Adakah Doa Kita Sekadar Monolog?

Semasa saya masih remaja dan memasuki zaman belia, saya sering menganggap doa hanyalah masa untuk saya bercakap kepada Tuhan. Setiap kali berdoa, saya akan menyampaikan semua permintaan, harapan, masalah, ketakutan dan impian saya. Setelah selesai, saya bangun dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya jarang berhenti untuk bertanya, "Tuhan, apakah yang Engkau ingin katakan kepada saya?"
Semakin saya bertumbuh dalam iman dan pelayanan, saya mula menyedari bahawa doa bukan sekadar kita bercakap kepada Tuhan. Doa ialah hubungan yang hidup. Ia adalah perbualan dua hala antara seorang anak dengan Bapa di syurga yang mengasihi kita.
Kadang kita terlalu sibuk meminta jawapan sehingga kita tidak memberi ruang untuk mendengar suara-Nya. Kita mahu Tuhan segera bertindak, tetapi lupa bahawa Dia juga sedang membentuk hati, karakter dan iman kita melalui masa-masa menunggu.
Bagi generasi muda hari ini, kita hidup dalam dunia yang penuh dengan bunyi, notifikasi, media sosial dan pelbagai gangguan. Kita begitu mudah mendengar suara dunia sehingga sukar mengenali suara Tuhan. Akibatnya, kita cepat gelisah apabila doa belum dijawab, sedangkan mungkin Tuhan sedang mengajar kita untuk lebih percaya kepada-Nya.
Saya belajar bahawa ada kalanya Tuhan menjawab melalui firman-Nya, ada kalanya melalui nasihat orang yang matang dalam iman, ada kalanya melalui keadaan hidup, dan ada juga waktunya Dia berbicara melalui damai sejahtera yang memenuhi hati kita. Semua itu memerlukan kita berhenti sejenak dan benar-benar mendengar.
Jangan jadikan doa sekadar rutin harian atau senarai permintaan. Jadikan doa sebagai saat untuk membina hubungan yang intim dengan Tuhan. Dia bukan sahaja mendengar setiap kata-kata kita, tetapi Dia juga rindu berkomunikasi dengan anak-anak-Nya.
Jika selama ini doa kita dipenuhi dengan suara kita sendiri, bilakah kali terakhir kita berdiam diri untuk mendengar suara Tuhan?
"Prayer is a two-way conversation; it is our talking to God, and His talking to us. As a Christian, you have a Heavenly Father who hears and answers prayer."
Kiranya setiap kali kita berdoa, kita bukan sahaja datang membawa permintaan, tetapi juga hati yang bersedia mendengar kehendak Tuhan. Di situlah iman bertumbuh, kehidupan berubah, dan hubungan kita dengan Tuhan menjadi semakin mendalam.
Lalu Eli berkata kepada Samuel, “Pergilah berbaring. Nanti, jika Dia memanggil engkau, katakanlah, ‘Ya TUHAN, berfirmanlah, hamba-Mu ini mendengarkannya.’ ” Maka pergilah Samuel berbaring di tempatnya. TUHAN pun hadir dan memanggilnya seperti yang sudah-sudah, “Samuel! Samuel!” Jawab Samuel, “Berfirmanlah, hamba-Mu ini mendengarkannya.” 1 Samuel 3:9
Oleh : Pr Jerry Ignacio Sumber : Whatsapp channel @ jerry ignacio




Comments