top of page

Tuhan Baik, Ketika Hidup Tidak Baik

Ada pertanyaan yang bukan lahir daripada pemberontakan, tetapi daripada kasih. Pertanyaan yang tidak keluar dari hati yang dingin dan lemah, tetapi dari hati yang terlalu ambil peduli.

Pertanyaan itu berkata, “Kalau Tuhan itu baik, mengapa perkara jahat berlaku kepada orang benar?”

Saya mengenal satu keluarga. Isteri setia mengajar Sekolah Minggu. Suami aktif dalam pelayanan gereja, rajin masuk ke pedalaman, membantu membina gereja, menguatkan orang lain dalam iman. Mereka tidak hidup mewah, tetapi hidup mereka bermakna.

Suatu hari, suami itu meninggal dunia dalam satu kemalangan, dilanggar oleh pemandu mabuk. Dia mati bukan kerana kelalaiannya. Bukan kerana dosa yang nyata. Tetapi kerana kejahatan orang lain.

Isterinya tenggelam dalam kesedihan. Emosinya tidak menentu. Anak-anak membesar tanpa bapa dan meragukan kasih setia Tuhan.

Dalam situasi seperti ini, ayat teologi yang betul seperti “Tuhan itu baik”, yang datang terlalu awal kepada keluarga ini boleh melukai dan bukannya menghibur. Sebab berat mata kita memandang, lebih berat lagi bahu yang memikulnya.

Alkitab tidak pernah menyuruh kita tergesa-gesa bercakap. Sebaliknya, kita diajar untuk menangis bersama orang yang menangis (Roma 12:5). Ada masa Tuhan tidak menuntut pengakuan iman yang lantang, tetapi kehadiran yang nyata dan setia.

Saya juga teringat seorang lelaki lain.

Seorang yang setia dalam pelayanan, tidak pernah merungut. Datang awal, pulang lewat. Melakukan yang perlu tanpa mencari pujian.

Namun suatu hari, penyakit datang tanpa amaran. Tubuhnya menjadi lumpuh.Pergerakannya terbatas. Pelayanan yang dahulu aktif kini digantikan dengan katil, kerusi roda, dan kebergantungan kepada orang lain.

Tiada rungutan dari mulutnya.

Hanya satu pertanyaan yang sunyi di matanya: “Tuhan, sampai di sini sahaja?”

Alkitab tidak menafikan bahawa dunia ini kejam. Ia tidak menutup penderitaan dengan ayat-ayat manis. Yesus sendiri tidak mati di usia tua yang selesa. Dia mati kerana ketidakadilan, kebencian, dan dosa manusia.

Salib adalah pengakuan Allah bahawa dunia ini rosak. Dan Tuhan tidak berdiri jauh sambil memberi teori, Dia masuk ke dalam penderitaan itu sendiri.

Maka bila kita berkata “Tuhan baik”, kita bukan bermaksud hidup ini sentiasa baik dan adil sekarang. Bila kita isytihar, “Tuhan itu baik”, kita bukan berkata orang yang setia kepada Tuhan tidak akan menderita.

Sebaliknya kita mengaku Tuhan baik kerana Dia tidak meninggalkan manusia ketika hidup kita dalam kesakitan, kelukaan, kehancuran, penderitaan, kekecewaan dan sebagainya.

Tuhan dekat kepada orang yang menderita patah hati. Dia bersama mereka yang tidak lagi punya jawapan. Kadang-kadang beriman itu bukan tentang memahami “mengapa”, tetapi tentang tidak melepaskan Tuhan dalam keadaan sukar dan mencabar walaupun tidak faham.

Kepada kawan-kawan dan saudara-saudari yang sedang menderita sakit, keterbatasan pergerakan, putus cinta, dan berduka dalam apa juga keadaan, mungkin tindakan terbaik bukan memberi penjelasan, tetapi memberi kehadiran. Duduk bersama, diam bersama, menangis bersama dan berdoa bersama.

Dan akan tiba masanya kita dapat berkata dengan rendah hati: “Tuhan baik, kerana walaupun hidup ini penuh luka, Dia masih memegang kita.”

Dan firman Tuhan berjanji pada suatu hari, Dia sendiri akan menghapus setiap air mata kita.

“Dan Ia akan menghapus segala air mata dari mata mereka, dan maut tidak akan ada lagi; tidak akan ada lagi perkabungan, atau ratap tangis, atau dukacita, sebab segala sesuatu yang lama itu telah berlalu.” (Wahyu 21:4)

Air mata kehidupan tidak dinafikan dalam kebenaran firman Tuhan. Ia malah dihitung dan diingati.

Iman Kristian bukan jawapan mudah kepada penderitaan, tetapi pengharapan terakhir ketika semua jawapan lain runtuh.

Dan mungkin itulah maksud terdalam pengakuan iman yang berkata, Tuhan tetap baik, bukan kerana hidup ini ringan, tetapi kerana Dia telah berjanji akan setia bersama kita sekarang, dan sampai ke selama-lamanya sehingga kekekalan. Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook @ jubilie apin

Related Posts

See All

Comments


bottom of page