Cahaya Dalam Cahaya-Mu

“Dalam cahaya-Mu kami melihat cahaya.” (Mazmur 36:9, AVB)
Pernahkah kita membuka suatu bahagian Alkitab lalu berkata dalam hati, “Saya sudah tahu cerita ini”?
Namun, apabila kita membaca kembali bahagian itu dengan teliti, kita mula melihat sesuatu yang dahulu terlepas daripada perhatian. Kita pun semakin memahami pengajaran Tuhan, semakin mengenal hati-Nya dan semakin menyedari bahagian hidup kita yang perlu dibentuk oleh-Nya.
Inilah yang kita alami apabila terus membaca dan mendalami firman Tuhan (Alkitab), suatu proses yang tidak akan pernah berhenti selagi hayat dikandung badan. Firman Tuhan tidak berubah, tetapi pengertian kita semakin bertumbuh dalam cahaya-Nya.
Mazmur 36:9 mengingatkan kita bahawa Tuhan ialah sumber kehidupan dan cahaya. Dalam cahaya-Nya, kita melihat cahaya. Bagaimanakah kita menerima terang itu dalam perjalanan hidup kita? Antaranya melalui firman-Nya. Mazmur 119:130 menyatakan bahawa penyingkapan firman Tuhan memberikan terang dan pengertian kepada orang yang sederhana.
Sebab itu, kita perlu terus membaca dan menggali Alkitab. Walaupun sesuatu bahagian sudah dibaca berkali-kali, masih ada ruang untuk kita memahaminya dengan lebih mendalam serta mentaatinya dengan lebih sungguh-sungguh. Kita terus belajar untuk memahami dan menghidupinya.
Tetapi marilah kita mengaku dengan jujur: perhatian kita mudah terpesong secara halus.
Cerita-cerita pendek dalam talian seperti cerita CEO yang menyamar, raja dewata menjadi manusia begitu menarik. Kita sudah menonton satu episod, kemudian kita sambung satu lagi kerana mahu tahu kesudahannya. “Sekejap saja,” kata kita. Tanpa sedar, masa berlalu dan waktu bersama Tuhan semakin terhimpit.
Kita masih berniat membaca firman. Namun, apabila telefon akhirnya diletakkan, tubuh sudah letih dan fikiran sudah penuh dengan pelbagai cerita. Pembacaan dan penyelidikan Alkitab ditangguhkan lagi. Akibatnya apa? Gara-gara mata kita mahu terus dihiburkan, jiwa kita pula semakin kering.
Bukan semua hiburan itu salah. Namun, sesuatu yang kelihatan biasa boleh mengikat hati apabila kita sukar berhenti dan terus memberinya tempat sehingga persekutuan dengan Tuhan terabai.
Marilah kita memeriksa diri: adakah kita masih mempunyai kerinduan untuk mendengar suara Tuhan melalui firman-Nya? Atau hati kita semakin terbiasa dengan keseronokan dunia sehingga waktu bersama-Nya terasa membosankan?
Teguran ini untuk kita bersama. Kita semua perlu berjaga-jaga dan saling mengingatkan dengan kasih.
Mengapakah kita perlu menjaga hati dan perhatian kita? Kerana Tuhan menghendaki yang terbaik bagi kita: kehidupan dalam Kristus (Galatia 2:20), berakar dalam kasih-Nya dan menghasilkan buah. Panggilan-Nya menjangkau lebih jauh daripada sekadar menjadi orang yang dianggap baik. Dia memanggil kita menjadi milik-Nya dengan segenap hati.
Kasih-Nya juga menegur apabila perhatian kita terseret jauh. Dia mengetahui bahawa hati yang terikat kepada dunia tidak akan menemukan kepuasan yang dicari-carinya.
Jika kita menyedari jiwa semakin kering, marilah kembali kepada Tuhan. Akuilah kelalaian kita. Hentikan tontonan yang berpanjangan, letakkan telefon dan bukalah Alkitab dengan hati yang bersedia mendengar.
Bacalah perlahan-lahan. Perhatikan konteksnya. Renungkan maksudnya. Mohonlah pertolongan Roh Kudus, kemudian taatilah apa yang sudah difahami.
Kita tidak perlu menunggu sehingga memahami semua kandungan Alkitab untuk mula taat. Berjalanlah dalam terang yang sudah Tuhan berikan, sambil terus belajar daripada firman-Nya. Ini kerana dalam cahaya-Nya kita melihat cahaya.
Semoga membaca, menggali dan mentaati firman menjadi cara hidup kita sepanjang perjalanan mengikut Kristus.
Doa
“Tuhan, ampuni kami apabila perhatian kami lebih mudah tertawan oleh dunia ini. Pulihkan kerinduan kami kepada-Mu. Bukalah pengertian kami terhadap firman-Mu dan bentuklah hati kami supaya rela mentaatinya. Dalam cahaya-Mu, pimpinlah kami berjalan di setiap waktu. Amin.”
Oleh: Pr Jubilie Apin
Sumber: Facebook@Jubilie Apin@Pena Rajawali




Comments