Support Us
Support Us
Cari
3262 results found with an empty search
- Janganlah Khuatir Apabila Kamu Didakwa
“Apabila orang membawa kamu untuk didakwa di majlis saumaah atau di hadapan pemerintah atau pihak berkuasa, janganlah kamu khuatir bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan, kerana pada waktu itu Roh Kudus akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan.” Lukas 12:11-12 AVB Yesus berkata kepada murid-murid-Nya supaya tidak takut atau khuatir sewaktu mereka ditangkap dan dibawa ke saumaah (rumah ibadat) atau ke hadapan pemerintah dan pihak berkuasa untuk didakwa. Sebab pada saat mereka tidak tahu bagaimana hendak membela diri atau bagaimana mereka dapat menjawab semua pertanyaan yang dikemukakan, pasti Roh Kudus akan mengajar mereka tentang apa yang harus dikatakan mereka. Oleh itu, mereka tidak perlu bimbang atau takut tentang apa yang harus dikatakan mereka untuk membela diri sewaktu mereka didakwa. Sebab Roh Kudus akan memperkasakan mereka untuk mengatakan apa yang seharusnya dikatakan dengan tepat sekali. Pada hakikatnya memutuskan untuk mengikut Yesus bererti bahawa mereka pasti akan melalui berbagai-bagai cabaran, penderitaan atau penganiayaan, namun mereka tidak perlu takut atau khuatir untuk menghadapi semuanya. Sebab mereka bukan bersendirian menghadapinya tetapi Roh Kudus yang senantiasa bersama mereka akan menolong mereka dan campur tangan. Dengan itu, tetap tenang, taat setia dan berserahlah sepenuhnya kepada Allah untuk bimbingan serta perlindungan-Nya. Biarlah kita terus menjadi saksi-Nya yang berani dan setia kerana Dia pasti akan menolong diri kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon bimbingan-Mu agar aku terus berserah dan bergantung pada-Mu dalam segala perkara dalam hidupku. Ajarlah aku untuk mengutamakan Engkau dalam semua perkara yang aku hadapi. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Semakin Anda Bertumbuh dalam Kristus, Semakin Anda Nampak Kelemahan Dalam Diri Sendiri.
Pada mulanya, ia terasa pelik dan mengelirukan. Bukankah pertumbuhan rohani sepatutnya membawa kepada kesempurnaan? Bukankah kematangan iman sepatutnya bermaksud kurang pergumulan, bukan lebih banyak? Tetapi… mengapa rasanya seperti disebaliknya? Sebenarnya—semakin dekat anda berjalan bersama Yesus, semakin jelas anda nampak bahagian dalam diri yang masih memerlukan penyembuhan, penyerahan, dan kasih kurnia. Kesombongan yang tersembunyi di sebalik "niat yang baik." Ketakutan yang disamarkan sebagai keinginan mengawal. Ketidaksabaran yang muncul apabila Tuhan berkata, “Tunggu.” Semua itu bukan tanda kegagalan. Ia adalah tanda bahawa Roh Kudus sedang perlahan-lahan menyatakan apa yang Dia mahu ubah dalam diri anda. Kerana matlamat pertumbuhan rohani bukanlah kesempurnaan, tetapi ketergantungan kepada Tuhan. “Dia harus makin besar, aku pula harus makin kecil.” – Yohanes 3:30 (AVB) Jadi, jangan kecewa bila anda mula nampak kelemahan dalam diri sendiri. Sebaliknya, bersyukurlah—sebab sekarang anda dapat melihatnya. Itu tanda bahawa Tuhan sedang bekerja dalam hidup anda. Itu tanda bahawa anda sedang bertumbuh. Dan kasih kurnia-Nya menyertai anda di setiap langkah. Jemimah Ramos
- Janganlah Menghina Roh Kudus
“Sesiapa yang menentang Anak Manusia dengan kata-katanya dapat diampuni, tetapi mereka yang menghina Roh Kudus tidak dapat diampuni.” Lukas 12:10 AVB Selepas Tuhan Yesus mengajar murid-murid-Nya tentang pentingnya mengakui-Nya di hadapan umum, Dia berkata kepada mereka bahawa sesiapa yang menentang Anak Manusia (Yesus) dengan kata-katanya dapat diampuni, namun sesiapa yang mengatakan hal-hal jahat untuk melawan atau menghina Roh Kudus tidak dapat diampuni. Hal ini merupakan peringatan keras Yesus kepada murid-murid-Nya tentang perbuatan golongan yang menyesatkan orang lain daripada kebenaran yang sebenar. Mereka tidak ada bezanya daripada mengkufuri Roh Kudus. Oleh itu, hukuman yang sangat berat akan menimpa diri mereka kerana kemunafikan mereka yang menyesatkan orang lain daripada kebenaran. Dengan kata lain, mengkufuri Roh Kudus sama ertinya dengan sikap orang yang secara sengaja enggan menerima pengajaran daripada Penolong, iaitu Roh Kebenaran yang diutus Allah untuk bersaksi tentang Yesus. Mereka dengan sengaja mendustakan kebenaran yang sebenar untuk menyesatkan orang lain sehingga orang itu menjadi serupa dengan diri mereka. Hal ini disampaikan Tuhan Yesus kepada para murid-Nya supaya mereka menjadi semakin berani untuk memberitakan Injil tanpa berasa takut. Sebab kebinasaan yang lebih menyakitkan dan lebih berat akan menimpa orang yang berhati batu dan terus-menerus menolak pemberitaan Injil selain menghina kasih kurnia serta pekerjaan Roh Kudus dalam diri mereka. Oleh itu, setiap orang yang bercakap menentang Anak Manusia dapat diampuni. Sebab sewaktu Yesus dihina, diejek atau diolok, Dia berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Bagaimanapun, setelah pencurahan Roh Kudus dan kesaksian Roh Kudus tentang kemuliaan Kristus, sesiapa yang mengkufuri Roh Kudus tidak dapat diampuni. Tegasnya, janganlah kita “sekali-kali mengkufuri Roh Kudus” tetapi hendaklah kita bertaubat dan memuliakan Allah selama kita hidup. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon pengampunan daripada-Mu sekiranya aku mendukakan hati-Mu melalui perkataan dan perbuatanku. Tolonglah aku untuk membuka hatiku kepada bimbingan Roh Kudus sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Berkat Mengakui Tuhan Yesus di Hadapan Umum
“Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa yang mengakui Aku di hadapan manusia akan diakui oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah.” Lukas 12:8 AVB Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa sekiranya mereka mengakui Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka di hadapan umum, maka Dia juga akan mengakui mereka di hadapan malaikat-malaikat Allah. Demikian juga mereka yang menyangkal Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka di hadapan umum juga akan disangkal di hadapan malaikat-malaikat Allah. Betapa pentingnya pengakuan mereka secara terang-terang bahawa merekalah pengikut dan murid Tuhan Yesus. Sebab pengakuan mereka akan diri mereka di hadapan umum akan menyebabkan Tuhan sendiri mengakui mereka sesungguhnya milik-Nya. Oleh itu, sebagai murid Tuhan Yesus yang sejati, mereka harus berani dan tidak malu untuk mengakui kepercayaan dan iman mereka kepada-Nya secara terbuka. Meskipun mereka mungkin mengalami penderitaan atau penganiayaan kerana mengikut Dia, namun mereka perlu yakin bahawa orang yang mengakui Dia sekarang akan diakui oleh-Nya pada hari penghakiman yang agung di hadapan malaikat-malaikat-Nya. Demikian juga mereka akan memperoleh penghiburan dan penghormatan yang kekal daripada-Nya. Tegasnya, jangan kita malu akan identiti kita sebagai murid Tuhan Yesus di hadapan umum kerana pengakuan kita pada saat ini tentang siapa diri kita tanpa berselindung akan menyebabkan Tuhan mengakui diri kita kelak. Janganlah sekali-kali menyangkal Dia dalam hidup kita atau cuma menjadi pengikut rahsia. Ingatlah bahawa kita diakui atau disangkal oleh Kristus Yesus pada hari penghakiman bergantung pada pengakuan atau penyangkalan kita terhadap diri-Nya pada hari ini. Siapakah diri anda di hadapan umum pada hari ini? Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk berkata benar tentang diriku tanpa malu. Engkau mahu aku berani dan jujur mengaku diriku sebagai murid-Mu yang sejati. Pakailah hidupku untuk memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Setiap Kita Berharga di Hadapan Allah
“Malahan setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung. Oleh itu, usahlah takut; kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.” Lukas 12:7 AVB Tuhan Yesus meyakinkan para murid-Nya supaya mereka tidak takut akan manusia tetapi mereka harus takut akan Dia yang boleh membunuh jiwa manusia. Sebab Dialah Allah yang maha tahu sehingga jumlah helai rambut yang ada di kepala mereka pun diketahui-Nya. Betapa menakjubkan kasih dan belas kasihan Allah! Oleh itu, Yesus mahu setiap murid-Nya tetap teguh setia dan tabah hati sewaktu mereka menempuh berbagai-bagai kesulitan dan bahaya atas sebab mereka mengikut-Nya. Dengan kata lain, mereka harus berfokus pada keutamaan dalam hidup mereka sebagai pengikut dan murid-Nya, iaitu dengan membangunkan hidup mereka pada asas kebenaran firman Allah. Sebab Allah yang dipercayai mereka ialah Allah yang maha kuasa, maha tahu dan maha pengasih. Dia tidak akan melupakan atau mengabaikan anak-anak-Nya. Dengan itu, mereka harus teguh membina iman mereka pada-Nya yang senantiasa menjaga, memelihara dan melindungi hidup mereka. Semuanya ini akan dilakukan Allah bagi mereka kerana setiap mereka adalah sangat berharga sekali bagi-Nya. Mereka haruslah tetap percaya kepada-Nya ketika mereka menjalankan tugas sehari-hari mereka. Oleh itu, jangan takut kerana bagi Allah kita semua lebih berharga daripada burung pipit. Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana melihat diriku sangat berharga walaupun aku seorang yang mengalami banyak kegagalan dan kelemahan. Aku sangat bersyukur bahawa semua itu tidak menghalang Engkau daripada mengasihiku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Siapa yang Harus Ditakuti
“Aku menyatakan siapa yang harus kamu takuti: Takutlah akan Dia yang setelah memusnahkan jasad, berkuasa pula membuangmu ke dalam neraka. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu supaya takut akan Dia! ” Lukas 12:5 AVB Yesus memperingatkan murid-murid-Nya tentang siapa yang harus ditakuti mereka dalam hidup ini. Mereka harus takut kepada Dia yang berkuasa membunuh dan menghumbankan mereka ke dalam neraka untuk menghadapi penghakiman dan hukuman kekal. Jelaslah bahawa mereka harus memiliki pengertian yang jelas tentang siapa yang harus ditakuti mereka dalam hidup ini. Sebab sewaktu mereka menyerahkan diri mereka sepenuhnya untuk mengikut Tuhan Yesus, memang mereka akan dibenci dan dianiayai di dunia. Namun demikian, mereka tidak perlu takut dengan ancaman yang datang daripada manusia kepada mereka kerana manusia hanyalah membunuh tubuh mereka tetapi tidak memiliki kuasa untuk membunuh jiwa mereka. Oleh itu, mereka haruslah takut kepada yang berkuasa atas jiwa mereka dan bukan kepada yang cuma berkuasa atas jasad mereka. Hendaklah kita membina kekuatan iman kita pada asas kebenaran firman Allah agar kita tidak akan goyah terhadap semua ancaman dunia ini. Sebab apabila kita setia mengikut Yesus, pasti kita akan menghadapi tentangan atau penganiayaan daripada dunia ini. Bagaimanapun, ingatlah untuk tetap berani memperkatakan kebenaran firman Allah kepada orang di sekeliling kita kerana Dia memiliki kuasa mutlak atas jiwa raga kita. Sesungguhnya, takutlah akan Dia sahaja. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku berterima kasih kepada-Mu atas jaminan yang Engkau berikan kepadaku bahawa yang perlu aku takuti dalam hidup ini ialah Engkau dan bukan manusia di dunia ini. Oleh itu, ajarlah aku untuk hidup menurut jalan-Mu dan takut akan Engkau. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Jangan Takut akan Mereka yang Mengambil Nyawa
“Aku berkata kepadamu, hai sahabat-sahabat-Ku, jangan takut akan mereka yang dapat membunuh jasad dan kemudian tidak berkuasa lagi terhadapmu. ” Lukas 12:4 AVB Yesus memberikan nasihat kepada murid-murid-Nya supaya tidak takut kepada manusia yang hanya dapat membunuh jasad atau tubuh jasmani mereka, tetapi setelah itu tidak berkuasa berbuat apa-apa lagi. Tegasnya, mereka harus menakuti sesorang yang berkuasa untuk memusnahkan jiwa mereka. Dengan kata lain, takutlah akan Dia (Allah) yang setelah memusnahkan jasad, berkuasa pula membuang mereka ke dalam neraka. Sebab apabila mereka memutuskan untuk mengikut Tuhan Yesus, pasti mereka akan menghadapi tentangan daripada musuh-musuh mereka. Akan tetapi, mereka tidak perlu menyerah kalah atau membiarkan diri mereka dikongkong oleh keluh-kesah dan ketakutan akan kekuatan serta kemarahan manusia kerana golongan tersebut tidak dapat membunuh jiwa mereka. Nyatalah bahawa kita tidak perlu gentar. Sekalipun mereka dapat mengambil nyawa kita, tetapi jangan terhalang daripada terus melakukan pekerjaan Allah dalam hidup kita. Sebab kuasa dan kewibawaan Allah adalah mutlak dan tiada tolok banding sementara kuasa musuh-musuh kita adalah terbatas. Musuh kita hanyalah dapat membawa ancaman, kesusahan, bahkan kematian fizikal tetapi Allah berkuasa sepenuhnya atas kedua-dua tubuh dan jiwa kita. Sesungguhnya, musuh-musuh kita di dunia ini hanya dapat membunuh tubuh, tetapi langsung tiada kuasa atas jiwa kita. Oleh itu, janganlah kita takut terhadap ancaman musuh-musuh kita di dunia ini. Tetaplah beriman teguh pada Tuhan Yesus dan setia melayani-Nya sehingga akhir hidup kita. Ingatlah, sekiranya kita mengakhiri perlumbaan hidup ini dengan baik, maka kita akan menerima hidup kekal dan mahkota kemenangan di syurga. Oleh itu, janganlah takut akan mereka yang dapat membunuh jasad kita kerana jiwa kita tetap selamat dan diberkati demi menikmati hadirat Allah selama-lamanya. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar Engkau memberi aku kekuatan untuk menghadapi segala ancaman dunia. Tolonglah aku supaya tidak takut tetapi tetap beriman kepada-Mu sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Hidup Benar, Jangan Hidup Bertopengkan Kejahatan
“ Apa sahaja yang kamu katakan secara rahsia akan didengar secara terang-terang, dan apa yang kamu bisikkan di dalam bilik tertutup akan diumumkan dari atas bumbung. ” Lukas 12:3 AVB Pada suatu hari tidak terkira ramainya orang berkerumun untuk mendengar ajaran Tuhan Yesus. Dia pun berkata kepada mereka bahawa mungkin mereka memberitahukan sesuatu kepada orang lain secara diam-diam tetapi hal itu akan terdengar dengan jelas pada satu hari nanti. Demikian juga apa yang dibisikkan mereka kepada orang lain di dalam bilik tertutup secara peribadi akan tersiar ke mana-mana jua. Hal ini bermaksud bahawa apa yang dikatakan atau dilakukan mereka dengan sembunyi-sembunyi lambat-laun pasti akan tersingkap atau terbongkar kerana Allah Yang Maha Kuasa mendengar dan melihat segala-galanya. Tiada apa yang tidak diketahui Allah. Itulah sebabnya Yesus berkata kepada mereka bahawa apa yang dikatakan mereka dalam kegelapan, semuanya akan kedengaran dalam terang. Sebenarnya manusia tidak akan berhasil untuk mengawal dan menghapuskan kejahatan dalam hati mereka. Walaupun mereka menggunakan agama sebagai topeng untuk menutupi segala muslihat atau kejahatan dalam hati, segalanya pasti akan terbongkar pada satu hari nanti. Oleh itu, janganlah kita suka mengatakan hal-hal di belakang orang lain kerana setiap tutur kata dan tindak-tanduk kita pasti akan terdedah dan dihakimi kemudian hari. Seperti kata peribahasa Melayu “sepandai-pandainya tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga.” Akhir kata, marilah kita mengikis tabiat untuk menggosipkan hal orang lain atau menyembunyikan kejahatan kita atau bermuka-muka kerana pada waktu tertentu pasti akan pecah tembelang juga. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi tidak akan dinyatakan, dan tiada sesuatu rahsia pun yang tidak akan didedahkan. Biarlah kita menjalani hidup yang benar dan menyenangkan hati Allah. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk hidup benar dan tidak menyembunyikan kejahatan atau menceritakan hal orang lain. Tolonglah aku hidup akrab dengan-Mu dan memuliakan Engkau dalam segala perkara. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Berhati-hatilah dengan Ragi Orang Farisi
“…Sedang beribu-ribu orang berasak-asak sehingga kaki mereka saling terpijak, mula-mula Yesus berkata kepada para pengikut-Nya, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi, maksud-Ku kemunafikan mereka......” Lukas 12:1 Sewaktu Yesus berada di rumah seorang Farisi, Dia mengajar orang banyak, ahli Taurat dan orang Farisi mulai melontarkan berbagai soalan kepada-Nya, sebab mereka ingin untuk memperangkap diri-Nya supaya mereka dapat menuduh Dia. Yesus tahu tujuan hati mereka, dengan itu Yesus mulai memperingatkan pengikut-pengikut-Nya supaya mereka sentiasa berjaga-jaga terhadap kemunafikan dan tindakan ahli Taurat dan orang Farisi yang sentiasa menganggap diri mereka orang benar tetapi mereka sebenarnya penuh dengan kepura-puraan dan kepalsuan. Mereka (ahli Taurat dan orang Farisi) mengajar orang lain supaya hidup mengikut peraturan yang mereka beri, namun mereka sendiri tidak mengikut-Nya. Mereka penuh dengan dusta, pandai memutarbalik kata-kata dan menipu. Kemunafikan yang ada di dalam diri mereka adalah jauh lebih buruk daripada di dalam diri orang lain. Dosa dalam diri mereka bagaikan ragi yang mengembang dan mengasamkan, sebab mereka menyebabkan orang lain menjadi mengembang atau membesar dalam kesombongan. Demikian juga mereka mencipta perasaan benci dan kepahitan dalam hati orang lain sehingga menyebabkan ibadah mereka tidak berkenan di hadapan Tuhan. Sifat hidup mereka ini bagaikan “..ragi..” oleh itu Yesus memperingatkan pengikut-pengikut-Nya supaya mereka sentiasa berjaga-jaga terhadap ragi orang Farisi, sebab "..dosa seperti ini ada di dalam diri mereka. Dengan itu Yesus memperingatkan pengikut-pengikut-Nya supaya tidak meniru sifat mereka ini, tidak berjiwa seperti mereka. tidak bermuka dua dalam agama; tidak menggunakan agama sebagai jubah untuk menyembunyikan kejahatan-kejahatan,." Oleh itu berhati-hatilah terhadap pengaruh yang jahat dari orang-orang yang menganggap diri mereka benar tetapi penuh kepalsuan dan kepura-puraan. Doa: Tuhan Yesus saya datang kepada-Mu, memohon bimbingan daripada-Mu agar saya sentiasa berjalan dalam pimpinan-Mu dan hidup dalam kebenaran-Mu, Penuhilah saya dengan kebenaran Firman-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa, amin Pr Patrick Taie
- Apakah Benar Yesus Akan Datang Kembali Secara Tiba Tiba?
Kedatangan Tuhan : Kebangkitan, Tubuh Kemuliaan dan Pengharapan Baca: 1 Tesalonika 4:13–18 1 Korintus 15:50–54 Zakharia 12–14 Kisah Para Rasul 1:6–11 Yohanes 14:1–3 Perbincangan tentang pengangkatan semakin hangat diperkatakan. Ramai yang tertanya-tanya, apakah benar Yesus akan datang kembali secara tiba-tiba untuk mengangkat umat-Nya? Ada yang menimbulkan ketakutan, ada juga yang cuba menentukan waktunya. Namun kita dipanggil bukan untuk meneka, tetapi untuk hidup dalam pengharapan yang teguh dan pengertian yang benar berdasarkan Firman Tuhan. Dalam 1 Tesalonika 4, Rasul Paulus menegaskan bahawa pengangkatan bukan tentang pelarian secara rahsia, tetapi tentang peristiwa besar dalam rencana keselamatan Tuhan iaitu kebangkitan orang percaya, transformasi tubuh kita, dan penyatuan abadi bersama Kristus. “Orang yang mati dalam Kristus akan bangkit dahulu. Selepas itu, kita yang masih hidup… akan diangkat bersama-sama mereka untuk menyongsong Tuhan di angkasa.” (ayat 16–17) Tetapi sebelum kita diangkat, satu perkara penting berlaku terlebih dahulu seperti yang dijelaskan dalam 1 Korintus 15:52: “Dalam sekelip mata, pada tiupan sangkakala terakhir… orang mati akan dibangkitkan dalam keadaan yang tidak dapat binasa, dan kita akan diubah.” Tubuh kita akan diubah menjadi tubuh kemuliaan iaitu bukan lagi tubuh yang akan layu, boleh sakit atau reput, melainkan tubuh yang kekal, mulia dan sesuai untuk hidup selama-lamanya bersama Tuhan. Inilah janji yang begitu mulia dan menjadi pengharapan kepada mereka yang berada “di dalam Kristus”. Selain itu, keadaan dunia kini menunjukkan bahawa nubuatan firman Tuhan sedang digenapi di hadapan mata kita, khususnya di Timur Tengah. Kita melihat pergeseran dan peperangan di sekitar Yerusalem, seperti yang telah dinyatakan dalam Zakharia 12–14. Dalam Zakharia 14:4, tertulis: “Kakinya akan berdiri di atas Bukit Zaitun…” Inilah nubuatan tentang kedatangan fizikal Yesus Kristus kembali ke bumi, dan ini selaras dengan janji para malaikat dalam Kisah Para Rasul 1:11: “Yesus ini yang telah diangkat ke syurga daripada kamu akan datang kembali dengan cara yang sama seperti kamu melihat-Nya naik ke syurga.” Yesus akan datang bukan secara bayangan atau simbolik, tetapi secara nyata dan umat-Nya akan bersama-Nya dalam tubuh yang telah diubah, disatukan dalam kemenangan kekal. Maka hari ini, soalan utama bukanlah “Bilakah pengangkatan akan berlaku?”, tetapi: “Adakah saya hidup dalam Kristus dan bersedia untuk hari itu?” “Dengan itu, hiburkanlah satu sama lain dengan kata-kata ini.” (1 Tes. 4:18) Mari kita berdoa: Tuhan Yesus, Engkaulah Raja yang dijanjikan dan berjanji akan kembali. Kami bersyukur atas janji kebangkitan dan pengangkatan, dan atas tubuh kemuliaan yang akan Engkau berikan. Dalam dunia yang kacau dan penuh ketidakpastian, Engkau memberikan harapan yang kekal. Teguhkan hati kami, dan jadikan kami umat yang hidup dalam iman, kesucian dan kesetiaan dalam pengharapan. Dalam nama Tuhan Yesus Kristus, kami berserah. Amin. Pertanyaan Refleksi: 1. Adakah anda hidup dalam kesiapsiagaan menantikan kedatangan Tuhan Yesus Kristus? 2. Persiapan yang sewajarnya ialah menerima Tuhan Yesus Kristus sebagai Penyelamat dan Tuhan secara peribadi, bertaubat daripada dosa, serta hidup dengan mengasihi Tuhan dan sesama manusia. Adakah anda telah memiliki persiapan ini? Oleh : Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook @ Jubilie Apin
- Jangan Hanya Berdoa agar Masalah itu Hilang. Berdoalah Juga agar Tuhan Memberi Kekuatan untuk anda Bertumbuh Melaluinya.
Dulu, saya sering berdoa, “Tuhan, bolehkah hapuskan saja masalah ini?” Tetapi sekarang, saya sedang belajar… daripada minta Tuhan mengambil semuanya, saya boleh meminta Tuhan menggunakan situasi ini untuk membentuk saya. Untuk belajar bertahan. Untuk belajar bersabar. Untuk belajar menunggu. Apabila kita ada mindset pertumbuhan, kita tidak hanya mencari jalan mudah—kita cari kerja Tuhan yang lebih mendalam dalam diri kita. “Ya Tuhan, ubahlah aku menjadi lebih serupa dengan Kristus dalam situasi ini.” “Bantulah aku mengasihi orang yang sukar dikasihi, seperti Engkau mengasihiku.” “Ajarlah aku untuk fahami kehendak-Mu, walaupun aku sedang tidak selesa.” Masa sukar bukan bermaksud Tuhan telah meninggalkan anda. Mungkin itulah tanah subur yang sedang Dia gunakan untuk membina anda. Ingat: menjadi wanita (atau lelaki) yang berkenan di hati Tuhan bukanlah proses semalaman. Ia adalah proses yang perlahan, penuh penyucian, dan dipenuhi kasih kurnia. Tetapi setiap cabaran yang diserahkan kepada-Nya adalah peluang untuk anda bertumbuh. "Biarlah ketekunan itu menyempurnakan tugasnya supaya kamu menjadi sempurna dan lengkap serta tidak kekurangan apa-apa.” – Yakobus 1:4 (AVB) Jemimah Ramos
- Sentiasa Berkata Benar Tanpa Takut
“…Apabila Yesus meninggalkan tempat itu, guru Taurat dan orang Farisi mula mengecam Yesus. Mereka menyoal Yesus tentang banyak hal dengan maksud untuk memerangkap Dia. Mereka berusaha untuk mencari kesalahan Yesus ketika Dia berkata-kata....” Lukas 11:53-54 Oleh sebab teguran Tuhan Yesus kepada ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi, yang terus-menerus tentang sikap mereka telah menyebabkan mereka mengecam untuk membunuh Yesus. Dengan itu mereka mulai menyoal Tuhan Yesus tentang berbagai hal dengan harapan mereka dapat memerangkap Yesus. Dengan itu mereka terus berusaha untuk mencari kesalahan Yesus ketika Dia sedang berkata-kata kepada orang banyak. Walaupun mereka telah berusaha untuk memancing Yesus melalui perkataan Yesus sewaktu menjawab pertanyaan mereka tetapi semuanya gagal. Sebab apa yang disampaikan oleh Yesus semuanya kebenaran. Oleh itu mereka menjadi semakin emosi dan tidak tahan lagi dengan teguran Yesus yang terus-menerus terhadap kepalsuan diri mereka. Oleh itu mereka pun melontarkan berbagai pertanyaan kepada Yesus dengan satu harapan agar mereka dapat mencari kesalahan Yesus ketika Dia berkata-kata. Dengan demikian mereka dapat menuduh-Nya. Sekiranya Yesus mengucapkan sesuatu yang sesuai dengan perangkap mereka, maka mereka dapat membangkitkan kemarahan rakyat terhadap diri-Nya atau melaporkan diri-Nya kepada pemerintah Romawi, sebab Dia mengucapkan sesuatu yang berbahaya bagi pemerintah. Oleh itu, kita harus memperingatkan diri kita bahawa seseorang yang setia menegur dosa orang lain pasti akan menghadapi ancaman orang yang ditegur. Jadi kita harus sentiasa mengawasi setiap kata-kata kita, agar setiap kata-kata kita memuliakan Tuhan. Doa: Tuhan ajar saya agar saya sentiasa memuliakan nama-Mu. Ajar saya untuk berkata yang benar setiap kali tanpa bertolak ansur. Di dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa, amin. Pr Patrick Taie












