top of page

Kenapa Bangga?

  • Jun 28
  • 3 min read

Bulan Jun sering dikaitkan dengan Pride Month. Istilah ini bukan lagi sesuatu yang asing dalam dunia hari ini, khususnya di negara-negara Barat. Seiring dengan perkembangan idea hak asasi manusia, pelbagai perkara yang suatu ketika dahulu dianggap bertentangan dengan norma masyarakat kini semakin diterima dan diraikan secara terbuka. Isu seperti hubungan sejenis, perkahwinan sejenis, pertukaran jantina, dan pelbagai identiti lain kini dihimpunkan di bawah istilah LGBTQ+.


Jika dahulu masyarakat hanya mengenali istilah lesbian, gay dan transeksual, hari ini senarai identiti yang diperkenalkan semakin bertambah. Dalam masa yang sama, kita juga melihat satu budaya yang semakin kuat dalam masyarakat moden, iaitu keinginan untuk diakui dan diterima oleh orang lain. Setiap individu mahu identiti, pandangan dan cara hidup mereka dihormati tanpa dipersoalkan. Akibatnya, banyak perkara yang dahulu dianggap luar dari kebiasaan kini mula dianggap normal.


Namun apabila kita melihat kepada maksud perkataan “pride”, ia sebenarnya membawa maksud kebanggaan. Persoalannya, kebanggaan terhadap apa? Dari sudut pandangan Alkitab, masalah utama bukan sekadar soal identiti atau kecenderungan seseorang, tetapi sikap hati yang enggan tunduk kepada kehendak Tuhan. Sikap ini membuatkan seseorang mahu menentukan jalan hidupnya sendiri, tidak mahu ditegur, tidak mahu dinasihati, dan tidak mahu berubah walaupun mengetahui apa yang diajar oleh firman Tuhan.


Yesus sendiri mengajar bahawa setiap orang yang mahu mengikut-Nya perlu menyangkal diri. Dalam Lukas 9:23, Yesus berkata, “Setiap orang yang mahu mengikut Aku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salibnya setiap hari dan mengikut Aku.” Mengikut Kristus bukanlah tentang melakukan apa yang kita suka atau apa yang kita rasa betul menurut pandangan sendiri. Sebaliknya, ia adalah satu perjalanan penyerahan diri kepada kehendak Tuhan, walaupun kadangkala bertentangan dengan kehendak dan keinginan kita.


Dalam konteks LGBTQ+, cabaran utamanya bukan sekadar soal orientasi atau identiti, tetapi soal kesediaan seseorang untuk datang kepada Tuhan dan membiarkan hidupnya diubahkan oleh Roh Kudus. Alkitab mengajar bahawa setiap manusia perlu dilahirkan semula. Dalam Yohanes 3:3, Yesus berkata, “Sesungguhnya jika seseorang tidak dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat Kerajaan Allah.” Ini bermaksud perubahan sejati bukan datang daripada usaha manusia semata-mata, tetapi melalui pekerjaan Tuhan dalam hidup seseorang.


Walau bagaimanapun, adalah tidak adil jika kita menganggap bahawa sikap pride hanya wujud dalam kalangan LGBTQ+ sahaja. Hakikatnya, setiap manusia yang berdosa bergumul dengan masalah yang sama. Pride atau kesombongan adalah sebahagian daripada sifat lama manusia yang sering mahu meninggikan diri sendiri dan menolak kehendak Tuhan. Dalam perkara ini, orang Kristian juga tidak terkecuali.


Tanpa kita sedar, sikap pride boleh muncul dalam kehidupan gereja. Ada yang sudah lama melayani tetapi sukar menerima teguran. Ada yang mudah melihat kesalahan orang lain tetapi tidak mahu mengakui kelemahan sendiri. Ada yang suka bercakap tentang keburukan orang lain, menyebarkan fitnah, menimbulkan perselisihan dan perpecahan dalam jemaat. Semua ini berpunca daripada akar yang sama, iaitu hati yang masih dikuasai oleh kesombongan dan ego.


Sebab itu Alkitab berkata dalam Yakobus 4:6, “Allah menentang orang yang sombong, tetapi mengurniakan kasih karunia kepada orang yang rendah hati.” Tuhan tidak berkenan kepada kesombongan, tidak kira dalam bentuk apa sekalipun. Sama ada kesombongan itu ditunjukkan melalui gaya hidup yang terang-terangan menolak kehendak Tuhan ataupun melalui sikap rohani yang merasa diri lebih baik daripada orang lain, kedua-duanya tetap berdosa di hadapan Tuhan.


Sebagai orang Kristian, kita dipanggil untuk menyampaikan kebenaran dengan kasih. Kita tidak boleh berkompromi dengan dosa, tetapi pada masa yang sama kita juga tidak boleh lupa untuk memeriksa hati sendiri. Jangan sampai kita terlalu sibuk menegur kesalahan orang lain sedangkan kita sendiri masih menyimpan kesombongan, kepahitan dan keegoan dalam hidup.


Mungkin kita sudah lama menjadi ahli gereja. Mungkin kita sudah bertahun-tahun melayani dalam pelbagai pelayanan. Namun semua itu tidak menjamin bahawa kehidupan kita benar di hadapan Tuhan. Apa yang Tuhan kehendaki ialah hati yang sentiasa bersedia untuk bertaubat, belajar dan diubahkan. Dalam Amsal 16:18, firman Tuhan mengingatkan bahawa “Keangkuhan mendahului kebinasaan, dan tinggi hati mendahului kejatuhan.”


Akhirnya, isu terbesar yang perlu kita hadapi bukanlah sekadar apa yang berlaku di luar gereja, tetapi apa yang berlaku dalam hati kita sendiri. Pride bukan hanya masalah yang diraikan oleh dunia, tetapi juga satu dosa yang boleh berakar dalam kehidupan setiap orang percaya. Oleh sebab itu, marilah kita terus merendahkan diri di hadapan Tuhan, mengakui kelemahan kita, dan membiarkan Roh Kudus membentuk hidup kita setiap hari. Seperti yang tertulis dalam Yakobus 4:10, “Rendahkanlah dirimu di hadapan Tuhan, dan Ia akan meninggikan kamu.” Oleh Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @ edmund kumar (Jika anda memerlukan sebarang bantuan atau bimbingan lanjutan, anda boleh menghubungi talian Komuniti Digital di +6012 2819861 atau +6012 7428201. Kami akan menghubungkan anda dengan pembimbing rohani kami.)

Comments


bottom of page