top of page

Setia Memikul Panggilan

3 days ago
2 min read

Semakin lama saya berada dalam pelayanan, semakin saya memahami bahawa pelayanan sejati tidak diukur pada mudahnya jalan, tetapi pada kesetiaan memikul panggilan Tuhan.


Ada perjalanan yang indah untuk dikenang, tetapi ada juga perjalanan yang melelahkan, sunyi, berlumpur dan tidak diketahui ramai. Ada masa kita melayani dengan penuh semangat, tetapi ada juga musim ketika kita perlu terus berjalan walaupun tiada tepukan, tiada penghargaan dan mungkin tiada siapa pun memahami beratnya tanggungjawab yang sedang kita pikul.


Di situlah saya belajar bahawa panggilan bukan sekadar tentang apa yang kita lakukan di hadapan orang ramai. Panggilan diuji melalui ketaatan kita ketika tiada siapa melihat.


Pelayanan bukan hanya berdiri di mimbar. Ia juga tentang tetap hadir ketika keadaan sukar, tetap mengasihi ketika hati terluka, tetap melayani ketika tenaga semakin berkurang, dan tetap percaya ketika hasil pelayanan belum kelihatan.


Kepimpinan juga bukan tentang seberapa ramai orang berjalan di belakang kita. Kadang seorang pemimpin perlu terlebih dahulu berjalan di jalan yang sunyi, membuka laluan, menanggung ketidakselesaan dan mengambil risiko supaya orang lain mempunyai jalan untuk dilalui kemudian.


Kerana itu, kepada sahabat-sahabat yang sedang melayani hari ini: jangan biarkan kesukaran membuat kita mempertikaikan panggilan Tuhan. Jalan yang sukar tidak semestinya bererti kita berada di jalan yang salah. Ada kalanya justeru di jalan yang sukar itulah Tuhan sedang membentuk ketahanan, karakter dan kedewasaan seorang pelayan.


Kepada mereka yang suatu hari nanti akan memasuki pelayanan, jangan hanya mempersiapkan diri untuk berdiri di mimbar. Persiapkan juga hati untuk berjalan jauh, mendengar keluhan umat, masuk ke tempat yang tidak selesa, belajar daripada kegagalan, menerima teguran, bekerja bersama orang lain dan tetap setia ketika pelayanan tidak berjalan seperti yang kita bayangkan.


Dan kepada para pelajar seminari yang sedang mempersiapkan diri: teologi bukan hanya untuk memenuhi kepala dengan pengetahuan, tetapi untuk membentuk hati seorang hamba. Belajarlah Firman Tuhan sedalam-dalamnya, tetapi pada masa yang sama izinkan Tuhan membentuk kerendahan hati, disiplin, ketekunan dan kasih kepada manusia. Dunia pelayanan tidak hanya memerlukan orang yang tahu berbicara tentang Tuhan; ia memerlukan orang yang telah belajar berjalan bersama Tuhan.


Akhirnya saya semakin sedar bahawa pelayanan bukan tentang membangun nama kita. Bukan tentang siapa yang paling dikenali. Bukan tentang siapa yang mempunyai pelayanan paling besar. Tetapi tentang satu perkara yang jauh lebih penting: Apakah kita tetap setia membawa terang Kristus sampai ke tempat yang Tuhan percayakan kepada kita?


Mungkin perjalanan itu panjang. Mungkin jalan itu berlumpur. Mungkin ada musim kita berjalan sendirian. Tetapi selama Tuhan masih memanggil, kita terus melangkah.


Kerana seorang pelayan tidak hidup untuk mencari kemuliaan dirinya sendiri. Kita dipanggil untuk memastikan bahawa melalui kehidupan, kepimpinan dan pelayanan kita, Kristus semakin terlihat dan kita semakin tidak perlu terlihat.


Teruslah belajar. Teruslah dibentuk. Teruslah melayani. Dan apabila jalan menjadi sukar, tetaplah maju bukan kerana kita kuat, tetapi kerana Dia yang memanggil kita tetap setia.


Oleh: Pr Jerry Ignacio

Sumber: Whatassap Channel@Renungan@Jerry Ignacio

Comments


bottom of page