Support Us
Support Us
Cari
3263 results found with an empty search
- Marta Gelisah Membuat Banyak Kerja
Tetapi Marta pula sibuk melayani mereka. Marta menghampiri Yesus dan berkata, “Tuhan, tidakkah Engkau peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku.” Lukas 10:40 AVB Sewaktu Yesus dan murid-murid-Nya masuk ke dalam rumah Marta, dia bersibuk-sibuk membuat banyak persiapan untuk melayani semua orang yang datang bersama-sama Yesus dengan baik. Kesannya, dia menjadi letih dan khuatir lalu mengeluh kerana terlalu banyak kerja yang harus dibereskannya. Marta juga tidak senang hati lalu bersungut kerana Maria adiknya tidak menolongnya untuk membuat apa-apa kerja. Dia pun datang kepada Yesus dan berkata, “Tuhan, tidakkah Engkau peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku.” Apabila mendengar keluhan hati Marta, Yesus pun menasihatinya dengan berkata, “Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara. Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maria telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya.” Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita mengeluh kerana terdapat banyak kerja yang harus kita siapkan lalu kita sangka bahawa tidak ada orang yang mempedulikan jerih payah kita? Oleh itu, marilah kita melakukan segala perkara demi Tuhan Yesus dengan lapang hati dan penuh sukacita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk melakukan segala pekerjaanku dengan lapang hati dan penuh sukacita. Ampunilah aku sekiranya aku mengeluh atau bersungut-sungut ketika menyempurnakan pekerjaan-Mu. Ubahlah sikapku dan pakailah aku untuk terus giat melakukan pekerjaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Yesus Disambut Marta ke Rumahnya
Yesus dan murid-murid-Nya meneruskan perjalanan dan sampai di sebuah kampung. Seorang perempuan yang bernama Marta menyambut Dia ke rumahnya. Lukas 10:38 AVB Sewaktu Tuhan Yesus dan murid-murid-Nya tiba di sebuah kampung, seorang perempuan yang bernama Marta dan adiknya yang bernama Maria telah menyambut Tuhan Yesus ke rumah mereka dengan ramah-tamah. Kehadiran Tuhan Yesus dan murid-murid-Nya di rumah Marta adalah atas undangan secara peribadi daripada keluarganya. Oleh sebab Marta menyambut baik kunjungan Yesus, maka Dia dan murid-murid-Nya masuk ke dalam rumah Marta dengan senang hati. Yesus tidak menolak undangan Marta untuk datang ke rumah, malah Dia menerima jemputan Marta dengan sukacita. Dengan itu, Dia masuk dan mengajar mereka yang ada di rumah Marta. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa sekiranya kita mengundang Tuhan Yesus ke rumah kita, pasti Dia akan datang dan menyertai kita. Tuhan Yesus ialah Tuhan yang lemah lembut dan siap sedia untuk menerima kita. Dia tidak akan menolak kita atau memandang siapa diri kita tetapi Dia melihat hati kita yang rindu akan-Nya. Ingatlah bahawa Tuhan Yesus sentiasa terbuka hati untuk menyambut setiap orang yang mengundang-Nya masuk ke dalam hidup mereka. Oleh itu, marilah kita mengundang Tuhan Yesus untuk menyertai segala perkara yang kita lakukan dan yang kita miliki dalam hidup ini. Sebab kehadiran Tuhan Yesus pasti akan mengubah segala perkara dalam hidup kita untuk menjadi baik dan indah. Doa: Ya Tuhan Yesus, aku datang mengundang Engkau masuk ke dalam hidupku. Bimbinglah aku dan pimpinlah aku agar dalam segala-gala yang aku lakukan, nama-Mu akan dimuliakan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Respons Terhadap Orang yang Malang
Akan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan. Lukas 10:33 AVB Tuhan Yesus memberitahu ahli Taurat yang datang memerangkap-Nya bahawa jawapannya kepada soalan-Nya memang betul tetapi dia haruslah berbuat seperti yang dikatakannya supaya dia akan hidup. Walau bagaimanapun, ahli Taurat tersebut hendak membela dirinya lalu menanya Yesus siapa sesama manusia itu. Yesus pun menjawab dengan menyampaikan sebuah ibarat tentang orang Samaria yang baik hati. “Ada seorang dalam perjalanan dari Yerusalem ke Yerikho. Dia diserang oleh penyamun yang merompaknya dan membelasahnya sehingga setengah mati. Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. Akan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan. Dia menghampiri si malang itu lalu membersihkan luka-lukanya dengan air anggur dan minyak serta membalut luka itu. Kemudian, dia menaikkan si malang itu ke atas keldai tunggangannya dan membawanya ke rumah tumpangan untuk terus merawatinya di situ. Pada keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang dinar kepada tuan rumah tumpangan untuk perbelanjaan si malang itu sambil berkata, ‘Jagalah dia dan sekiranya wang ini tidak cukup untuknya, aku akan membayarnya apabila aku datang kembali.’ ” Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini sewaktu kita melihat seseorang dalam keadaan yang sukar dan sangat memerlukan pertolongan daripada kita? Apakah respons kita? Adakah kita betul-betul memahami siapa yang menjadi sesama manusia kepada orang yang malang? Adakah kita akan menunjukkan belas kasihan kepadanya? Doa: Ya Bapa yang di syurga, berilah aku hati yang penuh dengan belas kasihan. Sewaktu aku melihat seseorang yang perlu didorong dan dibantu, bukalah hatiku untuk menghulurkan pertolongan kepadanya. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Kebenaran Tanpa Perbuatan adalah Sia-sia
Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. Lukas 10:31-32 AVB Seorang ahli Taurat datang kepada Tuhan Yesus lalu bertanya, “Apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?” Bagaimanapun, Yesus menjawab pertanyaannya itu dengan mengemukakan pertanyaan kembali, "Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah kamu mentafsirnya?” Ahli Taurat itu dengan segera membalas Tuhan Yesus, “Kasihilah Tuhan, Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh kekuatanmu dan dengan sepenuh fikiranmu serta mengasihi sesama manusia seperti dirimu sendiri. ” Berdasarkan jawapan ahli Taurat itu, secara mental atau intelek dia seorang yang sangat mengetahui apa yang tertulis dalam Alkitab, tetapi secara realiti dan praktik kebenaran Firman Tuhan tidak dihayati serta ditaati dalam hidupnya. Sebab dia tidak memahami siapa yang menjadi sesamanya. Dia hanya mengetahui apa yang tercatat dalam Alkitab tetapi dia sama sekali tidak mengamalkannya dalam hidup dirinya. Oleh itu, Tuhan Yesus menggunakan sebuah ibarat tentang seorang Samaria yang baik hati untuk mendedahkan masalah yang mengongkong dirinya, iaitu mengetahui apa yang tertulis dalam Alkitab tetapi tidak mengamalkan kebenaran itu dalam hidup hariannya. Dengan kata lain, seseorang yang benar atau baik di hadapan Tuhan Allah bukanlah orang yang mengetahui kebenaran sahaja tetapi dia harus mempraktikkannya. Sesungguhnya, kebenaran tanpa perbuatan baik adalah sia-sia. Seseorang yang mengetahui kebenaran tetapi tidak memperlihatkannya dalam tingkah laku sehari-hari ialah seorang yang tidak diperkenan oleh Tuhan Allah selain juga menyedihkan-Nya kerana dia tidak memiliki kasih yang sejati terhadap-Nya dan tidak mentaati perintah-Nya. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon pengampunan daripada-Mu sekiranya aku tidak mengamalkan kebenaran-Mu dalam hidupku melalui perbuatan. Ampunilah aku dan bersihkan aku. Ajarlah aku untuk mengasihi-Mu melalui perbuatanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Jalur Merah Keselamatan: Dari Bayangan ke Penggenapan Kristus. Apa maksudnya?
Sejak manusia pertama jatuh dalam dosa, Tuhan sendiri telah membuka satu jalur keselamatan. Di Taman Eden, setelah manusia gagal taat, Tuhan tidak membiarkan manusia tanpa harapan. Firman-Nya kepada ular di Kejadian 3:15 menjadi dasar nubuat pertama tentang Penyelamat: keturunan perempuan itu akan meremukkan kepala ular. Di sinilah bermula jalur merah keselamatan iaitu jalur darah korban yang menunjuk kepada Kristus. Ketika Abel mempersembahkan korban yang berkenan (Kejadian 4:4), Tuhan mengajar manusia bahawa pengampunan dosa menuntut darah. Prinsip ini terus kelihatan dalam sejarah penyembahan umat Tuhan. Zaman Nuh pun tidak terpisah daripada rancangan ini. Tuhan selamatkan keluarga Nuh melalui bahtera dan ini merupakan satu lambang keselamatan bagi orang benar yang taat. Bahtera itu adalah bayangan akan Kristus, satu-satunya tempat selamat dari murka Tuhan. Tuhan kemudian memanggil Abraham dan memberkatinya: “Olehmu segala kaum di muka bumi akan mendapat berkat.” (Kejadian 12:3). Janji ini Tuhan teguhkan kepada Ishak, Yakub dan keturunan mereka, iaitu bangsa Israel, iaitu bangsa pilihan di mana jalur keselamatan diteruskan. Pada malam Paskah di Mesir (Keluaran 12), darah anak domba pada pintu rumah menyelamatkan Israel daripada malaikat maut. Ini adalah bayangan paling jelas akan Yesus Kristus, Anak Domba Allah yang darah-Nya membebaskan kita daripada hukuman maut kekal. Dalam Taurat Musa, korban di Kemah Pertemuan/Kemah Suci dan Bait Allah (Imamat 1-7) mengingatkan umat bahawa penebusan dosa menuntut pengganti yang tidak bercela. Semua ini adalah lambang kepada korban yang sempurna iaitu Kristus sendiri, Anak Domba yang kudus (Yohanes 1:29). Di padang gurun, ketika bangsa Israel dipagut ular, Musa menaikkan ular tembaga di tiang (Bilangan 21:8-9). Siapa pun yang memandangnya, diselamatkan. Yesus sendiri menyatakan: “Dan sama seperti Musa meninggikan ular di padang gurun, demikian juga Anak Manusia harus ditinggikan.” (Yohanes 3:14-15). Para nabi menubuatkan dengan lebih terperinci. Yesaya melihat Anak yang lahir dan disebut Penasihat Ajaib (Yesaya 9:5) dan menggambarkan penderitaan-Nya bagi penebusan dosa umat (Yesaya 53). Mazmur meramalkan kebangkitan-Nya (Mazmur 16:10). Mikha menubuatkan tempat kelahiran-Nya di Betlehem (Mikha 5:1). Akhirnya, di kayu salib, semua jalur ini bertemu dan sempurna digenapi. Yesus, Anak Domba yang tidak bercela, menanggung segala dosa dunia dan berseru: “Sudah selesai.” (Yohanes 19:30) Inilah puncak jalur merah keselamatan — tidak lagi hanya bayangan, tetapi penggenapan yang nyata dalam diri Kristus. Dialah Anak Domba Paskah kita (1 Korintus 5:7), Dialah Penebus yang menanggung dosa kita di kayu salib (1 Petrus 2:24). Firman-Nya jelas: “Karena begitu besar kasih Allah akan dunia ini…” (Yohanes 3:16). Saudara yang dikasihi Tuhan, hari ini jalur merah keselamatan ini telah tergenap sepenuhnya dalam Kristus. Segala pengharapan dan dasar iman kita berakar dari rancangan keselamatan yang Tuhan nyatakan sejak Kejadian, kini dan sampai selama-lamanya. “Yesus Kristus tetap sama, baik kemarin maupun hari ini dan sampai selama-lamanya.” (Ibrani 13:8) Marilah kita hargai dan pegang teguh keselamatan ini dengan menjalani hidup kita sebagai murid yang setia hingga Dia datang kembali. Penulisan oleh : Pr Jubilie Apin / Pena Rajawali Sumber : Facebook Jubilie Apin
- Hidup dengan Rendah Hati, Jangan Angkat Diri
Tetapi dia (ahli Taurat) hendak membela dirinya lalu dia berkata kepada Yesus, “Siapakah sesama manusia itu?” Lukas 10:29 AVB Seorang ahli Taurat datang kepada Tuhan Yesus untuk mengajukan satu pertanyaan kepada-Nya. Sebenarnya, dia bertujuan untuk menyatakan bahawa dirinya itu seorang yang benar. Oleh itu, dia berkata kepada Tuhan Yesus, “Siapakah sesama manusia itu?” Dia mengemukakan soalan itu kepada Tuhan Yesus kerana dia mahu menyatakan kepada orang lain tentang kebaikan dirinya. Pada masa yang sama kekurangan atau keburukan orang lain akan tersingkap. Hal itulah yang diinginkan oleh ahli Taurat tersebut. Dia mahu orang lain tahu bahawa dia seorang yang baik dan benar. Itulah sebabnya dia siap sedia menjawab soalan Tuhan Yesus untuk menunjukkan bahawa dia mengetahui apa yang tersurat di dalam Alkitab. Dengan itu, orang lain akan melihat bahawa dia seorang yang mengetahui perintah-perintah Allah yang ada di dalam Alkitab. Sayangnya, mengetahui apa yang tercatat di dalam Alkitab tidak bermaksud bahawa seseorang itu semestinya benar. Apa yang lebih penting ialah sama ada perintah Allah dipatuhi dalam hidup seseorang melalui perbuatannya. Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Mengetahui apa yang tercatat di dalam Alkitab tidaklah menjadikan kita orang yang benar, tetapi hukum dan perintah Allah hendaklah ditaati dalam hidup kita melalui tindak-tanduk kita. “Sebagai orang yang sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan Yesus, kita tidak perlu berkata bahawa kita ini orang baik atau benar tetapi biarlah hidup kita yang berkata bagi pihak diri kita.” Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk sentiasa merendahkan hati menurut bimbingan-Mu. Biarlah hidupku sentiasa memperlihatkan Engkau kepada orang lain supaya nama-Mu diagungkan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Berhati-hati tentang Setiap Pertanyaan Orang
Seorang ahli Taurat datang dan cuba memerangkap Yesus. Dia bertanya, “Guru, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?” Lukas 10:25 AVB Seorang ahli Taurat atau ahli hukum, datang kepada Tuhan Yesus dengan melontarkan satu pertanyaan tentang cara memperoleh penyelamatan atau hidup yang kekal. Dia bertanya kepada Yesus bukan kerana dia betul-betul ingin mengetahui perkara itu secara lebih mendalam, tetapi dia bertanya kepada Tuhan Yesus kerana mahu memerangkap-Nya. Sememangnya, ahli Taurat atau ahli hukum itu datang kepada Tuhan Yesus dengan membawa muslihat yang tersembunyi. Dia berharap bahawa dia dapat menjerat Tuhan Yesus sehingga dia memperoleh alasan untuk mencari kesalahan-Nya. Namun begitu, Yesus tahu akan isi hati ahli Taurat itu, iaitu tujuan sebenar dia datang untuk mengemukakan pertanyaan tersebut kepada-Nya. Oleh itu, Yesus menyoalnya kembali dengan berkata, “Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah kamu mentafsirnya?” Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Banyak orang yang datang kepada kita dan bertanya kepada kita bukan kerana mahu mengetahui kebenaran tetapi mereka bertanya untuk memerangkap kita. Jadi, kita harus berhati-hati terhadap orang yang datang bertanya kepada kita. Mohonlah kepada Tuhan untuk memberi kita hikmah agar kita tidak terperangkap dengan niat jahat orang tertentu. Berdoalah untuk hikmah setiap hari agar kita dapat menjawab setiap pertanyaan orang secara baik, betul dan benar. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon hikmah dan pengertian agar aku dapat menjawab setiap pertanyaan yang dilontarkan orang lain kepadaku mengikut pimpinan dan kehendak-Mu. Hendaklah nama-Mu sentiasa dimuliakan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Hargailah Setiap Peluang yang Ada
“Aku memberitahumu bahawa ramai nabi dan raja dahulu yang ingin melihat apa yang kamu lihat, tetapi tidak melihatnya serta ingin mendengar apa yang kamu dengar, tetapi tidak mendengarnya.” Lukas 10:24 AVB Setelah Yesus berkata-kata kepada orang ramai, Dia berpaling kepada murid-murid-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka secara sulit, “Diberkatilah mata yang melihat segala perkara yang kamu lihat. Aku memberitahumu bahawa ramai nabi dan raja dahulu yang ingin melihat apa yang kamu lihat, tetapi tidak melihatnya serta ingin mendengar apa yang kamu dengar, tetapi tidak mendengarnya.” Sememangnya, mereka sangat diberkati oleh Allah kerana mereka diberi kesempatan oleh Allah untuk menyaksikan apa yang terjadi dengan mata mereka sendiri berbanding dengan banyak nabi dan raja pada masa lalu yang sangat ingin melihat apa yang dilihat mereka. Namun demikian, berkat ini tidak diberikan kepada mereka. Begitu juga mereka mahu mendengar apa yang didengar oleh murid-murid Yesus pada masa itu tetapi mereka tidak dapat kerana waktunya belum tiba. Oleh itu, mereka sangat beruntung diberi kesempatan oleh Allah untuk menyaksikan dan mendengar segala mukjizat serta keajaiban yang berlaku itu. Mereka melihat dan mendengar secara langsung daripada Tuhan Yesus. Hal ini merupakan berkat yang sangat besar bagi murid-murid Yesus, justeru mereka harus bersyukur kepada Allah dengan menghargai segala peluang yang ada walaupun mereka harus menghadapi pelbagai cabaran dan tentangan. Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Kita harus menghargai segala hal yang kita lihat dan alami dalam Tuhan Yesus pada hari ini kerana banyak orang dahulu, mahu melihat dan mengalaminya tetapi tidak ada kesempatan. Jadi, kita harus menghargai segala peluang yang kita miliki pada hari ini. Sebab semuanya merupakan berkat untuk kita. Ingatlah bahawa banyak orang dahulu ingin melihat, mendengar dan mengalami apa yang kita lihat, dengar dan alami tetapi tidak ada kesempatan. Sesungguhnya, hargailah setiap perkara yang boleh menjadi rahmat dalam hidup kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas peluang yang Engkau berikan kepadaku. Ajarlah aku untuk menghargai semua yang aku alami dalam hidup ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Segalanya demi Kemuliaan Tuhan
“Tetapi jangan kamu bersukacita kerana segala roh iblis menurut perintahmu tetapi bersukacitalah kerana namamu tercatat di syurga.” Lukas 10:20 AVB Sewaktu Tuhan Yesus mengutus tujuh puluh dua orang pengikut-Nya, Dia telah memberi mereka kuasa ke atas roh iblis. Mereka yang diutus oleh Tuhan Yesus dapat melawan dan mengusir segala roh iblis dengan kuasa yang diberikan-Nya kepada mereka. Oleh itu, mereka tidak perlu cemas atau takut menghadapi roh iblis tetapi boleh menggunakan kuasa yang diberikan oleh Yesus untuk menghadapi roh iblis itu. Akan tetapi, Yesus memperingatkan mereka supaya tidak bersukacita semata-mata kerana roh iblis tunduk kepada mereka, tetapi mereka bersukacita kerana nama mereka tercatat di syurga. Kuasa diberikan kepada mereka agar nama Yesus dipermulia. Itulah sebabnya mereka tidak bersukacita kerana roh-roh iblis menurut perintah mereka. Ringkasnya, mereka harus mengarahkan tumpuan kepada Tuhan Yesus dalam segala-gala yang terjadi selama mereka melayani-Nya kerana semua mukjizat dan keajaiban berlaku atas kuasa Tuhan Yesus yang diberikan kepada mereka dan bukan atas kekuatan diri mereka sendiri. Dengan kata lain, kita hendaklah ingat bahawa dalam segala yang kita katakan dan lakukan haruslah dengan nama Tuhan Yesus sambil mengucap syukur kepada Allah Bapa melalui Tuhan Yesus. Kolose 3:17 AVB Marilah kita terus memuliakan Tuhan Yesus dalam segala-gala yang terjadi sepanjang pelayanan kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku berterima kasih kepada-Mu kerana memberi aku kuasa untuk menghadapi segala roh iblis. Dengan kuasa yang Engkau berikan, aku boleh mengatasi semua serangan roh iblis. Ajarlah aku untuk terus memuliakan nama-Mu dalam segala yang terjadi sepanjang pelayananku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Yang Mendengar Kata-Kata Pengikut-Nya, Mendengar Kata-Kata Yesus
“Sesiapa yang mendengar kata-katamu mendengar kata-kata-Ku; sesiapa yang menentangmu menentang-Ku; dan sesiapa yang menentang-Ku juga menentang Dia yang mengutus-Ku.” Lukas 10:16 AVB Tuhan Yesus telah mengutus tujuh puluh dua orang pengikut-Nya ke pelbagai bandar dan tempat untuk menyampaikan berita baik kepada orang yang ditemui mereka. Dia terlebih dahulu memberi mereka tatacara bagaimana mereka harus melaksanakan semua tugas yang dipercayakan kepada mereka semasa mengkhabarkan berita baik itu. Di samping itu, Yesus mendorong mereka supaya mereka tetap bersemangat dan teguh hati sewaktu mereka menjalani pelayanan mengkhabarkan berita baik kerana mereka pasti akan menghadapi sambutan yang baik dan juga penolakan atau kecaman. Dia menasihati mereka agar tidak mudah lemah semangat tetapi tetap memiliki keyakinan untuk terus melakukan mukjizat demi mukjizat kerana mereka telah diberi kuasa oleh-Nya. Dengan itu, mereka tidak perlu takut sewaktu mereka membawa berita baik kepada orang yang ditemui mereka kerana orang yang mendengar kata-kata mereka bererti bahawa mereka mendengar kata-kata-Nya. Demikian juga jika orang menolak diri mereka, hal itu bererti bahawa mereka menolak diri-Nya juga. Sebenarnya, orang itu bukan hanya menolak diri-Nya tetapi juga menolak Dia yang mengutus diri-Nya. Sesungguhnya, semangat mereka tidak seharusnya luntur tidak kira apa-apa pun yang dialami mereka semasa mengkhabarkan berita baik kerana Dia senantiasa bersama-sama mereka. Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah kita tetap bersemangat menyampaikan berita baik kepada orang lain? Sebagaimana yang tersurat dalam Kitab Suci, “Alangkah indahnya kaki mereka yang membawa berita baik!” Roma 10:15b AVB Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon hikmah dan kekuatan daripada-Mu. Biarlah aku sentiasa bersemangat melayani-Mu walaupun melalui pelbagai cabaran dan tentangan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Doa untuk Menghadapi Kekurangan
Dia (Yesus) berkata kepada mereka, “Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Tuan yang empunya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai. Lukas 10:2 AVB Ketika berkata-kata kepada para pengikut-Nya, Tuhan Yesus menggunakan gambaran tentang “jiwa-jiwa manusia yang memerlukan pertolongan segera untuk dimenangi bagi kerajaan Allah”. Oleh itu, Dia menggunakan gambaran yang mudah difahami oleh pengikut-pengikut-Nya, iaitu “sebuah ladang gandum yang sudah menguning dan siap menunggu masa untuk dituai”. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Tuan yang empunya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai.” Oleh sebab tuan yang empunya tuaian itu menghadapi masalah kekurangan pekerja untuk menuai gandum itu, maka mereka perlu berdoa memohon kepada Tuhan agar menghantar pekerja-pekerja bagi menuai “gandum yang sudah siap untuk dituai”. Hal ini merujuk kepada jiwa-jiwa manusia yang sudah sedia untuk menyambut berita baik tentang penyelamatan dalam Tuhan Yesus. Betapa leganya hati manusia yang menginginkan Injil disampaikan kepada mereka kerana mereka bersiap sedia menerimanya. Oleh sebab hati mereka sangat merindukan kedatangan Penyelamat yang dijanjikan, maka perlulah disegerakan pemberitaan Injil bagi memenangi mereka untuk kerajaan Allah. Jelaslah bahawa bilangan pekerja yang besar sangat diperlukan. Oleh itu, Yesus menggesa pengikut-pengikut-Nya berdoa memohon kepada Tuhan untuk menghantar lebih banyak lagi pekerja supaya penuaian gandum dapat dilakukan tanpa berlengah lagi, iaitu jiwa-jiwa yang haus dan rindu akan beroleh penyelamatan dalam Tuhan. Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Dalam segala kekurangan yang kita hadapi, kita perlu segera datang memohon campur tangan Tuhan Yesus untuk mengatasi segala masalah yang wujud. Dialah Tuhan yang penuh kuasa dan belas kasihan. Dia tentu akan menolong kita untuk menyempurnakan tugas yang diberikan-Nya kepada kita. Berdoalah sentiasa… Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku berterima kasih kepada-Mu kerana Engkau Tuhan yang boleh menolong aku dalam segala tugas yang Engkau percayakan kepadaku. Ajarlah aku mendoakan baik perkara besar mahupun perkara kecil. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Layanilah Secara Berpasukan
Setelah itu, Tuhan memilih tujuh puluh orang pengikut lain dan menyuruh mereka pergi berdua-dua mendahului-Nya ke setiap bandar dan tempat yang akan dikunjungi-Nya. Lukas 10:1 AVB Tuhan Yesus memanggil para pengikut-Nya datang kepada-Nya, lalu Dia memilih tujuh puluh dua orang daripada mereka untuk diutus ke pelbagai bandar dan tempat. Setelah tujuh puluh dua orang pengikut-Nya itu dipilih, Dia menyuruh mereka pergi berdua-dua mendahului-Nya ke setiap bandar dan tempat yang akan dikunjungi-Nya. Selain itu, Yesus mengutus mereka dengan memberi mereka kuasa untuk melakukan mukjizat dan keajaiban serta mengkhabarkan berita baik di merata-rata tempat yang hendak ditujui-Nya kemudian. Pada hakikatnya, Yesus mengutus mereka berdua-dua supaya mereka dapat menguatkan dan mendorong satu sama lain. Berdua lebih baik daripada bersendiri. Sekiranya salah seorang jatuh, maka yang lain akan membantunya untuk berdiri semula. Inilah sebabnya Dia mengutus mereka berdua-dua agar mereka dapat melayani dengan lebih berkesan di tempat-tempat mereka diutus. Pendeknya, kita akan dapat menyempurnakan pelayanan yang diamanahkan kepada kita dengan lebih mudah, cepat dan baik jika kita mengerjakannya secara berdua-dua. Dengan itu, marilah kita melayani secara berpasukan dan bukan seorang diri. Ingatlah bahawa “Dan orang yang bersendirian dapat ditewaskan, dua orang dapat bertahan. Tiga utas tali yang dipintal memang tidak mudah diputuskan.” Pengkhutbah 4:12 AVB Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku berterima kasih kepada-Mu atas rakan-rakan sepelayanan yang ada bersamaku. Berilah aku hikmah dan kebolehan untuk melayani bersama-sama sebagai satu pasukan demi kemuliaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie












