top of page

Cari

3262 results found with an empty search

  • Orang yang Diberkati Menurut Yesus

    Tetapi Yesus berkata, “Bahkan lebih diberkati lagi orang yang mendengar firman Allah dan mematuhinya.” Lukas 11:28 AVB   Yesus  telah menjelaskan kepada orang ramai  apa yang akan terjadi sekiranya seseorang yang telah dibebaskan daripada roh  jahat  tidak memenuhi dirinya dengan kebenaran firman Allah. Sebab roh jahat itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya, roh itu akan pulang ke rumah yang telah ditinggalkannya. Apabila roh itu pulang dan mendapati rumah itu bersih dan kemas, ia akan pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya, keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu.   Setelah Yesus selesai bercakap, seorang perempuan antara orang ramai itu berkata, “Diberkatilah perempuan yang melahirkan dan menyusui Engkau (Yesus).” Akan tetapi, Yesus memberitahu orang ramai yang ada di situ, “Bahkan lebih diberkati lagi orang yang mendengar firman Allah dan mematuhinya.”   Sebenarnya perempuan itu memang memiliki hati yang baik dan tulus sewaktu dia beranggapan  bahawa perempuan yang melahirkan Yesus dan yang menyusui-Nya merupakan orang yang sangat berbahagia atau diberkati.   Walaupun seruan perempuan itu daripada hati yang baik dan ikhlas, tetapi Yesus menolak anggapan itu kerana menurut-Nya, hubungan yang istimewa bukanlah berdasar pada hubungan darah atau banyak menyaksikan mukjizat atau mengalami tanda ajaib. Apa yang diperkenan Allah ialah seseorang yang mendengar firman-Nya lalu mentaatinya.  Orang sedemikianlah yang dikatakan berbahagia dan diberkati.    Dengan itu, orang yang berbahagia dan diberkati menurut Yesus ialah orang yang rajin mendengar, merenung, memelihara, dan mematuhi firman Allah kerana melalui cara inilah kita dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Selain itu, kebahagiaan yang sejati dikecapi apabila kita menjadi pelaku firman Allah yang taat setia.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk mengutamakan hubungan peribadiku dengan-Mu  dalam segala perkara yang aku lakukan. Inilah aku. Pakailah hidupku  demi memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Lengkapkan Hidup Kita dengan Firman Allah

    “Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu.”   Lukas 11:26 AVB   Yesus melanjutkan ajaran-Nya tentang peristiwa pembebasan orang  bisu yang dirasuk oleh roh iblis. Dengan menyampaikan ibarat Yesus memberitahu bahawa apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat. Bagaimanapun, apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya. Di sini rumah merujuk kepada tubuh orang yang sudah dibebaskan daripada penguasaan roh jahat.   Dengan tegasnya, Yesus memperingatkan mereka yang membuat tuduhan tentang cara Dia membebaskan orang bisu daripada penguasaan roh jahat. Menurut Yesus, apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya, roh itu akan pulang ke rumah yang telah ditinggalkannya.   Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu bersih dan kemas. Lalu roh itu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu.   Akibatnya, keadaan orang itu akan menjadi jauh lebih teruk lagi kerana roh jahat yang pertama telah membawa tujuh roh jahat lain yang lebih durjana daripadanya untuk memasuki tubuh orang itu lalu tinggal di dalamnya. Betapa sedih dan malangnya bahawa orang yang awalnya sudah bebas  terkongkong pula secara  lebih dahsyat lagi.   Dengan itu, apabila kita dibersihkan daripada segala kejahatan, maka kita harus memenuhi hati kita dengan kebenaran firman Allah agar hidup kita tertutup sama sekali daripada roh jahat.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu demi memuji dan mengagungkan nama-Mu. Kerana hadirat-Mu, aku dapat menikmati perkara-perkara yang besar dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Yesus Datang Membebaskan Kita daripada Roh Iblis

    “Orang yang tidak berpihak kepada-Ku menentang-Ku; dan orang yang tidak mengumpulkan bersama-Ku mencerai-beraikan.”   Lukas 11:23 AVB   Demi menyangkal tuduhan orang yang menentang Tuhan Yesus, maka Dia menggunakan ibarat tentang sebuah rumah; “Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat;  tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya.”   Jika seseorang itu berpihak kepada orang gagah yang mengawal rumah itu, pasti dia tidak akan menentangnya kerana mereka sepihak. Sebaliknya, sekiranya mereka tidak sepihak, tentulah mereka akan beradu kekuatan demi menentukan siapa yang lebih gagah.   Demikianlah hal dengan Tuhan Yesus yang mengusir roh iblis daripada orang bisu itu. Sebab mereka bukanlah sama pihak, maka roh jahat itu harus dihalau. Memandangkan orang gagah yang menjaga rumah itu tidak sekali-kali berpihak kepada Yesus yang lebih gagah, itulah sebabnya dia menentang Yesus dan tidak menolong Yesus tetapi cuba menjejaskan pekerjaan Yesus.   Jelaslah bahawa Yesus datang untuk membebaskan rumah yang dikawal atau ditawan oleh roh iblis yang tidak berpihak kepada-Nya. Di sini rumah dapat merujuk kepada tubuh mereka yang dikuasai oleh roh iblis. Yesus datang untuk membebaskan mereka daripada kongkongan roh iblis agar mereka  menjadi milik-Nya.   Itulah sebabnya roh iblis sentiasa mencari peluang  merampas orang yang dimiliki oleh Tuhan Yesus untuk menjadi rumah kediamannya.  Syukurlah, Tuhan Yesus Kristus datang agar semua orang boleh dibebaskan daripada cengkaman roh iblis. Oleh itu, janganlah membuka ruang kepada  roh iblis untuk menguasai kita. Hendaklah tubuh kita menjadi tempat kediaman Roh Kudus dan biarlah Dia terus berkuasa atas hidup kita.   Doa: Ya Tuhan Yesus, Engkaulah Tuhan yang datang untuk membebaskan aku daripada belenggu roh iblis. Kuasa-Mu lebih besar daripada kuasa roh yang ada di dunia ini. Engkau datang supaya manusia beroleh hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah. Dalam nama-Mu aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Dengan Kuasa Allah, Roh Iblis Dihalau daripada Orang Bisu

    “Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu .” Lukas 11:20 AVB   Sewaktu Tuhan Yesus mengusir roh iblis daripada seorang yang bisu, orang ramai tercengang. Akan tetapi, terdapat beberapa orang yang curiga tentang mukjizat yang terjadi. Mereka mula bercakap antara satu sama lain dengan menaruh syak terhadap kuasa Yesus sehingga mereka membuat tuduhan bahawa Yesus menghalau roh iblis dengan kuasa yang diberikan oleh Beelzebul, ketua  roh iblis.   Golongan lain pula menjadikan mukjizat itu sebagai batu sandung bagi diri mereka. Mereka mahu memerangkap Yesus dengan meminta Yesus melakukan mukjizat bagi membuktikan bahawa Dia sesungguhnya datang daripada Allah.   Demi menyangkal tuduhan mereka bahawa Dia telah mengusir roh iblis yang membelenggu orang  bisu itu dengan menggunakan kuasa yang diberikan oleh Beelzebul ketua semua roh iblis, Yesus bertanya kepada mereka, “... jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu.  Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu.”   Dengan kata lain, pengusiran roh iblis daripada orang  bisu itu membuktikan bahawa Allah sudah pun memerintah di tengah-tengah mereka. Itulah sebabnya orang bisu itu boleh dibebaskan daripada kongkongan roh iblis.   Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Setiap kita yang percaya kepada Yesus dan telah menerima-Nya sebagai Tuhan dan Penyelamat hidup secara peribadi diberi kuasa untuk mengusir roh iblis. Ingatlah baik-baik bahawa kita langsung tidak perlu  takut kepada roh iblis kerana “ … roh yang ada padamu lebih berkuasa daripada roh yang ada di dalam dunia ini.” 1 Yohanes 4:4b AVB   Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku berterima kasih kepada-Mu kerana Engkau telah memberi sesiapa sahaja yang telah bertaubat dan menerima Tuhan Yesus ke dalam hidup secara peribadi pada hari ini kuasa ke atas semua roh jahat. Sesungguhnya, Engkaulah  Pelindungku yang perkasa. Maka aku kuat dan pasti menang. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Berhati-hati Terhadap Orang yang Hendak Memerangkap Kita

    Orang lain menduga-Nya dengan meminta suatu tanda dari syurga. Lukas 11:16 AVB   Pada suatu hari Yesus mengusir roh iblis daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar,  orang bisu itu pun mula bercakap. Apabila orang ramai menyaksikan keajaiban itu,  mereka pun tercengang. Namun demikian, terdapat beberapa orang yang bersangka buruk lalu mereka membuat tuduhan bahawa Yesus menghalau roh iblis dengan kuasa Beelzebul, ketua roh iblis.   Segelintir orang  yang melihat Yesus mengusir roh iblis daripada orang bisu, mula mencari jalan untuk memerangkap-Nya. Mereka  pun menduga Yesus dengan meminta suatu tanda dari syurga, iaitu meminta Yesus untuk melakukan mukjizat bagi membuktikan bahawa Dia benar-benar datang daripada Allah. Akan tetapi, Yesus mengetahui isi hati mereka.   Maka Yesus menggunakan  ibarat untuk mengajar mereka yang hendak memerangkap diri-Nya dengan berkata, “Kerajaan yang berpecah belah tidak akan tahan lama, dan keluarga yang berpecah belah akan hancur.  Jika Iblis berpecah belah sesama sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul. Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu.”    Memang Yesus mengetahui  muslihat atau niat jahat mereka. Oleh yang demikian, Yesus bukan sahaja tidak memenuhi permintaan mereka untuk melakukan mukjizat bagi membuktikan bahawa Dia sesungguhnya datang daripada Allah tetapi juga menggunakan  ibarat untuk menegur golongan tersebut.   Pendek kata, kita harus mengajar dan melatih diri kita supaya sentiasa berhati-hati terhadap permintaan orang yang ada di sekeliling kita pada hari ini. Sebab kita tidak selalu mengetahui motif atau niat sebenar mereka. Marilah kita meminta hikmah dan bimbingan Allah atas hidup kita agar kita tidak akan terjebak dalam perangkap mereka.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon hikmah dan pimpinan agar aku tidak akan terperdaya ketika aku mendengar permintaan orang yang ada di sekelilingku.  Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Teruslah Berdoa, kerana Dia Allah yang Tahu Memberikan yang Terbaik

    “Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan Roh Kudus kepada mereka yang meminta daripada-Nya!”   Lukas 11:13 AVB   Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa sekiranya bapa mereka yang ada di dunia ini tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak, apalagi Bapa mereka yang di syurga. Dia lebih lagi tahu memberi mereka yang terbaik, bahkan Dia akan memberikan  Roh Kudus kepada mereka yang meminta daripada-Nya.   Oleh itu, mereka tidak harus waswas memohon berkat daripada Bapa syurgawi mereka kerana Dia tentu akan memberikan apa yang baik kepada mereka. Mereka hendaklah tidak jemu-jemunya  meminta,  mencari dan  mengetuk. Sebab Bapa mereka yang di syurga ialah Bapa yang  Maha Baik.   Sikap untuk terus berdoa dengan tidak henti-henti menunjukkan seseorang itu betul-betul percaya kepada Allah. Sebab berdoa ialah cara seseorang yang percaya datang menghadap Allah untuk memohon sesuatu atau meluahkan isi hatinya kepada-Nya.   Ingatlah untuk bertekun dalam doa dan sentiasa yakin bahawa Allah sebagai Bapa yang baik sama sekali tidak akan mendatangkan musibah kepada kita tetapi Dia akan  memberikan yang terbaik kepada kita yang terus meminta, mencari dan mengetuk.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk terus-menerus berdoa memanjatkan segala permohonanku kepada-Mu. Yakinkan  hatiku sewaktu aku berdoa kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Ketuklah Pintu dan Pintu akan Dibuka

    “Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.” Lukas 11:9 AVB   Yesus mengajar murid-murid-Nya supaya terus mengetuk pintu kerana pintu akan dibuka bagi mereka. Dia menggunakan ibarat tentang seseorang yang pergi ke rumah sahabatnya pada lewat malam. Lalu dia meminta sahabatnya itu untuk meminjaminya tiga buku roti kerana seorang sahabatnya yang sedang dalam perjalanan telah singgah di rumah dan dia tidak mempunyai makanan apa-apa pun untuk dihidangkan.   Pada mulanya sahabat itu memberikan pelbagai alasan bahawa dia tidak dapat bangun untuk memberikan pinjaman roti. Bagaimanapun, sekiranya orang itu tidak segan terus-menerus mengetuk pintu rumah dan meminta pinjaman,  sahabatnya itu pasti akan bangun dan memberikan roti kepadanya. Sebab sahabat itu tahu bahawa dia tidak akan berhenti mengetuk pintu dan meminta sehinggalah dia menerima apa yang  diperlukannya.   Nyatalah bahawa Yesus mengajarkan ibarat itu  supaya kita tidak putus-putus berdoa kepada-Nya tanpa mengenal lelah. Hal ini tidak bererti bahawa Allah kita  dapat digerakkan untuk bertindak semata-mata kerana ketekunan atau kegigihan kita atau Allah tidak mahu diganggu oleh perbuatan kita yang terus mengetuk  tetapi hal ini memperlihatkan ketaatan hati kita kepada-Nya.   Dengan kata lain, kita harus gigih meminta, mencari dan mengetuk sehingga kita memperoleh apa yang kita doakan. Atas kegigihan dan kepatuhan kita, maka kita akan berhasil dalam segala  pelayanan kita demi kemuliaan-Nya.   Oleh itu, biarlah kita senantiasa berhati waja untuk mengetuk pintu kerana setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya.    Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar hatiku tetap setia dan teguh kepada-Mu.  Tolonglah aku supaya tidak berasa jemu untuk berdoa meminta dan mencari segala sesuatu dalam hidup ini menurut kehendak-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

bottom of page