top of page

Cari

3189 results found with an empty search

  • Gereja Yang Memuridkan

    Oleh Pr Petrus Matias

  • Jadilah Garam Bumi Kepada Semua Orang

    Sewaktu Tuhan Yesus memanggil beberapa orang nelayan untuk menjadi murid-Nya, Dia memberitahu mereka bahawa mereka tidak lagi menjala ikan tetapi akan menjala manusia. Hal ini bermaksud bahawa mereka akan melanjutkan rancangan-Nya bagi manusia di dunia ini dengan mengkhabarkan Injil supaya mereka akan mempercayai Tuhan Yesus.   Untuk menggenapi rancangan-Nya di dunia ini, maka para murid dan pengikut-Nya haruslah menjadi garam bumi kepada dunia ini. Dengan kata lain, melalui para pengikut-Nya individu yang belum percaya kepada Tuhan Yesus akan turut mengenal-Nya dan bertaubat lalu  diselamatkan.   Apabila para murid dan pengikut Tuhan Yesus menjadi garam bumi kepada dunia ini, maka mereka hendaklah memainkan peranan, seperti garam yang digunakan sebagai perasa dan pengawet. Orang percaya digesa untuk membawa “rasa” yang baik, segar, aman sejahtera dan selamat kepada orang lain yang ada di sekeliling. Selain itu, mereka juga akan “mengawetkan” keadaan di tempat mereka berada demi mengurangkan atau membasmi kejahatan, seperti garam mengawetkan daging supaya tidak menjadi busuk.   “Kamu ialah garam bumi. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang.” (Matius 5:13 AVB)   Bagaimanakah dengan diri kita hari ini? Adakah kehadiran kita di tengah-tengah orang di sekeliling kita akan menyebabkan mereka berasa baik, aman sejahtera dan selamat?  Sebab sekiranya kita menjadi garam bagi dunia ini, maka kita harus menjadi teladan iman yang jelas kelihatan menjalani hidup yang memancarkan kasih dan kebenaran Allah demi kemuliaan Allah.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, pakailah hidupku sebagai alat-Mu yang membawa rasa baik, aman sejahtera dan selamat kepada orang lain. Ajarlah aku untuk menjadi murid-Mu yang sungguh-sungguh memberikan berkat dan kebaikan kepada orang di sekelilingku supaya mereka akan mengenal Engkau serta percaya kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Hari 26: Dosa Yang Pertama

    Tarikh: 1 September 2025 Ayat Fokus: Kejadian 2:16-17 dan Kejadian 3 Bayangkan kamu mendapat tiket percuma ke Disneyland yang boleh digunakan selama-lamanya! Dengan pas ini, kamu boleh melangkau semua barisan, menaiki setiap permainan, dan menikmati semua makanan, ais krim, dan gula-gula yang kamu mahukan. Tetapi ada satu peraturan: jangan sekali-kali menaiki permainan Free Falling Ride . Sebagai seorang yang degil, apabila diberitahu jangan melakukan sesuatu, keinginan untuk mencubanya semakin kuat. Jadi, kamu pun menyelinap masuk ke permainan itu. Di pertengahan perjalanan, malapetaka berlaku! Kamu mula berasa pening dan muntah, mencemarkan kawasan sekeliling. Pengendali permainan tidak senang hati dan terpaksa menarik balik tiket kamu kerana kamu telah melanggar satu-satunya peraturan yang diberikan. Akhirnya, kamu diusir keluar dan tidak dibenarkan kembali ke taman hiburan itu! Dalam Kejadian 3, Adam dan Hawa hanya diberikan satu peraturan di Taman Eden: jangan makan buah dari pokok pengetahuan mengenai perkara yang baik dan yang jahat. Namun, mereka melanggar perintah itu, dan dosa pun memasuki dunia. Oleh kerana Allah itu kudus dan tidak boleh mendekati dosa, Adam dan Hawa diusir keluar dari Taman Eden. Allah tidak menghantar kita ke Neraka kerana Dia mahu, tetapi dosa kita memisahkan kita daripada-Nya, dan setiap dosa layak menerima hukuman. Namun, Allah juga penuh dengan kasih. Dia mengutus Yesus untuk mati di kayu salib bagi menanggung hukuman kita, supaya kita dapat diampuni dan dikuduskan. Yesus adalah satu-satunya jalan untuk kembali kepada Allah. Allah menawarkan keselamatan melalui-Nya, tetapi terpulang kepada kita sama ada mahu menerima Yesus sebagai Juruselamat atau tidak. Renungkan: Sebutkan beberapa perkara yang Tuhan telah perintahkan untuk dilakukan atau tidak dilakukan. Adakah anda melakukannya? Doa Hari Ini: Ya Bapa kami yang di Syurga, Engkau adalah Allah Maha Adil. Saya telah sering tidak setia dalam hidup saya. Dengan rendah hati saya memohon pengampunan Mu. Terima kasih atas kasih kurnia dan belas kasihan-Mu yang tidak berkesudahan. Dalam nama Yesus Kristus, Tuhan kami. Amin. Gereja: Berdoa dapat menjaga dan menggunakan masa, wang, bakat, dan anugerah lain yang diberikan Tuhan dengan baik, supaya Tuhan menerima pujian dan kemuliaan. (Baca 1 Petrus 4:10) Bangsa: Berdoa agar rakyat Malaysia yang bekerja memahami kepentingan keseimbangan antara kerja dan kehidupan, supaya mereka tidak terlalu sibuk dengan kerja hingga mengabaikan keluarga, kesihatan, dan masa rehat mereka.

  • DOA NECF Hari 26: Mengenali Kedaulatan Tuhan

    Kitab Suci: Amsal 1:7 “Takut akan TUHAN adalah permulaan pengetahuan, tetapi orang bodoh menghina hikmat dan didikan.” Hormat kepada Tuhan membangun dasar yang kukuh untuk kehidupan. Takut akan-Nya bererti mengakui kuasa-Nya di setiap aspek, membuka pintu kepada kebijaksanaan dan kejelasan ilahi. Saya teringat sebuah projek tekanan tinggi di awal kerjaya kejuruteraan saya. Pelanggan semakin khuatir tentang penundaan, sementara keyakinan kontraktor merosot kerana kesilapan sebelumnya. Dipercayakan dengan projek tersebut, saya berasa terbeban dan beralih ke Amsal 9:10: “Permulaan hikmat adalah takut akan TUHAN” Mencari bimbingan Tuhan dalam doa membawa kejelasan, memulihkan hubungan yang tegang, dan menuntun kepada kejayaan. Pengalaman ini mengajar saya bahawa hormat kepada Tuhan menambat kita dalam hikmat-Nya, memperlengkapkan kita untuk menghadapi tantangan dengan keyakinan. Semasa kita meneruskan perjalanan doa dan puasa selama 40 hari ini, mengakui kedaulatan Tuhan mengingatkan kita untuk mempercayai pimpinan-Nya, dengan mengetahui bahawa rencana-Nya selalu untuk kebaikan kita. Renungkan: Apakah anda mengizinkan takut akan Tuhan membimbing keputusan anda, atau apakah anda bersandar pada pengertian anda sendiri? Doa Hari Ini: Bapa Surgawi, saya tunduk kepada kedaulatan-Mu. Ajar saya untuk berjalan dengan penuh hormat dan mempercayai hikmat-Mu melebihi rancangan saya. Kiranya puasa dan doa-doa saya mendekatkan saya pada kehendak-Mu. Dalam Nama Yesus, Amin. Berdoalah agar kita, sebagai orang percaya Kristus, akan menjadi pengurus yang baik atas sumber daya, karunia, dan talenta yang telah kita terima daripada Tuhan, sehingga semua perkara ini akan digunakan untuk melayani Tuhan dan memberikan kemuliaan kepada-Nya. (1 Petrus 4:10) Tinjauan keseimbangan hidup dan kerja 2023 yang dilakukan oleh Remote, sebuah syarikat sumber manusia, menunjukkan bahawa Malaysia berada di kedudukan 59 dari 60 buah negara dalam tinjauan tersebut, dengan hanya 27.51% warga Malaysia yang menikmati keseimbangan kehidupan kerja. Berdoalah agar kedua-dua majikan dan pekerja tahu bagaimana untuk mencapai keseimbangan yang tepat, untuk mengurangi masalah seperti keletihan, depresi, dan penyakit lain. Rev Datuk Jerry Dusing

  • Doa Puji Harian

    Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia

  • Jadilah Teladan Kepada Orang di Sekeliling Kita

    Timotius merupakan pastor muda yang melayani jemaah di Efesus. Memandangkan dia masih setahun jagung, maka tidak hairanlah akan timbul pelbagai kekangan dan halangan dalam pelayanannya kepada jemaah di Efesus.     Syukurlah, Paulus  yang merupakan mentor atau pembimbing Timotius menasihatinya supaya dia tidak membiarkan sesiapa pun untuk memperlakukan dirinya seolah-olah dia tidak penting. Jadi, dia haruslah pertama-tama menjadi teladan kepada semua orang  beriman, iaitu bagaimana mereka patut hidup mengikut cara dia bertutur dan bertindak laku dengan kasihnya,  imannya serta kesuciannya.   Paulus memberitahu Timotius bahawa ukuran untuk melayani Tuhan Yesus tidak terletak pada umur tetapi teladan yang baik melalui tutur katanya untuk mendorong saudara seiman, tingkah lakunya yang memperlihatkan kejujuran dan perbenaran, kasih serta belas kasihannya kepada orang lain, hidup suci lagi beriman kepada Kristus dengan menahan godaan dan mentaati perintah Allah. Semua ini akan menjadi kunci kepercayaan orang lain terhadap dirinya untuk melayani Tuhan Yesus.   Oleh itu, jadilah teladan yang baik semasa kita bersama-sama saudara-mara kita  menyambut perayaan Gawai pada tahun ini, agar semua orang yang melihat diri kita akan memuliakan Allah lalu ingin percaya kepada Tuhan Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka.   “Jangan biarkan sesiapa menghinamu kerana usiamu yang muda. Jadikan dirimu teladan kepada semua orang beriman dari segi kata-kata, kelakuan, kasih, iman dan kesucian.” (1 Timotius 4:12 AVB)   Ada pepatah yang berbunyi “perbuatan kita sebenarnya jauh lebih bermakna daripada tutur kata kita”. Ada orang boleh bercakap berdegar-degar tetapi cuma cakap kosong dan tiada tindakan.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menjadi teladan yang baik semasa aku bersama-sama saudara-maraku yang belum percaya kepada Tuhan Kristus atau saudara seiman, agar  nama-Mu sentiasa dimuliakan dan hidupku menjadi saluran berkat. Dalam nama Tuhan Yesus Kristus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • DOA NECF Hari 25: Menyahut Panggilan

    Baca: Yesaya 6:8 Pada tahun kematian Raja Uzia, Yesaya diberi penglihatan tentang Tuhan yang duduk di atas takhta, tinggi dan dimuliakan, dan hujung jubah-Nya memenuhi Bait Suci. Kemudian suara TUHAN berkata, "Siapakah yang akan Kuutus, dan siapakah yang mau pergi untuk Aku?" Walaupun perasaannya sendiri tidak mencukupi, Yesaya menyahut panggilan Tuhan dengan berkata, "Ini aku. Utuslah aku!" Walaupun Yesaya ialah ahli keluarga diraja (menurut kisah-kisah kuno), ketika TUHAN menyatakan diri-Nya dalam segala kemuliaan dan kekudusan-Nya dalam penglihatan kepadanya, nabi itu gementar ketakutan dan mengutuk dirinya sebagai manusia yang binasa - seorang pendosa yang hidup di tengah-tengah orang yang berdosa. Seorang malaikat TUHAN menggunakan bara api untuk menebus dosanya, dan nabi itu pun menyahut panggilan Tuhan. Cara Yesaya menanggapi panggilan Tuhan sebagai tindakan penghormatan patut disebutkan: 1. Pertaubatan: Dia menyedari dosanya dan kekudusan Tuhan, dan bertaubat. 2. Perhatian: Dia mendengar suara Tuhan, menghitung kosnya, dan menyerah. 3. Ketaatan: Dia mentaati perintah Tuhan untuk berbicara kepada orang ramai. Tuhan masih memanggil kita hari ini. Masalahnya ialah: adakah kita menyahut panggilan-Nya? Mungkin, bagi kebanyakan orang, panggilan itu mungkin tidak cukup dramatik, tidak seperti Yesaya. Meskipun demikian, itu tetap panggilan ilahi. Adakah anda akan menyahut panggilan itu kerana menghormati dan menyanjung Tuhan? Adakah anda akan takut kepada Tuhan apabila Dia memanggil anda? Doa Hari Ini: Bapa Syurgawi, saya mengaku ketakutan saya untuk menyahut panggilan-Mu dalam hidup saya. Penuhi saya dengan Roh untuk memiliki keberanian untuk berkata, "Inilah saya. Utuslah saya." Bukalah mata saya untuk melihat kemuliaan dan kekudusan-Mu, dan telinga saya untuk mendengar kepedulian-Mu bagi mereka yang terhilang. Saya menyerahkan hidup saya kepada-Mu untuk mempersiapkan saya untuk perjalanan iman ini. Dalam Nama Yesus, Amin. Berdoa agar kami, sebagai orang percaya dalam Kristus, akan menyucikan diri kami daripada perkara yang tidak mulia, dan bercita-cita untuk menjadi bejana-bejana mulia yang dikhususkan dan berguna untuk bait-Nya. (2 Timotius 2:21) Kadar literasi Malaysia pada tahun 2022 ialah 96% bagi warganegara berumur 15 tahun ke atas. Berdoalah agar kerajaan akan berusaha ke arah kadar literasi 100% melalui program literasi yang boleh dilaksanakan dan berkesan. Rev John Lim

  • Hari 25: Menyembah Yesus

    Tarikh: 31 Ogos 2025 Ayat Fokus: Lukas 2:11-14; 28-32; 36-38 dan 24:50-53 Semasa cuti sekolah, Gimbang melawat neneknya di kampung. Di sana, dia melihat kaum lelaki sedang membina sebuah rumah. Pada mulanya, ia kelihatan seperti sekadar kepingan rawak: tapak konkrit, paku di sana sini, bata-bata tersusun, bukaan tingkap, kepingan bumbung zink dan sebagainya. Tetapi akhirnya, semua itu membentuk sebuah rumah yang selesa. Begitu juga dengan semua tindakan takut akan Tuhan. Hormat, kekuasaan Tuhan, doa, kesetiaan dan kepercayaan, semuanya bersatu dan membuatkan kita ingin menyembah Tuhan. Menyembah Tuhan adalah salah satu tindakan takut akan Dia. Semasa Yesus lahir, para malaikat memuji dan menyembah Tuhan ketika mereka mengumumkan kelahiran-Nya kepada para gembala. Apabila Yusuf dan Maria membawa bayi Yesus ke bait suci, Simeon dan seorang wanita tua bernama Hana memuji dan memuliakan Tuhan. Mereka menyembah dan bersyukur. “Sukacita bagi dunia! Keselamatan telah datang!” Inilah Yesus, Imanuel - Tuhan beserta kita! Marilah kita sujud dan menyembah ‘AKU ADALAH AKU’! Penyembahan bukan hanya bahagian nyanyian di gereja. Ia adalah kekaguman dan pengabdian yang besar yang kita tunjukkan kepada Tuhan. Jika ia diarahkan kepada bintang filem - itu adalah penyembahan berhala dan salah. Tetapi jika ia diberikan kepada Tuhan, itu adalah benar dan harus menjadi sebahagian daripada cara hidup kita. Selepas para murid melihat Yesus diangkat ke syurga, kita mungkin menyangka mereka akan berasa sedih. Tetapi Alkitab mengatakan mereka “menyembah Dia dan pulang ke Yerusalem dengan penuh sukacita”. Kita juga boleh bersukacita kerana Yesus sentiasa menyertai kita ke mana sahaja kita pergi. Kita boleh terus menyembah Nya di mana-mana sahaja kita berada. Renungkan: Sembahlah Yesus. Doa Hari Ini: Yesus, segala kemuliaan bagi-Mu! Engkau membawa penyelamatan dan penebusan bagi umat manusia. Kami sujud dengan hati yang penuh syukur. Engkau layak menerima penyembahan kami. Kami memberi-Mu penghormatan, kemuliaan dan pujian kerana darah Mu telah tertumpah bagi jiwa kami. Engkau telah mendamaikan kami dengan Allah. Dalam nama Mu, Tuhan Yesus, kami mengucap syukur. Amin. Gereja: Berdoalah menjadi agar kita bejana yang bersih dan berguna dalam rumah Tuhan. (Baca 2 Timotius 2:21) Bangsa: Berdoalah agar setiap anak di Malaysia mendapat peluang untuk bersekolah dan belajar membaca, menulis dan mengira.

  • Doa Puji Harian

    Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia

  • Jadilah Pembawa Perbezaan di Mana-Mana Sahaja Anda Berada

    Selamat hari Gawai, semoga kasih kurnia Tuhan Yesus menyertai kita semua sepanjang perayaan Gawai pada tahun ini.   Semasa perayaan Gawai pada tahun ini, pasti kita akan bertemu dengan berbagai-bagai perwatakan orang. Namun demikian, sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus,  kita bukan sahaja tidak patut menjauhi mereka, tetapi perlu bergaul mesra dengan mereka tanpa menjejaskan iman kita. Apakah yang harus kita lakukan dan katakan semasa kita bersama-sama dengan mereka? Sebab setiap kita diperintah oleh Allah untuk menjadi berkat, garam bumi dan cahaya kepada semua orang yang ada di sekeliling kita. Oleh itu, kita harus mengambil peluang keemasan semasa perayaan untuk berinteraksi dengan mereka selain menerima mereka sebagai saudara kita dalam Tuhan.   Tegasnya, firman Allah memberitahu setiap kita yang sudah percaya kepada Tuhan Yesus supaya kita membawa perbezaan positif kepada mereka yang ada di sekeliling kita, terutamanya melalui perbuatan, perkataan dan sikap kita semasa bersama-sama mereka. Orang yang belum percaya, yang ada di sekeliling kita akan dapat melihat “Tuhan Yesus” dalam hidup kita lalu ingin mengenal-Nya.   Itulah sebabnya Paulus berkata kepada jemaah yang ada di Roma, “Janganlah ikut cara dunia, sebaliknya berubahlah menurut pembaharuan fikiranmu. Dengan demikian, kamu dapat memastikan apa kehendak Allah itu, apa yang baik, yang diredai-Nya dan yang sempurna.” (Roma 12:2 AVB)  Dengan kata lain, mereka tidak mengikut kebiasaan-kebiasaan dunia ini yang lebih bercirikan kepentingan diri, kebendaan dan pengaruh negatif yang lain tetapi mereka haruslah membiarkan Allah mengubah jiwa raga mereka secara rohani, sehingga mereka dapat memahami kehendak Allah bagi hidup mereka dengan penuh keyakinan.   Pendek kata, mereka haruslah menjalani hidup yang berbeza daripada mereka yang belum menyerahkan hidup sepenuhnya kepada Tuhan Yesus. Mereka tidak akan bertutur dan bertindak seperti orang dunia ini tetapi sentiasa memuliakan Allah dalam setiap yang  dikatakan, dilakukan dan difikirkan mereka.   Demikian juga dengan diri kita yang percaya kepada Tuhan Yesus pada hari ini. Kita janganlah mengikut cara hidup mereka yang belum percaya kepada Tuhan Yesus sewaktu kita bersama-sama mereka. Sebaliknya, kita harus menjalani hidup yang berbeza daripada mereka dalam perkataan, perbuatan  dan pemikiran kita agar orang akan melihat Yesus betul-betul dalam hidup kita.   Jadilah pembawa perbezaan kepada orang yang ada di sekeliling kita.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menjalani hidup yang diperkenan-Mu  dengan menjauhi segala perkara yang tidak menyenangkan hati-Mu. Bimbinglah aku untuk memuliakan-Mu dalam segala perkara dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus Penyelamat hidupku aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • DOA NECF Hari 24: Kekuasaan Tuhan

    Kitab Suci: Amsal 9:10, 1 Samuel 24 Saul telah pergi ke sebuah gua untuk buang air, tanpa mengetahui bahawa Daud dan anak-anak buahnya ada di dalam. Daud dapat menggunakan kesempatan itu untuk membunuh Saul, tetapi dia tidak melakukannya. Sebaliknya, dia menyelinap tanpa diketahui dan memotong hujung jubah Saul. Setelah itu, Daud berasa bersalah kerana telah memotong secebis pakaian Saul. Dia berkata kepada anak buahnya, "Dijauhkan Tuhanlah kiranya dari padaku untuk melakukan hal yang demikian kepada tuanku, kepada orang yang diurapi TUHAN, yakni menjamah dia, sebab dialah orang yang diurapi TUHAN." Ketika Saul menyedari apa yang telah terjadi,dia berseru kepada Daud, "Engkau lebih benar dari pada aku, sebab engkau telah melakukan yang baik kepadaku, padahal aku melakukan yang jahat kepadamu." Mengapa Daud tidak membunuh Saul? Lagipun, Tuhan telah mengambil kerajaan daripada Saul dan memberikannya kepada Daud. Dan dia mendapat desakan orang-orangnya untuk menyokongnya. Amsal 9:10 mengatakan, “Permulaan hikmat adalah takut akan TUHAN, dan mengenal Yang Mahakudus adalah pengertian..” Daud tahu bahawa Saul adalah orang pilihan Tuhan dan Saul juga adalah raja Israel. Oleh itu, Saul memiliki kuasa Tuhan, dan Daud harus menghormatinya. Dan bagi Daud untuk melakukannya kerana takut akan Tuhan adalah terpuji. Bahkan setelah Saul meninggal, Daud tetap menghormati orang pilihan Tuhan dengan menggubah lagu pengebumian untuk menghormatinya (lihat 2 Samuel 1:17). Mengakui kekuasaan Tuhan dalam orang-orang pilihan-Nya bererti menghormati Tuhan. Ini juga merupakan tindakan penyembahan. Apa yang dilakukan Daud ternyata menguntungkannya ketika Saul membalasnya dengan berkata, “Oleh karena itu, sesungguhnya aku tahu, bahwa engkau pasti menjadi raja dan jabatan raja Israel akan tetap kokoh dalam tanganmu. .” (1 Samuel 24:21) Doa Hari Ini: Bapa Surgawi, saya mengaku bahawa saya telah berdosa terhadap orang-orang pilihan-Mu. Saya telah memberontak terhadap mereka dan bukannya tunduk kepada mereka. Saya telah merungut terhadap mereka dan bukannya berdoa untuk mereka. Saya ingin menebus diriku dengan mengikuti teladan Daud dengan Saul. Saya ingin bertumbuh dalam hikmat dan kebijaksanaan, disenangi manusia dan Tuhan, jadi tolonglah saya, Tuhan. Dalam Nama Yesus, Amin. Berdoa agar kita, sebagai orang percaya kepada Kristus, akan bersukacita di dalam Tuhan, berdoa secara berterusan dan mengucap syukur kepada Tuhan dalam segala keadaan, dan menjalani kehidupan yang layak bagi panggilan-Nya. (1 Tesalonika 5:16-18) Banci tahun 2010 di Malaysia menunjukkan penduduk Kristian ialah sebanyak 9.2% sementara banci tahun 2020 menunjukkan penurunan yang membimbangkan iaitu menjadi 9.1%. Berdoalah agar gereja-gereja di Malaysia tekun dan bersungguh-sungguh dalam penginjilan, penanaman gereja, dan pelayanan. Rev John Lim

  • Hari 24: Kesetiaan dan Kepercayaan

    Tarikh: 30 Ogos 2025 Ayat Fokus: Ratapan 3:22-23 dan Amsal 3:3-4 Charlotte mempunyai seekor anjing yang bijak dan mesra bernama Puppet. Anak anjing ini tahu siapa jiran-jirannya. Jika ada orang asing di jalan, Puppet akan menyalak dengan kuat untuk memberi amaran kepada semua orang. Suatu hari, Charlotte sedang menunggang basikal di luar rumah apabila seorang lelaki cuba menculiknya. Dia menjerit sekuat hati. Puppet berlari ke arah mereka, menyalak dan menggeram dengan garang. Dia kemudian menggigit punggung orang itu sehingga orang itu melepaskan Charlotte dan beralih untuk memukul Puppet. Ibu bapa Charlotte dan jiran-jiran segera keluar untuk melihat apa yang berlaku. Orang itu pun melarikan diri. Syukurlah Charlotte dan Puppet tidak mengalami sebarang kecederaan! Kita boleh katakan Puppet setia atau mempunyai kesetiaan . Kesetiaan bermaksud dia sangat taat dan tidak meninggalkan Charlotte dan keluarganya. Dia malah melindungi mereka. Kesetiaan juga berkaitan dengan persahabatan dan kepercayaan. Tuhan sangat setia kepada kita, anak-anak-Nya. Kasih dan kesetiaan-Nya kekal selamanya. Dia tidak akan pernah meninggalkan kita (lihat Ibrani 13:5). Salah satu tindakan takut akan Tuhan adalah kesetiaan . Kita perlu setia kepada-Nya, mempercayai-Nya, dan menjadi sahabat-Nya. Percayalah kepada Tuhan dalam apa jua keadaan. Jangan tinggalkan Tuhan kerana Dia tidak akan pernah meninggalkan kamu. Kita juga harus setia kepada gereja kita, selagi mereka tetap mengajarkan kebenaran tentang Yesus. Guru Sekolah Minggu, pemimpin belia, pastor, dan pengkhutbah membantu kita bertumbuh dalam kehidupan Kristian. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun untuk membentuk iman kita. Jadi, apabila kita melanjutkan pelajaran ke universiti atau memasuki dunia pekerjaan, jangan sia-siakan semua ajaran rohani itu. Dan jangan lupa untuk kembali untuk membantu generasi seterusnya. Setialah kepada Tuhan. Renungkan: Jika saya takut akan Tuhan, adakah saya setia kepada-Nya? Doa Hari Ini: Abba Bapa, Engkau begitu baik dan setia kepada saya. Semoga saya sentiasa menaruh kepercayaan saya kepada-Mu. Jadikanlah persahabatan dan kesetiaan saya hanya untuk-Mu. Dekatkanlah saya selalu kepada-Mu. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin. Gereja: Berdoalah agar kita sentiasa bersukacita dalam Tuhan, bersyukur, dan berdoa tanpa henti, sehingga ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup kita. (Baca 1 Tesalonika 5:16-18) Bangsa: Berdoalah agar gereja gereja lebih giat berkongsi Injil kepada orang bukan Kristian dan melakukan kerja-kerja baik dalam masyarakat, supaya nama Yesus lebih dikenali. Peratusan orang Kristian di Malaysia semakin menurun.

bottom of page