Support Us
Support Us
Cari
3262 results found with an empty search
- DOA NECF Hari 22: Warisan Mengiringi Keselamatan
Kitab Suci: Ibrani 6:9 – 12 Renungan: Kerana keselamatan kita dalam Kristus Yesus telah memulihkan hubungan kita dengan Tuhan, kini kita dapat memanggil Dia, Abba, Bapa. Roma 8:16 mengatakan kita adalah anak-anak Tuhan. Ayat 17 mengatakan, “Dan jika kita adalah anak, maka kita juga adalah ahli waris, maksudnya orang-orang yang berhak menerima janji-janji Allah, yang akan menerimanya bersama-sama dengan Kristus, yaitu jika kita menderita bersama-sama dengan Dia, supaya kita juga dipermuliakan bersama-sama dengan Dia.” Efesus 2:10 mengatakan, “Karena kita ini buatan Allah, diciptakan dalam Kristus Yesus untuk melakukan pekerjaan baik, yang dipersiapkan Allah sebelumnya. Ia mau, supaya kita hidup di dalamnya.” Marilah kita melakukan pekerjaan baik dan bekerja demi Nama-Nya kerana itu adalah sebahagian dari rancangan Tuhan selepas penyelamatan. Mengasihi Tuhan dan sesama merupakan perkara penting dari sifat baru kita dalam Kristus Yesus. Tuhan mengingati perbuatan baik, kasih, dan jerih payah kita untuk Kerajaan-Nya kerana Dia adil. Marilah kita terus bertekun lebih gigih lagi dengan pengharapan dapat mewarisi janji-janji-Nya pada masanya sambil menunggu dengan sabar. Kita bertahan kerana pengharapan dan pengharapan ini tidak akan pernah mengecewakan. Roma 5:5 mengatakan, “Dan pengharapan tidak mengecewakan, karena kasih Allah telah dicurahkan di dalam hati kita oleh Roh Kudus yang telah dikaruniakan kepada kita.” Doa: Bapa Syurgawi yang dikasihi, kami berterima kasih kepada-Mu kerana mengingati pekerjaan kami, walaupun tidak signifikan jika dibandingkan dengan pekerjaan Anak-Mu, Yesus. Kami dapat melakukan pekerjaan yang baik kerana Engkau telah membolehkan kami berbuat demikian, dan kami menantikan Hari yang akan datang apabila kami akan mewarisi Kerajaan yang telah Engkau sediakan untuk mereka yang mentaati Engkau. Dalam nama Yesus, kami berdoa, Amin! Berdoa agar pembaharuan yang dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk membentuk belia dan budaya sukan akan terus maju dan agar semangat kasih sayang, kecemerlangan, dan perpaduan akan dibangunkan dengan kukuh dalam diri belia Malaysia. Berdoa agar gereja-gereja di kawasan bandar dan luar bandar menjadi kreatif apabila menjangkau komuniti belia mereka, dan agar program yang mereka reka akan menarik belia namun, pada masa yang sama, membimbing mereka kepada Kebenaran dalam Yesus. Rev James Doss
- Jangan Merahsiakan Kebenaran dari Orang Lain
“…Malanglah kamu, guru Taurat! Kamu menyimpan kunci yang dapat membuka pintu pengetahuan tentang kehendak Allah, tetapi kamu tidak mahu masuk ke dalam. Sebaliknya kamu menghalangi orang yang mahu masuk!.......” Lukas 11:52 Yesus menegur para ahli Taurat dengan tindakan mereka yang menjadi penghalang kepada orang lain yang ingin untuk belajar akan pengetahuan kebenaran tentang kehendak Allah. Sebab mereka sudah diberikan oleh Tuhan pengetahuan bagaimana caranya dapat hidup berkenan di hadapan Tuhan, iaitu ajaran yang digambarkan sebagai “..kunci...” Walaupun mereka telah diberikan oleh Tuhan pengetahuan tentang bagaimana caranya orang dapat hidup berkenan di hadapan Tuhan, tetapi mereka sendiri tidak mahu belajar tentang pengetahuan akan kebenaran berhubungan dengan kehendak Tuhan itu. Oleh sebab mereka sendiri tidak mahu menggunakan ajaran tentang kehendak Allah itu bagi diri mereka sendiri, malah mereka bertindak sebagai penghalang kepada semua orang yang ingin mengetahui tentang ajaran itu. Sebaliknya mereka terus-menerus merahsiakan semua pengetahuan tentang bagaimana caranya seseorang dapat menjalani kehidupan yang berkenan di hadapan Tuhan.. Dengan itu Yesus berkata bahawa mereka (para ahli Taurat) adalah “..malanglah..” dengan kata lain “…Celakalah….”. kerana sikap mereka yang merahsiakan kebenaran itu kepada orang lain, maka sikap sebegini merupakan hal yang sangat tidak berkenaan kepada Tuhan. Sebab kebenaran tentang pengetahuan akan kerajaan Tuhan haruslah dikongsikan kepada semua orang. Oleh itu janganlah kita merahsiakan semua ajaran Tuhan yang kita tahu kepada orang lain, Doa: Tuhan ajar saya untuk mengongsikan kebenaranMu kepada orang yang ada di sekeliling saya, agar mereka juga akan mengalami kasih dan berkat anugerah-Mu di dalam kehidupan mereka seperti saya mengalaminya juga. Di dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Jangan Mudah Tersinggung dengan Teguran
“…Salah seorang guru Taurat berkata kepada Yesus, “Guru, apabila guru berkata begitu, guru menghina kami juga!”......” Lukas 11:45 Sewaktu Yesus berkata tentang “…hukuman yang mengerikan akan menantikan mereka yang meresapkan sifat yang jahat ke dalam hidup orang yang mengikuti mereka, bagaikan kuburan yang tersembunyi. Di mana orang akan melaluinya tanpa sedar tentang kemunafikan mereka sehingga mempengaruhi kehidupan mereka. Oleh itu Yesus memberitahu pengikut-pengikut-Nya supaya berhati-hati terhadap pengaruh kepalsuan mereka yang suka berpura-pura. Sebab hal ini tidak disukai Tuhan, dengan itu seorang guru Taurat yang mendengar teguran Yesus ini berkata kepada-Nya, “..Guru, apabila guru berkata begitu, guru menghina kami juga..” Teguran Yesus ini telah menyebabkan hati seorang ahli Taurat yang ada di situ berasa tersinggung. Dengan serta-merta dia berkata kepada Yesus "..Guru, dengan berkata demikian, Engkau menghina kami juga, kerana kami ini ahli Taurat. Jadi masakan kami ini orang munafik?.." Ingatlah, orang yang mudah tersinggung apabila mendengar teguran adalah orang yang belum dewasa secara rohani. Sebab seseorang yang dewasa secara rohani pasti akan mendengar dan menerima teguran dengan terbuka. Mereka sentiasa mengejar kerendahan hati dirinya dan tidak membela diri. Oleh itu jangalah kita mudah tersinggung apabila kita mendengar teguran dan jangan menganggap teguran sebagai hinaan tetapi pandanglah setiap teguran itu sebagai berkat untuk membentuk hidup kita menjadi lebih baik. Amsal 6:23 Sebab, perintah adalah sebuah pelita, dan ajaran adalah sebuah cahaya, dan teguran didikan adalah jalan kehidupan, Doa: Bapa yang di surga, ajar saya untuk menerima teguran dengan terbuka dan bukan melihat teguran sebagai hinaan, berilah saya hati yang sentiasa terbuka dengan teguran, sebab teguran memberi kebaikan kepada hidup saya. Di dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Pengampunan Membawa Pemulihan Hubungan
Saya pernah melalui saat paling sukar dalam hubungan saya dengan ayah. Ketika ayah memaksa saya berpisah dengan pasangan pilihan saya yang sudah 8 tahun bersama, saya sangat terluka. Saya rasa tidak dihargai, tidak difahami, dan dipaksa memilih sesuatu yang bertentangan dengan hati saya. Akibatnya, saya menjauhkan diri daripada keluarga dan memilih untuk “melarikan diri” ke bandar besar. Bertahun-tahun lamanya, saya tidak pernah menghubungi ayah, kerana kelukaan itu masih terasa dalam hati saya. Namun, satu hari dalam kelas pemuridan, kami belajar tentang mengampuni orang yang telah melukakan kita. Dalam saat doa bersama mentor saya, nama pertama yang muncul dalam fikiran saya adalah: ayah. Saya sedar, selama ini saya terikat dengan kepahitan yang belum saya lepaskan. Dengan bimbingan dan doa mentor saya, saya mula melangkah, mendoakan ayah saya, dan perlahan-lahan belajar mengampuninya. Dalam proses itu, Tuhan melembutkan hati saya dan memulihkan luka-luka lama yang saya simpan. Akhirnya, saya berani menghubungi ayah semula dan memohon ampun kerana menjauhkan diri. Perbualan pertama kami dipenuhi air mata, tetapi juga kelegaan. Tuhan memulihkan hubungan kami. Saya belajar bahawa pengampunan bukan bermaksud melupakan apa yang terjadi, tetapi memilih untuk melepaskan kepahitan dan membiarkan Tuhan menyembuhkan. Bila kita melepaskan pengampunan, Tuhan akan menggantikan luka itu dengan pemulihan. "Bersabarlah terhadap satu sama lain, maaf-memaafi, jika seseorang ada sesuatu aduan terhadap yang lain. Sebagaimana Tuhan telah mengampuni kamu, demikianlah kamu harus mengampuni sesama sendiri." (Kolose 3:13, AVB) Kalau kamu masih menyimpan luka terhadap seseorang; ibu, ayah, pasangan, atau sesiapa pun, saya dorong kamu untuk datang kepada Tuhan. Biar Tuhan bantu kamu mengampuni, seperti Dia juga sudah mengampuni kita. Segala pujian hanya kepada Tuhan. Dia bukan hanya memulihkan hati saya, tetapi juga mengembalikan hubungan yang saya sangka sudah hilang. Evelyn Anda ada kesaksian yang anda ingin kongsikan? Hantar kepada kami di general@komuniti-digital.com
- Tanggalkan Segala Kepura-puraan dalam Hidup Kita
“….Malanglah kamu! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi yang dibunuh oleh nenek moyang kamu. Dengan tindakan itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyang kamu. Mereka membunuh nabi-nabi itu dan kamu membuat kubur bagi para nabi itu......” Lukas 11:47-48 Yesus menegur sikap kepura-puraan ahli-ahli Taurat terhadap para nabi yang telah dibunuh oleh nenek moyang mereka, dengan kembali membangun dan menghiasi kubur-kubur para nabi, pada hal mereka yang menyetujui pembunuhan para nabi oleh nenek moyang mereka. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka bahawa “..mereka yang menyetujui perbuatan nenek moyang mereka yang membunuh para nabi, sebab mereka sendiri membenci dan menganiaya para nabi yang hidup pada masa mereka sendiri, yang diutus oleh Allah kepada mereka untuk melakukan tugas yang sama, iaitu untuk mengajak mereka bertaubat dan mengarahkan diri mereka kepada Kristus..." Walaupun mereka menghiasi setiap kubur-kubur para nabi yang telah dibunuh oleh nenek moyang mereka dengan sangat baik sebagai tanda penghormatan, namun pada hari ini mereka dengan sangat keras memusuhi para nabi yang hidup dalam kalangan mereka, iaitu para nabi dan rasul yang telah diutus oleh Tuhan di dalam roh dan kuasa kepada mereka. Mereka tidak mendengar pemberitaan mereka namun mereka (ahli guru Taurat) membunuh dan menganiaya mereka (para nabi dan rasul) yang diutus oleh Tuhan kepada mereka. Oleh itu Tuhan menguji mereka, dengan membongkarkan kemunafikan mereka yang sangat menjijikkan, dengan mengutus seorang nabi untuk menegur akan dosa-dosa mereka dan memperingatkan mereka akan penghakiman Allah yang akan datang. Bagaimana dengan diri kita pada hari ini, sebagai seorang yang sesungguhnya percaya kepada Tuhan Yesus, kita harus menyingkirkan segala kepura-puraan dan kemunafikan kita yang ada di hadapan Tuhan. Kita menunjukkan sikap kita di hadapan orang dengan sangat baik, namun dalam hati, kita sangat membenci orang yang datang menegur kita. Hal ini adalah sebuah kepura-puraan. Oleh itu hiduplah benar di hadapan Tuhan, jangan membenci mereka yang menegur kita. Doa: Tuhan Yesus, saya datang kepadaMu, mengakui segala dosa kepura-puraan saya, ampunilah dan bersihkanlah hati saya, berilah hati yang ikhlas dan jujur dalam semua tindakan saya, agar setiap orang di sekeliling saya didorong dan diberkati. Di dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Tuhan Menyediakan Pada Waktu yang Tepat
Saya perlu berpindah dari bilik sewa ke sebuah unit rumah atas beberapa sebab tertentu. Namun pada ketika itu, belum setahun pun dari waktu saya memulakan pekerjaan dan tidak mempunyai simpanan untuk membayar deposit rumah. Lebih mencabar lagi, saya hanya ada kurang daripada dua minggu untuk menyediakan beberapa ribu ringgit. Secara manusia, saya rasa ia mustahil. Tetapi saya memilih untuk tidak panik. Saya mengambil masa untuk berdoa dan mencari Tuhan. Dalam doa, Tuhan memberi saya visi tentang rumah tersebut bahawa tempat itu bukan sekadar tempat tinggal, tetapi sebahagian dari rancangan-Nya dalam hidup saya. Apa yang saya mampu lakukan waktu itu hanyalah taat dan melakukan bahagian saya. Pada hari terakhir tarikh untuk membayar deposit rumah, saya sedang melakukan pelayanan di luar kawasan, dengan internet “no service” dari pagi. Tepat jam 12 tengah hari, jumlah penuh yang diperlukan berjaya dikumpulkan dan dikirim kepada pemilik rumah baru. Ia bukan kerana usaha saya semata-mata, tetapi jelas kerana kemurahan dan penyediaan Tuhan. Saya belajar bahawa apabila Tuhan memberi visi, Dia juga akan sediakan jalan. Tuhan tidak pernah terlambat dan tidak pernah terlalu awal. Waktu-Nya sempurna, dan penyertaan-Nya nyata. "TUHAN ialah gembalaku, aku tidak akan kekurangan apa-apa pun." (Mazmur 23:1, AVB) Kalau kamu sedang hadapi keperluan mendesak, jangan putus harapan. Datanglah kepada Tuhan dalam doa. Bila kamu ikut pimpinan-Nya, kamu akan lihat penyediaan-Nya tepat pada waktu-Nya. Segala pujian dan kemuliaan hanya bagi Tuhan. Dia setia, dan tidak pernah gagal menepati janji-Nya. Anda ada kesaksian yang anda ingin kongsikan? Hantar kepada kami di general@komuniti-digital.com
- Jangan Sekali-kali Membezakan Orang Mengikut Cita Rasa Kita
“…Yesus menjawab, “Malanglah kamu guru Taurat! Kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu.......” Lukas 11:46 Oleh sebab ahli-ahli Taurat memuji-muji diri mereka sendiri kerana mereka memiliki nama yang baik dalam kalangan orang banyak. Selain itu, mereka juga berfikir bahawa mereka adalah orang-orang yang berbahagia kerana mereka mempelajari hukum Taurat dan tahu seluk-beluk semuanya. Demikian juga mereka memiliki penghormatan untuk mengajar pengetahuan tentang hukum Taurat kepada orang banyak. Oleh itu Yesus menegur mereka, sebab mereka membebani orang lain dengan aturan-aturan agama yang begitu sukar untuk diikuti. Namun mereka sendiri hanya berpura-pura sebagai orang baik dan sama sekali tidak berusaha untuk mengikuti peraturan-peraturan itu. Oleh itu hal ini tidak sekali-kali menyenangkan hati Yesus kerana mereka hanya membuat kegiatan-kegiatan ibadah lebih berbeban bagi orang lain, tetapi mengambil bahagian yang lebih ringan untuk diri mereka sendiri, lebih daripada apa yang dituntut oleh Tuhan daripada semua orang di dalam menjalani kegiatan ibadah. Bagaimana dengan diri kita pada hari ini, apakah kita memberikan peraturan kepada orang lain dengan sangat ketat namun bagi diri sendiri kita melonggarkan peraturan itu tanpa melaksanakan seperti orang yang lain. Oleh itu hal ini tidak wajar sebab semua harus sama-sama mengikuti setiap peraturan yang dibuat. Oleh itu janganlah kita mengikut sikap ahli Taurat ini, yang memberi peraturan yang ketat kepada orang lain tetapi bagi diri sendiri mereka melonggarkannya. Demikian juga terhadap orang-orang yang lain dalam gereja kita. Jangan kita membuat peraturan dalam gereja berat sebelah oleh sebab kita suka orang ini dan tidak suka orang itu. Dengan itu kita haruslah sama-sama dengan semua orang tanpa membezakan satu dengan yang lain. Doa: Tuhan ajar saya supaya melihat semua orang adalah sama seperti Engkau melihat Yesus melihat kita. Ampunilah saya atas kelemahan saya, ajar saya mengikut jalanMu. di dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Tuhan Pulihkan Daddy Saya dari Covid-19 Tahap 4
Sewaktu pandemik melanda, daddy saya dijangkiti Covid-19 tahap 4 dan terpaksa ditidurkan. Keadaannya sangat kritikal. Kami sekeluarga hidup dalam ketakutan, bimbang akan kemungkinan kehilangan orang yang kami kasihi. Dalam masa yang sama, kami berdepan tekanan kewangan kerana kos rawatan di hospital swasta sangat tinggi dengan katil di hospital kerajaan, semua penuh. Jumlah yang telah dibayar hanya mampu menampung beberapa hari sahaja lagi. Saya masih ingat kata-kata dari pihak akaun hospital kepada abang saya, “Jika ayah kamu mengalami serangan jantung hujung minggu ini, kami tidak akan lakukan apa-apa untuk menyelamatkan dia.” Hati kami hancur. Namun, pada waktu itu, seluruh keluarga besar kami bersatu dalam doa. Kami menangis dan berseru kepada Tuhan agar satu keajaiban terjadi. Tuhan menjawab dengan cara yang kami tidak sangka. Keesokan harinya, secara tiba-tiba satu katil kosong tersedia di hospital kerajaan. Tanpa berlengah, kami memindahkan daddy saya ke sana dan terus menerima rawatan yang diperlukan. Beberapa hari kemudian, daddy dibangunkan dan mula menunjukkan pemulihan yang luar biasa cepat. Hari ini, daddy saya sudah kembali sihat seperti sedia kala dan mulai bekerja seperti biasa. Saya belajar bahawa apabila kita berdoa dengan berserah, Tuhan mampu membuka jalan yang tidak pernah kita fikirkan. Kuasa-Nya nyata dalam saat-saat yang paling gelap. "Orang yang benar berseru merayu, dan TUHAN mendengar; lalu menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan mereka." (Mazmur 34:17, AVB) Jika kamu sedang berdepan dengan situasi yang mustahil, baik mengenai kesihatan mahupun kewangan, jangan berhenti berdoa. Tuhan mendengar seruanmu, dan Dia mampu melakukan lebih dari yang kamu sangka. Segala kemuliaan hanya kepada Tuhan. Dia telah menunjukkan belas kasihan dan kuasa-Nya dalam hidup keluarga saya. Anda ada kesaksian yang anda ingin kongsikan? Hantar kepada kami di general@komuniti-digital.com
- Berhati-hati Terhadap Pengaruh yang Jahat
“…Malanglah kamu! Kamu seperti kubur tidak bernisan, yang dipijak-pijak orang tanpa disedari.”.......” Lukas 11:44 Yesus berkata kepada kita bahawa orang-orang Farisi bagaikan kuburan yang tersembunyi atau kubur yang tidak kelihatan, di mana orang yang berjalan di atas kubur itu mereka tidak mengetahui bahawa mereka sudah menajiskan diri mereka.. Oleh itu apabila seorang ahli Taurat mendengar apa yang dikatakan oleh Yesus maka ahli Taurat yang sedang berdiri di situ berkata kepada Tuhan Yesus “…Guru, dengan kata-kata-Mu itu Engkau menghina atau menyinggungkan kedudukan kami juga." Yesus berkata sedemikian kepada orang-orang ahli Taurat kerana kehidupan mereka yang sangat munafik, yang suka menutupi kekejian hati mereka dengan segala macam kepura-puraan dan hidup dalam berbagai macam kepalsuan. Oleh sebab sifat hidup mereka yang penuh kepuraan-puraan ini maka mereka (orang ahli Taurat) telah menyebabkan orang lain terpengaruh “…iaitu orang mengikuti mereka (ahli Taurat) dengan itu secara tidak langsung mereka telah meresapkan sifat kemunafikan kehidupan ahli Tuarat yang tidak berkenaan di hadapan Allah di dalam hidup mereka…” Itulah sebabnya Yesus berkata bahawa ahli Taurat digambarkan bagai kubur yang tertutup dengan rumput, yang tidak terlihat. Orang-orang yang berjalan di atasnya tidak sedar bahawa ada kubur di situ, sehingga mereka menyentuh kubur itu akhirnya mereka menjadi najis menurut hukum Taurat." Dengan itu harus berhati-hati terhadap mereka yang hidup dalam kepura-puraan, seakan-akan mereka hidup sangat suci, namun di dalam hati mereka penuh dengan kepura-puraan. Oleh itu, kita harus hidup akrab dengan Tuhan agar kehidupan orang yang penuh kepalsuan itu tidak mempengaruhi kehidupan kita. Doa: Tuhan ajar saya untuk menjalani kehidupan ini dengan penuh hikmat dan kebijaksanaan, agar saya tidak terpengaruh dengan cara hidup yang tidak berkenaan di hadapan-Mu, malah saya akan hidup terus-menerus memuliakan Tuhan. Di dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa, amin. Pr Patrick Taie












