Support Us
Support Us
Cari
3189 results found with an empty search
- Apakah Kita Bersiap Lengkap untuk Menjadi Murid Yesus?
“Begitu juga sesiapa antara kamu yang tidak meninggalkan segala miliknya, tidak boleh menjadi murid-Ku.” Lukas 14:33 AVB Setelah Tuhan Yesus menggunakan dua ibarat untuk menjelaskan tuntutan terhadap seseorang yang ingin menjadi murid-Nya, Dia pun membuat kesimpulan kepada orang ramai, "Begitu juga sesiapa antara kamu yang tidak meninggalkan segala miliknya, tidak boleh menjadi murid-Ku.” Apakah yang dimaksudkan dengan “meninggalkan segala miliknya”? Hal ini merujuk kepada tindakan yang harus diambil oleh seseorang yang mahu menjadi murid Yesus. Dia kena rela berkorban atas segala-galanya, seperti menyerahkan seluruh harta bendanya atau bersedia untuk meninggalkan semua hak pemilikannya demi Yesus atau tidak lagi gila harta sehingga sanggup melepaskan semua yang ada padanya untuk mengikut Yesus. Nyatalah bahawa sebagai murid Yesus, seseorang itu dituntut untuk berkorban dengan melepaskan segala-galanya demi mengikut Yesus. Dengan kata lain, keutamaannya haruslah pada Yesus sahaja dan bukan pada dirinya. Sebab sekiranya Yesus tidak menjadi keutamaan dalam dirinya, maka dia tidak dapat melayani Yesus dengan sepenuh jiwa raganya. Marilah kita meninggalkan segala-galanya untuk menjadi murid Yesus dengan sepenuh hati dan bukan dengan separuh hati. Sebab hati yang berbelah bahagi akan menyebabkan kita tidak berkomitmen dengan taat setia. Murid Yesus tidak semestinya hidup miskin dan langsung tidak ada harta benda. Sebaliknya, kita hendaklah menganggap semua yang ada pada kita bukan lagi hak milik kita melainkan diberikan dan diamanahkan oleh Allah kepada kita demi kemuliaan-Nya. Apakah kita bersiap lengkap untuk menjadi murid Yesus yang sejati? Doa: Ya Bapa yang di syurga, inilah aku. Pakailah aku sebagai alat-Mu. Ajarlah aku untuk berserah dan bergantung sepenuhnya pada-Mu agar aku menjadi murid-Mu yang baik dan memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Janji Allah Yang Membaharui
Oleh Pr Glenn Zedgar | UPC KBM
- Bagaikan Tanah Kering
Oleh Pr Delly Amera
- Buat Pertimbangan yang Baik untuk Mempersiapkan Diri
“Jika seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak keluar berperang dengan raja lain yang membawa dua puluh ribu orang askar untuk menyerangnya, dia akan mempertimbangkan dahulu sama ada dia cukup kuat untuk menentang raja tersebut.” Lukas 14:31 AVB Tuhan Yesus berkata kepada orang ramai bahawa sewaktu mereka memilih untuk menjadi murid-Nya, mereka adalah seperti seorang raja yang hendak pergi berperang. Jika raja itu mempunyai sepuluh ribu orang askar tetapi dia hendak keluar bertempur dengan raja lain yang membawa dua puluh ribu orang askar untuk menyerangnya, dia akan mempertimbangkan terlebih dahulu sama ada dia cukup kuat untuk menentang raja tersebut. Kalau dia tidak dapat berbuat demikian, dia akan memerintah utusan-utusannya untuk bertanyakan syarat-syarat perdamaian semasa musuhnya masih jauh lagi. Dengan kata lain, raja itu awal-awal lagi harus membuat pertimbangan tentang risiko atau kesulitan yang harus dihadapinya sebelum mula berperang. Pertama sekali, dia mesti memperhitungkan kekuatan pasukan askarnya. Jika dia bertarung dengan pihak lawan yang memiliki askar dua kali ganda lebih banyak daripadanya, dia tentu mengalami risiko besar untuk dikalahkan dan dibinasakan. Seandainya raja itu sedar bahawa dia tidak dapat menang, lebih baik dia menghantar utusan untuk membuat rundingan damai. Tindakan begitu akan mengelakkan kekalahan dan kerugian besar walaupun dia perlu merendahkan diri sebelum betul-betul dicabar. Demikianlah halnya dengan seseorang yang ingin mengikut Tuhan Yesus. Sebab kehidupan orang yang percaya kepada Yesus boleh diumpamakan sebagai perang rohani yang harus dihadapi. Oleh itu, sebagai orang percaya, kita harus membuat pertimbangan yang baik sebelum kita bertindak. Yesus bukannya memberitahu kita untuk mengelak daripada menjadi murid-Nya tetapi kita hendaklah memahami pengorbanan yang perlu ditanggung. Sebagaimana raja yang keluar berperang membuat pertimbangan terlebih dahulu, seorang bakal murid Yesus juga harus menilai komitmen dirinya kepada Yesus. Sebagai askar Kristus, kita perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya sama ada kita dapat bertahan dalam segala kesusahan atau cabaran yang perlu kita tempuhi apabila kita berperang melawan kuasa-kuasa jahat di dunia ini. Ingatlah bahawa “kita berlawan bukan dengan darah dan daging, tetapi dengan para penghulu dunia daripada kegelapan zaman ini, para pemerintah dan penguasanya, dan tentera roh iblis di udara.” (Efesus 6:12 AVB) Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Ajarlah aku untuk membuat pertimbangan yang baik menurut kehendak-Mu sebelum aku mengambil sesuatu tindakan dalam hidup ini. Teguhkan imanku agar aku dapat berlari dengan gigih dalam perlumbaan hidup yang ditentukan bagiku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Hati Yang Penuh Damai
Oleh Pr Glenn Zedgar | UPC-KBM
- Bermula dengan Baik, Berakhir dengan Baik juga
“ ‘Orang ini telah memulakan pembinaan itu, tetapi tidak dapat pula menyiapkannya.’ ” Lukas 14:30 AVB Yesus memberitahu setiap orang yang ingin mengikut-Nya bahawa mereka perlu membuat perhitungan terlebih dahulu, sebagaimana seorang yang mahu membina sebuah menara menganggarkan perbelanjaannya. Lebih elok lagi kalau dia dapat menyediakan perbelanjaan yang lebih banyak daripada apa yang dianggarkannya. Jika dia sudah meletakkan asas menara itu tetapi tidak dapat menyiapkan pembinaannya, semua orang yang melihat hal itu akan mengejeknya. Sebab dia memulakan pembinaan tetapi tidak dapat menyudahkannya. Malulah dia nanti. Demikian juga dengan seseorang yang ingin mengikut Yesus. Dia perlu membuat perhitungan yang sangat baik sebelum memulakan perjalanan hidup barunya. Sebab sekiranya dia tidak membuat perhitungan dengan semasak-masaknya, takut nanti perjalanan hidup berasaskan imannya terhenti setengah jalan. Sudah tentulah hal ini amat merugikan dirinya. Tegasnya, seseorang yang ingin mengikut Tuhan Yesus perlu membuat perhitungan dengan bersungguh-sungguh agar dia dapat mengakhiri perlumbaan hidupnya sebagai murid Yesus dengan baik sekali. Sebab perhitungan yang dibuat dengan tergesa-gesa akan menyebabkan hidup rohani seseorang itu terkandas. Betapa pentingnya kita memulakan perjalanan hidup sebagai murid Tuhan Yesus yang baik dengan mengingati ibarat Yesus tentang orang yang ingin membina sebuah menara. Setiap murid Yesus harus bersiap sedia untuk menanggung pengorbanan peribadi dan memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada-Nya. Seperti pepatah yang berbunyi, “Bermula dengan baik dan berakhir dengan baik juga” dan janganlah sebaliknya, “Bermula dengan baik, tetapi berakhir dengan teruk”. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk membuat perhitungan yang baik apabila aku memutuskan untuk menerima Tuhan Yesus sebagai Penyelamatku dan menjadi murid-Nya. Biarlah segala-galanya bermula dengan baik dan berakhir dengan baik juga. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Bila Tuhan Mengizinkan Badai & Pergumulan
Adakalanya Tuhan sengaja mengizinkan kita melalui ribut badai dalam kehidupan. Tujuannya bukan untuk menjatuhkan kita, tetapi supaya situasi itu akhirnya membawa kemuliaan bagi nama-Nya. Kisah ini kita boleh lihat dalam Kisah Para Rasul fasal 27 dan 28 . Pada waktu itu, Rasul Paulus sedang dalam perjalanan ke Rom untuk diadili di hadapan Kaisar. Namun, dalam perjalanan, kapal yang dinaikinya karam akibat badai besar, dan mereka semua terdampar di Pulau Malta. Di pulau itu, ketika mereka sedang mengumpulkan kayu api, Paulus digigit ular berbisa. Orang-orang di pulau tersebut tahu betapa bahayanya ular itu, dan mereka yakin Paulus tidak akan lama hidup. Namun mujurlah, kuasa Tuhan dinyatakan. Paulus tidak mati, malah hal itu menjadi kesempatan baginya untuk bersaksi tentang kebesaran Tuhan. Lebih daripada itu, Paulus berdoa untuk bapa kepada gabenor Malta yang sakit, dan melalui peristiwa ini, Injil diberitakan kepada orang-orang di Malta. Apa yang kelihatan seperti bencana besar akhirnya menjadi jalan untuk menyatakan kasih Tuhan. Inilah yang perlu kita renungkan: kadangkala apabila kita menghadapi masalah, kita terus beranggapan, “Pasti ada sesuatu yang salah saya lakukan.” Tetapi tidak semestinya begitu. Masalah atau badai dalam hidup kita bukan semata-mata tanda kegagalan, sebaliknya boleh menjadi peluang untuk Tuhan dipermuliakan. Daripada mengeluh atau menyalahkan diri, kita seharusnya bertanya kepada Tuhan: “Tuhan, bagaimana nama-Mu dapat dimuliakan melalui situasi ini?” “Bagaimana saya boleh menjadi saksi tentang kebaikan-Mu melalui cabaran ini?” Belajarlah daripada Rasul Paulus. Meskipun badai menimpa, meskipun digigit ular, Tuhan tetap menggunakan hidupnya untuk menyampaikan Khabar Baik. Demikian juga kita—dalam apa jua ribut kehidupan, Tuhan tetap berdaulat, dan Dia sanggup memakai situasi itu untuk membawa kemuliaan kepada nama-Nya. Pastor Wagner Daniel Penafian: Artikel ini telah dijana dan disusun semula menggunakan teknologi AI berdasarkan transkrip asal. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat, lengkap dan menyeluruh, sila rujuk serta tonton video penuh.
- Hati Yang Mengasihi Seperti Kristus
Oleh Pr Glenn Zedgar | UPC-KBM












