top of page

Cari

3258 results found with an empty search

  • Untuk Apa Sebenarnya Mahu Berkahwin?

    Kalau ada orang Kristian — yang mengaku benar-benar Kristian — mahu berkahwin di Mahkamah Anak Negeri semata-mata kerana lebih senang mengurus perceraian, itu sendiri sudah menunjukkan sesuatu yang tidak beres. Apabila fikiran untuk berkahwin bermula dari sudut takut cerai, mahu senang cerai, lebih mudah keluar dari perkahwinan, atau anggapan bahawa perkahwinan memang tidak ada jaminan bertahan, maka asas itu sudah rosak, negatif, dan berdosa. Itu sama seperti membuat janji dengan prasangka buruk. Atau lebih teruk lagi, berjanji dengan niat tersembunyi untuk memungkiri janji tersebut. Bayangkan seseorang berdiri di hadapan Tuhan ketika upacara perkahwinan — berikrar di hadapan Allah yang menginstitusikan perkahwinan, Allah yang mempersatukan lelaki dan perempuan — tetapi hatinya sudah menyediakan “laluan kecemasan” untuk keluar. Dengan fikiran yang sudah merancang kegagalan. Dengan hati yang mencari jalan paling mudah untuk berpisah. Bagaimana mungkin orang seperti ini mengharapkan berkat Tuhan atas perkahwinannya? Bagaimana hati boleh tenang sepanjang kehidupan berumahtangga? Waktu bersetubuh, fikiran sudah terarah kepada perceraian. Waktu mengandung atau bersalin, dihantui ketakutan akan cerai. Waktu berlaku konflik, yang dirancang bukan pendamaian, tetapi jalan keluar. Semua ini lahir daripada satu sikap: mahu yang senang, bukan yang benar. Fikiran seperti ini bukan fikiran Alkitabiah — ini fikiran yang berasal dari Iblis. Orang Kristian berkahwin bukan dengan mentaliti “kalau tak jadi, cerai saja”, tetapi dengan komitmen menjadi satu daging, untuk selamanya, sambil membina mahligai cinta yang unik, setia, dan kudus. Mencipta sejarah yang indah bersama, bukan menyediakan pelan kegagalan sejak awal. Kalau seseorang mahu berkahwin tetapi tidak berfikir demikian — tidak mahu setia, tidak mahu berjuang, tidak mahu memelihara perjanjian — maka soalnya mudah: Untuk apa sebenarnya mahu berkahwin? Bukankah Allah menjadikan mereka satu? Jiwa dan roh mereka milik-Nya. Apakah yang dicari-Nya? Dia mencari keturunan yang salih. Oleh sebab itu jagalah dirimu, dan janganlah ada antara kamu yang mengkhianati isteri dari masa mudamu. “Aku membenci perceraian,” demikianlah firman TUHAN, Allah Israel, “juga orang yang menjadikan tindakan ganas sebagai pakaiannya,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Oleh sebab itu jagalah hatimu dan jangan berkhianat.” Maleakhi 2:15-16 Sumber : Facebook @ Edmund Kumar

  • Kerana Wang Timbul Niat Jahat

    Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang untuk mengkhianati Yesus dan menyerahkan-Nya kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.  Lukas 22:6 AVB   Setelah Yudas Iskariot berbincang dengan para ketua imam dan ketua pengawal Bait Suci tentang bagaimana dia dapat menyerahkan Yesus kepada mereka, kata sepakat dicapai dengan upah sebanyak tiga puluh keping wang perak kepada Yudas. Mereka menjadi sangat gembira. Lalu Yudas pun mula mencari peluang untuk menyerahkan Yesus kepada mereka tanpa diketahui oleh orang ramai.   Yudas menanti waktu yang difikirkannya baik untuk menyerahkan Yesus kepada para ketua imam dan ketua pengawal Bait Suci. Rancangan jahat Yudas ini didorong oleh pemberian sebanyak tiga puluh keping wang perak.   Disebabkan wang Yudas Iskariot sanggup mengkhianati Yesus walaupun dia telah hidup bersama Yesus selama tiga tahun. Dia telah mendengar Yesus menyampaikan ajaran dengan penuh wibawa, menyaksikan Yesus melakukan mukjizat dan tanda-tanda ajaib, seperti menyembuhkan orang yang sakit, mengusir roh jahat, memberikan makanan kepada lima ribu orang dengan berbekalkan lima buku roti dan dua ekor ikan sahaja. Malangnya, Yudas masih tidak dapat mengawal dirinya daripada mengkhianati Yesus.   Dia melihat wang lebih besar daripada Yesus. Wang dan kepentingan diri telah mengabui mata serta fikiran Yudas. Kasih akan wang lebih besar daripada kasihnya kepada Allah sehingga dia tersesat daripada iman dan akhirnya diperalat untuk menjadi pengkhianat . Cinta akan wang punca segala kejahatan. Kerana wang timbullah niat jahat untuk mengkhianati Yesus.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, biarlah kasihku kepada Engkau lebih besar daripada hal-hal duniawi. Berilah aku kekuatan dan keazaman untuk menolak segala tarikan dunia ini. Biarlah aku tetap taat setia kepada-Mu, ya Allah yang maha setia. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Kerana Wang, Yudas Mengkhianati Yesus

    Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya.  Lukas 22:5 AVB   Iblis pun memasuki Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas orang murid Yesus. Lalu dia pergi bertemu dengan ketua-ketua imam dan pengawal Bait Suci untuk membincangkan bagaimana dia dapat mengkhianati Yesus dan menyerahkan-Nya kepada mereka.   Sewaktu pertemuan Yudas Iskariot dengan para ketua imam dan ketua pengawal Bait Suci, dia bertanya kepada mereka, “Apakah yang sanggup kamu berikan kepadaku kalau aku serahkan Dia kepadamu?” Pertanyaan Yudas ini secara tidak langsung menunjukkan hati Yudas dikuasai tamak haloba akan wang.   Apabila para ketua imam dan ketua pengawal Bait Suci mendengar tawaran yang dikemukakan oleh Yudas kepada mereka, betapa gembiranya hati mereka. Dengan segera mereka bersetuju menerima tawaran Yudas. Mereka berjanji untuk memberikan wang kepada Yudas, lalu mereka mengira tiga puluh keping wang perak sebagai upah untuk Yudas.   Sesudah Yudas menerima tiga puluh keping wang perak, dia pun mula mencari peluang untuk mengkhianati Yesus. Dia mahu menyerahkan Yesus kepada para ketua imam dan ketua pengawal Bait Suci tanpa diketahui oleh orang ramai.   Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah kita siap untuk mengkhianati dan menjual Yesus demi kepentingan diri kita dan demi wang ringgit seperti Yudas? Berapakah harga Yesus dalam hidup kita pada hari ini?   Doa: Ya Bapa yang di syurga, teguhkan imanku agar aku tidak akan tergoda dengan tawaran dunia ini untuk menjual Yesus. Tolonglah aku untuk tetap taat setia kepada-Mu dengan sepenuh jiwa raga. Biarlah kasihku kepada-Mu semakin hari semakin kuat. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Tetap Hidup Benar di Hadapan Allah

    Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu.  Lukas 22:2 AVB   Sewaktu semua orang mempersiapkan diri mereka untuk menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi yang disebut Paskah, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat berhimpun lalu berpakat untuk memerangkap Yesus secara tipu daya dan membunuh-Nya. Akan tetapi, mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.” Bayangkan pemimpin-pemimpin agama itu tergamak merancang suatu jenayah besar (bunuh orang) semasa menyambut perayaan yang begitu penting dan bermakna bagi orang Israel.   Diketahui bahawa orang ramai menyenangi Tuhan Yesus. Para ketua imam dan ahli Taurat pun tidak berani bertindak secara terbuka atau terang-terangan. Jadi, mereka merancang komplot mereka secara tersembunyi agar orang ramai tidak mengetahui tipu daya mereka lalu merusuh.   Oleh sebab orang ramai menyambut baik ajaran Yesus, semua rancangan para ketua imam dan ahli Taurat sebelum ini menemui kegagalan. Walaupun demikian, mereka tetap tidak berputus asa terhadap pakatan sulit mereka. Itulah sebabnya mereka sentiasa mengikut Yesus ke mana sahaja Dia pergi. Mereka mahu mencari kesalahan-Nya agar mereka dapat menuduh-Nya.   Marilah kita menyelidiki diri kita dan menyelami isi hati kita. Bagaimanakah sikap kita sewaktu kita mahu merayakan sesuatu perayaan yang diadakan? Apakah kita memiliki sikap seperti para ketua imam dan ahli Taurat yang sentiasa mencari peluang untuk melakukan sesuatu yang mendukakan hati Allah? Atau kita mahu memuliakan Allah dan menyenangkan hati-Nya? .   Sesungguhnya, jangan takut akan golongan orang yang berpura-pura benar dan suci, berpakaian domba tetapi sebenarnya serigala licik lagi ganas. Sebab selagi kita melakukan segala sesuatu yang benar di hadapan Allah, maka pasti Allah akan melindungi kita daripada orang yang sentiasa cuba menuduh dan mengancam diri kita. Tetap hidup benar di hadapan Allah sepanjang hayat kita.    Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon bimbingan dan perlindungan daripada-Mu. Ajarlah aku terus mengikut jalan-Mu setiap hari dan tidak melakukan apa-apa yang mendukakan hati-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Sebab Bangsa Israel Merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi

    Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu Perayaan Paskah, telah menjelang.  Lukas 22:1 AVB   Apakah itu Perayaan Roti Tidak Beragi? Perayaan Roti Tidak Beragi ialah perayaan untuk memperingati keluarnya bangsa Israel dari Tanah Mesir. Dalam Kitab Keluaran sebelum bangsa itu dibebaskan daripada cengkaman warga Mesir dan dibawa keluar dari negeri itu, mereka telah diperintah oleh Allah supaya selama tujuh hari ragi tidak boleh ada di rumah mereka. Sesiapa pun makan sesuatu yang beragi harus disingkirkan daripada antara jemaah Israel. Mereka hendaklah makan roti yang tidak beragi tujuh hari lamanya.   Dengan kata lain, bangsa Israel merayakanPerayaan Paskah dan Perayaan Roti Tidak Beragi agar seumur hidup mereka akan sentiasa memperingatkan diri mereka dan keturunan mereka tentang apa yang telah dilakukan Allah untuk membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Pada waktu mereka mahu bertolak dari Tanah Mesir, masa terlalu singkat untuk mempersiapkan makanan. Mereka tidak dapat membuat roti seperti kebiasaannya dengan menggunakan ragi dalam adunan yang memerlukan masa untuk naik sebelum dibakar menjadi roti.   Roti tidak beragi secara turun-temurun bagi bangsa Israel merupakan satu peringatan murni akan pekerjaan Allah dalam hidup mereka. Allah melepaskan mereka daripada perhambaan selama 430 tahun di Tanah Mesir. Setiap kali mereka memakan roti tidak beragi pada Perayaan Roti Tidak Beragi, mereka memperingati bagaimana Allah yang maha berkuasa melakukan pelbagai keajaiban untuk membawa rombongan bangsa Israel keluar dari Tanah Mesir. Oleh sebab itu, mereka diperintah untuk merayakan hari itu turun-temurun sebagai suatu ketetapan untuk selama-lamanya.   Sebagai orang Kristian pada hari ini, kita diperingatkan tentang penebusan yang diperoleh dalam Tuhan Yesus bagi diri kita melalui kelahiran, kehidupan, pelayanan, kematian, kebangkitan, dan naiknya Tuhan Yesus Kristus ke syurga. Dengan mengingati semua hal ini, maka iman kita dalam Tuhan Yesus akan semakin kukuh supaya kita bertumbuh menjadi orang Kristian yang matang.   Doa: Ya Tuhan Yesus, terima kasih atas segala yang telah Engkau lakukan bagiku. Engkau menanggung dosaku dalam tubuh-Mu di kayu salib supaya aku tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. Ajarlah aku untuk terus mengingati kasih kurnia dan kebaikan-Mu dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Tiap-Tiap Pagi Orang Ramai Datang Mendengar Yesus

    Pada pagi-pagi lagi orang ramai pergi ke Bait Suci untuk mendengar Dia.  Lukas 21:38 AVB   Pada awal pagi lagi orang ramai sudah bangun kerana mereka mahu pergi ke Bait Suci untuk mendengar ajaran Tuhan Yesus. Orang ramai sangat rindu untuk mendengar Yesus mengajar mereka kerana mereka kagum dengan ajaran-Nya dan kebijaksanaan yang ada pada-Nya. Jelas sekali bahawa Yesus mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti ahli-ahli Taurat mereka.   Setiap hari Yesus mengajar di dalam Bait Suci. Sebenarnya, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan para pemimpin orang Yahudi mencari jalan untuk membunuh-Nya tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian. Orang ramai terus-menerus datang mendengar Yesus kerana mereka tidak mahu terlepas sepatah kata Yesus pun. Walaupun para ketua imam dan ahli Taurat berusaha menghasut orang ramai untuk melawan Yesus, rancangan mereka gagal.   Orang ramai tidak peduli dengan apa yang dikatakan oleh para ketua imam dan ahli Taurat kepada mereka. Mereka terus datang berduyung-duyung kepada Yesus. Hati orang ramai dipenuhi dengan sukacita ketika mendengar ajaran Tuhan Yesus yang penuh wibawa. Oleh itu, mereka sanggup bangun awal-awal lagi untuk pergi ke Bait Suci kerana jiwa mereka dahaga dan lapar akan ajaran Tuhan Yesus.   Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita memiliki kerinduan seperti orang ramai tersebut? Awal-awal pagi lagi, mereka sudah bangun untuk pergi ke Bait Suci untuk mendengar firman Allah daripada Yesus. Sanggupkah kita bangun awal untuk mendengar Allah berfirman kepada kita melalui Alkitab?   Doa: Ya Bapa yang di syurga, biarlah jiwaku haus akan firman-Mu setiap hari. Semoga kerinduanku akan firman-Mu semakin bertambah dari hari ke hari kerana kebenaran firman-Mu betul-betul menyegarkan hidupku dan meneguhkan imanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Yesus Meluangkan Masa untuk Berdoa

    Pada siang hari Yesus mengajar di dalam Bait Suci. Pada waktu malam Dia keluar dari kota itu dan bermalam di udara lapang di Bukit Zaitun. Lukas 21:37 AVB   Setiap siang hari Tuhan Yesus pergi ke Bait Suci untuk menyampaikan ajaran-Nya kepada semua orang yang datang mendengar-Nya. Pada malam hari pula Dia keluar dari kota itu untuk pergi bermalam di udara lapang di Bukit Zaitun.   Yesus tidak pernah meninggalkan tanggungjawab dan komitmen-Nya terhadap pelayanan-Nya. Dia menggunakan setiap kesempatan yang dimiliki-Nya untuk mengajar firman Allah kepada orang yang datang kepada-Nya. Dia tidak berhenti dari pergi ke Bait Suci untuk mengajar orang ramai.   Sebenarnya, pada malam hari Yesus naik ke Bukit Zaitun untuk tujuan tertentu. Dia ingin meluangkan masa untuk berdoa atau berakrab dengan Bapa yang di syurga. Tidak kira sesibuk mana pun Yesus dalam pelayanan-Nya, Dia tidak pernah lupa melapangkan masa untuk Bapa-Nya yang di syurga yang telah mengutus-Nya ke dunia ini. Dia sedar bahawa waktu bersama dengan Bapa yang di syurga adalah sangat penting sekali.   Bagaimanakah dengan diri kita? Adakah kita hanya sibuk melayani tetapi kita tidak ada waktu untuk bersama Allah secara peribadi seperti Yesus? Dalam kesibukan Yesus, Dia mengutamakan masa untuk bersendirian dengan Allah Bapa. Marilah kita terus memberitakan Injil di samping meluangkan masa bersama dengan Allah setiap hari. Kita haruslah menyeimbangkan pelayanan dengan masa peribadi dengan Allah. Barulah pelayanan kita bernilai dan menyenangkan hati Allah.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan dan berkat-Mu atas hidupku. Ajarlah aku bukan sahaja untuk terus mengkhabarkan Injil-Mu kepada orang yang ada di sekelilingku tetapi juga tekun meluangkan masa bersama-Mu setiap hari. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Setia Sampai Akhir Hidup

    “Kamu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu diteguhkan untuk menghadapi segala perkara yang akan terjadi itu lalu dapat berdiri di hadirat Anak Manusia.” Lukas 21:36 AVB   Oleh sebab hari kedatangan Tuhan Yesus adalah secara tiba-tiba atau tidak disangka-sangka, maka hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua manusia di seluruh muka bumi ini. Dengan itu, mereka haruslah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya mereka memiliki kekuatan untuk mengatasi semua perkara yang akan berlaku. Barulah mereka dapat berdiri di hadirat Anak Manusia.   Tuhan Yesus memperingatkan para murid-Nya agar mereka siap sedia untuk setiap waktu. Mereka hendaklah meneguhkan dan mengakrabkan hubungan mereka secara peribadi dengan Allah melalui doa serta pembacaan Alkitab. Selain itu, mereka harus sentiasa berjaga-jaga dan berdoa agar mereka tetap berdiri teguh tanpa goyah sewaktu mereka melalui pelbagai godaan, cubaan, dan pergelutan dalam hidup.   Dengan menjalani hidup yang sentiasa berjaga-jaga dan berdoa, maka mereka akan beroleh kekuatan dan dapat berdiri di hadirat Tuhan Yesus Kristus sebagai seorang yang sudah diselamatkan. Sebab hanya mereka yang hidup dengan berjaga-jaga dan memelihara iman mereka dengan baik dapat bertahan di hadirat Allah yang penuh kemuliaan nanti.   Marilah kita meneguhkan azam untuk tetap taat setia kepada Tuhan Yesus dengan sepenuh hati sampai ke garis akhir hidup dan kita berdiri di hadapan Tuhan Yesus saat Dia datang untuk kali kedua. Ingatlah bahawa kekuatan dan keteguhan kita untuk menghadapi semua perkara yang akan terjadi itu datang daripada Allah dan bukan daripada diri kita sendiri. Kekuatan dan keteguhan ini dibina bersauhkan iman kepada Allah dan kasih kurnia daripada-Nya.    Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan-Mu atas hidupku. Teguhkan imanku walaupun aku melalui hidup yang penuh dengan tentangan, godaan dan penganiayaan. Aku bersyukur kerana Engkaulah Allah yang tetap setia dan akan menguatkan aku serta melindungi aku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Jangan Memuaskan Keinginan Akan Hal Dunia Ini

    “Berjaga-jagalah agar hatimu tidak dibeban dengan kesia-siaan dan kemabukan serta soal-soal hal hidup sehingga kamu tidak bersedia menghadapi hari itu yang datang dengan tidak disangka-sangka.”Lukas 21:34 AVB   Tuhan Yesus memperingatkan para murid-Nya supaya mereka tidak menghabiskan waktu mereka untuk berpesta pora dan minum minuman keras atau menyibukkan diri mereka dengan hal-hal duniawi sehingga mereka tidak bersedia menghadapi hari kedatangan kembali-Nya yang tidak diketahui masanya.   Sekiranya mereka terlalu dibeban dengan kesia-siaan dan kemabukan serta soal-soal hal hidup, maka hal-hal itu akan menyebabkan diri mereka tidak dapat berfikir serta membuat pertimbangan dengan sewajarnya   sehingga mereka tidak bersedia menghadapi hari itu yang datang dengan tidak disangka-sangka.    Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Kita harus menghindarkan diri kita daripada semua hal dunia yang dapat menyebabkan diri kita tidak bersedia untuk kedatangan kali kedua Tuhan Yesus. Oleh itu, janganlah kita hidup berfoya-foya, mencintai keseronokan duniawi atau khuatir tentang hidup kita, seperti apa yang kita makan atau minum, atau apa yang akan kita pakai.    Marilah kita mengisi hati kita dengan firman Allah dan membina hidup rohani agar kita sesungguhnya sudah bersiap sedia untuk kedatangan kembali Tuhan Yesus Kristus.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, isilah hidupku dengan kebenaran firman-Mu. Jauhkanlah aku daripada segala hal yang menyebabkan aku leka terhadap kedatangan Tuhan Yesus. Ya Bapa, inilah aku. Matangkanlah hidup rohaniku dan tolonglah aku hidup berjaga-jaga. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Mengenal Tanda-Tanda Tibanya Kerajaan Allah

    “Demikian juga apabila kamu melihat segala perkara ini terjadi, ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.” Lukas 21:31 AVB   Tuhan Yesus memperingatkan murid-murid-Nya supaya sentiasa memperhatikan tanda-tanda yang terjadi di sekitar mereka. Sebab tanda-tanda yang diperlihatkan di sekeliling mereka akan memberitahu diri mereka bahawa kerajaan Allah hampir tiba dan Allah akan segera memerintah.   Untuk menjelaskan hal itu, Yesus telah menceritakan suatu ibarat tentang pokok ara kepada murid-murid-Nya: “Tengoklah pokok ara dan segala pokok kayu yang lain! Apabila pokok itu mengeluarkan tunas, kamu tahu musim panas hampir tiba.”    Demikian juga apabila mereka melihat segala perkara itu terjadi, ketahuilah bahawa kerajaan Allah yang sudah bertapak dalam kalangan mereka hampir tiba. Maka semua kejadian yang terjadi secara tidak langsung akan memberitahu mereka bahawa Allah akan segera memerintah sepenuhnya.   Dengan itu, mereka harus sentiasa bersiap sedia untuk kedatangan-Nya kerana waktu kedatangan-Nya dapat dikenal dengan penuh keyakinan dan kepastian seperti mengenal tibanya musim panas melalui dahan-dahan pokok ara yang melembut serta mula bertunas.   Marilah kita sentiasa peka dengan keadaan yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini, agar kita akan sentiasa bersiap sedia untuk kedatangan kembali Tuhan Yesus ke dunia ini. Ingatlah bahawa semua kata Tuhan Yesus yang tersurat dalam Alkitab pasti akan terlaksana kerana langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Nya tidak akan lenyap.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, inilah aku. Berilah aku pengertian akan waktu kedatangan kali kedua Tuhan Yesus agar aku sentiasa bersiap sedia dan taat setia dalam pelayanan. Teguhkan imanku supaya tidak diganggu gugat oleh pelbagai kebimbangan dalam hidup seharian atau tindak-tanduk orang lain. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Bersiap Sedialah untuk Kedatangan Tuhan Yesus

    Sementara menantikan apa yang akan datang ke muka bumi, manusia akan jatuh pengsan kerana takut dan bimbang terhadap apa yang akan terjadi di dunia. Kuasa-kuasa di langit akan digoncang. Lukas 21:26 AVB   Tuhan Yesus memberitahukan tanda-tanda luar biasa yang akan kelihatan pada matahari, bulan, dan bintang sebelum kedatangan-Nya yang kali kedua ke dunia ini. Matahari akan dikelamkan dan bulan tidak akan bersinar lagi. Bintang-bintang di langit akan gugur, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang. Semua kejadian ini tidak pernah berlaku di atas langit atau di bawah langit. Selain itu, di muka bumi ini semua bangsa kelak sengsara dan bingung akan deru serta gelora lautan yang belum pernah terjadi sebelum ini. Semua ini di luar batas kejadian alam yang biasa.   Segala kejadian yang sangat mengerikan ini akan menyebabkan bangsa-bangsa di seluruh dunia jatuh pengsan kerana takut dan bimbang sementara menantikan apa yang akan berlaku di seluruh bumi.Bayangkan matahari menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya! Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya. Atas semua kejadian ini, maka semua yang tidak mempercayai Tuhan Yesus akan menjadi gentar dan cemas tetapi semua ini pula membawa pengharapan besar kepada mereka yang mempercayai-Nya.   Kemudian, bangsa-bangsa di seluruh dunia akan melihat Anak Manusia datang dalam awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. Apabila segala perkara ini mula terjadi, kita harus meneguhkan hati kita dan mengangkat kepala kita kerana masa penyelamatan kita telah hampir tiba.   Sesungguhnya, kita harus memastikan hidup kita kudus dan diperkenan oleh Allah setiap hari agar pada waktu kedatangan kembali Tuhan Yesus, kita sudah bersiap sedia diterima-Nya.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, inilah hidupku. Bersihkan dan sucikan aku daripada segala dosaku agar aku sentiasa bersiap sedia untuk kedatangan kembali Tuhan Yesus. Biarlah hidupku sentiasa di bawah kuasa dan bimbingan Roh Kudus untuk memuliakan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Tetap Bertahan Dalam Kesusahan

    “Bertahanlah, keteguhan hatimu akan menyelamatkan nyawamu.” Lukas 21:19 AVB   Yesus mendorong semua orang yang telah memutuskan untuk mengikut-Nya supaya mereka tetap bertahan dalam segala kesusahan yang diharungi mereka dalam hidup ini. Dengan berbuat demikian, mereka akan menyelamatkan nyawa mereka sendiri untuk memperoleh hidup yang sejati.   Terdapat beberapa penjelasan tentang erti “mengikut Yesus”. Antaranya, seseorang itu tidak lagi mengikut sesiapa pun melainkan Tuhan Yesus. Mengikut Yesus juga dijelaskan sebagai berusaha untuk menjadi seperti Yesus dengan mematuhi ajaran-Nya atau menyerahkan seluruh hidup kita untuk melakukan kehendak-Nya sehingga Dia betul-betul hidup dalam kita.   Mengikut Yesus bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan tetapi dalam-Nya kita dapat mengatasi segala kesusahan yang kita lalui kerana Dia akan memberikan kekuatan kepada kita. Dengan itu, kita harus tetap beriman dan berpegang teguh pada janji-janji-Nya ketika menempuh penderitaan atau penganiayaan agar kita tidak lemah semangat atau berpaling tadah.   Tetap bertahanlah dalam segala kesusahan, kelemahan, celaan, kesempitan, dan penganiayaan sehingga sampai ke garis akhir hidup kita. Kasih kurnia Allah adalah cukup bagi kita kerana kekuatan Allah menjadi sempurna dalam kelemahan kita. Di penghujung perjalanan hidup pasti sesuatu yang terbaik disediakan oleh Allah untuk setiap kita yang tetap taat setia kepada-Nya.      Doa: Ya Bapa yang di syurga, inilah aku. Segala yang ada dalam hidupku milik-Mu. Tanpa Engkau, hidup ini tidak bererti. Ya Bapa, teguhkan imanku dan ajarlah aku untuk bersandar pada kasih kurnia, pertolongan dan bimbingan-Mu. Terima kasih kerana kuasa Kristus menaungi aku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

bottom of page