top of page

Cari

3258 results found with an empty search

  • RumahMu, Rumah Tempat Berdoa

    “…Yesus berkata, ‘Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa. Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!’...” Lukas 19:46 Setelah Yesus mengusir keluar semua pedagang yang berjual-beli di halaman Rumah Tuhan, Dia memberitahu kepada pengikut-pengikut-Nya alasan mengapa Dia bertindak demikian terhadap para pedagang itu. Yesus berkata bahawa Rumah Tuhan adalah rumah tempat berdoa, yang dikhususkan untuk mengadakan persekutuan dengan Tuhan, dan bukan untuk kegiatan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan. Itulah sebab Yesus berkata agar Rumah Tuhan jangan dijadikan tempat persembunyian perompak. Bagi Yesus, kekudusan Rumah Tuhan merupakan perkara yang sangat diutamakan daripada yang lain. Perbuatan mereka yang berjual-beli di hadapan Rumah Tuhan pasti mengganggu pemikiran setiap orang yang datang untuk beribadah di dalamnya. Oleh itu wajarlah bagi kita pada hari ini untuk bertindak seperti Yesus, yang mengutamakan kekudusan Rumah Tuhan, sebab Rumah Tuhan adalah tempat bagi setiap kita datang dan bersekutu dengan Tuhan. Apabila Rumah Tuhan dipelihara dalam kekudusan, maka kehadiran Tuhan pasti akan kita nikmati, terutamanya bagi mereka yang datang untuk beribadah di dalamnya. Oleh itu marilah kita menjadikan Rumah Tuhan sebagai tempat yang kudus, sebagai “…rumah tempat berdoa untuk semua bangsa…”. Doa: Tuhan, terima kasih untuk Rumah-Mu yang Engkau berikan kepada kami untuk beribadah. Oleh itu, Tuhan, tolonglah kami untuk menjaga agar Rumah-Mu tetap suci dan berkenan kepada-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Hati Yesus Terhadap Rumah Tuhan

    “…Yesus berkata, ‘Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa. Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!’...” Lukas 19:46 Apabila Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba, Yesus pergi ke kota Yerusalem dan masuk ke dalam Rumah Tuhan. Sewaktu Dia masuk ke dalam Rumah Tuhan, Dia melihat orang ramai menjual lembu, domba dan burung merpati; penukar wang juga sedang berniaga di halaman Rumah Tuhan. Kerana orang berjual beli di halaman Rumah Tuhan, Yesus membuat cemeti daripada tali lalu mengusir semua orang beserta binatang-binatang mereka keluar dari Rumah Tuhan, baik domba mahupun lembu. Dia menterbalikan meja para penukar wang sehingga wang mereka berhamburan. Dia melakukan semuanya ini kerana cintanya terhadap Rumah Tuhan. Rumah Tuhan haruslah suci dan bebas daripada segala unsur duniawi. Orang-orang menggunakan masa Perayaan Paskah untuk memperoleh keuntungan peribadi. Tujuan mereka berjual beli di halaman Rumah Tuhan bukanlah untuk menyembah Tuhan, tetapi demi kepentingan mereka sendiri. Yesus tidak mahu Rumah Tuhan dicemari dengan kegiatan seperti itu. Itulah sebabnya Dia mengusir semua penjual dan pembeli di dalamnya. Yesus mahu Rumah Tuhan menjadi tempat orang datang untuk menyembah, berdoa dan bersekutu dengan Tuhan. Rumah Tuhan mestilah bebas daripada semua kegiatan yang mencemarkan kekudusan-Nya. Tuhan itu kudus, maka Rumah-Nya juga harus kudus dan bebas daripada apa yang menajiskannya. Oleh itu kita harus menghindarkan segala unsur duniawi yang cuba dibawa masuk ke dalam Rumah Tuhan. Doa: Tuhan, ampunilah kami atas segala kelalaian terhadap kekudusan Rumah-Mu. Berilah kami keberanian untuk menyatakan kebenaran dalam setiap kegiatan yang diadakan di Rumah-Mu, agar kekudusan Rumah-Mu tetap terpelihara. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Kenalilah Waktunya Bagi Diri Kita

    “…Dia berkata, “Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang dapat mendatangkan kedamaian! Tetapi sekarang kamu tidak dapat melihatnya....” Lukas 19:42 Ketika Yesus dan para pengikut-Nya menghampiri kota Yerusalem, dan apabila Yesus melihat kota itu, Dia mulai menitiskan air mata-Nya. Dia tahu keadaan kota itu dan apa yang akan terjadi ke atasnya. Walaupun Yerusalem telah diberikan banyak kesempatan, namun ia tidak pernah berubah. Oleh sebab kasih-Nya yang sangat besar terhadap Yerusalem, Yesus menangisinya. Lalu Yesus berkata bahawa alangkah baiknya sekiranya kota itu mengerti dan mengetahui bahawa pada hari itu Berita Baik diberitakan kepadanya dan keselamatan sedang ditawarkan kepadanya. Itulah sebabnya Yesus berkata, “…alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang dapat mendatangkan kedamaian! Tetapi kamu tidak mengetahuinya…” Yerusalem tidak menyedari waktu ketika Allah datang melawatnya untuk membawa damai sejahtera dan mendamaikannya dengan Allah. Kerana ketidaktahuan ini, Yerusalem akan menghadapi kehancuran. Musuh-musuhnya akan datang, mengepungnya dari setiap sudut, membina kubu di sekelilingnya, dan membinasakannya bersama semua penduduknya. Kota itu akan diratakan sampai tidak ada lagi batu bertindih. Semua ini terjadi kerana mereka tidak mengenali waktu ketika Allah datang untuk menyelamatkan mereka. Bagaimana pula dengan diri kita hari ini? Adakah kita mengenali waktu ketika Tuhan datang mengunjungi hidup kita untuk membawa damai sejahtera dan mendamaikan kita dengan-Nya? Oleh itu marilah kita menjalani kehidupan yang akrab dengan Tuhan Yesus, agar kita mengenali kehadiran-Nya dan memahami waktu-Nya dalam hidup kita. Doa: Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu pada saat ini. Aku memohon bimbingan-Mu atas hidup aku. Ajarilah aku untuk hidup akrab dengan-Mu, ya Tuhan. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Keajaiban-Mu, Hatiku Terus Bersorak

    “…Lalu beberapa orang Farisi antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, ‘Guru, suruhlah semua pengikut guru diam.’...” Lukas 19:39 Ketika semua pengikut Yesus dan orang ramai yang mengikut Yesus di jalan menurun dari Bukit Zaitun bersukacita dan memuji Allah dengan suara yang sangat nyaring kerana mereka telah melihat segala mukjizat yang Yesus lakukan, ada juga beberapa orang Farisi berada di tengah-tengah orang ramai itu. Mereka datang kepada Yesus lalu meminta kepada-Nya supaya Yesus menegur pengikut-pengikut-Nya agar mereka berdiam dan tidak mengatakan hal-hal yang seperti itu: “…Diberkatilah Dia yang datang dengan kuasa Tuhan! Sejahtera di syurga dan kemuliaan bagi Allah!...” Namun Yesus berkata kepada orang Farisi itu bahawa sekiranya pengikut-pengikut-Nya berdiam dan tidak bersorak, maka batu-batu di sepanjang jalan itu yang akan berseru dan mengatakan hal yang sama. Pengikut Yesus dan orang ramai bersorak-sorai mengatakan, “…Diberkatilah Dia yang datang sebagai Raja dalam nama Tuhan! Damai sejahtera di syurga dan kemuliaan di tempat yang mahatinggi!...” kerana mereka telah melihat semua mukjizat yang Yesus lakukan. Oleh itu mereka terus bersorak bagi Tuhan. Bagaimana dengan diri kita hari ini? Apakah kita bersorak kepada Tuhan kerana kita telah melihat atau menyaksikan keajaiban Tuhan dalam hidup ini? Doa: Tuhan, terima kasih kerana menyatakan keajaiban dalam hidup ini. Biarlah segala keajaiban-Mu membangkitkan semangat dan kekuatan dalam hidup aku sehingga hati aku terus memuji-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Keajaiban Tuhan, Membangkitkan Pujian Dalam Hati

    “…Apabila Yesus hampir sampai di Yerusalem, di jalan yang menurun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya mula bersyukur kepada Allah dan memuji Allah dengan suara keras kerana semua mukjizat yang sudah disaksikan oleh mereka......” Lukas 19:37 Ketika Yesus menunggang anak keldai dan menghampiri kota Yerusalem, di jalan yang menurun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya dan orang ramai yang mengikut-Nya mulai bersyukur serta bersukacita memuji Allah dengan suara yang kuat. Mereka memuji Allah kerana semua mukjizat yang dilakukan oleh Yesus dan yang telah mereka saksikan sendiri. Hati mereka dipenuhi rasa syukur kepada Allah kerana mereka melihat segala keajaiban yang Tuhan Yesus lakukan. Mereka mula memuji-muji Allah dengan suara keras, berseru, “…Diberkatilah Dia yang datang dengan kuasa Tuhan! Sejahtera di syurga dan kemuliaan bagi Allah!..” Hati mereka dipenuhi dengan pujian dan sorakan kepada Tuhan kerana mereka telah menyaksikan keajaiban Tuhan dalam Yesus. Dengan penuh sukacita mereka bersorak-sorai memuliakan Tuhan. Bagaimana pula dengan diri kita? Apakah kita melihat keajaiban Tuhan dalam kehidupan kita selama ini? Mengalami keajaiban Tuhan pasti akan menghidupkan hati yang penuh kesyukuran dan pujian. Doa: Tuhan, berikanlah aku hati yang bersyukur kepada-Mu kerana kebaikan dan anugerah-Mu yang sangat besar dalam hidup aku. Biarlah hati aku sentiasa dipenuhi dengan pujian kepada-Mu, ya Tuhan. Ajarilah aku untuk terus memuji-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Biarlah Yesus Mengendalikan Hidup Kita

    “…Sementara Yesus lalu dengan menunggang keldai itu, orang ramai membentangkan jubah di jalan........” Lukas 19:36 Apabila kedua pengikut Yesus menemui anak keldai yang Yesus beritahukan kepada mereka untuk diambil bagi-Nya, mereka pun membawa anak keldai itu kepada Yesus. Mereka menaruh jubah mereka ke atas punggung keldai itu lalu menolong Yesus naik ke atasnya. Sewaktu Yesus duduk di atas anak keldai itu dan menunggangnya masuk ke dalam Yerusalem, orang ramai membentangkan jubah mereka di jalan. Para pengikut Yesus rela mengalasi keldai itu dengan pakaian mereka. Demikian juga orang ramai yang mengikut-Nya, mereka merelakan jubah mereka diinjak-injak sebagai jalan bagi Tuhan. Mereka melakukan semuanya itu bukan kerana keldai yang ditunggangi Yesus, tetapi kerana peribadi yang duduk di atasnya. Mereka rela mengorbankan apa yang mereka miliki kerana mereka melihat siapakah yang sedang ditinggikan. Mereka mahu menghormati Dia yang duduk di atas keldai itu. Peribadi yang duduk di atas keldai itu mengubah cara orang ramai memandang keldai tersebut. Dalam sekejap sahaja, keldai itu menjadi istimewa di mata orang ramai kerana Yesus yang menungganginya. Pandangan dan penerimaan orang ramai berubah sepenuhnya. Orang ramai tidak peduli bahawa jubah mereka dipijak oleh keldai itu, kerana mereka memuliakan Yesus yang dibawanya. Demikian juga dengan diri kita—orang akan menghormati kita apabila Yesus yang “duduk” di dalam kehidupan kita, memerintah dan mengendalikan hati kita. Oleh itu, berilah tempat dalam hati kita untuk Yesus duduk dan memerintah… Doa: Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu dan menyerahkan seluruh hidup aku kepada-Mu. Bertakhtalah dalam hidup aku, kuasailah aku, Tuhan, dan kendalikanlah hidup aku. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Ikut Dan Lakukan Menurut Yang Diperintah-Nya

    'Mereka pun pergi dan mendapati sebagaimana yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. ' (Lukas 19:32) AVB Setelah Yesus menceritakan perumpamaan itu kepada pengikut-pengikut-Nya, Dia pun pergi mendahului mereka ke Yerusalem. Ketika Dia sudah dekat Betfage dan Betania, di bukit bernama Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu ke Yerusalem untuk mengambil seekor keldai yang terikat bersama anaknya untuk ditunggangi-Nya. Yesus memberitahu kedua pengikut-Nya tentang apa yang harus mereka lakukan dan apa yang akan mereka temui. Setelah menerima perintah Yesus, kedua-duanya pun pergi ke desa di depan mereka. Sewaktu mereka masuk ke dalam desa itu, mereka mendapati bahawa apa yang diberitahu oleh Yesus kepada mereka benar dan tepat. Mereka menemui keldai dan anaknya yang terikat, yang belum pernah ditunggangi oleh sesiapa. Dengan itu mereka melepaskan talinya dan membawa keldai itu kepada Yesus untuk ditunggangi. Ketika mereka melepaskan keldai itu, ada orang bertanya sebab mereka melepaskannya. Mereka menjawab, “Tuhan memerlukannya.” Setelah mendengar jawapan itu, orang tersebut membiarkan mereka membawa keldai itu kepada Yesus. Apabila kedua pengikut Yesus merenungkan hal itu, mereka sedar bahawa segala-galanya berlaku tepat seperti yang dikatakan oleh Yesus. Oleh itu, sekiranya Tuhan Yesus menyuruh kita melakukan sesuatu perkara, janganlah kita khuatir dan ragu untuk pergi dan melakukannya, kerana Tuhan tahu apa yang ada di hadapan kita. Ikut dan taatilah setiap perintah Tuhan Yesus tanpa memberikan banyak alasan. Doa: Tuhan, ajarlah aku untuk melakukan segala perkara yang Engkau perintah kepada aku tanpa ragu dan tanpa khuatir, kerana Engkaulah Tuhan yang tahu apa yang terbaik bagi diriku. Singkirkanlah segala kekhuatiran dan keraguan daripada hatiku. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Setialah Gunakan Karuniamu Untuk Tuhan

    'Jawabnya, ‘Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak, sebaliknya orang yang tidak mempunyai sesuatu, apa yang ada padanya akan diambil daripadanya. ' (Lukas 19:26) AVB Raja itu menjawab kepada semua hambanya bahawa setiap orang yang setia mengusahakan apa yang telah diberikan oleh-Nya akan diberikan lebih banyak lagi. Namun bagi mereka yang tidak setia dalam mengusahakan apa yang telah diberikan oleh-Nya, apa yang ada pada mereka akan diambil kembali. Oleh itu marilah kita terus berusaha dengan lebih keras mengusahakan apa yang Tuhan telah berikan kepada kita dengan setia. Semakin kita setia menggunakan pemberian yang Tuhan berikan kepada kita, maka Dia—Tuhan yang penuh belas kasihan—akan menambahkan lagi apa yang kita miliki. Tetaplah setia dalam mengusahakan segala karunia yang telah kita terima daripada Tuhan walaupun banyak cabaran yang harus kita lalui. Selagi kita diberi kesempatan oleh Tuhan, marilah kita memberi yang terbaik untuk mengembangkan Kerajaan Tuhan melalui pemberian yang Dia percayakan kepada kita selama kita masih berpeluang. Kesetiaan kita dalam mengusahakan dan menggunakan karunia yang Tuhan berikan akan menyebabkan Tuhan menambahkan lagi karunia itu dengan lebih banyak. Oleh itu layani Tuhan dengan sekuat dan semampu yang boleh selagi ada kesempatan dan selagi kita masih hidup. Doa: Tuhan, terima kasih kerana mempercayakan aku dengan karunia yang aku miliki pada hari ini. Ajarlah aku bagaimana menggunakan karunia-Mu itu dengan sebaik-baiknya untuk membangun dan memberkati orang lain. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Hamba Yang Tidak Dapat Dipercaya

    'Seorang hamba lagi menghadap dan berkata, ‘Tuan inilah mina tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain. ' (Lukas 19:20) AVB Setelah bangsawan itu dilantik menjadi raja, dia kembali ke negerinya. Setibanya di sana, dia segera memanggil semua hambanya yang telah menerima wang emas daripadanya untuk datang menghadap, kerana dia mahu mengetahui keuntungan yang mereka peroleh selama ketiadaannya. Hamba yang lain datang menghadap lalu melaporkan apa yang telah dilakukan terhadap wang emas yang diterimanya. Dia berkata, “Tuan inilah mina tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain. Aku takut akan tuan kerana tuan seorang yang keras hati...” Setelah mendengar laporan itu, raja berkata kepadanya, “Hamba yang zalim! Aku akan menghukum engkau mengikut kata-katamu sendiri. Engkau mengetahui aku ini seorang yang keras hati, mengambil barang yang bukan milikku dan menuai apa yang tidak aku taburkan...” Raja itu berkata bahawa seharusnya hambanya menyimpan wang tersebut di bank supaya apabila dia kembali, dia dapat menerima wangnya bersama faedah. Lalu raja bertitah kepada mereka yang berdiri di situ, “Ambillah mina itu daripadanya dan berikannya kepada orang yang mempunyai sepuluh mina itu.” Hal ini menggambarkan kelalaian seseorang yang telah menerima karunia daripada Tuhan namun tidak pernah berusaha memanfaatkannya. Dia tidak mengambil peduli sama ada Kerajaan Kristus maju atau mundur, kerana dia enggan bersusah payah, tidak mahu kehilangan apa-apa, dan tidak mahu melalui kesulitan. Bagaimana dengan diri kita pada hari ini? Setelah kita menerima karunia daripada Tuhan Yesus, adakah kita berusaha menggunakannya supaya Kerajaan Tuhan berkembang dan orang lain diberkati serta dibangun? Oleh itu marilah kita menggunakan karunia yang telah kita terima untuk memuliakan Tuhan. Doa: Tuhan, terima kasih kerana memberikan aku karunia untuk digunakan bagi perkembangan Kerajaan-Mu. Tuhan, ajarlah aku menggunakan karunia yang Engkau telah berikan kepada aku untuk mengembangkan pekerjaan-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Hamba Yang Dapat Dipercaya

    'Tuan itu berkata kepadanya, ‘Bagus sekali, hamba yang baik. Oleh sebab engkau telah setia dalam perkara kecil ini, aku akan menjadikan engkau penguasa sepuluh buah kota.’ ' (Lukas 19:17) AVB Yesus menceritakan sebuah perumpamaan tentang seorang bangsawan dan hamba-hambanya untuk menjelaskan keadaan Kerajaan Allah yang dibawa-Nya ke dunia ini. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya bahawa Kerajaan Allah itu seperti “seorang bangsawan yang mahu berangkat ke negeri jauh untuk dilantik menjadi raja dan akan kembali". Namun sebelum bangsawan itu berangkat, dia memanggil sepuluh orang hambanya lalu memberikan sekeping wang emas kepada setiap seorang daripada mereka. Dia berkata, “uruskanlah wang ini sehingga aku pulang”. Sewaktu dia mahu berangkat untuk dilantik menjadi raja, penduduk negerinya mengirim utusan untuk menyatakan bahawa mereka tidak mahu dia menjadi raja mereka, kerana mereka membenci dan tidak menyukai dirinya. Setelah bangsawan itu dilantik menjadi raja, dia pun pulang ke negerinya. Dengan segera dia menyuruh semua hambanya yang telah menerima wang emas daripadanya untuk datang menghadap. Dia mahu mengetahui keuntungan yang diperoleh mereka selama ketiadaannya. Hamba yang pertama datang lalu berkata, “Tuan, satu mina tuan itu telah menjadi sepuluh mina”. Setelah mendengar laporan itu, raja berkata kepadanya, “Bagus sekali, hamba yang baik. Oleh sebab engkau telah setia dalam perkara kecil ini, aku akan menjadikan engkau penguasa sepuluh buah kota.” Hal ini mengajar kita bahawa seseorang yang tekun dan setia dalam melayani Tuhan pasti akan diberkati dan menjadi berkat. Tuhan melihat kesungguhan dan ketekunan dalam pelayanan kita. Oleh itu Tuhan akan melimpahkan berkat-Nya ke atas hidup kita. Doa: Tuhan, ajarlah aku untuk melayani-Mu tanpa merasa lelah dan tekun dalam mengerjakan pekerjaan-Mu. Tuhan, ajarlah aku untuk melayani Engkau dengan setia tanpa merasa lelah. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Harapan Yang Salah Terhadap Yesus

    'Yesus menceritakan sebuah ibarat kepada mereka yang mendengar-Nya. Dia kini telah hampir tiba di Yerusalem dan mereka menyangka bahawa kerajaan Allah akan menjadi nyata tidak lama lagi. ' (Lukas 19:11) AVB Oleh kerana Yesus semakin menghampiri kota Yerusalem, maka Dia menceritakan sebuah perumpamaan tentang mata wang emas untuk memperingatkan orang banyak tentang Kerajaan Allah yang akan datang, sekaligus menghilangkan sangkaan umum mereka terhadap-Nya. Harapan pengikut-pengikut-Nya dan orang Farisi ketika itu adalah bahawa Allah akan segera memerintah sebagai Raja di dunia. Sangkaan mereka tentang Kerajaan Allah sangat berbeza daripada Kerajaan Allah yang dibawa oleh Tuhan Yesus ke dunia ini. Bagi pengikut-pengikut Yesus, mereka menyangka bahawa kedatangan-Nya ke dunia ini adalah untuk memperkenalkan sebuah kerajaan yang penuh dengan kemegahan dan kuasa duniawi. Oleh itu mereka menyangka bahawa Yesus akan menggunakan kuasa-Nya—yang digunakan-Nya untuk melakukan mujizat—untuk menubuhkan kerajaan duniawi-Nya. Sewaktu mereka menghampiri kota Yerusalem, mereka sudah membayangkan sebuah kerajaan seperti kerajaan dunia akan segera ditubuhkan, di mana Yesus akan duduk di atas takhta-Nya dan memerintah sebagai Raja seperti raja dunia. Bagaimana dengan diri kita pada hari ini? Apakah kita mempunyai harapan yang serupa dengan pengikut-pengikut Yesus dan orang Farisi? Adakah kita sering keliru tentang tujuan kita menyerahkan hidup untuk mengikut Yesus? Harapan kita terhadap Yesus sering kali hanya berkisar pada hal-hal duniawi. Kita menyangka bahawa menjadi pengikut Yesus bermakna kita akan menerima perkara-perkara jasmani. Namun mengikut Tuhan Yesus bererti menyerahkan seluruh hidup kita kepada-Nya untuk melaksanakan kehendak-Nya. Doa: Tuhan, sekiranya aku menaruh harapan yang salah terhadap penyerahan aku kepada-Mu, ampunilah aku. Tolonglah aku, Tuhan, agar aku memiliki harapan yang benar terhadap Engkau dalam hidup ini. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Renungan Adven

    oleh Kathleen Trock-Molhoek dan Raina Stagg Renungan Adven ialah renungan lima pelajaran yang dirancang untuk membantu individu dari pelbagai peringkat usia mengalami makna sebenar Natal – bahawa Mesias yang dijanjikan telah datang sebagai Imanuel, Allah beserta kita, untuk menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka (Mat. 1:21-23). Setiap sesi renungan selama 20 minit menggunakan Model Pebbles and Stones yang melibatkan anda dengan kisah Alkitab melalui Doa Mendengar, Penulisan Jurnal, Perkongsian, dan Doa untuk satu sama lain. Renungan ini bermula pada Ahad pertama musim Adven diteruskan sepanjang tiga Ahad berikutnya, dan kemuncak pada Hari Natal. Setiap pelajaran mengikuti naratif dalam Injil Lukas, meneroka satu tema setiap minggu: Harapan, Sukacita, Damai Sejahtera, dan Kasih. Klik di bawah untuk memuat turun dan mencetak teks penuh Renungan Adven. Klik di bawah untuk memuat turun dan mencetak Jurnal Adven yang melengkapi Renungan Adven di atas. Klik di bawah untuk mengakses Kad Mudah Adven, yang menyajikan renungan harian dalam format yang menyeronokkan dan mudah dibaca.

bottom of page