top of page

Kita Bebas. Tapi Siapa Tuan Kita?

Oct 2
1 min read

Setiap kali kita bercakap tentang kemerdekaan, kita suka bercakap tentang kebebasan. Bebas menentukan hidup sendiri. Bebas membuat pilihan. Bebas menjadi siapa yang kita mahu.


Tetapi Roma 6:18 memberi kita satu pandangan yang sangat menarik:


“Kamu telah dimerdekakan daripada dosa dan menjadi hamba kebenaran.”


Pernahkah kita berfikir, kalau sudah merdeka, kenapa masih menjadi hamba?


Mungkin inilah yang selalu kita terlepas pandang. Dalam Alkitab, kemerdekaan bukan bermaksud kita tidak lagi mempunyai tuan tetapi kita dibebaskan daripada tuan yang jahat. Kita tidak lagi dikuasai oleh dosa dan di dalam Kristus, kuasa dosa dan maut tidak lagi menjadi tuan atas kita. Sekarang, kita hidup di bawah kebenaran Tuhan.


Dan sebenarnya, kita semua sedang tunduk kepada sesuatu.


Ada yang hidup untuk penerimaan orang. Ada yang dikuasai oleh duit, status, hubungan, penampilan, media sosial, atau keinginan untuk sentiasa kelihatan berjaya.


Kita mungkin berkata, “Ini hidup saya. Saya bebas memilih.”


Tetapi kalau kita tidak mampu berkata “tidak” kepada sesuatu, mungkin kita tidak sebebas yang kita sangka.


Sebab itu, kemerdekaan bukan hanya tentang “Apa yang saya bebas lakukan?” Tetapi juga, “Apa yang sedang menentukan arah hidup saya?”


Mungkin inilah cabaran Roma 6:18 kepada kita hari ini. Jangan hanya meraikan kemerdekaan, tetapi periksa siapa Tuan dalam hidup kita kerana kita tidak dimerdekakan supaya hidup sesuka hati, kita dimerdekakan supaya kita tidak lagi diperhambakan oleh dosa dan bebas memilih untuk hidup dalam kebenaran.


Kita bebas.

Tetapi hamba siapakah kita?


Oleh: Pr. Edmund Kumar.

Sumber: Facebook@Edmund Kumar


Comments


bottom of page