Anak-Anak Yang Hilang

Kita sering menganggap perumpamaan anak yang hilang sebagai kisah seorang anak nakal yang melarikan diri dari rumah.Tetapi jika kita benar-benar meneliti teks ini, sebenarnya terdapat 2 orang anak yang hilang.
Seorang yang meninggalkan rumah, dan seorang lagi yang tetap tinggal di rumah.
1. Gereja dipenuhi dengan anak-anak yang hilang.
Ada orang yang telah menghancurkan kehidupan mereka sendiri. Merosakkan keluarga dan perkahwinan mereka. Mereka inilah golongan yang jelas kelihatan, yang dianggap sebagai sampah masyarakat. Kita melihat mereka di jalanan, di dalam penjara, dan kita melawat mereka di pusat pemulihan dadah.
Yesus berkata bahawa orang miskin akan sentiasa ada bersama kita. Saya rasa Yesus juga sepatutnya berkata bahawa orang yang hidupnya hancur juga akan sentiasa ada bersama kita! " You Never Walk Alone", tetapi dalam pengertian yang negatif.
Namun, kadangkala orang-orang seperti inilah yang paling memerlukan perhatian dan keprihatinan kita. Mereka memerlukan pertolongan kita, dan kadangkala untuk tempoh yang terlalu lama sehingga menguji kesabaran kita! Tahun demi tahun mereka masih di situ, keluar masuk penjara, keluar masuk pusat pemulihan dadah.
2. Tetapi daripada 10 orang yang kita layani, ada juga yang kembali untuk mengucapkan terima kasih. Ada yang berubah dan menjadi lelaki dan wanita yang kehidupannya telah dipulihkan.
Anak yang hilang itu akhirnya pulang ke rumah. Dia menyedari kebodohan jalan hidupnya. Bahawa mengejar angin sebenarnya hanya membuang masa. Dia sedar bahawa makanan yang dimakannya langsung tidak setanding dengan apa yang dinikmati di rumah bapanya.
Dia berpaling dengan tangisan dan penyesalan. Bertekad untuk membina kehidupan yang lebih baik, dia mengambil keputusan untuk dengan rendah hati menerima pekerjaan yang paling hina sekalipun di rumah bapanya.
Tetapi alangkah terkejutnya dia, kepulangannya disambut dengan jauh lebih baik daripada yang dijangkakan! Bapanya berlari mendapatkannya, menyambutnya dengan pelukan, pakaian baharu, kasut baharu, sebentuk cincin dan sebuah jamuan besar.
Kerana penebusan seharusnya sentiasa diraikan! Jauhkanlah daripada kita hati yang membenci kebaikan dan memandang hina terhadap orang yang bermurah hati.
3. Tetapi orang yang tidak bermurah hati itu bukanlah berada di jalanan bersama orang berdosa atau di lorong-lorong bersama orang yang melakukan kejahatan. Sebaliknya, sikap tidak baik hati dan niat buruk itu ditemui di dalam rumah bapa sendiri.
Anak kedua yang hilang itu melihat adiknya pulang dan menerima sambutan yang begitu meriah sehingga dia menjadi cemburu tanpa sebab yang munasabah.
Dia memiliki segala-galanya di dalam rumah itu, malah lebih banyak lagi kerana dia tidak pernah membazirkan apa-apa. Tetapi entah bagaimana, dia tidak pernah menikmatinya.
Dia seperti tikus yang mati kelaparan di dalam guni beras!
Dia tidak melihat sebarang sebab untuk bersukacita. Dia tidak melihat sebarang harapan dalam diri adiknya.
Dan sering kali kita juga seperti itu.
Walaupun setelah 26 tahun melayani di penjara, saya masih mempunyai keraguan terhadap mereka yang keluar dari penjara. Saya bekerja bersama mereka, namun anehnya, saya masih tetap berhati-hati.
Saya gembira apabila mereka dibebaskan, tetapi masih belum dapat bersukacita sepenuhnya.
Saya juga seorang anak yang hilang. Saya telah lupa untuk menikmati berkat-berkat Tuhan di dalam rumah Bapa saya sendiri.
Apalah kita juga menjadi anak sulung atau anak bongsu yang hilang?
Oleh: Pr Edmund Kumar
Sumber: Facebook@Edumund Kumar@Renungan




Comments