top of page

Cari

3258 results found with an empty search

  • Hidup Dengan Iman Dan Pengharapan, Bukan Ketakutan

    Teks: 2 Timotius 1:7 “Kerana Allah memberikan kepada kita bukan roh ketakutan, melainkan roh yang membangkitkan kekuatan, kasih, dan ketertiban.” Renungan: Ketakutan sering timbul apabila kita menilai keadaan hidup berdasarkan pandangan dan kefahaman manusia semata-mata. Namun demikian, firman Tuhan mengingatkan kita bahawa kehidupan orang percaya tidak dipimpin oleh ketakutan, sebaliknya oleh iman dan pengharapan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Iman menolong kita untuk terus percaya bahawa Tuhan berdaulat, walaupun keadaan kelihatan tidak menentu. Pengharapan pula memberi kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan, kerana kita yakin bahawa Tuhan memegang masa depan setiap orang yang percaya kepada-Nya. Apabila kita memilih untuk hidup dengan iman, kita memilih untuk berpegang kepada janji-janji Tuhan. Apabila kita hidup dengan pengharapan, kita bersandar sepenuhnya kepada kesetiaan-Nya. Ketakutan akan kehilangan kuasanya apabila kita menyerahkan seluruh kehidupan kita kepada Tuhan dan membiarkan Dia memimpin setiap langkah kita. Doa Ya Tuhan, ajarlah kami untuk hidup dengan iman dan pengharapan kepada-Mu, dan bukan dikuasai oleh ketakutan. Kuatkan hati kami agar kami terus percaya bahawa Engkau sentiasa menyertai serta memimpin setiap langkah kehidupan kami. Dalam nama Tuhan Yesus, kami berdoa. Amin. Rev. Ali Langgit

  • Daud Dan Nebukadnezar

    Raja Daud ialah raja bangsa Israel. Raja Nebukadnezar ialah raja empayar Babilon. Selang masa antara mereka adalah sekitar 900–1100 tahun. Daud memerintah Israel pada zaman kegemilangannya, manakala Nebukadnezar dibangunkan Tuhan untuk menghukum Israel yang telah menjauh daripada-Nya, dan dalam masa yang sama “menyelamatkan” sisa umat Tuhan melalui pembuangan ke dalam empayarnya. (2 Samuel 5; Yeremia 27:5–7). Apakah persamaan antara dua raja ini? Saya tidak menyenaraikan semua persamaan, tetapi pagi ini ketika merenung tentang pemimpin dan kepimpinan dalam Alkitab, satu persamaan utama muncul dengan jelas. Pada titik kemuncak kejayaan, kedua-duanya bergelut dengan kesombongan hati. Mereka mula melihat pencapaian sebagai hasil kekuatan sendiri. Daud menghitung jumlah tenteranya (2 Samuel 24:1–4), manakala Nebukadnezar bermegah dengan kebesaran kota Babilon yang dibangunkannya (Daniel 4:29–30). Akibatnya amat serius. Disebabkan kesombongan Daud, murka Tuhan turun dan 70,000 orang mati (2 Samuel 24:15). Terhadap Nebukadnezar pula, Tuhan merendahkannya sehingga dia hilang kewarasan dan hidup seperti binatang untuk suatu tempoh, sehingga dia mengakui bahawa Tuhanlah yang berdaulat (Daniel 4:31–34). Alkitab jelas menyatakan bahawa Tuhan membenci kesombongan. “Kecongkakan mendahului kehancuran, dan tinggi hati mendahului kejatuhan.” (Amsal 16:18) Dan firman Tuhan juga mengingatkan kita: “Jika bukan TUHAN yang membangun rumah, sia-sialah usaha orang yang membangunnya.” (Mazmur 127:1) Oleh itu, apabila seorang pemimpin mula merasakan dirinya terlalu penting, dan menganggap segala pencapaian berlaku kerana kekuatan, kebijaksanaan, atau kelebihannya sendiri, itu adalah tanda amaran rohani. Itulah masa untuk berhenti seketika dan mengambil masa untuk menyembah, berdoa, dan berserah kepada Tuhan. Jika kesombongan hati sukar dibendung, dan kita masih berpegang pada fikiran bahawa diri kita hebat dan tidak tergantikan, maka kadang-kadang langkah yang lebih sihat ialah berundur sementara untuk berdoa, berpuasa, dan mencari kehendak Tuhan, sama ada untuk terus memimpin atau dengan rela dan hormat memberi laluan kepada orang lain. Prinsip ini berlaku bukan sahaja dalam gereja, tetapi juga dalam dunia kepimpinan dan politik. Kiranya Tuhan memelihara hati kita supaya sentiasa rendah di hadapan-Nya, kerana kepimpinan yang sejati lahir daripada kebergantungan kepada Tuhan, bukan daripada kebesaran diri. Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook @jubilie apin

  • Serahkan Semua Perancangan Kepada Tuhan Dan Izinkan Dia Memimpin

    Teks: Mazmur 37:5 “Serahkan jalan hidupmu kepada TUHAN; percayalah kepada-Nya maka Dia akan bertindak” Menyerahkan hidup dan segala perancangan kepada Tuhan tidak bermaksud kita berhenti berusaha. Sebaliknya, penyerahan ini bermaksud kita meletakkan kepercayaan sepenuh hati bahawa Tuhanlah yang memimpin setiap langkah kehidupan kita. Penyerahan sedemikian menuntut iman — iman untuk percaya walaupun jalan di hadapan belum jelas, dan iman untuk taat walaupun pimpinan Tuhan berbeza daripada kehendak serta perancangan kita sendiri. Apabila kita merelakan Tuhan memimpin kehidupan kita, kita belajar untuk tidak bergantung kepada kekuatan dan kebijaksanaan diri sendiri, tetapi bersandar sepenuhnya kepada hikmat Tuhan. Firman Tuhan memberi jaminan bahawa Dia akan bertindak menurut waktu-Nya yang sempurna. Tuhan tidak pernah lalai, dan setiap rancangan-Nya sentiasa membawa kebaikan bagi mereka yang percaya dan bersandar kepada-Nya. Kesimpulan: Oleh itu, marilah kita melangkah setiap hari dengan doa, menyerahkan segala perancangan kepada Tuhan, serta hidup dalam ketaatan kepada-Nya. Di situlah kita akan mengalami damai sejahtera, keyakinan yang teguh, serta berkat pimpinan Tuhan dalam setiap musim kehidupan. Doa Kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Tuhan, kerana Engkau telah menyertai serta memberkati setiap usaha dan pekerjaan, perniagaan, persekolahan anak-anak kami, pelayanan, serta segala kegiatan kami sepanjang tahun 2025. Dengan iman kepada Yesus Kristus, kami melangkah sepanjang tahun 2026 ini dengan keyakinan bahawa Engkau akan terus menjaga dan memelihara kehidupan kami, mulai hari ini dan untuk selama-lamanya. Amin. Rev. Ali Langgit

  • Siapakah Yesus?

    Sejak kedatangan-Nya yang pertama kali hingga ke hari ini, Yesus terus diperdebatkan. Kemanusiaan-Nya jarang menjadi isu. Yang sering dipersoalkan ialah keTuhanan-Nya. Persoalan utama bukan sama ada Yesus benar-benar manusia, tetapi sama ada Dia Tuhan yang menjadi manusia, atau sekadar manusia biasa yang dipanggil Tuhan sebagai seorang nabi. Alasan utama yang sering digunakan oleh mereka yang menolak keTuhanan Yesus ialah dakwaan bahawa Yesus tidak pernah mengaku secara berterus terang bahawa Dia adalah Tuhan. Mereka mencabar dengan soalan yang kelihatan mudah tetapi bernada provokatif: “Di manakah satu ayat dalam Alkitab di mana Yesus berkata secara literal, ‘Akulah Tuhan, sembahlah Aku'?” Selepas itu, ayat-ayat Alkitab sering dipetik tetapi malangnya, banyak kali dipetik di luar konteks asalnya hanya untuk menyokong hujah mereka bahawa Yesus bukan Tuhan. Namun pertanyaan seperti ini sebenarnya boleh dipatahkan dengan satu soalan yang sama beratnya: “Di manakah pula ayat di mana Yesus berkata, ‘Aku hanya seorang manusia biasa dan seorang nabi. Aku bukan Tuhan, jangan sembah Aku’?” Yesus tidak pernah membuat pengakuan seperti itu. Sebaliknya, sepanjang Injil, Dia menerima penyembahan, mengampuni dosa, berbicara dengan wibawa ilahi, dan menyatakan identiti-Nya melalui perkataan serta perbuatan dan bukannya melalui slogan atau deklarasi kosong. Seorang yang tiba-tiba tampil dan berkata, “Akulah Tuhan, sembahlah Aku,” pasti akan dianggap gila. Di zaman Yesus, pengakuan seperti itu bukan sahaja ditolak, malah boleh membawa kepada hukuman mati dengan direjam dengan batu. Dan memang benar, ada beberapa kali Yesus hampir direjam kerana melalui perkataan dan tindakan-Nya, Dia membuat pengakuan bahawa Dia adalah Tuhan. Sebenarnya sangat jelas dalam Alkitab Yesus menyatakan keTuhanan-Nya melalui pengajaran-Nya, perbuatan-Nya, dan peribadi-Nya. Matius menyusun Injil yang ditulis dalam susunan yang cukup jelas sebab dia menulis kepada bangsa Yahudi yang sudah terbiasa dengan kitab Perjanjian Lama sejak kecil. Dalam khutbah di bukit (Injil Matius 5–7), Yesus berbicara dengan wibawa yang tidak pernah dimiliki oleh nabi-nabi. Para nabi akan berkata, “Ada tertulis…” atau “Beginilah firman TUHAN…” tetapi Yesus berkata, “Aku berkata kepadamu … ” Dia bercakap bukan sebagai penyampai firman semata-mata, tetapi sebagai sumber wibawa itu sendiri. Kemudian dalam Matius 8–10, Yesus memperlihatkan kuasa-Nya melalui perbuatan : Dia meredakan ribut dan gelora laut, menyembuhkan pelbagai penyakit, mengusir roh-roh jahat, bahkan memberi kuasa kepada murid-murid-Nya untuk memberitakan Injil, menyembuhkan yang sakit, membangkitkan orang mati, dan mengusir setan-setan. Ini bukan kuasa pinjaman seorang nabi, tetapi kuasa yang mengalir daripada wibawa ilahi. Akhirnya, dalam peribadi-Nya sendiri, Yesus mengesahkan kebenaran kata-kata-Nya dengan bangkit daripada kematian. Kebangkitan-Nya bukan dongeng rekaan manusia atau simbol semata-mata, tetapi dibuktikan melalui kubur yang kosong. Dengan kebangkitan itu, Yesus bukan sahaja membuktikan siapa diri-Nya, tetapi juga menuntut respon iman daripada setiap generasi. Akhirnya, pihak pembaca dipersilakan membuat penilaian yang adil. Bacalah semula Injil Matius dengan hati yang terbuka, dan berdoalah memohon petunjuk daripada Tuhan. Mintalah agar Roh Tuhan memberikan wahyu yang sama seperti yang telah diberikan kepada Petrus, sehingga anda juga dapat mengaku dengan iman yang tulus: “Engkau adalah Mesias, Anak Allah yang hidup!” Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook @ jubilie apin

  • Mulakan Tahun Ini Dengan Doa Dan Firman Tuhan Sebagai Asas Hidup

    Teks: Mazmur 119:105 “Firman-Mu lampu bagi kakiku dan cahaya bagi jalanku.” Permulaan sesuatu tahun merupakan saat yang amat sesuai untuk menetapkan asas kehidupan kita. Sekiranya asas tersebut rapuh, perjalanan sepanjang tahun akan mudah diguncang oleh cabaran, tekanan, dan ketidakpastian. Oleh itu, firman Tuhan mengingatkan kita bahawa firman-Nya ialah pelita dan terang, penunjuk arah yang pasti bagi setiap langkah kehidupan. Doa membawa kita mendekatkan diri kepada Tuhan, manakala firman Tuhan menuntun kita untuk memahami kehendak-Nya. Apabila tahun ini dimulakan dengan doa dan firman Tuhan, kita tidak melangkah sendirian, sebaliknya berjalan di bawah pimpinan-Nya. Keputusan yang diambil menjadi lebih berhikmat, hati menjadi lebih tenteram, dan iman semakin dikuatkan. Tahun yang baharu ini mungkin dipenuhi dengan pelbagai persoalan dan ketidakpastian, namun satu perkara tetap pasti: Tuhan setia memimpin setiap orang yang bersandar kepada-Nya. Biarlah doa menjadi nafas kehidupan kita, dan firman Tuhan menjadi asas kepada setiap rancangan kita. Dengan asas yang kukuh ini, kita dapat melangkah dengan iman dan pengharapan di dalam Yesus Kristus, Tuhan kita. Doa Kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Tuhan, kerana Engkau telah menyertai serta memberkati setiap usaha dan pekerjaan, perniagaan, persekolahan anak-anak kami, pelayanan, serta segala kegiatan kami sepanjang tahun 2025. Dengan iman kepada Yesus Kristus, kami melangkah ke tahun 2026 dengan penuh keyakinan bahawa Engkau akan terus menjaga dan memelihara kehidupan kami, mulai hari ini dan untuk selama-lamanya. Amin. Rev. Ali Langgit

  • Serahkan Segala Rancanganmu Kepada Tuhan

    Teks: Amsal 16:3 “Serahkanlah perbuatanmu kepada TUHAN, maka rancanganmu akan terlaksana.” Manusia boleh merancang pelbagai perkara dalam kehidupan, namun tanpa campur tangan dan pimpinan Tuhan, segala usaha boleh menjadi sia-sia. Penyerahan diri kepada Tuhan bermaksud kita meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pimpinan-Nya, dan tidak bersandar kepada kekuatan serta kebijaksanaan diri sendiri semata-mata. Menyerahkan perbuatan kepada Tuhan tidak bermaksud kita bersikap pasif atau tidak berusaha. Sebaliknya, kita dipanggil untuk bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh, sambil menjadikan Tuhan sebagai pusat dan pemimpin utama dalam setiap keputusan yang diambil. Kita berdoa sebelum melangkah, memohon hikmat-Nya, serta bersedia menerima kehendak-Nya, walaupun kehendak tersebut tidak selalu sama dengan rancangan kita sendiri. Kesimpulan: Janji Tuhan dalam ayat ini sangat jelas: apabila kita menyerahkan segala perbuatan kepada-Nya, Tuhan sendiri yang akan meneguhkan serta menggenapi rancangan kita menurut waktu dan cara-Nya yang sempurna. Apa yang Tuhan genapkan bukan sekadar kejayaan lahiriah, tetapi juga damai sejahtera, ketenangan hati, serta kehidupan yang memuliakan nama-Nya. Doa Kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Tuhan, kerana Engkau telah menyertai serta memberkati setiap usaha dan pekerjaan, perniagaan, persekolahan anak-anak kami, pelayanan, serta segala kegiatan kami sepanjang tahun 2025. Dengan iman kepada Yesus Kristus, kami melangkah sepanjang tahun 2026 ini dengan keyakinan bahawa Engkau akan terus menjaga dan memelihara kehidupan kami, bahkan untuk selama-lamanya. Amin. Rev. Ali Langgit

  • Kasih Dan Kesetiaan Kepada Tuhan Menjadi Gaya Hidup

    Teks: Amsal 3:3–4 “Jangan biarkan kasih setia dan kebenaran meninggalkan kamu, kalungkannya di lehermu dan pahatkannya di loh hatimu. Dengan demikian engkau akan disukai serta memperoleh nama baik di mata Allah dan manusia.” Firman Tuhan ini menasihati kita supaya kasih dan kesetiaan bukan hanya diucapkan dengan kata-kata, tetapi dijadikan sebagai gaya hidup yang nyata. Ungkapan “kalungkannya di lehermu” dan “pahatkannya di loh hatimu.” menggambarkan sesuatu yang sentiasa dekat, jelas kelihatan, dan hidup dalam diri kita — terpancar melalui sikap, perkataan, dan perbuatan kita setiap hari. Dalam kehidupan seharian, termasuk dalam pekerjaan dan perniagaan, kasih dan kesetiaan dinyatakan melalui kejujuran, rasa tanggungjawab, serta sikap saling menghormati. Apabila kita berpegang teguh kepada nilai-nilai ini, bukan sahaja Tuhan berkenan kepada kita, bahkan manusia juga akan menghargai dan mempercayai kita. Kepercayaan akan terbina, hubungan akan terpelihara, dan berkat Tuhan akan menyertai setiap langkah kehidupan kita. Firman ini mengingatkan kita bahawa kejayaan yang sejati bukan semata-mata diukur melalui pencapaian atau kejayaan luaran, tetapi melalui hati yang berkenan kepada Allah. Apabila kasih dan kesetiaan menjadi asas kehidupan kita, Tuhan sendirilah yang akan memimpin serta memelihara perjalanan hidup kita. Doa Kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Tuhan, kerana Engkau telah menyertai serta memberkati setiap usaha dan pekerjaan, perniagaan, persekolahan anak-anak kami, pelayanan, serta segala kegiatan kami sepanjang tahun 2025. Dengan iman kepada Yesus Kristus, kami melangkah sepanjang tahun 2026 ini dengan keyakinan bahawa Engkau akan terus menjaga dan memelihara kehidupan kami, bahkan untuk selama-lamanya. Amin. Rev. Ali Langgit

  • Melepaskan Pengampunan

    Dalam Matius 18 kita membaca dan belajar satu prinsip tentang pengampunan, iaitu orang yang telah mengalami dan menyedari bahawa dirinya diampuni serta menghargai kasih kurnia yang telah diterimanya akan mengampuni orang lain. Racun yang menyakitkan ramai orang ialah sikap menyimpan sakit hati, kepahitan, dan rasa benci terhadap orang yang pernah menyakiti kita. Apabila kita menyimpan rasa pahit, benci, dan tidak mahu mengampuni, sikap ini akan mempengaruhi interaksi kita dengan orang lain. Semalam saya sebut tentang A dan B. Rasa pahit dan sakit hati terhadap A bermula apabila saya dengan ramah mempelawa dia, yang punya gelar, masuk ke dalam rumah kami dan mempelawanya minum kopi serta makan roti. Dia mengatakan sesuatu tentang rumah kami yang membuat saya rasa terhina. Saya terlupa Tuhan seketika, lalu saya menghalau dia keluar dari rumah kami. Dia tinggal dalam sebuah banglo. Saya tidak sangka ada manusia seperti itu. Setelah kita berkongsi kopi dan roti, sampai hati menghina rumah kita. Masa berlalu berbulan-bulan. Saya tidak sedar sikap saya itu mempengaruhi sikap saya terhadap orang lain. Ada seorang peribadi B. Orang yang sangat baik sebenarnya. Suatu hari saya minta didoakan. Saya tersinggung dengan kata-kata permulaan doanya. Saya pun mula tidak menyukainya. Bermula dari hari itu saya mengelak persekutuan pastor-pastor yang orang itu hadiri. Ini berlangsung beberapa bulan. Campur dua itu menjadi lebih setahun. Kesedaran timbul apabila Tuhan menegur saya. Teguran datang melalui seorang pastor sewaktu saya menterjemahkan khutbahnya dari bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia. Sementara kami sedang berkhutbah, dia tiba-tiba beralih kepada saya dan berkata, “Jubilie, saya ada pesan Tuhan untuk engkau.” Dia memandang tepat ke muka saya. Semua orang yang terdiri daripada para pemimpin dan pastor gereja yang sedang berretreat pun memperhati. “Ada dua orang yang dengan mereka engkau perlu bereskan sesuatu. Bereskan perkara itu agar tidak menghalang engkau daripada dipakai oleh Tuhan.” Selepas mengatakan itu, dia menyambung khutbahnya dan saya meneruskan terjemahan khutbah tersebut. Saya terjumpa peribadi A di kedai mamak pada suatu malam. Saya dekati dia. “Ada yang saya mahu selesaikan dengan anda,” saya katakan. “Selesai apa?! Saya bukan ada hal sama kamu!!??” Dia membalas dengan nada tinggi. Sepintas lalu di minda terlintas satu senario saya menyambar kerusi yang berdekatan lalu melanyak-lanyak dia di tempat itu. Tetapi syukur saya sedar diri. Saya pun menghulurkan tangan kanan dan berkata, “Betul, bro tiada hal dengan saya. Saya yang ada hal sama bro. Ini tangan saya minta maaf. Minta maaf saya halau bro dari rumah hari itu….” Dia menyambut tangan saya dan kami bersalaman. Pada ketika itu, masalah tidak mahu mengampuni yang seperti Gunung Kinabalu ranap sama sekali! Bagaimana dengan peribadi B? Dia tidak tahu saya menyimpan kepahitan terhadap dirinya. Tetapi bila dibandingkan A dan B, maka sakit hati terhadap B hanya seperti sebutir pasir. Namun sebutir pasir kepahitan pun jangan dibiarkan berakar dalam hati. Saya ternampak dia dari jauh dan dia pun nampak saya. “Hai, Pastor Jubilie…!” Dia menyapa dari jauh dengan ramah seperti biasa. Saya pun membalas, “Hai… Pastor (B),” sambil tersenyum lebar. Pada masa itu juga lenyaplah rasa pahit yang sebesar sebutir pasir itu. Setelah titik itu, hubungan saya dengan isteri dan anak-anak pun bertambah baik, dan beberapa tahun selepas itu saya mula menulis blog bernama Pena Rajawali, yang kemudian berpindah ke Facebook Pena Rajawali dan sekarang ke Facebook Pro Jubilie Apin (Pena Rajawali). Lepaskan pengampunan kerana kita telah menerima kasih kurnia pengampunan. Terhadap orang yang sudah tiada, lepaskan pengampunan dalam doa di hadapan Tuhan. Kita mengampuni kerana kita tidak mahu terus berada dalam penjara kepahitan yang hanya akan memakan diri, sebagaimana cuka yang hanya akan memudaratkan bekas yang menyimpannya. Petrus datang mendapatkan Yesus lalu bertanya, “Tuhan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah harus kuampuni dia? Sehingga tujuh kali?” Yesus menjawab, “Bukan tujuh kali. Tujuh puluh kali tujuh kali. Begitulah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripadamu yang tidak mengampuni saudaranya dengan ikhlas. Matius 18:21-22,35 Mari kita jalani tahun 2026 ini dengan hati yang sembuh dan merdeka, dengan mengampuni semua orang yang pernah menyakiti kita. Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook @ jubilie apin Kredit Gambar : KD/Joshua & Jethro

  • Ketaatan Kepada Firman Dan Berkat Hidup Yang Sejati

    Teks: Amsal 3:1–2 “Hai anakku, jangan lupakan ajaranku, tetapi hendaklah hatimu memegang perintah-perintahku, kerana segalanya akan memberikan kepadamu umur panjang, usia lanjut, dan kesejahteraan.” Ungkapan “jangan lupakan ajaranku” membawa maksud bahawa firman Tuhan bukan sekadar untuk dihafal atau diingati, tetapi untuk dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Sementara itu, frasa “hendaklah hatimu memegang perintah-perintahku” menegaskan bahawa ketaatan yang sejati bermula dari dalam hati, bukan disebabkan paksaan luaran. Hati yang terpaut kepada firman Tuhan akan membimbing setiap langkah, keputusan, serta sikap hidup kita. Janji Tuhan dinyatakan dengan jelas: panjang umur, lanjut usia, dan kesejahteraan. Janji ini bukan sekadar merujuk kepada usia yang panjang, tetapi kepada kehidupan yang berkualiti — kehidupan yang tenteram, diberkati, serta berada di bawah pimpinan Tuhan. Kesejahteraan (shalom) yang dijanjikan Tuhan merangkumi kedamaian dalam hati, hubungan yang baik dengan sesama, serta kehidupan yang berkenan kepada-Nya. Dalam tahun baharu, atau dalam setiap musim kehidupan yang kita lalui, firman ini mengingatkan kita bahawa berkat sejati tidak datang daripada kebijaksanaan atau kekuatan diri sendiri, tetapi daripada kesetiaan untuk hidup dan berjalan menurut firman Tuhan. Doa Kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Tuhan, kerana Engkau telah menyertai serta memberkati setiap usaha dan pekerjaan, perniagaan, persekolahan anak-anak kami, pelayanan, serta segala kegiatan kami sepanjang tahun 2025. Dengan iman kepada Yesus Kristus, kami melangkah ke hadapan dengan keyakinan bahawa Engkau akan terus menjaga dan memelihara kehidupan kami, mulai hari ini hingga selama-lamanya. Amin. Rev. Ali Langgit

  • Menjadikan Kristus Sebagai Pusat Kehidupan Pada Tahun Baru

    Teks: Matius 6:33 “Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.” Tahun baharu lazimnya dimulakan dengan pelbagai perancangan dan cita-cita baharu, sama ada dalam aspek kewangan, kerjaya, kehidupan keluarga, mahupun pelayanan. Semua perancangan ini tidaklah salah. Namun demikian, Yesus mengingatkan kita tentang satu keutamaan yang paling utama dalam kehidupan, iaitu mencari terlebih dahulu Kerajaan Allah dan kebenaran-Nya. Ini bermaksud Kristus harus menjadi pusat kehidupan kita, bukan sekadar pelengkap atau tambahan di tepi kehidupan. Menjadikan Kristus sebagai pusat kehidupan bermaksud meletakkan kehendak Tuhan melebihi kehendak diri sendiri. Dalam setiap keputusan yang diambil, kita harus bertanya: Adakah perkara ini memuliakan Tuhan? Adakah perkara ini selaras dengan firman-Nya? Apabila Kristus benar-benar menjadi pusat kehidupan, nilai dan cara hidup kita akan berubah. Kita tidak lagi dikuasai oleh kebimbangan duniawi, kerana kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada penjagaan Tuhan. Doa Kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Tuhan, kerana Engkau telah menyertai serta memberkati setiap usaha dan pekerjaan, perniagaan, persekolahan anak-anak kami, pelayanan, serta segala kegiatan kami sepanjang tahun 2025. Dengan iman kepada Yesus Kristus, kami melangkah ke hadapan dengan keyakinan bahawa Engkau akan terus memelihara kehidupan kami, mulai hari ini hingga selama-lamanya. Amin. Rev. Ali Langgit

  • Melangkah Ke Tahun 2026 Dengan Iman, Bukan Ketakutan

    Masa hadapan lazimnya kelihatan tidak menentu. Namun demikian, sebagai umat yang beriman, kita melangkah ke hadapan bukan secara bersendirian. Kita dapat meyakini bahawa Tuhan telah mendahului kita dan berada di hadapan untuk memimpin setiap langkah kehidupan kita. “Janganlah takut, sebab Aku menyertai engkau.” (Yesaya 41:10) Iman bukanlah bererti ketiadaan cabaran atau kesukaran, sebaliknya merupakan keyakinan yang kukuh bahawa Tuhan memegang serta menguasai masa hadapan kita. Firman Tuhan menegaskan bahawa rancangan-Nya ialah rancangan yang membawa kesejahteraan dan pengharapan, bukannya kemusnahan. “Aku mengetahui rancangan-rancangan yang telah Kutetapkan bagi kamu, demikianlah firman TUHAN, iaitu rancangan kesejahteraan dan bukan rancangan kemusnahan, untuk memberikan kamu masa hadapan yang penuh harapan.” (Yeremia 29:11) Menjadikan Kristus sebagai Teras Kehidupan pada Tahun Baharu Azam dan perancangan manusia boleh berubah mengikut keadaan dan masa, namun komitmen kepada Kristus memberikan arah yang kekal serta teguh. Tahun 2026 seharusnya menjadi tahun di mana kita terus bertumbuh dan semakin dibentuk untuk menyerupai Kristus—dalam kasih, ketaatan, serta pelayanan kepada sesama. Apabila Kristus dijadikan teras kehidupan, setiap keputusan, perancangan, dan tindakan akan dipandu oleh kehendak-Nya serta berlandaskan kebenaran firman Tuhan. “Carilah dahulu Kerajaan Allah dan kebenaran-Nya, maka segala perkara ini akan dikurniakan kepada kamu.” (Matius 6:33) Doa Kami dengan penuh kesyukuran menghadap kepada-Mu, ya Tuhan, kerana Engkau telah menyertai serta memberkati setiap usaha dan pekerjaan, perniagaan, persekolahan anak-anak kami, pelayanan gereja, serta seluruh kegiatan kami sepanjang tahun 2025. Dengan iman kepada Yesus Kristus, kami melangkah ke tahun 2026 dengan keyakinan bahawa Engkau akan terus memelihara serta menyertai kehidupan kami, mulai hari ini hingga selama-lamanya. Amin. Rev. Ali Langgit

  • Remaja Dan Seks

    Dalam ratusan sesi kaunseling, ini yang saya temukan: Terlalu ramai remaja (belasan tahun) sudah terlanjur mengadakan hubungan seks dengan teman mereka. Bukan sahaja sekali dengan satu peribadi, tetapi beberapa kali dengan sampai dua atau tiga peribadi yang berbeza. Ini membuat saya rasa bimbang dengan sikap acuh tak acuh pemuda-pemudi terhadap seks. Izinkan saya berkata dengan terus terang, seks itu merupakan suatu aktiviti fizikal yang memang menyeronokkan. Klimaks boleh dialami oleh lelaki dan perempuan dalam umur belasan tahun, dan ditambah dengan belaian, ciuman, dan rabaan, memang ia merupakan pengalaman eksotik yang tidak boleh dibandingkan. Tetapi tanpa pagar perkahwinan, seks mencemari keseronokan dan meletakkan rasa bersalah ke dalam pengalaman yang sebenarnya indah. Tidak ada sesiapa yang boleh berjalan dari perbuatan seks di luar perkahwinan tanpa kesedaran dalaman (hati nurani) bahawa perbuatan itu tidak betul. Biarpun dinafikan dan dilupakan, ia timbul semula untuk menghantui selepas beberapa waktu. Memori ialah hadiah dari Tuhan untuk menyedarkan manusia tentang pelanggaran dan dosa. Dalam perkahwinan, seks dan klimaks, belaian dan ciuman dinikmati tanpa serba salah, tanpa malu, tanpa adanya perasaan takut kedapatan; di luar perkahwinan, seks dan klimaks itu dicemari dan dinodai, dipenuhi dengan malu, rasa bersalah, dan ketakutan. Adik-adik, remaja, pemuda, pemudi, Tuhan sudah berkata, “Hendaklah kamu semua penuh hormat terhadap perkahwinan dan janganlah kamu mencemarkan tempat tidur, sebab Allah akan menghakimi orang-orang sundal (πορνους) dan penzina.” (Ibrani 13:4) Sundal bermaksud seorang yang memanjakan diri dalam hubungan seks yang menyalahi undang-undang (semula jadi atau keagamaan). Saya tahu ramai yang sudah terbuat. Cukup banyak sudah terluah di FB dan IG saya. Maka nasihat saya ringkas: Kalau sudah terbuat, jangan hanya menyesal. Penyesalan hanya membuat perasaan bergelora. Penyesalan tidak dapat mengubah yang lalu, mengembalikan keperawanan kamu atau kesucian hati nurani. Tapi bertaubatlah di depan Tuhan Yesus Kristus, akui itu sebagai dosa dan pencabulan. Kemudian untuk membantu hati nurani kamu, dapatkan rakan Kristian yang matang untuk doakan kamu dan bimbing kamu, sehingga perkara itu tidak perlu terjadi lagi, sehingga saat kamu secara sah berkahwin dengan pasangan yang diikat dengan cincin. Oleh Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @ edmund kumar

bottom of page