top of page

Pemulihan Bermula Dengan Pertaubatan!

4 days ago
3 min read

Sambungan dari tema slogan rohani yang disalah pakai. Slogan yang balik-balik dipakai dan balik-balik diulangi berpotensi kedengaran sebagai kebenaran. Jikalau disuarakan dengan lantang dan dipakai dalam konteks gereja, tidak hairan hal itu dianggap Alkitabiah. Tapi di sanalah bahayanya ketika maksud sebenar sudah terbuang.


Salah satu lagi slogan atau ayat Alkitab yang balik-balik diucapkan ialah bahawa Tuhan akan "memberi masa depan yang penuh harapan" kepada kita. Memang ada kebenaran bahawa Tuhan ingin memberikan kita masa depan yang penuh harapan, tetapi cara ia ditafsirkan pada hari ini ialah seakan-akan Tuhan memberikan berkat berkelimpahan dan kemakmuran kepada semua orang Kristian. Ini bukan realiti yang nyata bagi peratusan besar orang Kristian.


Jelajah sikit ke luar negara dan kita dapati ramai sekali orang Kristian berada dalam kemiskinan dan kesukaran. Membaca majalah misi dari Nepal, India dan Myanmar, jelas bahawa "masa depan yang penuh harapan" tidak seperti yang kita harapkan. Orang Kristian ditindas, diusir dari rumah, gereja terbakar, pastor masuk penjara, keluarganya kebuluran. Yang menampung keperluan mereka ialah orang Kristian yang membaca majalah misi dan memberi untuk keperluan ladang misi dan mereka yang bekerja di sana.


Masa depan yang penuh harapan? Rasanya kita tafsir untuk memberikan diri kita harapan palsu bahawa kita akan jadi kaya dan sihat walafiat selalu. Itu pun bukan realiti bagi peratusan besar orang Kristian. Saya makan ubat, ramai sekali orang Kristian berada di hospital dan terlantar berminggu-minggu, atau ahli keluarga mereka sendiri yang sakit. Diserukan, "Tuhan pasti akan memberikan masa depan yang penuh harapan" tidak lagi kedengaran begitu manis.


Jadi apakah sebenarnya maksud ayat itu? Ditemukan ayat ini dalam Yeremia 29:11 di mana Yeremia menyampaikan mesej Tuhan kepada bangsa Yahudi: "Sebab Aku ini mengetahui rancangan-rancangan apa yang ada pada-Ku mengenai kamu, demikianlah firman TUHAN, yaitu rancangan damai sejahtera dan bukan rancangan kecelakaan, untuk memberikan kepadamu hari depan yang penuh harapan."


Kita suka ayat ini tetapi apakah konteks ayat itu? Mesej itu ditujukan kepada orang Yahudi dengan penegasan mengapa mereka berada dalam keadaan itu (29:1-3) dan bahawa itu pengenapan ramalan bahawa mereka akan terbuang, diangkut ke negara asing, secara khusus Babel oleh Raja Nebukadnezar. Mereka akan berada di sana selama 70 tahun sebagai hukuman kerana kejahatan, ketidaktaatan dan kezaliman mereka. Bangsa Israel telah mengingkari kehendak Tuhan, melawan Firman-Nya, menolak Taurat-Nya, dan menyembah berhala. Seperti yang dikatakan Musa, tanah mereka akan "muntahkan" mereka keluar dan bangsa lain akan menawan mereka. Itulah yang berlaku. Israel dan Yehuda diangkut ke negara lain.


Namun, pengangkatan mereka, atau lebih sesuai pembuangan mereka ke Babel, bukan untuk selama-lamanya. Tuhan berjanji untuk membawa mereka kembali.


"Sebab beginilah firman TUHAN: Apabila telah genap tujuh puluh tahun bagi Babel, barulah Aku memperhatikan kamu. Aku akan menepati janji-Ku itu kepadamu dengan mengembalikan kamu ke tempat ini." (29:10)


Dan jalan untuk mereka pulang dari pembuangan ialah melalui pertaubatan yang sungguh-sungguh dan doa:


"Dan apabila kamu berseru dan datang untuk berdoa kepada-Ku, maka Aku akan mendengarkan kamu; apabila kamu mencari Aku, kamu akan menemukan Aku; apabila kamu menanyakan Aku dengan segenap hati, Aku akan memberi kamu menemukan Aku, demikianlah firman TUHAN, dan Aku akan memulihkan keadaanmu dan akan mengumpulkan kamu dari antara segala bangsa dan dari segala tempat ke mana kamu telah Kuceraiberaikan, demikianlah firman TUHAN, dan Aku akan mengembalikan kamu ke tempat yang dari mana Aku telah membuang kamu." (29:12-14)


Maksudnya di sini, masa depan yang penuh pengharapan ialah pemulangan ke negeri asal mereka sesudah mereka bertaubat. Kalau mahu terapkan ini kepada kehidupan orang Kristian hari ini, langkah pertama ialah pertaubatan daripada dosa, ketidaktaatan dan penyembahan berhala. Bila ini dilakukan, Tuhan akan mendengar dan membawa pemulihan kepada kita. Bukan sahaja secara fizikal tetapi terlebih lagi secara rohani, emosi dan mental.


Masa depan yang penuh harapan bukan datang secara automatik- ia datang ketika manusia yang berdosa mencari wajah Tuhan. Ketika itu Tuhan akan melihat dari syurga, mendengar doa dan menjawab serta memulihkan keadaan mereka dan kita.


Masa depan yang penuh harapan ialah milik orang yang bertaubat- yang sedang berskandal, sedang menyembah berhala, sedang ketagihan porno, dadah dan arak, keganasan rumahtangga, mencuri, membunuh dan melakukan zina.


Oleh: Pr Edmund Kumar

Sumber: Facebook@Edmund Kumar



Comments


bottom of page