Roti, Nasi Dan Firman

“Manusia hidup bukan dengan roti sahaja tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut Allah.” — Matius 4:4 (AVB)
Bagi masyarakat Timur Tengah, baik pada zaman Yesus datang sebagai manusia mahupun pada masa kini, roti merupakan salah satu makanan asasi utama. Dalam konteks kita di Malaysia, nasi pula menjadi makanan asasi. Walaupun berbeza budaya dan jenis makanan, prinsipnya tetap sama: manusia memerlukan makanan setiap hari untuk meneruskan kehidupan.
Pernahkah kita terfikir, mengapa kita tidak pernah berhenti makan, tetapi kadangkala berhenti membaca dan belajar Firman Tuhan?
Kita makan setiap hari kerana tubuh memerlukan makanan. Demikian juga kehidupan rohani kita. Membaca, mempelajari dan merenungkan Firman Tuhan bukanlah sesuatu yang dilakukan sekali-sekala, tetapi seharusnya menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup orang percaya.
Namun, membaca Alkitab sahaja belum mencukupi. Kita perlu melangkah lebih jauh dengan menyelidiki, mengkaji dan memahami kebenaran Firman Tuhan secara mendalam. Belajar Firman Tuhan merupakan perjalanan sepanjang hayat.
Tujuan kita mempelajari Alkitab bukan semata-mata untuk menambahkan pengetahuan dalam fikiran. Kita belajar supaya semakin mengenal Tuhan, mengasihi-Nya, menghormati-Nya dan hidup dalam takut akan Dia. Amsal 1:7 mengingatkan bahawa takut akan TUHAN ialah permulaan pengetahuan.
Hal ini semakin penting dalam dunia hari ini. Pelbagai ajaran muncul atas nama kekristianan, namun tidak semuanya berpegang teguh pada kebenaran Alkitab. Tanpa pengenalan yang mendalam terhadap Firman Tuhan, kita mudah terpengaruh dan tersesat daripada jalan kebenaran.
Lebih daripada itu, kita belajar bukan hanya untuk diri sendiri. Paulus mengingatkan Timotius supaya mempercayakan apa yang dipelajarinya kepada orang yang dapat mengajar orang lain pula (2 Timotius 2:2). Kita belajar untuk mengenal Tuhan, bertumbuh dalam iman dan memperlengkapkan diri supaya dapat membimbing orang lain pula.
Oleh sebab itu, Saya ingin menggalakkan saudara-saudari supaya tidak berhenti pada pembacaan renungan harian sahaja. Ambillah peluang untuk mengikuti pembelajaran Alkitab secara lebih teratur dan mendalam.
Terdapat beberapa program pembelajaran Alkitab yang boleh diikuti, sama ada secara bersemuka ataupun dalam talian. Saya berharap saudara-saudari terdorong untuk mengambil bahagian dalam pembelajaran ini. Sesiapa yang berminat mengikuti pembelajaran dalam talian boleh menghubungi saya di whatsapp atau facebook messenger untuk keterangan lanjut.
Kita perlu ingat bahawa sebagaimana kita tidak pernah berhenti makan selagi masih hidup, demikian juga kita tidak seharusnya berhenti mempelajari Firman Tuhan sepanjang kehidupan kita.
Roti untuk tubuh. Nasi untuk kehidupan harian. Firman Tuhan untuk kehidupan rohani. Selagi hidup, teruslah belajar mengenal Tuhan kita melalui Firman-Nya.
Oleh: Pr Jubilie Apin
Sumber: Facebook@Jubilie Apin@Pena Rajawali




Comments