Support Us
Support Us
Cari
3258 results found with an empty search
- Pemberian Yang Menyenangkan Hati Tuhan
“…Yesus berkata, ‘Ketahuilah, balu ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain.’...” Lukas 21:3 Ketika Yesus berada di tempat duduk di dalam Rumah Tuhan, Dia memperhatikan orang-orang kaya yang sedang memasukkan wang persembahan mereka ke dalam kotak persembahan. Ketika Yesus melihat di sekeliling-Nya, Dia melihat orang kaya memberi persembahan mereka ke dalam peti persembahan. Kemudian Yesus melihat seorang janda yang miskin memberikan dua keping wang logamnya yang sangat rendah nilainya ke dalam peti persembahan. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya bahawa “…janda yang miskin ini memberi persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain.” Sebab janda yang miskin ini memberi semua yang dia miliki kepada Tuhan sehingga dia tidak mempunyai apa-apa lagi untuk membeli makanan. Manakala orang lain memberi persembahan daripada kelebihan kekayaan yang mereka miliki. Oleh itu marilah kita memberi pemberian kita kepada Tuhan dengan murah hati dan rela tanpa paksaan. Pemberian yang menyenangkan hati Tuhan bukanlah bergantung pada jumlah yang kita beri, besar atau kecil, tetapi harus datang daripada hati yang jujur dan rela. Dengan itu marilah kita memberi kepada Tuhan dengan pemberian yang terbaik… Doa: Tuhan, ajarlah aku untuk memberi persembahan dengan hati yang murah hati dan rela, sebab semua yang aku miliki adalah kepunyaan-Mu. Dengan itu aku menyerahkan seluruh hidup aku kepada-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Keunikan Iman Kristian
Krismas bukan hanya kisah manis yang diucapkan ketika bertukar mesej WhatsApp pada 25 Disember, tetapi lebih dari itu, ia adalah pernyataan radikal tentang siapa Allah sebenarnya. Firman itu telah menjadi manusia. Bukan idea. Bukan simbol. Bukan metafora. Cuba kita fikirkan dengan kritis; jika inkarnasi tidak pernah berlaku, maka salib hanyalah cerita dongeng.Tiada penebusan. Tiada penumpahan darah. Dan semua kata-kata tentang “Allah memahami penderitaan manusia” hanyalah kenyataan retorik seperti janji ahli politik semasa pilihanraya yang kedengaran indah, tetapi tidak pernah diuji oleh realiti hidup. Namun iman Kristian berani membuat tuntutan yang tidak selesa: Allah tidak memerhati manusia dari jauh. Dia masuk ke dalam sejarah.Merasa lapar, letih, disalahfahami, ditolak, dan akhirnya menyerahkan nyawa-Nya. Inilah keunikan iman Kristian. Kewujudan Kristus direkod dalam sejarah sekular, dibincangkan dalam kajian akademik, dan diakui bahkan oleh pengkritik Alkitab seperti Bart Ehrman. Firman tidak sekadar berbicara, tetapi, "Dia menjadi". Dan kerana Dia menjadi manusia, penderitaan kita bukan lagi asing bagi-Nya. Krismas mengingatkan kita bahawa iman ini bukan hanya ideologi, tetapi Allah yang memilih untuk hadir di tengah dunia yang retak. Selamat menyambut hari Krismas yang tidak lama lagi. Allah tidak jauh. Dia pernah datang, dan itu mengubah segalanya. Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah. Dia bersama Allah pada permulaan. Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Daripada segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya. Hidup ada dalam-Nya, dan hidup itu cahaya manusia. Dan cahaya itu bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak menguasainya. Yohanes 1:1-5 Oleh Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @ edmund kumar
- Berhati-Hati Terhadap Pengaruh Yang Jahat
“…Berhati-hatilah dengan guru Taurat. Mereka suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang, dan suka dihormati orang di pasar. Mereka memilih tempat terbaik di dalam rumah ibadat dan di majlis jamuan....” Lukas 20:46 Sementara orang banyak masih mendengarkan pengajaran Yesus, Yesus memperingatkan para pengikut-Nya agar mereka sentiasa berhati-hati terhadap para ahli Taurat dan tidak mencontohi mereka. Para ahli Taurat suka berjalan-jalan memakai jubah panjang untuk menunjukkan kemuliaan diri, dan mereka sangat suka dihormati orang di pasar. Mereka memilih tempat duduk terbaik di rumah ibadat dan tempat paling utama di majlis jamuan. Selain itu, mereka memperdaya para balu dan merampas rumah mereka, kemudian berpura-pura berdoa panjang-panjang untuk menunjukkan “kesalehan” mereka. Mereka juga suka menonjolkan diri di tempat umum dengan pakaian yang cantik-cantik. Di pasar, mereka senang disapa dan dihormati oleh semua orang. Di rumah pertemuan atau pesta, mereka memilih kerusi paling depan untuk menonjolkan kedudukan. Oleh sebab tabiat mereka yang penuh kepura-puraan, Yesus memberi amaran terbuka kepada para pengikut-Nya supaya berwaspada terhadap pengaruh para ahli Taurat. Yesus tidak mahu pengikut-Nya terikut-ikut dengan gaya hidup mereka yang hanya mementingkan penampilan luar tetapi hati mereka jahat dan penuh kepalsuan. Yesus mahu pengikut-Nya mengenali cara hidup ahli Taurat supaya mereka tidak tertipu dan terseret dalam dosa yang sama. Dia mahu kita menilai hati, bukan penampilan luar seseorang yang kelihatan “rohani”. Oleh itu marilah kita sentiasa berwaspada terhadap pengaruh orang yang berpura-pura kelihatan baik dan kudus, tetapi hatinya sebenarnya jauh daripada Tuhan. Doa: Tuhan, ajarlah aku untuk berjalan akrab dengan-Mu. Berikanlah aku hati yang sungguh-sungguh berpegang erat pada kebenaran-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Kedatangan-Nya Telah Dinubuatkan
Baca Daniel 9 dn Galatia 4 Salah satu keindahan Firman Tuhan (Alkitab) adalah ketepatan nubuatannya. Alkitab bukan sekadar catatan sejarah atau buku moral; ia adalah Firman Tuhan yang diilhamkan oleh Roh Kudus dan firman Tuhan itu hidup, benar, dan dapat dipercayai. Bukti paling kukuh bahawa Alkitab adalah Firman Allah ialah nubuat-nubuatnya yang digenapi dengan tepat sepanjang sejarah, terutamanya penggenapan nubuat teragung dalam seluruh Perjanjian Lama, iaitu kedatangan Yesus Kristus yang kita rayakan pada hari Natal. Ratusan tahun sebelum Yesus dilahirkan di Betlehem, Tuhan telah membisikkan janji melalui para nabi. Di taman Eden, selepas manusia jatuh dalam dosa, Tuhan berfirman bahawa satu hari kelak “benih perempuan itu akan meremukkan kepala ular.” (Kejadian 3:15). Janji Tuhan dalam Kejadian 3:15 merupakan bayangan pertama seorang Penyelamat. Kemudian, melalui nabi Yesaya, Tuhan menjanjikan bahawa seorang anak akan lahir bagi kita, “Dia akan dinamakan Penasihat Ajaib, Tuhan Yang Perkasa, Bapa Yang Kekal, Raja Damai.” (Yes. 9:6). Dan melalui Daniel, Tuhan menyatakan dengan luar biasa bahawa Mesias akan datang tepat pada waktunya, dihitung dari perintah raja Parsi untuk membangun semula kota Yerusalem, ratusan tahun sebelum kelahiran-Nya. Segala nubuat ini bertemu dalam satu titik kecil di peta dunia iaitu di palungan kecil di Betlehem. Di sana, Firman menjadi manusia. Di sana, janji menjadi realiti. Di sana, sejarah bertemu dengan kekekalan. Natal bukan hanya kisah indah tentang malaikat, gembala dan bintang. Natal adalah bukti sejarah bahawa Tuhan menggenapi Firman-Nya. Ia adalah pengesahan bahawa Yesus bukan sekadar guru moral atau nabi, tetapi Dialah Mesias yang dinubuatkan. Dia adalah Tuhan yang menjadi manusia untuk menebus dan menyelamatkan kita. Sebab itu, jika kita menghargai Natal, kita harus kembali menghargai Alkitab, kerana seluruh kisah keselamatan bermula dan berakhir dengan Firman Tuhan. Alkitab memperkenalkan kepada kita Tuhan yang benar, memberikan pengetahuan yang membawa keselamatan, dan menunjukkan jalan yang tepat menuju syurga. Kebenaran Alkitab tidak berubah, tidak goyah oleh masa, dan tidak tunduk kepada pandangan manusia. Firman Tuhan berdiri teguh kerana Ia diilhamkan oleh Roh Kudus dan sejarah membuktikannya. Marilah ketika kita melihat palungan Natal tahun ini, jangan sekadar memandang seorang bayi. Lihatlah ia sebagai kegenapan nubuatan, lihatlah ia sebagai ketetapan janji, dan lihatlah Natal sebagai kasih Tuhan yang datang mencari kita. Biarlah renungan ini menimbulkan kerinduan baru untuk membuka Alkitab kembali untuk menggali, menyelidiki, dan menemukan dengan mata hati bahawa Yesus Kristus benar-benar Tuhan, Dia telah datang seperti yang telah dikatakan, dan Dia akan datang kembali seperti yang dijanjikan. Kiranya Roh Kudus menolong kita melihat keindahan Firman-Nya dan membawa kita lebih dekat kepada Dia yang datang untuk menyelamatkan. Selamat menyambut perayaan dan ibadah Natal 2025. Syukur kepada Tuhan yang menepati setiap janji-Nya. Yesus Kristus, Tuhan untuk semua orang dari semua bangsa. Oleh Gembala Jubilie Apin (Pena Rajawali) Sumber : Facebook @ jubilie apin
- Jadikan Yesus Sebagai Batu Penjuru Dalam Hidup
“…Yesus memandang mereka lalu bertanya, ‘Jika demikian, apakah makna ayat Alkitab ini? Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama.’...” Lukas 20:17 Oleh kerana pemberontakan dan penolakan para imam, ahli Taurat dan pemimpin orang Yahudi terhadap Yesus yang telah diutus oleh Tuhan kepada mereka, maka Yesus telah ditempatkan oleh Allah pada dasar yang sangat penting dalam sebuah bangunan. Dia ditinggikan di sebelah kanan Bapa dan segala penghakiman serta kuasa telah diserahkan ke dalam tangan-Nya. Hal ini bererti bahawa pemberontakan dan penolakan mereka terhadap Yesus telah menyebabkan Yesus menjadi Pengharapan bagi semua orang yang menerima-Nya. Ibarat batu yang dibuang oleh pembina bangunan, Dialah kini batu yang paling utama. Yesus dinubuatkan sebagai “Batu Penjuru”, iaitu batu yang dibuang oleh pembina namun menjadi batu paling utama. Hal ini bererti bahawa pada hari yang akan datang, penyewa-penyewa ladang yang bertindak sebagai “pemilik dan penguasa” ladang anggur akan dihakimi dan dihukum oleh Tuhan. Demikian juga halnya dengan gereja Tuhan pada hari ini—batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama. Penolakan para imam, ahli Taurat dan pemimpin orang Yahudi terhadap Yesus membawa kebinasaan kepada diri mereka sendiri. Oleh kerana penolakan mereka, Yesus telah ditinggikan di sebelah kanan Bapa, dan segala penghakiman serta kuasa berada dalam tangan-Nya. Dengan itu marilah kita menjadikan Yesus sebagai Batu Penjuru dalam hidup kita hari ini… Doa: Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu memohon pengampunan-Mu. Sekiranya aku pernah menolak dan merendahkan Engkau dalam hidup ini, ampunilah aku. Ajarlah aku untuk mengutamakan Engkau dalam semua yang aku lakukan. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Penggenapan Waktu
“Tetapi setelah genap waktunya, maka Allah mengutus Anak-Nya, yang lahir dari seorang perempuan dan takluk kepada hukum Taurat. (5) Ia diutus untuk menebus mereka, yang takluk kepada hukum Taurat, supaya kita diterima menjadi anak. (6) Dan karena kamu adalah anak, maka Allah telah menyuruh Roh Anak-Nya ke dalam hati kita, yang berseru: "ya Abba, ya Bapa!” Galatia 4:4 Ayat Galatia 4:4 membawa kita kembali ke Taman Eden. Penggenapan waktu bukan sekadar detik kronologi, tetapi detik ilahi di mana semua janji Tuhan bergerak ke satu titik temu iaitu kedatangan Sang Penebus, iaitu Mesias/Penyelamat yang dijanjikan sejak Kejadian 3:15. Manusia sepatutnya mati kerana pelanggaran dosa di Taman Eden (Kejadian 2:17). Namun Tuhan dalam belas kasihan-Nya bertindak melakukan sesuatu yang tidak terfikir oleh Adam dan Hawa (manusia pertama). Seekor binatang telah disembelih, menjadi satu korban gantian, dan kulit binatang itu digunakan oleh Tuhan menutupi ketelanjangan Adam dan Hawa. Dalam inisiatif penebusan ini rahmat dan kasih kurnia Tuhan bertemu. Rahmat Tuhan bererti Tuhan tidak memberikan hukuman yang selayaknya dan kasih kurnia bererti Tuhan memberikan keselamatan yang tidak layak diterima kepada siapa yang Dia hendak berikan. Di titik inilah bermulanya jalur merah keselamatan, satu garis penebusan yang mengalir melalui seluruh sejarah Alkitab di Perjanjian Lama dan akhirnya memuncak di kayu salib. Dari kitab Kejadian hingga Maleakhi, Tuhan yang berdaulat mengatur jalan penebusan melalui keturunan Abraham melalui jalur Ishak (Kejadian 17:19), janji kedatangan seorang nabi seperti Musa (Ulangan 18:15) akan datang, dia juga seorang Raja dari keturunan Daud (2 Samuel 7:12–16) yang akan di lahirkan di Betlehem (Mikha 5:2) dan tahun kemunculan Mesias telah dinubuatkan dalam kitab Daniel (Daniel 9:24–27). Segala korban dalam Perjanjian Lama hanyalah bayangan, ia menunjuk kepada Korban Sempurna yang menjadi kemuncak yang telah datang dalam Kristus Yesus. Nabi Yesaya telah bernubuat sekitar 700 tahun sebelum Kristus dilahirkan, “Seorang Anak telah lahir … seorang Putera … Allah yang perkasa … Raja Damai.” (Yesaya 9:5–6) Semua ini bergerak menuju satu saat: ketika genap waktunya. Dalam kepenuhan waktu itulah adalah kedatangan Yesus Kristus, bukan sebagai simbol, bukan sebagai bayangan, tetapi sebagai realiti penebusan. Kolose 1:15 berkata, “Ia adalah gambar Allah yang tidak kelihatan, yang sulung, lebih utama dari segala yang diciptakan” Dia adalah Yesus Kristus.Dia adalah Anak Allah yang diutus, mesias yang dijanjikan, Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia, penggenapan seluruh tuntutan Hukum Taurat, Raja yang telah mati tetapi bangkit kembali dan Dia adalah Tuhan yang akan datang kembali sebagai Tuhan dan Hakim kepada semua yang hidup dan yang telah mati. Melalui kematian dan kebangkitan-Nya, Dia membuka jalan keselamatan bagi kita. Kita menerima penebusan ini dengan mengaku dan percaya bahawa Allah telah membangkitkan Dia dari antara orang mati (Roma 10:9-10). Kita tidak melayani Tuhan supaya diselamatkan,tetapi kerana kita telah diselamatkan. Keselamatan adalah anugerah; pelayanan adalah respon kasih kita kepada Tuhan yang telah menyelamatkan kita. Natal bukan hanya cerita kelahiran di dalam palung. Natal adalah pintu masuk kepada Paskah. Bayi Yesus datang untuk mati dan bangkit demi kita. Di dalam Kristus, kita yang percaya menerima damai (Yohanes 14:27), kita memiliki pengharapan yang hidup, kita berjalan dalam kasih kurnia yang memampukan, dan kita menantikan penggenapan sepenuhnya ketika Dia datang kembali. Sudahkah anda Memiliki Pengharapan Ini? Natal bukan sekadar perayaan; ia adalah undangan. Adakah anda sudah memiliki pengharapan ini iaitu keselamatan, pengampunan, damai, dan hidup kekal di dalam Tuhan Yesus Kristus? Jika belum, bukalah hati anda kepada-Nya hari ini dan terimalah Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat. Dia hanya sejauh doa. Laluan masuk-Nya adalah hati yang rendah dan terbuka. Dan bagi yang sudah percaya, tetaplah setia berjalan bersama-Nya. Pegang pengharapan ini, hidup dalam pujian, syukur, sembah, pelayanan dan ikuti Dia dengan setia sampai ke garis akhir. Selamat Menyambut dan merayakan Natal 2025. Tuhan Yesus adalah Jalan kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun dapat datang kepada Allah Bapa kecuali melalui Dia. Tuhan memberkati kita semua. Oleh Gembala Jubilie Apin (Pena Rajawali) Sumber : Facebook @ jubilie apin
- Menolak Utusan-Nya Bererti Menolak Tuhan Yesus
“…Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi para penyewa ladang memukul hamba itu dan menyuruh dia pulang dengan tangan kosong....” Lukas 20:10 Yesus menceritakan sebuah perumpamaan kepada para imam, ahli Taurat dan pemimpin Yahudi tentang “…seseorang yang telah menanami sebuah kebun anggur, lalu menyewakan kebun anggur itu kepada beberapa petani, kemudian pergi ke negeri yang jauh untuk waktu yang lama.” Perumpamaan ini menegaskan bahawa hanya Tuhan sahaja yang memiliki hak dan kuasa sepenuhnya, kerana Dialah Pemilik kebun anggur itu. Para penyewa bukanlah pemilik ladang tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh bertindak sesuka hati terhadap hamba-hamba yang diutus oleh pemilik ladang. Sebaliknya, penyewa-penyewa ladang sepatutnya menghormati hamba-hamba pemilik kebun yang diutus untuk menerima hasil bagiannya. Namun mereka memukul hamba itu dan menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Perumpamaan ini menggambarkan sikap para imam, ahli Taurat dan pemimpin orang Yahudi yang bertindak seperti penyewa-penyewa ladang anggur—mereka menolak utusan Tuhan. Mereka memperlakukan dengan kasar para nabi yang diutus oleh Tuhan, seperti penyewa yang memperlakukan hamba pemilik ladang. Oleh kerana penolakan dan ketidakpercayaan mereka terhadap nabi-nabi Tuhan, maka hukuman Tuhan datang ke atas mereka. Bagaimana pula dengan diri kita hari ini? Adakah kita menolak lawatan Tuhan dan uluran tangan Yesus dalam hidup kita? Atau adakah kita terus berkeras menentang-Nya? Marilah kita tunduk kepada kuasa Tuhan Yesus dan menerima jemputan keselamatan serta anugerah-Nya dalam hidup kita hari ini. Doa: Tuhan, aku datang kepada-Mu. Buka mata rohani aku agar aku melihat bahawa Engkaulah Tuhan yang berkuasa dalam hidup ini. Engkaulah Pemilik segala yang aku miliki dalam hidup ini. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Apa Kata Malaikat Pada Malam Natal Itu?
Langit malam tiba-tiba menjadi terang dan para gembala melihat ke atas lalu melihat seorang malaikat. Berita baik! Khabar baik untuk seluruh dunia! Damai sejahtera kepada manusia di bumi, kata malaikat itu, kemudian disusuli oleh koir syurgawi! Cerita itu sudah kita dengar berkali-kali sempena Natal! Tapi, apakah pelajarannya bagi kita? (Lukas 2:8-18 ... Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan... ) Pertama, mengapa malaikat itu datang kepada para gembala? Kenapa tidak kepada orang di bandar raya atau di istana? Mungkinkah orang biasa lebih mudah untuk menerima berita menakjubkan itu? Mahukah orang intelek pergi melawat seorang bayi yang berbaring dalam palungan, yang telah diisytiharkan sebagai Juruselamat dunia? Intelek mereka pasti menjadi tembok yang terlalu tinggi untuk diatasi – mana mungkin seorang bayi menjadi Juruselamat dunia? Tidak menghairankan juga bahawa Injil lebih berjaya di kawasan pedalaman berbanding di bandar raya! Hampir semua kebangunan rohani dalam sejarah gereja berlaku di kawasan pedalaman, bukan di bandar raya! Kalau kamu orang sederhana, orang biasa, orang miskin, orang yang tidak terlalu pandai – mungkin itu satu anugerah kerana kamu tidak akan mempersoalkan berita baik dan kisah seorang bayi yang menjadi Raja di atas segala raja! Ada orang sering bertanya soalan, "Di manakah dalam Alkitab Yesus mengatakan Dia adalah Allah dan harus disembah?" Yesus telah berkali-kali mengisytiharkan bahawa Dia adalah Anak Manusia (gelaran keilahian) dan memiliki status di sebelah kanan Allah (kedudukan ilahi). Ya, memang Dia tidak meminta untuk disembah, kerana tidak perlu untuk Dia menagih penyembahan (bukan seperti dewa-dewa Yunani yang menuntut sembahan untuk mendapat kuasa). Manusia berkata Yesus adalah Tuhan, orang tidak mahu percaya. Yesus sendiri berkata begitu pun orang tetap tidak mahu percaya. Tetapi malaikat Allah sendiri mengisytiharkan Yesus sebagai "Juruselamat, iaitu Kristus, Tuhan" (Lukas 2:11). Kalau tidak mahu percaya kata-kata Yesus, dan tidak mahu percaya kata-kata pengikut Yesus, tidak mengapa. Sekurang-kurangnya dengarlah kata para malaikat! Dia Tuhan! Nampak diskaun 80%, semua pun berebut pergi. Dengar potongan harga ayam sekilo, semua pun berebut beli ayam! Bila dengar kata "I love you", terus mahu beli cincin dan sarungkan di jarinya! Bila para gembala mendengar khabar ini, mereka kata apa? Gembala-gembala itu berkata seorang kepada yang lain: "Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat apa yang terjadi di sana, seperti yang diberitahukan Tuhan kepada kita." (2:15) Bandingkan itu dengan orang Yahudi sendiri di istana Raja Herodes! (Matius 2) Bila orang Majus maklum bahawa ada bintang yang menandakan kelahiran raja baru, Raja Herodes terkejut dan meminta maklumat daripada orang Yahudi. Mereka menjawab bahawa ada tertulis (dalam kitab mereka sendiri) bahawa di Betlehem akan lahir seorang raja! (Mikha 5:1-2) Orang Majus disuruh pergi mencari anak itu! Apakah orang Yahudi ikut serta dengan orang Majus? Tidak dikisahkan, kerana memang mereka tidak ikut. Kerana mereka sendiri tidak percaya kepada tulisan kitab mereka! Tetapi para gembala berkata, "Mari kita pergi." Alangkah baiknya kalau kita juga sama-sama pergi melihat keajaiban ini! Allah datang melawat umat-Nya! Lahir ke dalam dunia sebagai seorang bayi, untuk memberi keselamatan bagi kita. Sudahkah kamu pergi dan melihat Juruselamat dunia? Oleh : Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @ edmund kumar
- Pertanyaan Yang Memakan Diri
“…Mereka mula membincangkan soalan itu, ‘Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, “Dengan hak Allah,” Dia akan berkata, “Mengapa kamu tidak percaya kepada Yohanes?”’...” Lukas 20:5 Sewaktu Yesus sedang mengajar dan menyampaikan Berita Baik kepada orang ramai di dalam Rumah Tuhan, para ketua imam, guru Taurat dan pemimpin masyarakat Yahudi datang untuk bertanya kepada Yesus, “…siapa yang memberikan-Nya hak atau kuasa untuk mengajar dan mengubah kebiasaan mereka, dan atas nama siapa Dia melakukan semuanya itu…” Mereka mempersoalkan Yesus kerana Dia telah mengusir semua orang yang berjual beli di halaman Rumah Tuhan, menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Oleh itu mereka menuntut supaya Yesus menjelaskan kuasa atau hak yang Dia gunakan untuk melakukan hal tersebut. Namun Yesus tidak menjawab soalan mereka secara langsung. Sebaliknya, Dia mengajukan satu pertanyaan kepada mereka tentang hak Yohanes dalam membaptis orang—adakah ia dilakukan dengan kuasa Allah atau manusia? Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi mula berunding sesama mereka. Mereka sedar mereka sedang terperangkap oleh pertanyaan Yesus. Jika mereka berkata, “Dari surga,” Yesus akan bertanya, “Mengapa kamu tidak percaya kepada Yohanes?” Tetapi jika mereka berkata, “Dari manusia,” mereka takut orang ramai akan melempari mereka dengan batu kerana seluruh orang ramai percaya bahawa Yohanes adalah seorang nabi. Akhirnya mereka berkata kepada Yesus bahawa mereka tidak tahu dari mana asalnya kuasa Yohanes. Pertanyaan mereka sendiri akhirnya memakan diri mereka. Demikian juga dengan diri kita. Kita perlu berhati-hati dalam bertanya atau menuduh orang lain, supaya kata-kata kita tidak memperangkap diri kita sendiri. Doa: Tuhan, aku datang kepada-Mu memohon bimbingan-Mu, agar aku sentiasa berhati-hati dalam setiap pertanyaan yang aku ajukan kepada orang lain, supaya setiap tindakan aku memuliakan Tuhan. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Apakah maksud Imanuel? Apa kaitannya dengan Natal?
Tema Imanuel dalam Matius 1:23 membawa kita kepada dua kebenaran penting dalam iman Kristian, iaitu penyertaan Allah kepada umat-Nya dan kenyataan bahawa Allah benar-benar menjadi manusia melalui kelahiran Yesus Kristus. Ayat ini bukan sahaja menyatakan bahawa Allah dekat dengan manusia, tetapi menegaskan bahawa kehadiran Allah mengambil bentuk yang sangat nyata dalam sejarah melalui inkarnasi. Dengan kelahiran Yesus, Allah bukan lagi jauh atau abstrak; Dia hadir dalam dunia manusia, merasai kehidupan manusia, dan berjalan bersama umat-Nya dalam cara yang paling konkrit. Makna Imanuel bukan sekadar bahawa Allah memerhati dari jauh atau memberi pertolongan secara rohani, tetapi bahawa Dia memasuki ruang dan waktu sebagai seorang bayi yang dilahirkan daripada seorang dara. Inkarnasi ini menunjukkan bahawa Allah memilih untuk berkongsi pengalaman manusia sepenuhnya. Yesus membesar, mengalami keletihan, kelaparan, penderitaan, dan segala realiti hidup manusia. Hal ini mengesahkan bahawa kemanusiaan Yesus bukanlah sesuatu yang simbolik atau sekadar luaran, tetapi benar-benar sejati. Firman menjadi daging sebagaimana yang ditegaskan dalam Injil Yohanes bermaksud Allah mengambil tubuh manusia yang sebenar dan bukan hanya kelihatan seperti manusia. Kebenaran ini juga menjadi penegasan penting terhadap ajaran-ajaran sesat yang muncul pada abad awal gereja, khususnya pandangan Gnostik. Aliran Gnostik mengajar bahawa dunia fizikal adalah jahat dan bahawa makhluk ilahi tidak mungkin benar-benar mengambil tubuh manusia. Bagi mereka, kemanusiaan Kristus hanyalah ilusi, suatu bentuk penampakan, bukan realiti. Namun, Matius 1:23 berdiri sebagai bantahan yang jelas terhadap pemahaman ini. Dengan menegaskan kelahiran Yesus, Injil Matius menyatakan bahawa penyelamatan tidak datang melalui pengetahuan rahsia atau pengalaman mistik, tetapi melalui tindakan sejarah Allah yang menjadi manusia untuk menebus manusia. Ajaran Gnostik juga memisahkan dunia rohani daripada dunia jasmani secara mutlak, namun inkarnasi menunjukkan bahawa Allah tidak menolak dunia fizikal. Tubuh manusia tidak najis secara sendiri, tetapi diciptakan baik oleh Allah. Masalah manusia bukan terletak pada tubuh jasmani, tetapi pada dosa. Oleh itu, Allah tidak ragu-ragu masuk ke dalam dunia ini dan menyertai manusia secara penuh melalui tubuh Yesus Kristus. Inkarnasi menjadi bukti bahawa Allah memuliakan kemanusiaan dengan mengambilnya dalam diri-Nya, sekaligus meruntuhkan kepercayaan Gnostik bahawa dunia fizikal harus dielakkan atau dinafikan. Kebenaran bahawa Yesus benar-benar manusia juga penting kerana ia memberikan dasar kepada karya penebusan. Jika Yesus tidak memiliki tubuh sebenar, kematian-Nya tidak mungkin berlaku secara nyata, dan penebusan melalui salib akan kehilangan maknanya. Alkitab menegaskan bahawa melalui kemanusiaan-Nya, Yesus dapat mati menggantikan umat manusia dan menjadi Imam Besar yang memahami segala pergumulan manusia. Dia turut menderita, turut dicobai, dan merasai kesakitan yang manusia alami, menjadikan penyertaan-Nya bukan hanya konsep teologi, tetapi realiti yang dialami manusia dalam kehidupan seharian. Keseluruhan tema Imanuel dalam Matius 1:23 membawa kita kepada pemahaman bahawa Allah bukan sahaja menyertai kita dari jauh, tetapi telah masuk ke dalam dunia kita sebagai manusia sejati. Dalam Yesus Kristus, Allah hadir dalam kelemahan dan kerentanan manusia. Dia menangis, bekerja, bergelut, dan akhirnya mati. Kehadiran seperti inilah yang memberikan penghiburan mendalam kepada umat percaya. Kita tidak menyembah Allah yang jauh dari realiti hidup manusia, tetapi Allah yang memahami penderitaan kita dari dalam kerana Dia sendiri telah mengalaminya. Dengan demikian, nama Imanuel menjadi peringatan bahawa penyertaan Allah bukan idea abstrak, tetapi kebenaran sejarah yang menolak semua ajaran yang menafikan kemanusiaan Yesus, termasuk pengaruh Gnostik. Inkarnasi menjadi bukti bahawa keselamatan bukan bergantung kepada pengetahuan tersembunyi, tetapi kepada karya Allah yang datang dalam tubuh manusia untuk menebus manusia. Imanuel mengisytiharkan bahawa Allah dekat bukan hanya secara spiritual tetapi melalui kehadiran-Nya dalam sejarah, dan melalui kelahiran, kehidupan, kematian dan kebangkitan Yesus Kristus yang benar-benar manusia. Oleh : Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @edmund kumar
- Tetap Mengajar Kebenaran
“…Setiap hari Yesus mengajar di dalam Rumah Tuhan. Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin bangsa Yahudi hendak membunuh Dia....” Lukas 19:47 Yesus tidak pernah berhenti daripada kebiasaan-Nya mengajar tentang Kebenaran, walaupun Dia berdepan dengan pelbagai cabaran dan tentangan daripada banyak pihak yang membenci-Nya. Namun bagi Yesus, keutamaan-Nya ialah tetap setia kepada tugas yang diberikan Bapa, iaitu mengajar Kebenaran di dalam Rumah Tuhan setiap hari. Mereka (ketua imam, guru Taurat, dan para pemimpin bangsa Yahudi) yang sangat membenci Yesus terus berusaha mencari cara untuk membunuh-Nya, tetapi mereka tidak menemukan jalan untuk melakukannya, kerana semua orang sangat tertarik untuk mendengar ajaran-Nya dan berpegang teguh kepada perkataan-Nya. Oleh sebab itu, ketua imam, guru Taurat dan para pemimpin Yahudi tidak tahu bagaimana hendak melaksanakan rancangan mereka, kerana ramai orang sentiasa bersama Yesus untuk mendengar ajaran-Nya. Walaupun mereka terus berusaha mencari jalan untuk membunuh Yesus, semua rancangan mereka tetap gagal. Sementara itu Yesus tidak berhenti mengajar—Dia tetap melaksanakan misi-Nya dengan penuh semangat, tanpa rasa takut dan tanpa berhenti. Bagi Yesus, tugas yang dipercayakan Bapa kepada-Nya adalah keutamaan dalam seluruh hidup-Nya. Dia terus mengajar tanpa berhenti dan tanpa takut. Bagaimana pula dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita terus mengutamakan tugas yang Tuhan percayakan kepada kita? Marilah kita terus bersaksi bagi Tuhan Yesus selama kita hidup, dengan mengajar dan menyatakan Kebenaran-Nya. Doa: Tuhan, ajarlah aku untuk berpegang pada panggilan-Mu bagi diriku. Biarlah api-Mu di dalam diri aku terus bernyala-nyala untuk melayani-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie
- Apakah Yang Sangat Indah Tentang Perayaan Natal?
“Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi..." (Lukas 2:14, AVB) Sempena Natal ini, tanya diri sendiri soalan ini: "bila kali terakhir saya menghayati kemuliaan dan keindahan Allah?" Dalam banyak-banyak perayaan, tidak boleh nafikan, Hari Natal ialah perayaan paling cantik kita boleh lihat. Lampu Natal berkelip-kelip dalam bilik pejabat, pokok Krismas berdiri tegak dalam supermarket, lagu Natal bergema dari radio. Namun kesemua ini tidak dapat dibandingkan dengan keindahan Allah. Allah sejak dahulu sehingga kini tidak pernah putus asa untuk menyelamatkan manusia. Allah bina bahtera untuk melindungi Nuh dan sekeluarganya. Yahweh memimpin umat Israel keluar dari Mesir untuk ke tanah yang dijanjikan. Tuhan melantik hakim dan raja untuk memelihara umat-Nya. Ketika penjajahan pun, Allah tetap dengan setia menjaga mereka. "Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal" Walaupun manusia berkali-kali memberontak terhadap Allah, malah sampai ke tahap menyalibkan seorang Peribadi yang tidak bersalah, namun dalam kasih-Nya yang sungguh besar dan mulia Allah tetap dengan rela hati menganugerahkan satu-satu Anak-Nya kepada kita. "Kristus mengasihi kita dan menyerahkan diri-Nya untuk kita sebagai persembahan dan korban yang harum bagi Allah." Yesus sungguh mengasihi kita, sehingga Dia yang Maha Tinggi sanggup turun dari syurga menjadi Manusia yang fana seperti kita, supaya lebih mendekati kita dan merasakan penderitaan daripada akibat dosa manusia sama-sama. Tidak seperti Adam yang mula-mula dicipta sebagai manusia dewasa, Yesus berani menyerahkan diri-Nya sebagai seorang Bayi yang lemah dan kecil kepada kita. Biarpun lahir dan tidur di dalam palung, Kristus tetap harum bagi Bapa sebab kasih Kristus sungguh mulia. Dia sanggup berbuat demikian sebagai salah satu persediaan untuk mewakili kita di atas kayu salib, agar kita tidak lagi menerima upah dosa melainkan jubah perbenaran yang Kristus Sendiri jahitkan. "Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi" nyanyian malaikat yang mengambarkan kasih Bapa dan Yesus yang tidak pernah berubah mahupun pudar dari dahulu sehingga kini. Dalam Natal ini, adakah anda terlihat keindahan kasih Allah? Ambillah sedikit masa untuk menghayati kemuliaan-Nya. Oleh : Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @edmund kumar












