top of page

Cari

3262 results found with an empty search

  • Utamakan Orang Lain daripada Diri Kita

    “Malangnya kamu orang Farisi! Kamu suka duduk di kerusi khas di saumaah dan diberi salam hormat di pasar.” Lukas 11:43 AVB   Sekali lagi Yesus menegur orang Farisi yang sangat  angkuh terhadap diri mereka sendiri. Mereka lebih mengutamakan penghormatan bagi diri sendiri dalam setiap upacara keagamaan mereka dan juga menerima pujian daripada orang ramai.   Oleh sebab itu,  Yesus berkata kepada mereka, "Malangnya kamu orang Farisi! Kamu suka duduk di kerusi khas di saumaah dan diberi salam hormat di pasar.” Mereka dikecam kerana mereka  suka sekali duduk di tempat yang terdepan atau terhormat di saumaah atau rumah ibadat dan juga mendambakan sanjungan daripada khalayak ramai di tempat awam.    Yesus menegur golongan Farisi bukanlah kerana mereka diberi tempat duduk terhormat di rumah ibadat atau diberi penghormatan oleh orang ramai, tetapi yang menjadi masalah ialah orang Farisi  menuntut atau menagihnya demi kepentingan diri mereka.    Sekiranya mereka diberi tempat duduk yang terhormat di rumah ibadat atau diberi pujian oleh orang ramai tanpa mereka memintanya, hal ini tidaklah salah bagi Tuhan Yesus. Akan tetapi, sekiranya mereka mendapatkan tempat duduk khas di rumah ibadat dan diberi salam hormat di tempat awam atas permintaan atau tuntutan mereka, maka hal itu adalah salah di mata  Tuhan Yesus.   Oleh itu, janganlah kita mengikut sikap orang Farisi yang suka  mendapat tempat duduk yang terhormat di rumah ibadat dan suka meminta tabik daripada  orang ramai sewaktu berada di tempat awam. Marilah kita mengutamakan orang lain  terlebih dahulu dalam segala yang kita lakukan dan tidak mementingkan diri sendiri sahaja.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk mengutamakan Engkau dalam segala perkara yang aku lakukan setiap hari agar aku  tidak memusatkan  diri sendiri. Aku ingin memuliakan Engkau dalam segala-galanya. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Kepada Wanita yang Sukar Meluahkan Apa yang Sedang Dilalui

    Saya faham. Saya pernah berada di tempat yang sama. Saya tahu bagaimana rasanya bergelut dalam diam. Datang dengan senyuman, tetap melayani, dan cuba kelihatan seperti semuanya baik. Orang lihat anda sebagai seorang yang kuat. Tetapi di dalam hati, ada luka, tekanan, dan keletihan yang sukar dijelaskan. Anda tak mahu kecewakan sesiapa. Tak mahu gagal memenuhi harapan orang sekeliling. Jadi anda terus bertahan… walaupun hati anda hampir rebah. Tetapi inilah yang saya pelajari dalam masa hidup yang mencabar ini. Dalam perkahwinan, suami saya melihat siapa saya yang sebenar. Hari-hari di mana saya mudah marah. Saat saya hilang sabar. Emosi yang selama ini saya sembunyikan dari semua orang. Dan dia masih tetap ada. Tetap mendengar. Tetap mengasihi. Untuk benar-benar dikenali, dan masih dikasihi? Itulah kasih kurnia. Dan itulah yang Tuhan tawarkan kepada anda — setiap hari, tanpa syarat. Tuhan tidak terkejut dengan kelemahan dan kegagalan kita. Dia tidak menunggu kita menjadi “sempurna” dahulu. Dia tahu segalanya… dan tetap memilih untuk mati di salib demi anda dan saya. “Tetapi Allah menunjukkan kasih-Nya kepada kita kerana ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita.” – Roma 5:8 (AVB) Kasih kurnia Tuhan bukan untuk membenarkan kita terus jatuh, tetapi untuk memulihkan kita di tempat kita berada. Anda tak perlu lagi bersembunyi. Anda tidak perlu hadapi semuanya sendirian. Jadi, kepada anda yang sudah penat berpura-pura kuat, yang sedang mencari kelegaan… ketahuilah bahawa di dalam Kristus, anda sudah bebas. Kembalilah kepada-Nya. Dan saya berdoa agar Tuhan mengutus orang-orang yang takut akan Dia untuk hadir dalam hidup anda—yang akan menerima anda, membimbing anda, dan mengasihi anda… supaya anda terus bertumbuh menjadi semakin serupa dengan Kristus. Jemimah Ramos

  • Apa Harga Sebuah Kejujuran?

    Kisah Yakub dan Esau didalam kitab Kejadian bab 27 - 33 bukan sekadar kisah keluarga atau perebutan hak kesulungan. Ia adalah cermin hati manusia yang ingin diberkati, tetapi sering memilih jalan pintas, termasuk melalui penipuan dan manipulasi. Namun, Tuhan tidak memberkati penipuan. Dia memberkati kejujuran, pertobatan, dan memberikan pemulihan bila kita datang di hadapan Tuhan dengan kejujuran. Dalam Kejadian 27, Yakub menipu bapanya Ishak dengan menyamar sebagai Esau demi mendapat berkat kesulungan. Penipuan itu berhasil dan dia menerima berkat. Tetapi secara dalaman, hidup Yakub mulai dihantui ketakutan, rasa bersalah, dan berlaku perpecahan dalam hubungan kekeluargaan. Dia terpaksa melarikan diri dari abangnya Esau, pergi bersembunyi, hilang persekutuan persaudaraan yang erat dan dan dia tidak pernah benar-benar tenang dalam hidupnya. Realitinya, ramai orang pada hari ini juga tergoda untuk memperoleh “berkat” melalui jalan yang tidak jujur iaitu mungkin melalui rasuah atau salah guna kedudukan demi kepentingan peribadi. Ini boleh berlaku baik dalam dunia kerjaya juga dalam pelayanan gereja. Dalam melakukan penipuan dan salahguna kuasa, kita mungkin dapat kedudukan, wang, atau pengaruh, tetapi kita kehilangan damai dan hadirat Tuhan dari hidup kita. Titik perubahan dalam hidup Yakub berlaku di tepi Sungai Yabok (Kejadian 32). Di situ, dia bertembung dengan Tuhan dalam sebuah pergumulan rohani. Malaikat Tuhan bertanya, “Siapakah namamu?” Ini adalah soalan yang sangat bermakna. Dulu bila ditanya bapanya, dia mengaku “Esau” untuk menipu, tetapi kali ini dia jujur, “Aku Yakub.” Inilah saat pemulihan itu. Pada ketika kita berani mengakui siapa diri kita yang sebenar di hadapan Tuhan. Tuhan bukan hanya mengampuni Yakub. Dia memulihkannya. Namanya diubah menjadi Israel, satu identiti baru dan hubungan yang diperbaharui dengan Tuhan. Yakub si Penipu sekarang menjadi Israel sang Pahlawan. Selepas itu, Yakub kembali bertemu Esau. Dalam Kejadian 33, kita melihat adegan luar biasa. Esau memeluk Yakub. Pengampunan dan pemulihan hubungan berlaku. Namun semuanya bermula dengan kejujuran Yakub di hadapan Tuhan. Renungan ini mengingatkan kita bahawa berkat sejati tidak datang melalui jalan kelicikan, tetapi melalui kerendahan hati dan kejujuran. Jika ada dalam kalangan kita yang pernah mendapat sesuatu melalui cara yang salah dan kini hidup dalam ketakutan, tekanan, dan ketidaktenangan khabar baik bagi anda adalah Tuhan masih membuka jalan pulang. Kembalilah dengan hati yang jujur. Tuhan mampu memulihkan, sama seperti Dia telah memulihkan Yakub. Pertanyaan untuk refleksi diri: 1. Adakah anda pernah berusaha memperoleh sesuatu dalam hidup ini melalui penipuan atau cara yang tidak jujur? 2. Adakah anda sedang hidup tanpa damai kerana cara anda memperoleh berkat tersebut? 3. Apakah langkah kejujuran dan pertaubatan yang perlu anda ambil untuk kembali kepada berkat sejati dari Tuhan? Berkat dari Tuhan tidak memerlukan penipuan. Tuhan memberkati mereka yang hidup dalam kebenaran. Oleh : Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook @Jubilie Api n

  • Hati yang Bebas Daripada Motif Jahat

    “Malangnya kamu, orang Farisi! Kamu membayar sepersepuluh daripada selasih, inggu dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan dan kasih kepada Allah. Kamu haruslah membayar sepersepuluh itu tanpa mengabaikan perkara-perkara yang lain. ” Lukas 11:42 AVB   Yesus menegur orang Farisi bukan atas sikap mereka yang sangat teliti  membayar sepersepuluh tetapi atas sikap mereka yang tidak menghiraukan kasih kepada Allah dan keadilan serta kasih  kepada sesama manusia.   Maka Yesus pun berkata kepada mereka, “Malangnya kamu, orang Farisi! Kamu membayar sepersepuluh daripada selasih, inggu dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan dan kasih kepada Allah. Kamu haruslah membayar sepersepuluh itu tanpa mengabaikan perkara-perkara yang lain.” Sebenarnya, orang Farisi tidak mematuhi ajaran  Taurat yang benar-benar penting, seperti keadilan, belas kasihan dan kesetiaan. Mereka harus mengerjakan semua ini tanpa melalaikan ajaran yang lain.   Membayar sepersepuluh secara terperinci bukanlah sebab orang Farisi ditegur, kerana membayar sepersepuluh merupakan satu ketetapan yang memang harus dilakukan oleh mereka. Jadi, mereka dikecam  kerana mereka mahu memperoleh nama  baik sebagai pelaksana hukum Taurat yang ketat dan juga untuk mendapat sokongan daripada para imam.   Tegasnya, apa yang dituntut  daripada setiap kita ialah  hati yang benar di hadapan Allah. Sungguhpun persembahan sepersepuluh kepada-Nya  merupakan ibadat, apa yang lebih lagi diperkenan Allah ialah hati yang bebas daripada motif yang berpusat pada diri sendiri. Kita harus menumpukan perhatian  untuk memuliakan Allah dan bukan seperti orang Farisi yang membayar sepersepuluh mereka kerana ingin memperkukuh kedudukan masing-masing dalam masyarakat.   Oleh itu, marilah kita melakukan segala-galanya dengan hati yang benar dan suci….   Doa: Ya Bapa yang di syurga, berilah aku  hati yang bebas daripada segala motif yang tidak baik. Ajarlah aku untuk melakukan segala perkara dengan motif yang menyenangkan hati-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Jagalah Hati Kita Daripada Segala yang Jahat

    Oleh itu, Tuhan berkata kepadanya, “Kamu orang Farisi mencuci bahagian luar pinggan mangkuk, tetapi kamu penuh dengan ketamakan dan kezaliman dalam hatimu. ” Lukas 11:39 AVB   Seorang Farisi  menjemput Yesus makan di rumahnya. Dia kehairanan apabila  melihat  Yesus tidak membasuh tangan-Nya sebelum Dia makan. Sebab menurut adat orang Farisi, mereka wajib terlebih dahulu mencuci tangan mereka sebelum makan.    Amalan membasuh tangan sebelum makan merupakan kebiasaan orang Farisi. Apatah lagi, individu itu dianggap sebagai seorang yang suci.  Maka tuan rumah terkejut bahawa Yesus yang disifatkan sebagai seorang  nabi, selain juga seorang yang taat dan berpegang teguh pada hukum Taurat, telah duduk makan tanpa mencuci tangan-Nya terlebih dahulu. Hal itu  dikira sebagai mengabaikan adat atau melanggar hukum.   Oleh sebab Yesus mengetahui isi hati tuan rumah, Yesus pun berkata kepadanya, “Kamu orang Farisi mencuci bahagian luar pinggan mangkuk, tetapi kamu penuh dengan ketamakan dan kezaliman dalam hatimu.” Dengan kata lain, cara  orang Farisi mengikut perintah Allah boleh digambarkan seperti orang yang hanya mencuci mangkuk dan pinggan pada bahagian luar, tetapi mereka lupa mencuci bahagian dalam yang  kotor. Lebih-lebih lagi, hati mereka penuh dengan kotoran, seperti  tamak haloba dan keinginan yang jahat.   Bagi Yesus, Dia tidak mahu setakat melakukan sesuatu itu  untuk menyenangkan hati orang Farisi yang mengundang-Nya atau melakukan sesuatu kebiasaan semata-mata untuk memenuhi tuntutan hukum. Tegasnya, Yesus  menitikberatkan  hati putih yang bebas daripada segala yang jahat.   Apa yang terutama ialah hati yang bersih dan bebas daripada segala ketamakan, kebencian, kekejian, hal-hal duniawi dan sebagainya. Janganlah luaran sahaja kelihatan  sangat baik tetapi dalaman pula sangat jahat. Oleh itu, jagalah hati kita supaya tetap bersih dan benar di hadapan Allah.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku atas segala kejahatan yang  telah aku lakukan. Bersihkan aku daripada segala tutur kata, perbuatan, dan pemikiran yang tidak baik. Berilah aku hati yang sentiasa menyenangkan hati-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Yesus Sentiasa Menerima Jemputan Kita

    Setelah Yesus habis bercakap, seorang Farisi menjemput Dia makan di rumahnya. Yesus pun pergi  lalu duduk bertelekan di meja. Lukas 11:37 AVB   Sewaktu Tuhan Yesus dijemput oleh seorang Farisi ke rumahnya untuk makan bersama-sama,  Yesus tidak menolak jemputannya itu.   Dia kelihatan menerima jemputan orang Farisi itu dengan hati yang senang dan terbuka. Siapakah orang Farisi itu?   Orang Farisi merupakan "golongan yang diasingkan”. Mereka terdiri daripada  ahli Taurat yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Yahudi. Mereka berpegang erat pada hukum Taurat Musa dan pada "adat istiadat nenek moyang". Seluruh hukum dan peraturan agama Yahudi dipatuhi mereka secara mutlak. Selain itu, orang Farisi juga sangat taat kepada hukum-hukum dan peraturan-peraturan lain yang ditambah kemudian dari zaman ke zaman.   Yesus tahu bahawa orang Farisi menentang diri-Nya dan selalu cuba mencari kesalahan-Nya. Namun begitu, apabila seorang Farisi menjemput Yesus  ke rumahnya untuk makan bersama, Dia  masih sudi pergi    lalu duduk bertelekan di meja untuk makan dengannya.   Yang penting bagi Tuhan Yesus ialah berita baik tentang-Nya akan dikhabarkan. Oleh itu, latar belakang atau sikap orang Farisi terhadap-Nya bukanlah penghalang kerana keutamaan Yesus ialah  kerajaan Allah bertapak dalam kalangan mereka. Dengan itu, apabila Dia dijemput, Dia pergi tanpa keberatan.   Demikian juga dengan diri kita. Tuhan Yesus juga siap sedia menerima jemputan kita untuk masuk ke dalam hidup kita. Dia tidak akan menolak jemputan kita kerana setiap kita adalah amat penting dan berharga kepada-Nya. Oleh itu, jemputlah Yesus ke dalam hidup kita hari ini.   Doa: Ya Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu untuk memohon agar Engkau datang dan masuk ke dalam hidupku. Bimbinglah hidupku dengan sepenuhnya. Bertaktalah Engkau dalam hidupku, ya Tuhan dan pakailah hidupku demi kemuliaan nama-Mu. Dalam nama-Mu aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Jagalah Cahaya dalam Dirimu dengan Baik

    “Oleh itu,  berjaga-jagalah  supaya cahaya dalammu itu  tidak menjadi gelap.” Lukas 11:35 AVB   Yesus memperingatkan murid-murid-Nya supaya sentiasa berjaga-jaga agar cahaya yang ada  dalam diri mereka  tidak menjadi gelap. Perkataan “berjaga-jaga” ini membawa maksud bahawa perhatian yang sebaik-baiknya perlu diberikan terhadap sesuatu yang amat penting dalam hidup seseorang. Dengan kata lain, sikap yang sentiasa “berwaspada” atau “berhati-hati” dikehendaki.   Sebenarnya, cahaya pelita jiwa kita merupakan pengertian, penilaian dan kekuatan kita untuk mencernakan sesuatu perkara, iaitu membezakan apa yang baik daripada apa yang jahat atau mengenal pasti apa yang  benar daripada apa yang  salah. Oleh itu, Yesus memperingatkan kita agar menjaga cahaya dalam hidup kita agar ia tidak menjadi gelap.   Sebab cahaya dalam kita dapat menerangi perjalanan hidup  kita sekiranya pelita hidup kita itu sentiasa terang. Demikian juga pelita hidup kita boleh membawa mudarat bahkan kematian sekiranya pelita itu disembunyikan dan tidak diletakkan di tempat yang betul dalam hidup kita.   Kesimpulannya, pastikanlah cahaya yang ada dalam diri kita tidak menjadi gelap tetapi biar cahaya itu sentiasa bersinar terang dalam hidup kita, iaitu kebenaran firman Allah itu terus menyinari hidup kita.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, biarlah pelita hatiku sentiasa memancarkan cahaya kepada hidupku. Aku mahu kebenaran firman Allah terus-menerus menyinari hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Biarlah Kebenaran Firman Allah Menjadi Cahaya Hidup Kita

    “Matamu ialah pelita tubuhmu. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu pun menjadi gelap. ” Lukas 11:34 AVB Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa kebenaran firman Allah tidak boleh disembunyikan daripada  orang lain. Sebaliknya, kebenaran firman Allah itu haruslah disampaikan kepada semua orang agar mereka yang mendengarnya akan menerimanya lalu memperoleh hidup kekal.   Demi memiliki hala tuju hidup yang baik dan betul,  seseorang itu haruslah mengurus hidupnya dengan baik dan teratur. Jika mata jasmani kita sihat, ia  dapat menerima cahaya. Barulah mata kita akan dapat melihat dengan jelas supaya kita dapat bergerak secara lancar tanpa tersandung.   Demikianlah juga dengan hidup rohani kita. Sekiranya cahaya kebenaran firman Allah tidak menerangi hidup kita, maka betapa mudah bagi diri kita untuk kehilangan hala tuju hidup yang betul di dunia ini. Dengan kata lain, kita akan mudah tersesat daripada jalan kebenaran Allah. Mata rohani kita menjadi kabur kerana tidak diterangi oleh kebenaran firman Allah.   Oleh itu, kita memerlukan kebenaran firman Allah untuk mencahayai  hidup kita. Sekiranya kebenaran firman Allah tidak bertakhta dalam hidup kita, maka seluruh hidup kita akan menjadi gelap-gelita.   Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini?  Mata kita ini bagaikan pelita bagi tubuh kita kerana dengan mata yang terang lagi baik, maka kita dapat mengendalikan hidup kita dengan baik. Sememangnya, kebenaran firman Allah  menyinarkan cahaya bagi hidup kita sehari-hari. Oleh itu, biarlah  kebenaran firman Allah memancarkan cahaya dalam hidup kita setiap hari demi kemuliaan-Nya.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas kebenaran firman-Mu yang sentiasa memberi aku cahaya bagi perjalanan hidupku di dunia ini. Aku mahu hidup menurut kehendak-Mu supaya  tidak  tersesat daripada jalan kebenaran-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa.  Amin. Pr Patrick Taie

  • Di manakah pelita diletakkan?

    “Tiada seorang pun yang memasang pelita lalu menyorokkannya di tempat tersembunyi atau di bawah pasu. Sebaliknya, dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya orang yang masuk dapat melihat cahayanya.” Lukas 11:33 AVB Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa Dia tidak mengajar mereka secara rahsia atau tersembunyi. Sebaliknya, Dia mengajar mereka secara terang-terangan tentang “kebenaran berita baik” agar berita baik mengenai-Nya akan menjadi cahaya bagi hati mereka. Itulah sebabnya Yesus berkata bahawa manusia tidak akan menyalakan pelita atau lampu lalu menempatkannya di bawah tempayan atau di tempat tersembunyi. Sudah tentulah pelita itu akan diletakkan di atas kaki pelita supaya semua yang masuk dapat melihat cahayanya. Demikanlah juga “berita baik” harus dikhabarkan kepada semua orang agar mereka yang mendengarnya akan turut mempercayainya dan memperoleh hidup kekal. Sesungguhnya, kebenaran firman yang diajarkan Yesus kepada mereka bagaikan cahaya yang terpancar dari sebuah pelita. Seterusnya, cahaya terang dari pelita yang jelas kelihatan boleh membimbing orang kepada kebenaran berita baik tentang Yesus. Biarlah kebenaran firman Allah memancarkan cahaya kepada semua orang supaya mereka tertarik kepadanya demi memperoleh hidup. Sebab cahaya itu ialah kebenaran Allah sendiri yang akan membawa hidup kepada semua orang. Namun demikian, terserahlah pada diri kita yang mendengar kebenaran firman Allah sama ada kita sedia menerimanya atau tidak dalam hidup kita. Oleh itu, marilah kita menghayati kebenaran firman Allah dalam hidup seharian kita agar orang yang ada di sekeliling kita dapat melihat cahaya itu terpancar daripada tutur kata, tingkah laku dan sikap kita sehingga mereka juga mahu menerima kebenaran itu demi mengecapi kasih kurnia danhidup kekal daripada Allah. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menaruh kebenaran firman-Mu itu di tempat yang betul dalam hidupku. Biarlah orang yang ada di sekelilingku dapat melihat Engkau dalam hidupku lalu mereka turut mahu mendapat penyelamatan dan hidup kekal. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

bottom of page