tetap setia ketika perjalanan menjadi panjang? Bolehkah kita tetap percaya ketika doa belum terjawab? Bolehkah kita tetap mengasihi ketika kita dikecewakan? Bolehkah kita tetap melayani ketika tiada penghargaan? Bolehkah kita tetap berjalan bersama Tuhan ketika kehidupan tidak berlaku seperti yang kita rancangkan?


Firman Tuhan berkata: “Aku telah mengakhiri pertandingan yang baik, aku telah mencapai garis akhir dan aku telah memelihara iman.” 2 Timotius 4:7


Ayat ini mengingatkan saya bahawa tujuan kehidupan Kristian bukan sekadar bermula dengan baik, tetapi mengakhiri perjalanan dengan iman yang masih terpelihara.


Ada satu lagi perkara yang sangat menyentuh saya daripada kisah ini. Orang boleh menghentikan seorang pelayan Tuhan, tetapi mereka tidak dapat menghentikan pekerjaan Tuhan. Davy, Natalie dan Judes sudah tidak berada di dunia ini. Namun kisah kehidupan mereka sekarang sedang kedengaran kepada ribuan orang. Mereka tidak lagi berkhotbah dengan suara mereka. Tetapi kehidupan mereka sedang menjadi sebuah khutbah.


Ini membuat saya bertanya kepada diri sendiri: Jika suatu hari nanti suara saya sudah tidak kedengaran, apakah kehidupan saya masih mempunyai sesuatu untuk dikatakan tentang Kristus?


Saya percaya pertanyaan ini bukan hanya untuk mereka yang melayani sepenuh masa. Ia untuk kita semua kerana pada akhirnya kita semua sedang menulis sebuah cerita melalui kehidupan kita, Anak-anak melihatnya, keluarga melihatnya, Rakan sekerja melihatnya, Dan generasi selepas kita mungkin akan mengingatinya. Sebab itu, jangan terlalu sibuk mengejar kehidupan yang kelihatan hebat sehingga kita kehilangan kehidupan yang setia.


Tidak mengapa kalau pelayanan kita kecil. Tidak mengapa kalau nama kita tidak terkenal. Tidak mengapa kalau apa yang kita lakukan tidak pernah jadi berita. kerana kerajaan Allah sering dibangunkan melalui orang-orang biasa yang melakukan perkara sederhana dengan kesetiaan yang luar biasa. Hari ini saya berdoa bukan sekadar: " Tuhan, gunakanlah saya." Tetapi juga: "Tuhan, peliharalah hati saya supaya tetap setia sampai akhir." Kerana mungkin ukuran terbesar sebuah kehidupan bukanlah berapa banyak yang kita miliki ketika kita mati, tetapi siapa kita di hadapan Tuhan ketika kita sampai ke garis akhir.


Jadi kepada siapa sahaja yang sedang membaca tulisan ini sama ada anda seorang anak muda, ibu bapa, pekerja, profesional, pemimpin, pastor, penginjil, pelajar, atau seseorang yang sedang bergumul dengan kehidupan: Jangan menyerah. Jika perjalanan terasa perlahan, tetaplah berjalan. Jika pelayanan terasa berat, tetaplah percaya. Jika manusia tidak melihat apa yang anda lakukan, ingatlah bahawa Tuhan melihat. Jika hidup tidak berjalan seperti yang anda harapkan, jangan kehilangan iman.


kita mungkin tidak tahu berapa panjang perjalanan kita. Tetapi selama Tuhan memberi kita nafas, marilah kita hidup dengan tujuan, melayani dengan kasih dan berjalan dalam kesetiaan. Bukan hanya kuat ketika bermula. Bukan hanya bersemangat ketika semuanya mudah. Teapi tetap TEGUH SAMPAI AKHIR.


"...Hendaklah engkau setia sampai mati, dan Aku akan mengaruniakan kepadamu mahkota kehidupan." Wahyu 2:10b.


Pertanyaan untuk kita renungkan hari ini: Jika kehidupan saya berakhir suatu hari nanti, apakah perkara yang paling saya mahu orang lihat tentang hubungan saya dengan Tuhan? Kiranya kehidupan kita bukan sekadar panjang, tetapi bermakna. Bukan sekadar berjaya di mata manusia, tetapi setia di hadapan Tuhan. - Strong to the End.


Oleh: Pr Jerry Ignacio

Sumber: Facebook@Pr. Jerry Ignacio@Renungan Peribadi.




Comments


bottom of page