Support Us
Support Us
Cari
3189 results found with an empty search
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Bagaimana Kalau Ada "Crush" Sesama Team Praise & Worship?
Kalau ada crush sesama pasukan, contohnya dalam team praise & worship — biasanya kan, kita selalu fikir tentang para penari dan pemuzik, atau yang di bahagian pentas dan gerakan. Selalunya macam tu lah pengalaman saya. Jadi kalau perkara itu berlaku, kita harus kembali kepada ketetapan yang sudah dibuat dalam pelayanan tersebut. Di gereja kami, semua yang melayani — sebelum mereka memulakan hubungan — akan diberi garis panduan terlebih dahulu sebelum mereka mengatakan “ya”. Sudah tentu mereka perlu mempunyai mentor. Harus ada beberapa perkara dalam senarai semak (checklist). Tidak salah kalau mereka yang sama-sama dalam pasukan pelayanan itu jatuh cinta dan ingin membina hubungan yang serius — itu tidak salah. Dalam pasukan kami pun ada yang begitu. Cuma ia mesti dilakukan dengan cara yang betul. Kita tidak mahu kalau hanya sekadar crush, minat yang sementara, dan kemudian bila tidak menjadi, akhirnya timbul kepahitan dan salah seorang merasa terluka. Kita tidak mahu hal seperti itu berlaku. Sebab itu, kalau ada di antara ahli pasukan yang sudah mempunyai hubungan, mereka mesti ada mentor, mesti tunduk kepada pimpinan rohani, dan mesti ada akauntabiliti. Ini perkara yang sangat asas. Kita tidak mahu berlaku hal-hal yang tidak diingini. Tapi yang paling penting, sebagai seorang pelayan, hubungan itu mesti menjadi sesuatu yang baik dan membawa berkat kepada pimpinan mereka. Pastor Wagner Daniel Penafian: Artikel ini telah dijana dan disusun semula menggunakan teknologi AI berdasarkan transkrip asal. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat, lengkap dan menyeluruh, sila rujuk serta tonton video penuh.
- Pembaharuan Pemikiran
Oleh Pr Glenn Zedgar | UPC-KBM
- Jangan Marah Apabila Saudaramu yang Bertaubat Menerima Layanan Istimewa
“Anak sulung itu sangat marah sehingga dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Ayahnya keluar lalu memujuk dia.” Lukas 15:28 AVB Semasa si bapa dan seisi keluarga bersuka ria, anak sulung sedang bekerja di ladang. Apabila dia pulang ke rumah, dia terdengar bunyi muzik dan orang menari-nari. Dia memanggil seorang hamba lalu bertanya, ‘‘Apakah yang sedang berlaku ini?’’ Hamba itu menjawab, ‘‘Adik tuan telah pulang dan bapa tuan telah menyembelih anak lembu yang tambun kerana adik tuan pulang dengan selamatnya.’’ Apabila anak sulung mendengar bahawa adiknya sudah kembali dari negeri yang jauh dan bapanya mengadakan jamuan besar-besaran untuk menyambut kepulangan adiknya, dia menjadi sangat marah sehingga dia tidak mahu untuk masuk ke dalam rumah. Anak sulung menganggap bapanya tidak adil terhadap dirinya. Dia pun mula bersungut dan merajuk terhadap ayahnya kerana naik angin dan iri hati. Bapanya pun keluar lalu memujuk dia. Anak sulung itu berkata, ‘‘Tengoklah, bertahun-tahun aku bekerja untuk ayah. Aku tidak pernah melanggar perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada aku supaya aku dapat bersuka ria dengan sahabat-sahabatku. Namun sepulangnya anak ayah ini yang telah memboroskan harta ayah dengan perempuan-perempuan sundal, ayah menyembelih anak lembu yang tambun untuknya!’’ Akan tetapi, si bapa berkata kepadanya, ‘‘Anakku, engkau ini sentiasa bersama ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu. Kita patut bersuka ria kerana adikmu ini telah mati dan hidup kembali; dia telah sesat dan ditemukan kembali. ” Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apabila kita melihat atau mengetahui bahawa seorang saudara kita bertaubat daripada dosanya lalu kembali kepada Allah dan menerima berkat, apakah respons kita? Janganlah kita cepat marah dan bersikap angkuh seperti anak sulung dalam ibarat Yesus. Dia bukan sahaja tidak mempedulikan dan mengasihi adiknya tetapi juga tidak dapat mengampuni adiknya yang sudah insaf serta bertaubat. Marilah kita menunjukkan belas kasihan dan kasih kurnia kepada orang lain sebagaimana Allah telah melimpahkan belas kasihan dan kasih kurnia kepada kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku sekiranya aku menaruh perasaan yang tidak baik terhadap mereka yang bertaubat daripada dosa mereka. Ajarlah aku untuk menerima mereka sebagaimana Engkau menerima dan menyambut mereka. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Mengatasi Perhambaan Dosa
Oleh Pr Glenn Zedgar | UPC-KBM
- Allah Sangat Gembira Apabila Kita Kembali Kepada-Nya
“ ‘kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali.’ Lalu mereka mula bersuka ria. ” Lukas 15:24 AVB Setelah anak bongsu kembali kepada bapanya, dia berkata kepada bapanya, ‘‘Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut anak ayah.’’ Dengan hati yang sangat gembira si bapa menyambut kepulangannya. Bapa itu menyuruh hamba-hambanya untuk segera mengambil jubah yang terbaik dan memakaikannya kepada anak bongsu selain menyarungkan sebentuk cincin pada jarinya dan memakaikan kasut pada kakinya. Kemudian si bapa menyuruh para hamba memilih dan menyembelih anak lembu yang tambun untuk mengadakan jamuan dan bersuka ria. Alangkah gembiranya hati si bapa sehingga dia menyuruh semua hambanya untuk mempersiapkan jamuan untuk menyambut kepulangan anak bongsunya yang telah meninggalkan dia dan keluarga untuk beberapa lama. Sekembali sahaja anak bongsu ke pangkuannya, hati si bapa dipenuhi dengan sukacita yang tidak terhingga. Jadi si bapa bukan hanya sangat gembira tetapi dia juga ingin berkongsi kegembiraannya itu dengan orang lain. Sebab bagi si bapa kepulangan anaknya itu umpama dia telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali. Si bapa mahu seisi rumah bersuka ria bersamanya. Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh si bapa untuk anak bongsu amat bererti. Jubah terbaik yang dipakaikan kepada anak bongsu menunjukkan si bapa menerima anak bongsu semula sebagai anggota keluarga. Cincin menandakan dia itu anak dan bukannya hamba. Hamba pada zaman itu tidak memakai cincin, kasut atau jubah mahal. Anak lembu yang tambun biasanya hanya disembelih untuk sesuatu peristiwa yang istimewa. Demikian juga dengan hati Allah terhadap kita. Pada masa lalu kita sesat dan hilang kerana dosa-dosa kita telah memisahkan diri kita daripada-Nya. Bagaimanapun, apabila kita bertaubat dan kembali kepada Allah, maka hati-Nya akan dipenuhi dengan sukacita untuk menyambut kita. Sebab pertaubatan kita yang sungguh-sungguh akan sangat menyenangkan hati Allah di syurga. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku sekiranya aku telah menjauhkan diriku daripada-Mu selama ini disebabkan hal-hal duniawi. Bersihkan dan sucikan aku daripada segala dosaku. Pimpinlah aku untuk terus kembali kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Kasih Allah Melampaui Segala-galanya
“Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya.” Lukas 15:20b AVB Anak bongsu memang sangat melukakan hati bapanya dengan tindak-tanduknya. Akan tetapi, apabila anak bongsu itu menyedari dosanya dan kembali kepada bapanya, si bapa dengan penuh belas kasihan menyambut kepulangan anaknya. Dari jauh lagi sewaktu si bapa melihat anaknya kembali, dia berlari menemui anaknya itu, lalu memeluk dan menciumnya. Peristiwa silam yang telah mengecewakan hati si bapa tidak sekali-kali menghalangnya daripada mengasihi anaknya yang pulang dari negeri orang. Cuba bayangkan seorang bapa dengan penuh kasih sayang berlari menuju anaknya lalu memeluk dan menciumnya. Alangkah mengharukan! Si bapa telah melupakan segala yang berlaku. Kasih sejati bapa terhadap anak melebihi segala-galanya dan tidak pernah luntur. Sekalipun anak itu amat mendukacitakan hati si bapa, namun dia tetap mengasihi anaknya tanpa berubah sedikitpun. Demikian juga belas kasihan dan kasih setia Allah kita terhadap diri kita tidak akan lenyap atau pudar. Kasih Allah terhadap kita mengatasi segala-galanya. Dia tidak ingat akan kisah lalu kita kerana Dialah yang menghapuskan segala pelanggaran kita demi diri-Nya sendiri, dan tidak lagi mengingat dosa-dosa kita. Bagi-Nya kita adalah penting dan istimewa. Oleh itu, datanglah kepada Allah dan serahkan hidup kita kepada-Nya kerana Dialah Tuhan yang mengasihi kita. Ingatlah Roma 8:38-39:- “Kerana aku yakin bahawa kematian mahupun kehidupan, para malaikat mahupun para pemerintah, masa kini mahupun masa depan, baik kuasa apa pun, ketinggian mahupun kedalaman, baik apa pun yang lain dalam seluruh ciptaan, tidak akan dapat memisahkan kita daripada kasih Allah yang di dalam Kristus Yesus, Tuhan kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas kasih-Mu kepadaku. Walaupun aku sering kali melukakan hati-Mu, namun Engkau tetap mengasihiku. Bimbinglah aku untuk mengikut jalan-Mu setiap hari. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Penderitaan Menyebabkan Kita Kembali Kepada Allah
“Dia pun kembali kepada bapanya. Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya.” Lukas 15:20 AVB Setelah anak bongsu itu kehabisan wang, bencana kebuluran yang dahsyat berlaku di negeri itu sehingga dia hampir mati kelaparan. Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya. Saat hidupnya sangat menderita, barulah anak bongsu itu teringat akan ayahnya yang mempunyai banyak orang gaji. Mereka mendapat makanan yang berlebihan sampai kenyang. Malangnya, dia di sini menderita hampir mati kerana kelaparan. Penderitaan hidup yang sangat teruk telah menyedarkan anak bongsu akan kehidupan bersama-sama dengan bapanya. Tanpa membuang masa lagi, dia pun membuat keputusan untuk kembali kepada bapanya. Apabila kembali ke pangkuan bapanya, dia akan memiliki segala yang diperlukannya. Marilah kita merenungkan keadaan diri pada saat ini. Apakah hidup bersama Allah lebih baik daripada hidup tanpa Allah atau sebaliknya? Ibarat tentang anak lelaki yang hilang ini memperlihatkan kasih Allah kepada kita. Ketika anak bongsu itu masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Kemudian bapanya memeluk dan menciumnya. Begitu jugalah Allah yang penuh belas kasihan nampak kita dari jauh lagi, berlari menemui kita, lalu memeluk dan mencium kita jika kita memutuskan untuk kembali kepada-Nya. Cepat-cepatlah kembali kepada Allah dan jangan membiarkan keseronokan duniawi membinasakan hidup kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon pengampunan daripada-Mu, kiranya aku berdosa kepada-Mu. Ampunilah aku. Bersihkan dan sucikan aku agar aku tetap memuliakan nama-Mu dalam segala yang aku lakukan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Katakan "Maaf" atas Kesalahan
“ ‘Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya: Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah.’ ” Lukas 15:18 AVB Setelah anak bongsu itu menderita dalam keadaan serba kekurangan, barulah dia amat menyesal. Dia pun sedar akan kesalahannya. Lalu dia bangkit dan memutuskan dalam hatinya bahawa dia akan kembali kepada bapanya dan memohon maaf dengan berkata, “Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah.” Akhirnya, anak bongsu itu menyedari bahawa dia sesungguhnya telah berdosa kepada Allah di syurga dan bukan setakat berdosa kepada bapanya. Permohonan maaf ini merupakan jalan yang terbaik untuk memulihkan hubungan yang sudah retak antara dua pihak selama ini. Permohonan maaf yang sungguh-sungguh dan datang daripada hati yang hancur dan sesal akan memimpin seseorang yang berbuat salah untuk bertaubat dan meredakan rasa bersalahnya. Oleh itu, marilah kita mengikut jejak langkah anak bongsu ini, yang setelah menyedari kesalahannya tidak malu untuk mengakui kesalahannya dan juga rela bertindak segera untuk memohon pengampunan atas kesalahannya itu. Dengan kata lain, menyesal sahaja tidak cukup kerana penyesalan tanpa tindakan yang sewajarnya tidak bermanfaat sama sekali. Selain itu, permohonan maaf tidak sekali-kali merugikan diri kita kerana pihak yang luka hati akan mengampuni kita dan berbaik semula dengan kita. Biarlah kita merendahkan diri untuk memohon maaf apabila kita melukakan perasaan atau melakukan kesalahan terhadap sesiapa pun. Sebab permohonan maaf yang berasal daripada hati yang tulus dan ikhlas, pasti akan mendatangkan pemulihan, pendamaian dan pembaharuan antara dua pihak yang sudah renggang atau putus hubungan. Doa: Ya Bapa yang di syurga, tolonglah aku untuk mengatakan “maaf” sekiranya aku melakukan kesalahan terhadap seseorang. Sucikan hatiku dan bimbinglah aku dalam semua yang aku lakukan setiap hari. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie












