top of page

Ritma Rajawali

  • 11 hours ago
  • 2 min read

Dalam perjalanan saya melayani sebagai seorang pemimpin dan pelayanan Tuhan di ladang-Nya, ayat dalam Kitab Yesaya 40:31 ini bukan sekadar ayat hafalan ia menjadi realiti yang membentuk cara saya melihat keletihan, tekanan, dan pengharapan dalam pelayanan.


Ada musim dalam pelayanan di mana kita akan merasa sangat letih bukan hanya secara fizikal, tetapi juga emosi dan rohani. Jadual padat, keperluan di lapangan yang tidak pernah habis, pergumulan para penginjil, serta harapan daripada pelbagai pihak semuanya boleh menjadi beban yang berat.


Pada waktu-waktu seperti ini, naluri manusia kita adalah untuk terus “berlari” dengan kekuatan sendiri. Tetapi pengalaman telah mengajar saya satu prinsip yang sangat penting: pelayanan yang berpanjangan tidak boleh bergantung pada kekuatan manusia, tetapi pada pembaharuan dari Tuhan.


Frasa “those who wait on the Lord” sering disalahfahami sebagai pasif. Namun dalam konteks kepimpinan rohani, “menanti Tuhan” adalah satu disiplin aktif ia melibatkan doa yang mendalam, keheningan di hadapan Tuhan, refleksi firman, dan kesediaan untuk tunduk kepada kehendak-Nya. Dalam banyak keputusan pelayanan yang kompleks terutamanya melibatkan arah misi, kebajikan penginjil, atau kerjasama dengan penaja saya belajar untuk tidak tergesa-gesa. Menanti Tuhan memberi saya perspektif yang lebih jelas dan hati yang lebih tenang.


Saya juga melihat bagaimana Tuhan memperbaharui kekuatan dengan cara yang tidak dijangka. Ada masa di mana secara manusia, saya sudah “habis tenaga,” tetapi apabila saya kembali kepada Tuhan melalui doa dan firman saya mendapat kekuatan baru yang tidak logik secara manusia. Seperti gambaran “naik terbang seperti rajawali,” Tuhan tidak selalu mengubah keadaan di sekitar saya, tetapi Dia mengangkat cara pandang saya dari melihat masalah kepada melihat tujuan-Nya.


Dalam kepimpinan, ada tiga fasa yang sangat nyata dalam ayat ini:


1. “They shall mount up with wings like eagles” – Musim Inspirasi dan Visi Ini adalah saat Tuhan memberi gambaran besar visi pelayanan, arah masa depan, dan keyakinan untuk melangkah. Dalam pengalaman saya, ini sering terjadi selepas waktu doa yang mendalam. Tuhan memberikan kejelasan yang melampaui logik manusia.


2. “They shall run and not be weary” – Musim Produktiviti dan Tindakan. Di sinilah kerja keras berlaku lawatan lapangan, mengurus penginjil, membina jaringan, menyelesaikan isu. Dalam musim ini, kekuatan Tuhan membuat kita mampu melakukan lebih daripada kemampuan biasa tanpa cepat “burnout.”


3. “They shall walk and not faint” – Musim Ketekunan dan Kesetiaan. Ini mungkin bahagian paling mencabar. Pelayanan bukan selalu tentang pencapaian besar, tetapi kesetiaan dalam perkara kecil terus hadir, terus melayani, terus percaya walaupun hasil tidak segera kelihatan. Di sinilah karakter seorang pemimpin benar-benar diuji.


Secara peribadi, saya menyedari bahawa keberhasilan dalam pelayanan bukan diukur dari seberapa cepat kita bergerak, tetapi seberapa dalam kita bergantung kepada Tuhan. Ada hari kita “terbang,” ada hari kita “berlari,” dan ada hari kita hanya mampu “berjalan.” Tetapi ketiga-tiganya adalah sah dalam perjalanan iman selagi kita terus bersandar kepada Tuhan.


Akhirnya, ayat ini mengingatkan saya bahawa kunci keberlanjutan dalam pelayanan adalah ritma: menanti Tuhan, diperbaharui oleh Tuhan, dan kemudian melayani dengan kekuatan dari Tuhan.


Tanpa ritma ini, kita mudah keletihan. Dengan ritma ini, kita bukan sahaja bertahan tetapi terus bertumbuh dan memberi impak.


Refleksi yang sering saya tanyakan kepada diri sendiri, dan mungkin juga kepada anda: Adakah kita sedang melayani dengan kekuatan sendiri, atau kita benar-benar menanti Tuhan untuk memperbaharui kekuatan kita? Oleh Pr Jerry Ignacio Sumber : Whatsapp channel @ jerry ignacio

Comments


bottom of page