Support Us
Support Us
Cari
3263 results found with an empty search
- Yesus Meluangkan Masa untuk Berdoa Bersendirian
Pada suatu hari semasa Yesus berdoa bersendirian, murid-murid-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Mengikut orang ramai, siapakah Aku?” Lukas 9:18 AVB Yesus menjadi teladan bagi diri kita pada hari ini dalam “hidup berdoa”. Pada awal-awal pagi Yesus pergi ke sebuah tempat yang sunyi untuk berdoa bersendirian kepada Allah Bapa. Sebelum Dia memulakan hari-Nya, pertama-tama Dia meluangkan masa secara peribadi untuk bersama-sama dengan Bapa-Nya yang di syurga. Masa bersendirian dengan Allah Bapa merupakan hal yang sangat penting bagi Tuhan Yesus sebelum Dia memulakan sesuatu hari. Walaupun Dia sangat sibuk dengan pelayanan-Nya, masa bersendirian dengan Allah Bapa tidak pernah diabaikan-Nya. Yesus tetap meluangkan masa untuk berdoa bersendirian. Sebab Dia tahu bahawa masa bersendirian dengan Bapa-Nya yang di syurga harus menjadi keutamaan-Nya. Persoalan sekarang ialah bagaimana dengan diri kita pada hari ini. Apakah kita meluangkan masa yang cukup untuk bersama-sama dengan Tuhan Yesus sebelum kita memulakan setiap hari? Sebab meluangkan masa bersendirian dengan Tuhan Yesus bermakna bahawa kita “membiarkan Tuhan melayani dan meneguhkan jiwa raga kita” sebelum kita melakukan sesuatu pada hari yang berkenaan. Sebagaimana Firman Tuhan mengingatkan kita dalam Injil Matius 6:33, “Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu”. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dan memohon agar Engkau mengajar aku untuk sentiasa mengutamakan-Mu dalam segala perkara yang aku lakukan setiap hari. Hanya dalam-Mu hidupku terjamin dan aman. Inilah aku. Aku serahkan hidupku kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Serahkan Segalanya kepada Tuhan Yesus
Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia (Yesus) menengadah ke langit dan mengucap syukur atas makanan itu. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Lukas 9:16 AVB Sebelum Yesus mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan daripada murid-murid-Nya, Dia menyuruh semua orang untuk duduk berkelompok-kelompok, iaitu kira-kira lima puluh orang satu kelompok. Apabila semua orang sudah duduk, barulah Yesus mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu. Dia pun menengadah ke langit dan mengucap syukur atas makanan itu kepada Allah Bapa. Kemudian Yesus memecah-mecahkan roti dan ikan itu lalu Dia menghulurkan semuanya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai yang ada di situ supaya mereka dapat makan. Semua orang pun makan sehingga kenyang, namun roti dan ikan yang ada tidak kehabisan kerana masih terdapat sebanyak dua belas buah bakul lebihan makanan yang tertinggal! Sekiranya kita menyerahkan apa-apa sahaja yang kita miliki kepada Tuhan Yesus, pastilah Dia akan menggunakannya untuk melakukan perkara-perkara yang besar. Oleh itu, janganlah melihat apa yang kita miliki itu kecil atau tidak berguna kerana jumlahnya sedikit. Serahkan semuanya kepada Tuhan Yesus. Biarkan Tuhan Yesus bertindak dan sesungguhnya hal yang besar lagi menakjubkan akan terjadi. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dan memohon agar Engkau mengajar aku untuk mentaati segala perintah-Mu. Tolonglah aku sentiasa menyerahkan apa sahaja yang aku miliki terlebih dahulu kepada-Mu sebelum aku melakukan apa-apa. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Mohon Campur Tangan Tuhan Yesus
Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah memberi mereka makanan.” Murid-murid itu berkata lagi, “Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.” Lukas 9:13 AVB Menjelang senja, dua belas orang murid Tuhan Yesus datang kepada-Nya. Mereka berkata, “Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.” Namun demikian, Yesus bertindak sebaliknya. Dia menyuruh murid-murid-Nya itu untuk memberi orang ramai makanan. Oleh sebab orang terlalu banyak, iaitu kira-kira lima ribu orang lelaki yang tidak termasuk wanita dan kanak-kanak, maka para murid Yesus menjadi cemas hati dan tidak mengetahui apa yang harus dilakukan. Mereka melihat jumlah orang yang sangat banyak, maka fikiran mereka terganggu. Mereka langsung tidak terfikir apa yang dapat dibuat kerana pada saat itu mereka memiliki lima buku roti dan dua ekor ikan sahaja. Dengan itu, mereka berkata kepada Tuhan Yesus, “Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.” Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini sekiranya Tuhan Yesus mengamanahkan kita sesuatu pelayanan? Apakah yang akan kita katakan kepada Tuhan Yesus tentang apa yang disuruh-Nya kita lakukan? Adakah kita memberikan alasan seperti para murid-Nya? Marilah kita datang kepada Tuhan Yesus dan memohon campur tangan-Nya. Kita berserah diri kepada Tuhan Yesus untuk bertindak bagi pihak kita. Ingatlah bahawa Tuhan Yesus boleh memberikan makanan kepada lima ribu orang berbekalkan lima buku roti dan dua ekor ikan sahaja. Pada hari ini Tuhan Yesus masih boleh melakukan keajaiban yang sama untuk kita. Datanglah kepada Tuhan Yesus untuk memohon berkat dan campur tangan-Nya setiap kali kita hendak melakukan perkara besar demi kemuliaan-Nya. Percayalah kepada-Nya untuk menolong kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memuji dan mengagungkan nama-Mu kerana di hadirat-Mu aku dapat mengalami perkara-perkara yang besar lagi menakjubkan dalam hidup ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Jangan Berhenti Menceritakan Pekerjaan Tuhan
Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Yesus segala perkara yang telah dilakukan mereka. Yesus membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida. Lukas 9:10 AVB Sewaktu dua belas orang murid Yesus kembali daripada pelayanan masing-masing, mereka pulang dengan penuh sukacita lalu menceritakan kepada Tuhan Yesus keberhasilan pelayanan mereka, iaitu semua yang terjadi selama mereka dalam pelayanan. Setelah mendengar laporan daripada para murid-Nya tentang apa yang telah dikerjakan mereka dalam pelayanan dan apa yang berlaku, maka Yesus pun mengajak semua murid-Nya untuk pergi ke sebuah bandar yang bernama Betsaida supaya mereka dapat beristirahat. Pengalaman para murid Yesus untuk menyampaikan Injil dan menyembuhkan orang sakit di merata-rata tempat sewaktu dalam pelayanan betul-betul membangkitkan semangat mereka. Oleh itu, mereka berkobar-kobar menceritakan segala pengalaman mereka dan bagaimana Tuhan bekerja melalui mereka sewaktu mereka diutus Yesus. Menceritakan pengalaman dalam pelayanan atau melakukan pekerjaan Tuhan dapat membuat diri kita semakin yakin, berani dan rindu untuk melayani Tuhan. Sebab pengalaman-pengalaman sewaktu dalam pelayanan akan menaikkan semangat kita untuk mempersembahkan seluruh jiwa raga kita kepada Tuhan demi kemuliaan-Nya. Selain itu, pengalaman sewaktu melayani juga dapat membuat kita semakin yakin dengan penyertaan dan campur tangan Tuhan dalam hidup kita. Oleh itu, janganlah berhenti menceritakan pekerjaan Tuhan dalam hidup kita kepada orang lain kerana semakin kita menceritakan pekerjaan Tuhan dalam hidup kita, semakinlah kita memiliki keyakinan dalam Tuhan. Demikian juga semakin kita menceritakan pekerjaan Tuhan dalam hidup kita, semakin gementarlah iblis kerana menceritakan pekerjaan Tuhan bermakna bahawa kita mengisytiharkan Tuhan Yesus dalam hidup kita. Teruslah bersaksi tentang pekerjaan Tuhan dalam hidup kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon agar Tuhan terus mengajar aku untuk tetap bersukacita menceritakan pekerjaan-Mu setiap hari kepada orang yang ada di sekelilingku. Semoga lebih banyak orang akan mendengar tentang Engkau lalu percaya kepada-Mu dan diyakinkan tentang kuasa besar-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Perbuatan Masa Lalu Dapat Menghantui Kita
Herodes, raja wilayah, mendengar segala perkara yang berlaku. Dia keliru kerana ada yang mengatakan bahawa Yohanes telah dibangkitkan daripada kematian, .... Lukas 9:7 AVB Ketika Raja Herodes terdengar berita tentang semua mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Yesus dalam pelayanan-Nya, maka hati Herodes menjadi sangat keliru dan gelisah. Sebab terdapat beberapa orang yang berkata bahawa Yohanes Pembaptis sudah hidup kembali daripada kematian, tetapi sekarang dia menyebut dirinya Yesus. Oleh itu, fikiran Herodes mulai terganggu kerana dialah raja yang memerintah pengawal penjara untuk memancung kepala Yohanes. Apabila dia mendengar orang berkata bahawa “Yesus” ialah Yohanes Pembaptis yang hidup kembali, fikiran Herodes terus bergelora dan berkecamuk diasak dengan pelbagai persoalan. Hal ini jelas memberitahu kita bahawa perkara masa lalu (perbuatan jahat) pasti akan menghantui fikiran dan juga perasaan kita pada satu hari nanti. Itulah sebabnya kita harus menjalani hidup yang sentiasa memuliakan nama Tuhan agar pada masa akan datang hal yang kita lakukan hari ini tidak akan mengganggu hati nurani kita, apalagi sekiranya kita belum bertaubat. Datanglah kepada Tuhan untuk memohon pengampunan daripada dosa kita agar kita tidak terganggu dengan apa yang telah kita lakukan pada masa lalu. Seperti Herodes yang telah mengeluarkan perintah agar kepala Yohanes dipancung. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon pengampunan daripada-Mu. Sekiranya aku telah melakukan perkara-perkara yang tidak menyenangkan hati-Mu, sucikan dan bersihkanlah aku agar aku layak menghadap-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Setiap Kita Diberi Kuasa untuk Melakukan Pekerjaan-Nya
Yesus memanggil murid-Nya yang dua belas itu lalu memberi mereka kuasa dan perintah untuk mengusir segala roh iblis dan menyembuhkan berbagai-bagai penyakit. Lukas 9:1 AVB Yesus mengumpulkan kesemua dua belas orang murid-Nya lalu Dia memberikan kuasa kepada setiap murid-Nya untuk mengusir segala roh jahat dan menyembuhkan bermacam-macam jenis penyakit. Setelah Yesus memberikan kuasa kepada para murid-Nya, Dia mengutus mereka untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang kerajaan Allah dan menyembuhkan orang sakit dengan kuasa Tuhan. Demikian juga dengan setiap diri kita yang percaya kepada Tuhan Yesus pada hari ini. Apabila kita menerima Tuhan Yesus ke dalam hidup kita, pada saat itu juga Dia memberi kita kuasa untuk melakukan pekerjaan-Nya di dunia ini. Oleh itu, kita tidak perlu khuatir atau takut apabila kita melaksanakan pekerjaan Tuhan. Sebab dalam Yesus kita diberi kuasa untuk melakukan perkara-perkara yang luar biasa demi kemuliaan-Nya. Dengan itu, layanilah Tuhan Yesus dengan penuh keyakinan dan bersandarlah pada kuasa besar-Nya. Dalam 2 Timotius 1:7 AVB kita diperingatkan bahawa “Allah tidak memberi kita roh ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib.” Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang mengucapkan terima kasih kepada-Mu kerana memberi aku kuasa-Mu untuk melakukan pekerjaan-Mu. Walaupun aku sebagai manusia tidak layak untuk menerima kuasa-Mu, tetapi Engkaulah Tuhan yang tidak pernah menolak atau memilih bulu sesiapa sahaja yang datang kepada-Mu. Setiap orang boleh Engkau pakai demi kemuliaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Jangan Patah Semangat, tetapi Tetap Teguh Hati
Mereka mentertawakan Yesus kerana mereka mengetahui anak itu telah mati. Lukas 8:53 AVB Sewaktu Yesus sampai di rumah Yairus, Dia menyuruh semua orang yang sedang menangis dan meratap di situ atas kematian anak perempuan Yairus supaya tidak menangis lagi. Sebab anak itu tidak mati, tetapi hanyalah tidur. Orang ramai yang ada di situ mentertawakan Yesus kerana mereka tahu bahawa anak itu sudah meninggal. Namun demikian, Yesus tidak mempedulikan tertawaan mereka terhadap apa yang dikatakan oleh-Nya, kerana Yesus mengetahui siapa Dia sebenarnya. Dia memegang tangan anak itu dan berseru, "Anak-Ku, bangunlah!" Maka kembalilah roh anak itu dan seketika itu juga dia bangun. Mungkin kita melalui hal yang sama seperti Yesus sewaktu kita giat melayani Tuhan dan melakukan pekerjaan Tuhan. Orang mentertawakan kita atas pegangan iman kita kepada Tuhan Yesus. Mereka melihat apa yang kita lakukan bertentangan dengan pandangan dunia ini. Akan tetapi, janganlah mengundur diri atau takut tetapi percayalah kepada Tuhan. Dengan kuasa Tuhan, kita boleh melakukan perkara-perkara yang besar. Oleh itu, fokuskan pendengaran kita kepada firman Tuhan kerana Tuhan boleh menolong kita bila-bila sahaja. Ingatlah bahawa selagi Tuhan bersama-sama dengan kita, selagi itulah mukjizat Tuhan pasti akan terjadi. Oleh itu, jangan kecil hati apabila orang mengejek dan mentertawakan kita. Tuhan Yesus memihak kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon kekuatan daripada-Mu. Sewaktu aku menghadapi sindiran atau ejekan, aku tidak akan patah semangat atau berasa lemah lalu mengundur diri tetapi akan tetap kuat dan teguh hati. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Enam Rahsia Mengalami Kelimpahan Tuhan
Oleh Pr Sam Surendran
- Yesus Menyembuhkan Wanita yang Berpenyakitan Pendarahan
Wanita itu mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. Seketika itu juga, penyakit pendarahannya sembuh. Lukas 8:44 AVB Sewaktu Tuhan Yesus berjalan menuju ke rumah Yairus, orang ramai mengasak-Nya dari semua sisi. Antara orang ramai itu ada seorang wanita yang sudah menderitai penyakit pendarahan selama 12 tahun. Dia telah menghabiskan segala harta bendanya untuk mendapatkan rawatan daripada beberapa orang tabib. Malangnya, tidak ada yang dapat menyembuhkan penyakitnya itu. Oleh itu, wanita itu datang menghampiri Tuhan Yesus dari belakang. Dalam hatinya dia berbisik, “Sekiranya aku dapatlah menyentuh hujung jubah Tuhan Yesus, pastinya aku akan sembuh.” Maka dia pun menyentuh hujung jubah Tuhan Yesus, dan pada saat itu juga pendarahan yang dialaminya selama 12 tahun dengan serta-merta terus berhenti. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa “doa” yang didengar oleh Tuhan tidak semestinya diucapkan dengan suara yang nyaring tetapi doa haruslah bersertakan iman yang sungguh-sungguh kepada Tuhan Yesus. Sebab iman kitalah yang menggerakkan Roh Kudus bekerja dalam hidup kita. Percayalah kepada Tuhan Yesus dengan sepenuh hati kita. Janganlah ragu-ragu terhadap kuasa-Nya untuk menolong kita, kerana tidak ada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan Yesus. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon agar Tuhan memberi aku iman yang teguh lagi kuat. Aku mahu sentiasa percaya kepada-Mu. Walaupun berbagai-bagai cabaran yang aku lalui dalam hidup ini tetapi aku tetap percaya kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Musim Apakah Ini?
Oleh Pr Sam Surendran
- Percayalah Kepada Tuhan Yesus untuk Menolong Kita
Seorang lelaki yang bernama Yairus, iaitu ketua saumaah datang kepada-Nya. Dia sujud pada kaki Yesus dan memohon kepada-Nya supaya datang ke rumahnya kerana anak perempuan tunggalnya yang berumur dua belas tahun hampir mati. Lukas 8:41-42 AVB Sewaktu Tuhan Yesus kembali ke seberang Tasik Galilea, orang ramai datang menyambut-Nya kerana mereka sudah menanti-nantikan diri-Nya. Antara mereka ada seorang yang bernama Yairus. Dia ketua saumaah, iaitu rumah ibadat tempatan. Yairus datang kepada Tuhan Yesus lalu sujud pada kaki-Nya. Dengan rendah hati dia memohon supaya Yesus datang ke rumahnya kerana satu-satu anak perempuannya yang berumur dua belas tahun, sakit dan hampir meninggal. Sementara Yesus masih lagi berkata-kata kepada orang ramai, seorang utusan yang datang dari rumah Yairus memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan telah mati. Tidak usah menyusahkan Guru lagi.” Namun begitu, apabila Yesus mendengar berita buruk daripada utusan tersebut, Dia memberitahu Yairus, “Jangan takut, percaya sahaja dan anakmu akan dipulihkan.” Apabila Yesus tiba di rumah Yairus, Dia tidak membenarkan sesiapa pun masuk dengan-Nya kecuali Petrus, Yohanes, dan Yakobus serta ibu bapa si anak perempuan. Lalu Yesus menyuruh semua orang yang sedang menangis dan meratapi kematian anak Yairus, supaya berhenti menangis, kerana anak itu bukan mati tetapi dia cuma tidur! Ketika mendengar kata-kata Yesus, semua orang mentertawakan-Nya kerana mereka tahu bahawa anak itu sudah meninggal. Akan tetapi, Yesus memegang tangan anak itu lalu berseru, “Anak-Ku, bangunlah!” Roh anak itu kembali dan seketika itu juga dia bangun. Lalu Yesus menyuruh mereka memberikan makanan kepada anak itu. Sebagai orang yang mengenal Yesus secara peribadi, kita harus percaya tanpa ragu-ragu bahawa dalam Yesus segala perkara dapat kita hadapi dan tangani. Dengan itu, janganlah takut dan menjadi ragu apabila terdengar ejekan atau sindiran orang lain tetapi percayalah sepenuhnya kepada Tuhan Yesus untuk menghulurkan pertolongan kepada kita tepat pada masanya. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan dan pertolongan-Mu. Sering kali aku khuatir dan takut menghadapi cabaran serta tentangan dalam hidup ini. Ya Tuhan, ajarlah aku untuk percaya dan beriman sepenuh hati kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Pelayanan Pendamaian
Oleh Pr Sam Surendran












