top of page

Yesus Tangga Ke Syurga

4 days ago
2 min read

Dalam Kejadian 28, Yakub bermimpi melihat sebuah tangga. Tangga itu berdiri di bumi dan hujungnya sampai ke langit. Malaikat-malaikat naik turun di tangga itu. Waktu itu Yakub sedang keseorangan di padang gurun. Dia takut dan lari dari abangnya Esau. Melalui mimpi itu, Tuhan mahu menunjukkan bahawa walaupun Yakub sendirian, syurga masih terbuka untuknya. Tuhan masih menjaganya.


Gambaran "langit terbuka dan malaikat turun naik kepada Anak Manusia" merujuk pada kisah tangga Yakub (Kejadian 28:12), di mana Yesus Kristus kini menjadi satu-satunya perantara atau penghubung sejati antara Allah dan manusia


Beratus tahun kemudian, Yesus mengulangi mimpi itu di dalam Yohanes 1:51. Dia berkata kepada Natanael, “Engkau akan melihat langit terbuka dan malaikat-malaikat Allah naik turun kepada Anak Manusia.” Natanael adalah orang Yahudi, dia faham terus maksud Yesus. Yesus sedang mengatakan bahawa mimpi Yakub itu sudah digenapi.


Bezanya, dulu malaikat naik turun di atas tangga. Sekarang malaikat naik turun kepada Anak Manusia. Tangga itu bukan lagi sebuah benda. Tangga itu adalah Yesus sendiri. Dialah penghubung antara syurga dan bumi. Manusia tidak boleh naik ke syurga kerana dosa, dan syurga tidak dapat turun kepada manusia. Tetapi Yesus turun dari syurga menjadi manusia, jadi Dialah jalan yang menghubungkan keduanya.


Sebab itu Yesus menggunakan gelaran Anak Manusia. Anak Manusia bermaksud Dia berasal dari syurga, tetapi juga menjadi manusia sepenuhnya. Hanya Dia yang layak menjadi tangga itu. Apa yang Yakub lihat dalam mimpi di Betel, kini berdiri di depan Natanael dalam bentuk manusia.


Yesus berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu akan melihat langit terbuka dan malaikat-malaikat Allah turun naik menemui Anak Manusia.”- Yohanes 1:51 (AVB)


Jadi makna Yohanes 1:51 bukan bermaksud kita akan nampak malaikat terbang setiap hari. Maknanya ialah, sejak Yesus datang, langit sudah terbuka semula. Dulu syurga tertutup kerana dosa Adam. Sekarang melalui Yesus, kita boleh datang terus kepada Bapa. Yesus adalah Betel yang baru, iaitu Rumah Allah yang sebenar, tempat Allah dan manusia berjumpa.


Oleh: Pr Edmund Kumar

Sumber: Facebook@renungan@Edmund Kumar



Comments


bottom of page