top of page

Pelajaran Dari Gembala Dan Domba

  • May 5
  • 2 min read

Perkongsian Peribadi dalam Kepimpinan dan Pelayanan


Pelajaran Dari Gembala dan Domba (Mazmur 23: 1-6)


Hari ini saya teringat satu pelajaran yang sangat menarik tentang hubungan antara gembala dan domba dalam latar belakang kehidupan di Timur Tengah seperti yang digambarkan dalam Mazmur 23.


Dalam kehidupan sebenar seorang gembala, menjaga domba bukanlah tugas yang mudah. Domba adalah haiwan yang sangat bergantung kepada gembalanya. Mereka mudah tersesat, mudah takut, dan sangat terdedah kepada pelbagai gangguan di padang.


Salah satu cabaran yang sering dihadapi oleh gembala adalah serangan serangga kecil atau lalat gurun yang sering datang mengganggu domba.


Lalat ini boleh masuk ke bahagian hidung atau kepala domba dan menyebabkan kesakitan serta kegelisahan.


Apabila domba diganggu oleh lalat-lalat ini, mereka menjadi tidak tenang, hilang fokus, bahkan boleh mencederakan diri sendiri kerana cuba menghilangkan rasa tidak selesa tersebut.


Kerana itulah seorang gembala yang baik akan mengoleskan minyak pada kepala domba sebagai perlindungan supaya lalat dan parasit tidak dapat mengganggu mereka.


Inilah gambaran yang sangat indah dalam Mazmur 23:5: "Engkau mengurapi kepalaku dengan minyak; pialaku penuh melimpah."


Daud menulis Mazmur ini bukan sekadar sebagai puisi rohani, tetapi sebagai seseorang yang benar-benar memahami kehidupan seorang gembala. Daud sendiri pernah menjadi gembala sebelum dipanggil menjadi raja Israel.


Melalui pengalaman itu, Daud memahami bahawa domba tidak mampu menjaga dirinya sendiri. Mereka memerlukan gembala yang sentiasa hadir untuk: melindungi, memimpin, memberi makan, dan menenangkan mereka.


Begitu juga dalam kehidupan kita sebagai orang percaya.


Kadang gangguan dalam kehidupan kita bukan datang daripada perkara besar sahaja. Ada kalanya ia datang daripada perkara kecil yang perlahan-lahan mengganggu hati dan fikiran kita seperti keletihan, kekecewaan, kepahitan, atau tekanan dalam pelayanan dan kehidupan.


Jika gangguan kecil ini tidak kita serahkan kepada Tuhan, ia boleh mencuri damai sejahtera yang Tuhan ingin berikan kepada kita.


Namun Mazmur 23 mengingatkan kita bahawa Tuhan adalah Gembala yang baik.


Dia bukan sahaja memimpin kita ke padang rumput yang hijau, tetapi juga mengurapi kepala kita dengan minyak satu gambaran tentang penjagaan, perlindungan, dan pemulihan dari Tuhan.


Dalam perjalanan iman dan pelayanan, saya belajar satu perkara penting: Kehidupan yang tenang bukan kerana kita bebas daripada masalah, tetapi kerana kita berada di bawah penjagaan Gembala yang setia.


Mazmur 23:1 berkata: "TUHAN adalah gembalaku, takkan kekurangan aku."


Ketika Tuhan menjadi Gembala kita, kita boleh berjalan melalui padang kehidupan ini dengan keyakinan bahawa Dia mengetahui setiap keadaan kita dan Dia sentiasa menjaga kita.


Hari ini saya diingatkan kembali bahawa dalam kehidupan ini kita bukan berjalan sendirian. Kita mempunyai Gembala yang baik yang menjaga, melindungi, dan memimpin kita setiap hari.


Oleh Pr Jerry Ignacio

Sumber : Whatsapp channel @ jerry ignacio

Comments


bottom of page