Support Us
Support Us
Cari
3189 results found with an empty search
- Berhati-hati Terhadap Penyesat
'Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Hal yang membuat orang melakukan dosa memang ada, tetapi malangnya bagi orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku. ' (Lukas 17:1) AVB Yesus sedang mengajar para pengikut-Nya supaya sentiasa berhati-hati terhadap mereka yang berusaha menyesatkan orang yang lemah dalam Kristus, sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan mereka. Tujuan mereka ialah untuk membuat orang yang lemah menjadi putus asa dalam melayani Kristus dan tidak lagi melaksanakan tanggungjawab mereka. Oleh itu, Yesus mendorong para pengikut-Nya supaya berani menghadapi para penyesat yang berusaha melemahkan semangat orang yang sedang melayani Tuhan Yesus. Yesus mahu para pengikut-Nya mengambil tanggungjawab terhadap mereka yang terdedah kepada ajaran penyesat-penyesat ini. Para pengikut Yesus tidak seharusnya membiarkan ajaran sesat ini terus memutarbelitkan kebenaran tentang Kristus sehingga menyesatkan ramai orang yang lemah iman. Akibatnya, mereka boleh jatuh ke dalam dosa atau kehilangan iman mereka kepada Tuhan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab para pengikut Yesus untuk menghentikan mereka yang menyesatkan orang lain, agar mereka yang terdedah kepada ajaran sesat dapat dilindungi dan terus bertumbuh dalam iman mereka kepada Tuhan. Begitu juga bagi kita pada hari ini, kita mesti berhadapan dengan mereka yang mengganggu pemikiran orang yang lemah iman dengan mengajar kebenaran Firman Tuhan. Maka, marilah kita memperlengkapkan diri dengan Firman Tuhan dan mengajar mereka yang lemah iman supaya mereka menjadi dewasa, kuat, dan teguh dalam iman mereka. Doa: Ya Bapa yang di syurga, inilah aku. Pakailah aku untuk mengajar dan membangun mereka yang lemah imannya, agar mereka menjadi dewasa, kuat dan teguh dalam iman, sehingga mereka tidak akan dipengaruhi oleh penyesat yang ada pada masa kini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Tiada Jalan untuk Mengubah Hidup Selepas Mati
'Orang kaya itu berkata, ‘Itu tidak cukup, Bapa Abraham. Jika seorang antara orang mati pergi kepada mereka, tentu mereka akan bertaubat daripada dosa-dosa mereka.’ ' (Lukas 16:30) AVB Oleh sebab penderitaan yang amat dahsyat yang dialami oleh orang kaya itu di dalam neraka, dia teringat akan saudara-saudaranya yang masih hidup di dunia. Maka dia memohon kepada Abraham supaya mengutus Lazarus kembali ke dunia, agar Lazarus dapat memberitahu saudara-saudaranya tentang penderitaan yang akan dialami oleh mereka yang tidak mahu mengikut ajaran Tuhan. Dia tidak mahu saudara-saudaranya berakhir di tempat yang sama seperti dirinya. Oleh itu, dia mengemukakan beberapa cadangan kepada Abraham supaya saudara-saudaranya yang masih hidup tidak akan mengalami penderitaan yang sedang dialaminya pada waktu itu. Keinginan hatinya ialah supaya saudara-saudaranya yang masih hidup ditempatkan di tempat yang sama seperti Lazarus berada. Maka dia memohon kepada Abraham agar Lazarus kembali kepada saudara-saudaranya di dunia untuk memberitahu mereka supaya hidup menurut kehendak Tuhan dan bertaubat daripada dosa-dosa mereka. Hal ini mengingatkan kita bahawa selepas kematian jasmani, tiada lagi alasan atau peluang untuk mengubah kehidupan seseorang. Jika dia tidak mengambil keputusan untuk mengikut Yesus semasa hidup di dunia ini, maka dia akan kehilangan kehidupan kekal. Di luar Yesus, seseorang itu akan dibuang ke dalam api neraka. Oleh itu, selagi kita masih hidup di dunia ini, kita mesti membuat keputusan yang benar dalam kehidupan kita. Apabila tiba waktunya kita meninggal dunia, kita tidak akan ditempatkan di tempat penuh penderitaan, tetapi di tempat yang baik — iaitu di mana Tuhan berada. Maka, perhatikanlah cara hidup kita sementara kita masih bernafas di dunia ini. Ingatlah, tiada alasan yang dapat mengubah nasib kita di hadapan penghakiman Tuhan jika kita tidak menyerahkan hidup kita kepada Tuhan Yesus. Oleh itu, buatlah keputusan yang teguh untuk hidup bagi Tuhan supaya kita tidak menyesal pada hari yang akan datang. Doa: Ya Bapa yang di syurga, inilah aku. Bimbinglah aku dalam setiap jalan hidupku agar aku tidak memberikan ruang dalam hatiku untuk dunia ini. Apabila aku meninggalkan dunia ini, biarlah aku berada di dalam kerajaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Dengarlah Amaran Kitab Musa dan Nabi-Nabi
'Abraham berkata, ‘Mereka ada kitab Musa dan nabi-nabi. Biarlah mereka mendengar pengajaran itu.’ ' (Lukas 16:29) AVB Disebabkan penderitaan yang sedang dialami oleh orang kaya itu di dalam neraka, dia memohon kepada Abraham supaya menyuruh Lazarus pergi ke rumah ayahnya. Hal ini demikian kerana dia mempunyai lima orang saudara yang masih hidup, supaya Lazarus dapat memberi amaran kepada mereka agar mereka tidak akan datang ke tempat penderitaan itu. Namun Abraham berkata kepadanya bahawa Kitab Musa dan Kitab Nabi-Nabi sudah cukup untuk memberi amaran kepada mereka tentang kehidupan mereka. Tidak perlu Lazarus kembali ke dunia untuk memberitahu mereka tentang keadaan tempat bagi orang yang tidak mahu bertaubat daripada dosa mereka. Oleh itu, mereka harus mendengar amaran yang telah disampaikan melalui Kitab Musa dan Kitab Nabi-Nabi supaya mereka bertaubat dan menyerahkan hidup mereka kepada Tuhan. Segala kebenaran telah dinyatakan melalui kitab-kitab itu. Maka, mereka hanya perlu mendengar dan membiarkan hidup mereka dipimpin oleh kebenaran dalam Kitab Musa dan Kitab Nabi-Nabi. Dengan demikian, mereka tidak akan mempunyai sebarang alasan untuk diberikan kepada Tuhan apabila mereka berdiri di hadapan-Nya pada hari penghakiman kelak, kerana segala amaran telahpun disampaikan kepada mereka semasa mereka hidup di dunia ini. Oleh itu, sementara kita masih diberikan kesempatan oleh Tuhan untuk mendengar firman-Nya melalui Alkitab yang kita miliki, hiduplah menurut perintah-Nya. Dengan demikian, apabila tiba waktunya kelak, kita tidak akan menyesali setiap keputusan yang telah kita buat semasa kita hidup. Tidak ada lagi peluang untuk mengubah hidup selepas kematian jasmani. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk merenungkan firman-Mu setiap hari agar aku sentiasa mengingati-Mu dalam setiap perkara yang aku lakukan. Pimpinlah aku supaya tidak menyimpang daripada jalan-Mu sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Pergunakan Kesempatan Hidupmu dengan Sebaik-baiknya
'Tetapi Abraham berkata, ‘Anakku, ingatlah bahawa engkau telah menikmati yang baik dalam hidupmu, tetapi Lazarus mengalami kesengsaraan. Sekarang Lazarus senang di sini tetapi engkau menderita. ' (Lukas 16:25) AVB Ketika orang kaya itu memandang ke atas, dia melihat Abraham dari jauh di syurga bersama Lazarus di sisinya. Maka dia berseru kepada Abraham dan berkata, "Bapa Abraham, kasihanilah aku dan suruh Lazarus datang mencelupkan jarinya di dalam air untuk menyejukkan lidahku kerana aku sengsara di dalam nyala api ini." Namun apabila Abraham mendengar permohonan orang kaya itu, dia menjawab, "anakku, ingatlah bahawa engkau telah menikmati yang baik dalam hidupmu, tetapi Lazarus mengalami kesengsaraan. Sekarang Lazarus senang di sini tetapi engkau menderita." Hal ini mengingatkan orang kaya itu tentang kehidupannya di dunia sebelum dia mengalami kematian jasmani. Ketika dia hidup di dunia, dia memiliki segala-galanya, tetapi tidak menggunakan kesempatan hidupnya untuk memuliakan Tuhan. Sebaliknya, dia hidup dalam kemewahan dan berfoya-foya, tanpa mempedulikan kebajikan orang miskin di sekelilingnya sehingga akhir hayatnya. Oleh itu, apabila tiba waktunya untuk dia meninggalkan dunia ini, segala yang dimilikinya tidak dapat mengubah masa depannya. Segala yang ada di dunia ini hanyalah sementara. Dia sangat menyesal atas apa yang telah dilakukannya semasa hidup. Namun penyesalan selepas kematian jasmani tidak dapat mengubah keadaannya selepas kematian. Ingatlah, orang kaya itu telah diberi kesempatan hidup di dunia, tetapi dia tidak mempergunakannya untuk memuliakan Tuhan. Akhirnya, dia menerima hukuman atas kehidupannya. Maka, bagaimana pula dengan kita pada hari ini? Adakah kita telah menggunakan kesempatan hidup kita di dunia ini dengan sebaik-baiknya? Kerana apabila tiba masanya kita meninggalkan dunia ini, kita akan dihakimi. Di manakah kita akan berada setelah kematian jasmani? Gunakanlah kesempatan hidup ini untuk memuliakan Tuhan. Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana memberikan aku kesempatan untuk hidup di dunia ini. Bimbinglah aku agar sepanjang hidupku, aku benar-benar memuliakan nama-Mu dan setia melayani-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Semua Orang Akan Melalui Kematian Jasmani
'Peminta sedekah itu mati dan malaikat-malaikat membawanya ke sisi Abraham di syurga. Orang kaya itu pun mati lalu dikebumikan. ' (Lukas 16:22) AVB Yesus menggunakan perumpamaan ini dengan satu tujuan iaitu untuk memperingatkan orang Farisi yang sering mengejek ajaran-Nya, kerana ajaran Yesus sentiasa menentang perkara-perkara duniawi. Yesus mahu menyedarkan mereka tentang akibat dosa. Sekiranya mereka tidak bertaubat daripada dosa mereka, pada hari yang akan datang mereka akan ditempatkan di tempat penderitaan. Oleh itu, Yesus mahu menyampaikan kepada mereka supaya sentiasa memberi perhatian terhadap golongan miskin yang ada di sekeliling mereka dengan membantu mereka. Ini kerana setiap orang yang hidup di dunia ini pasti akan mengakhiri kehidupannya suatu hari nanti. Mereka harus menolak segala godaan dunia ini, terutamanya kesenangan jasmani yang boleh menyebabkan mereka melupakan Tuhan dalam perjalanan hidup mereka. Mereka juga perlu menyedari bahawa suatu hari nanti mereka pasti akan mati secara jasmani, sama ada mereka seorang yang kaya mahupun miskin. Kematian jasmani tidak mengenal siapakah kita, sama ada kaya atau miskin, berpendidikan atau tidak berpendidikan. Hakikatnya, semua orang pasti akan mengalami kematian jasmani pada suatu hari kelak tanpa dapat dielakkan. Oleh itu, selagi kita masih hidup, kita harus menggunakan kehidupan ini dengan sebaik-baiknya. Kematian jasmani bukanlah penamat kehidupan, tetapi selepas kematian jasmani, ada kehidupan yang baru, kehidupan yang ditentukan oleh iman kita. Maka, jalanilah kehidupan yang memuliakan Tuhan, kerana bagi orang yang percaya, mereka akan masuk ke dalam syurga. Namun bagi mereka yang tidak percaya, mereka akan ditempatkan di dalam neraka, tempat penderitaan kekal. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ini aku. Bimbinglah aku dalam setiap perjalanan hidupku agar aku tidak membiarkan hidupku dikuasai oleh perkara-perkara dunia ini. Biarlah aku sentiasa hidup dekat dengan-Mu dan memuliakan nama-Mu. Dalam nama Yesus, aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Yesus Datang untuk Menyempurnakan Hukum Taurat
' Sesiapa menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, dia berzina dan sesiapa berkahwin dengan seorang perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya, dia berzina.” ' (Lukas 16:18) AVB Setelah Yesus memberitahu para pengikut-Nya tentang Berita Baik yang diberitakan oleh Yohanes Pembaptis, orang ramai mula berebut-rebut untuk menerimanya. Walaupun demikian, tidak ada satu pun hukum Taurat yang dibatalkan. Sebagai contoh, hukum moral yang terkandung di dalamnya tetap kukuh dan sah. Ini bermakna bahawa tidak satu noktah pun daripada hukum Taurat akan tergugur; segala kewajipan yang tertulis di dalamnya masih tetap berkuat kuasa, dan dosa-dosa yang dilarang di dalamnya masih tetap dilarang. Namun melalui Injil, segala peraturan dalam hukum Taurat menjadi lebih jelas dan teguh, sehingga semuanya menjadi lebih rohani. Itulah sebabnya Yesus berkata bahawa setiap suami yang menceraikan isterinya lalu berkahwin semula dengan wanita lain dianggap berzina. Begitu juga seorang lelaki yang mengahwini wanita yang telah diceraikan oleh suaminya, dia juga dikategorikan sebagai berzina. Oleh itu, dari segi hukum, semuanya masih dilaksanakan menurut Injil. Namun Injil mendalami serta menyempurnakan makna hukum tersebut dengan lebih jelas — seperti yang dikatakan oleh Yesus mengenai perzinaan: “Sesiapa yang memandang wanita dengan nafsu berahi dalam hatinya, dia telah berzina dengannya.” Maka sebab itulah Yesus mengingatkan para pengikut-Nya bahawa perceraian tidak diizinkan bagi seseorang yang telah berkahwin menurut Injil-Nya. Dengan demikian, Injil bertujuan untuk mencabut akar keinginan dan nafsu jahat manusia supaya tidak menguasai kehidupannya. Manusia tidak boleh diberi kebebasan untuk melakukan segala sesuatu sesuka hati. Itulah sebabnya Yesus berkata: ' Sesiapa menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, dia berzina dan sesiapa berkahwin dengan seorang perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya, dia berzina.” ' Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana mengingatkan aku tentang ajaran-Mu bahawa segala perintah-Mu tidak pernah berubah sejak dahulu hingga kini. Ajarlah aku untuk hidup menurut jalan-Mu. Dalam nama Yesus, aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia












