Support Us
Support Us
Cari
3258 results found with an empty search
- Asingkan Dirimu daripada Kejahatan
'Sesiapa yang cuba memelihara nyawanya akan kehilangannya, tetapi sesiapa yang sanggup mengorbankan nyawanya akan menyelamatkannya. ' (Lukas 17:33) AVB Yesus memperingatkan para pengikut-Nya tentang keselamatan mereka bahawa, “Setiap orang yang berjuang untuk mempertahankan nyawanya di dunia ini akan kehilangan nyawanya. Tetapi setiap orang yang rela mengorbankan nyawanya kerana mengikut Aku, dia akan memperoleh hidup yang kekal.” Hal ini bermaksud bahawa para pengikut-Nya perlu menjauhkan diri daripada orang Yahudi dan tidak bekerjasama dengan mereka. Ini kerana tidak ada cara lain untuk mereka menyelamatkan nyawa mereka selain dengan meninggalkan orang-orang Yahudi. Terus bekerjasama dengan orang Yahudi sama sekali tidak akan dapat menyelamatkan diri mereka. Oleh itu, mereka harus membezakan diri mereka daripada orang Yahudi yang tidak percaya kepada Tuhan Yesus dan meninggalkan mereka, termasuk kota serta negeri mereka. Seperti yang dilakukan oleh Nuh, dia meninggalkan bangsa yang jahat lalu masuk ke dalam bahtera, dan seluruh keluarganya diselamatkan. Demikian juga dengan Lot yang melarikan diri ke Zoar untuk menyelamatkan diri daripada kemurkaan Tuhan terhadap kota Sodom dan Gomora. Tuhan ingin memusnahkan kota itu kerana kejahatan yang menguasai kehidupan ramai orang di sana. Oleh itu, Lot harus meninggalkan Sodom, kemudian api dan belerang turun dari langit dan membinasakan kota itu. Demikian juga dengan kita pada hari ini, kita harus mengasingkan diri daripada orang-orang yang menolak Tuhan dalam kehidupan mereka. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk mengendalikan seluruh kehidupanku supaya aku sentiasa memuliakan dan meninggikan nama-Mu dalam segala perkara yang aku lakukan. Pada waktu kedatangan-Mu, biarlah aku bersama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Kenalilah Waktu-Nya
'Kemudian Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Masanya akan datang apabila kamu ingin melihat salah satu hari Anak Manusia, tetapi kamu tidak dapat melihatnya. ' (Lukas 17:22) AVB Kemudian Yesus berkata kepada para pengikut-Nya bahawa akan datang satu masa di mana mereka akan sangat merindukan kehadiran-Nya, dengan harapan alangkah baiknya sekiranya Yesus kembali pada hari itu untuk memerintah sebagai Anak Manusia. Namun, hal itu tidak akan terjadi lagi. Para pengikut-Nya tidak menyedari bahawa waktu-Nya telah tiba, bahawa kerajaan Allah sudah didirikan, tetapi mereka tidak melihatnya. Maka, pada masa yang akan datang, mereka akan sangat merindukan kehadiran-Nya untuk kembali memerintah sebagai Anak Manusia, namun semuanya tidak akan berlaku. Oleh itu, mereka perlu sedar bahawa waktunya telah tiba, kerajaan Allah sedang berkuasa di antara mereka. Maka, mereka harus bekerja dengan lebih tekun lagi, walaupun akan menghadapi pelbagai tentangan dan halangan dalam melaksanakan pekerjaan-Nya, kerana waktunya telah tiba untuk kerajaan Allah berkuasa ke atas semua orang. Mereka juga perlu menggunakan waktu yang ada dengan sebaik-baiknya, supaya apabila masa itu berlalu, mereka telah memanfaatkan setiap kesempatan yang diberikan dengan bijaksana. Demikian juga dengan kita pada hari ini, janganlah kita menjadi buta dan lalai terhadap kesempatan yang telah disediakan bagi kita sekarang. Sekiranya kita tidak mengenal dan menggunakan waktu yang ada pada masa ini, mungkin apabila kita sedar kelak, semuanya telah berlalu. Dan pada saat itu, apabila kita ingin mengalaminya, waktunya sudah pun berlalu. Oleh itu, kenalilah waktunya, agar kita tidak menyesal di kemudian hari. Doa: Ya Bapa yang di syurga, berikanlah aku kepekaan terhadap waktu-Mu dalam segala perkara yang aku lakukan, supaya dalam setiap hal aku benar-benar menggunakan masa itu dengan sebaik-baiknya. Inilah aku, pakailah aku menurut kehendak-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Kerajaan Allah Itu Bersifat Rohani
'Terdapat beberapa orang Farisi bertanya kepada Yesus bila kerajaan Allah akan datang dan Yesus menjawab, “Kerajaan Allah tidak datang dengan tanda-tanda yang dapat dilihat. ' (Lukas 17:20) AVB Pada suatu hari, beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan bertanya kepada-Nya, bilakah Kerajaan Allah akan datang. Yesus menjawab mereka, “Kerajaan Allah tidak datang dengan tanda-tanda yang dapat dilihat. Tiada orang akan berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau ‘Lihatlah di sana!’ kerana kerajaan Allah sebenarnya ada di dalam kamu.” Bagi bangsa Yahudi, kerajaan Allah yang akan datang difahami sebagai kerajaan yang bersifat duniawi, sebuah kerajaan sementara yang akan meninggikan bangsa Yahudi di atas segala bangsa di bumi ini. Namun, apa yang mereka bayangkan itu sangat berbeza dengan maksud kerajaan yang dimaksudkan oleh Yesus. Kerajaan Allah yang dimaksudkan oleh Yesus bukanlah kerajaan duniawi yang bersifat sementara atau lahiriah, tetapi kerajaan yang bersifat rohani, kerajaan yang tidak mempunyai tanda-tanda lahiriah seperti kerajaan-kerajaan dunia ini. Kerajaan Allah yang ingin Yesus dirikan di antara manusia ialah kerajaan yang berkuasa untuk mempengaruhi jiwa, membangkitkan dan membaharui hati nurani mereka melalui kuasa-Nya. Oleh itu, marilah kita membuka hati agar Kerajaan Allah memerintah dalam kehidupan kita, kerana pemerintahan-Nya akan mengubah hidup kita menjadi seseorang yang penuh kasih, sukacita, damai sejahtera, sabar, murah hati, baik terhadap orang lain, setia, rendah hati, serta sanggup menguasai diri. Doa: Ya Bapa yang di syurga, inilah aku. Ajarlah aku untuk membuka hati kepada-Mu, agar kerajaan-Mu terus berkuasa dalam hidupku dan mengubah keperibadianku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Kembalikan Segala Puji kepada Tuhan
'Tiadakah seorang pun didapati kembali untuk memberikan pujian kepada Allah kecuali orang bangsa asing ini?” ' (Lukas 17:18) AVB Setelah salah seorang daripada sepuluh orang yang menghidap penyakit kulit yang teruk menyedari bahawa dia telah menerima kesembuhan daripada Yesus, dia pun datang kepada Yesus untuk mengucap syukur kepada Allah. Maka Yesus bertanya kepadanya: 'Yesus bertanya, “Bukankah sepuluh orang telah ditahirkan? Di manakah sembilan orang lagi? Tiadakah seorang pun didapati kembali untuk memberikan pujian kepada Allah kecuali orang bangsa asing ini?” ' Orang yang disembuhkan oleh Yesus daripada penyakit kulit yang mengerikan itu ialah seorang asing, dengan kata lain, dia bukan daripada golongan orang Yahudi tetapi seorang Samaria. Walaupun orang Samaria dianggap najis dan berdosa oleh orang Yahudi, namun dia tahu bersyukur kepada Allah. Dia kembali kepada Yesus kerana dia sedar bahawa kesembuhannya terjadi oleh kuasa Yesus. Oleh itu, dia datang kepada Yesus dan mengucap syukur kepada-Nya, sebab dia tahu bahawa kesembuhan yang dialaminya datang daripada Tuhan. Orang yang dianggap najis dan berdosa oleh masyarakat Yahudi itu sebenarnya menunjukkan hati yang tahu bersyukur kepada Allah atas apa yang Tuhan telah lakukan dalam hidupnya. Dia tahu menghargai kasih dan kuasa Tuhan yang telah memulihkan dirinya. Kebenarannya ialah, ramai orang yang telah menerima belas kasihan Tuhan, namun hanya sedikit yang kembali untuk mengucap syukur kepada-Nya dengan hati yang benar. Oleh itu, bagaimana pula dengan kita pada hari ini? Adakah kita sedar bahawa segala yang kita terima dan alami dalam hidup ini datangnya daripada Tuhan? Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dengan hati yang bersyukur atas segala yang telah Engkau lakukan dalam hidupku. Segala yang aku miliki datangnya daripada-Mu. Ajar aku untuk sentiasa bersyukur kepada-Mu dalam setiap perkara. Terima kasih, Tuhan, atas kebaikan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Banyak yang Diberkati tetapi Sedikit yang Bersyukur
'Yesus bertanya, “Bukankah sepuluh orang telah ditahirkan? Di manakah sembilan orang lagi? ' (Lukas 17:17) AVB Ketika Yesus melihat salah seorang daripada sepuluh orang yang menghidap penyakit kulit yang teruk datang kepada-Nya setelah menyedari bahawa dia telah disembuhkan daripada penyakitnya, Yesus bertanya kepadanya, “Bukankah sepuluh orang telah ditahirkan? Di manakah sembilan orang lagi?" Yesus bertanya demikian kerana jumlah mereka yang datang memohon kesembuhan daripada-Nya ialah sepuluh orang, namun hanya seorang sahaja yang kembali untuk mengucap syukur kepada Tuhan. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa ramai orang telah menerima berkat daripada Tuhan, tetapi hanya sedikit yang datang untuk bersyukur kepada-Nya. Ini juga membuktikan bahawa hanya mereka yang benar-benar menyedari bahawa mereka telah diselamatkan akan bertindak untuk datang dan mengucap syukur, kerana mereka tahu bahawa segala sesuatu berlaku disebabkan oleh Tuhan. Kepekaan terhadap perkara-perkara rohani hanya dimiliki oleh seseorang yang benar-benar percaya kepada Tuhan dengan sepenuh hatinya. Seseorang yang tidak sepenuhnya percaya kepada Tuhan dalam hidupnya pasti tidak peka terhadap anugerah Tuhan yang sedang berlaku dalam hidupnya. Itulah sebabnya ada orang yang beranggapan bahawa segala yang berlaku dalam hidupnya hanyalah hasil usahanya sendiri atau sekadar kebetulan. Oleh kerana itulah dia sukar untuk mengucap syukur kepada Tuhan, hatinya tidak peka terhadap pekerjaan Tuhan dalam hidupnya. Sebaliknya, orang yang sedar bahawa segala yang terjadi dalam hidupnya berlaku kerana pekerjaan Tuhan akan sentiasa bersyukur kepada-Nya. Bagi dirinya, tanpa Tuhan, tiada apa pun yang akan terjadi. Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas anugerah-Mu yang besar dalam hidupku. Oleh kerana Engkau, aku dapat mengalami segala perkara dalam kehidupan ini. Sedarkanlah aku bahawa segala sesuatu berlaku kerana Engkau. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Pengucapan Syukur, Penyataan Hati Kita kepada Tuhan
'Seorang daripada mereka ketika melihat dirinya sembuh, kembali dan memuji Allah dengan suara yang kuat. ' (Lukas 17:15) AVB Ketika salah seorang daripada sepuluh orang yang menghidap penyakit kulit yang teruk menyedari bahawa dirinya telah sembuh, dia segera berpatah balik kepada Tuhan Yesus untuk mengucap syukur. Dia sedar bahawa kesembuhan yang dialaminya datang daripada Tuhan. Oleh kerana kesedaran akan siapa dirinya dan siapa Tuhan yang menyembuhkannya, dia kembali kepada Yesus untuk menyatakan rasa syukur atas apa yang telah terjadi dalam hidupnya. Dia tahu bahawa hanya Tuhan sahaja yang berkuasa menjadikan segalanya berlaku. Kesedaran inilah yang mendorongnya untuk datang kepada Tuhan terlebih dahulu, sebelum meneruskan perjalanannya untuk diperiksa oleh imam bagi pengesahan kesembuhan. Pengucapan syukurnya kepada Tuhan Yesus merupakan hal yang sangat penting baginya, melebihi perkara-perkara lain. Sikap bersyukur adalah suatu penyataan dalaman seseorang tentang betapa dia menghargai segala yang diterima dalam hidup ini. Hal ini juga merupakan tanda pengakuan dan penyataan hati kita kepada Tuhan, bahawa kita benar-benar menghargai segala yang telah dilakukan-Nya dalam hidup kita. Kita mengakui bahawa segala yang kita terima dan alami dalam kehidupan ini datangnya daripada Tuhan. Oleh itu, selama Tuhan hidup dalam kehidupan kita, kita hendaklah sentiasa mengucap syukur kepada-Nya dalam segala perkara, agar kita tidak pernah melupakan-Nya. Kita perlu sentiasa menyedarkan diri bahawa segala yang kita miliki dan alami dalam hidup ini datang daripada Tuhan. Dengan kesedaran itu, kita akan terus hidup dalam rasa syukur kepada-Nya sepanjang kehidupan kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk sentiasa mengucap syukur dalam hidup ini. Sedarkanlah aku bahawa segala yang aku miliki dan alami datangnya daripada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia












