Berkat Atau Jerat?
- 5 days ago
- 3 min read

Sewaktu saya membaca Alkitab dari kitab Kejadian, Hakim-Hakim, sehingga kepada zaman raja-raja Israel dan Yehuda, ada satu perkara yang sering membuat saya termenung dan merasa pelik.
Generasi Israel pernah melihat laut terbelah, manna turun dari langit, tiang awan memimpin pada siang hari, dan tiang api menerangi malam mereka. Mereka melihat sendiri kuasa Tuhan di Mesir dan pemeliharaan-Nya di padang gurun. Namun setelah mereka masuk ke tanah perjanjian, menikmati kelimpahan, kemudahan, dan kehidupan yang lebih selesa, hati mereka mula menjauh daripada Tuhan.
Mereka mula mengikut bangsa-bangsa di sekeliling mereka dalam penyembahan berhala sehingga terjerat dalam dosa percabulan dan pelbagai amalan yang jijik di mata Tuhan. Apa yang dahulu dilarang oleh Tuhan akhirnya menjadi sesuatu yang dinormalisasikan dalam kehidupan mereka.
Bagaimana keadaan sebegitu boleh berlaku? Salah satu sebabnya ialah kerana mereka mula tertarik dan terjerat dengan penyembahan berhala bangsa-bangsa di sekeliling mereka. Dalam banyak amalan penyembahan itu terdapat unsur pelacuran bakti, seks bebas, dan ritual kesuburan yang bertentangan dengan kekudusan yang dikehendaki Tuhan daripada umat-Nya.
Ada ayat dalam Firman Tuhan dalam Perjanjian Baru yang berkata:
“Kerana itu matikanlah dalam dirimu segala sesuatu yang duniawi, iaitu percabulan, kenajisan, hawa nafsu, nafsu jahat dan juga keserakahan, yang sama dengan penyembahan berhala.” Kolose 3:5
Dunia hari ini diperlengkapi dengan teknologi dan limpahan maklumat yang semakin canggih dari hari ke hari. Manusia semakin bangga dengan kepintaran mereka. Segala sesuatu kini berada di hujung jari melalui komputer, telefon, dan pelbagai gadget moden. Namun di sebalik semua ‘berkat’ kemajuan itu, tersembunyi juga banyak ‘jerat.’ Perkara yang dahulu sukar dicapai kini sangat mudah diakses. Dosa dinormalisasikan. Percabulan dijadikan hiburan. Kekotoran dianggap biasa. Bahkan ada orang percaya yang mula menjadi kebal terhadap teguran Roh Kudus kerana terlalu lama bermain-main dengan dosa yang dianggap "kecil dan ringan.”
Inilah bahaya dan jerat zaman ini. Bukan semua perkara yang mudah itu membawa kehidupan dan kemajuan. Ada kemudahan yang sebenarnya sedang perlahan-lahan melemahkan, bahkan memakan diri kita bermula dari dalam jiwa.
Banyak hiburan dan permainan hari ini sedang memadamkan rasa takut akan Tuhan dalam hati orang-orang percaya. Ada kandungan, iklan, dan pelbagai pancingan melalui media sosial yang boleh menjadi alat pencobaan Iblis dan membuka ruang kepada kejatuhan rohani apabila hati tidak lagi berjaga-jaga.
Ketidaksedaran dan sikap tidak berjaga-jaga terhadap kecanggihan teknologi masa kini boleh perlahan-lahan membuka pintu kepada dosa apabila hati tidak lagi dipelihara dalam takut akan Tuhan.
Berdasarkan firman Tuhan dalam Roma 15:4, kisah bangsa Israel bukan sekadar sejarah lama. Itu adalah cermin bagi generasi hari ini. Padang gurun dan penyembahan berhala moden kita mungkin bukan lagi pasir dan khemah, tetapi skrin telefon, dunia digital, budaya viral, dan kehidupan yang semakin kehilangan rasa kudus di hadapan Tuhan.
Namun renungan ini bukan hanya untuk menegur. Tuhan bukan sekadar memanggil kita menjauhi dosa, tetapi Dia juga mahu membangunkan kembali kehidupan rohani kita yang sering lemah dan keletihan. Firman Tuhan berkata:
“Tetapi kamu, saudara-saudaraku yang kekasih, bangunkanlah dirimu sendiri di atas dasar imanmu yang paling suci dan berdoalah dalam Roh Kudus.” (Yudas 20)
Kita tidak akan kuat hanya dengan kekuatan sendiri. Bahkan semakin hari kita mungkin merasa semakin lemah. Tetapi orang yang terus datang kepada Tuhan akan terus diperbaharui oleh kasih karunia-Nya. Bangunkan kembali mezbah doa. Bangunkan kembali kasih kepada firman Tuhan melalui doa dan kepenuhan Roh Kudus. Bangunkan kembali hati yang takut akan Tuhan. Jangan biarkan dunia membentuk hati kita sehingga dosa terasa biasa dan kekudusan dalam Tuhan terasa asing.
Tidak semua berkat membawa manusia lebih dekat kepada Tuhan. Ada berkat yang berubah menjadi jerat apabila hati berhenti berjaga-jaga di hadapan-Nya.
Kerana itu, di tengah dunia yang semakin maju, marilah kita tetap hidup dalam persekutuan dengan Kristus setiap hari. Sebab akhirnya bukan siapa paling moden dan paling canggih yang akan bertahan, tetapi siapa yang tetap setia berjalan bersama Tuhan sampai akhir.
Pertanyaan Refleksi:
1. Apakah yang sedang menjaga hati kita hari ini, firman Tuhan atau arus dunia?
2. Bagaimanakah setiap orang percaya dapat tetap kuat berjalan bersama Tuhan di tengah dunia moden yang penuh kemudahan tetapi juga penuh jerat dosa?Semoga bermanfaat. Tuhan memberkati kita semua.
Oleh : Pr Jubilie Apin @ Pena Rajawali
Sumber : Facebook @ jubilie apin




Comments