top of page

Cari

3258 results found with an empty search

  • Selamat Hari Krismas!

    Krismas akhirnya sampai. Malam ini, esok sepanjang hari, kita akan rasakan kemeriahan yang tidak terungkapkan. Apa maksud Krismas “in a nutshell”? Apakah mesej Krismas seringkas-ringkasnya? Mungkin mesej itu tidak terlalu sukar, kerana ia ditemukan dalam ayat hafalan Sekolah Minggu — Yohanes 3:16. “Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini sehingga Ia mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal (Yesus Kristus), supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak akan binasa melainkan memperoleh hidup yang kekal.” Mesej yang ringkas dan jelas! 1. Allah mengasihi dunia. Dunia merangkumi manusia yang berdosa, jahat, memberontak, najis, keji — pembunuh, perogol, penghisap syabu, pencuri dan sebagainya. Tetapi kasih yang Allah ada dalam hati-Nya, dalam diri-Nya, bukan kasih sentimental. Kasih sentimental berubah-ubah mengikut musim; kasih Allah tidak berubah — ia tetap, tidak berganjak dari keberadaan Allah. Kasih ini, sama seperti kasih seorang bapa, ialah kasih yang membawa perubahan, menuntut perubahan, dan menghasilkan perubahan bagi manusia. Anak yang degil dan nakal tetap dikasihi bapanya — justeru dirotan demi kebaikan anak itu. Demikian juga kasih Allah: bukan kasih yang sekadar membelai dan mencium, melainkan kasih yang kuat dan teguh dalam membawa perubahan ke dalam dunia ini. 2. Tetapi kasih itu bukan hanya ungkapan. Kasih itu bukan sekadar lafazan emosi. Kasih itu dibuktikan melalui pemberian — penganugerahan Anak-Nya yang tunggal, Yesus Kristus. Kasih yang hanya dalam kata-kata tidak mempunyai erti. Itulah sebabnya budaya memberi hadiah pada musim Krismas diadakan — sebagai bukti kasih sayang. Demikian juga dalam percintaan: bukti cinta adalah dalam sikap saling memberi! Bukan sekadar bercakap, tetapi ada sesuatu yang nyata. Pada Krismas pertama, Allah memberi Anak-Nya — suatu hadiah yang nyata dan sangat berharga. Allah memberikan Anak-Nya sebagai Juruselamat, Kristus dan Tuhan bagi dunia. Ini bukan NATO — No Action, Talk Only! 3. Dalam pemberian Anak-Nya, Allah turut memberi janji dan harapan. Hidup yang kekal ditawarkan kepada setiap orang yang percaya kepada Anak-Nya. Benda senang jangan dirumitkan. Itulah yang selalu saya katakan ketika memandu. Dalam hidup ini, dan untuk akhirat, benda yang senang jangan dirumitkan! Allah sudah memberikan janji yang pasti dan benar. Percaya kepada Yesus Kristus, Anak Tunggal Allah, dan kamu akan memperoleh hidup yang kekal. Hidup yang kekal ialah hidup di syurga, dan juga hidup yang terubah di bumi. Yang dahulunya mencuri, tidak lagi mencuri. Yang dahulunya mabuk, tidak lagi menjadi pemabuk. Apa yang dialami dalam hidup kekal ialah “a taste of heaven” — satu senduk syurga dirasai di sini, yang menghasilkan kerinduan berterusan untuk syurga yang akan datang. Pengampunan, hidup baru, syurga — janji yang manis dan indah. Percaya kepada Yesus Kristus. Pada hari Krismas ini, kiranya kita mengenal kasih Allah, melihat dan percaya kepada pemberian Anak-Nya, serta menikmati janji-Nya, iaitu hidup yang kekal. Selamat Hari Krismas! Merry Christmas! Kotobian Tadau Krismas! Maayong Pasko! Joyeux Noël! Sumber : Facebook @ Edmund Kumar Gambar : Gereja Buduk Nur, Ba Kelalan

  • Dalam Yesus Kita Selamat dan Aman

    “dan kamu akan dibenci oleh semua kerana nama-Ku. Tetapi sehelai rambutmu pun tidak akan hilang.” Lukas 21:17-18 AVB   Tuhan Yesus memperingatkan setiap orang yang memilih untuk mengikut-Nya supaya mereka tidak perlu takut dan khuatir sewaktu mereka mengalami penderitaan serta penganiayaan. Sebab Dia Tuhan yang hidup dan maha berkuasa akan sentiasa bersama mereka. Oleh itu, mereka hanya perlu bersandar sepenuh pada-Nya untuk pertolongan.   Ya, kita akan dibenci dan dianiayai oleh banyak orang cuma kerana kita mengikut Tuhan Yesus. Akan tetapi, Dia berkata bahawa setiap kita pasti akan selamat. Betapa hati kita terhibur kerana tidak sehelai pun rambut di kepala kita akan hilang. Hal ini bererti bahawa Allah tetap berwibawa dan akan menjaga serta memelihara kita. Alangkah bermaknanya janji yang diperkatakan oleh Tuhan Yesus!   Janganlah kita bergantung pada kekuatan diri kita sendiri tetapi kita harus bergantung sepenuhnya pada kuasa dan pimpinan Allah. Ingatlah bahawa tanpa izin dan kehendak Allah, setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak sekali-kali akan mengalami kecelakaan daripada mereka yang membenci kita.   Pendek kata, berharaplah kepada Allah untuk pertolongan sewaktu kita menempuh tentangan dan penganiayaan. Sudah pasti Allah akan bertindak bagi diri kita sehingga kita selamat tidak kira apa jua keadaan yang kita lalui dalam hidup ini.   Sememangnya, mengikut Yesus tidaklah bererti bahawa kita akan terlepas daripada kebencian dan penganiayaan yang datang daripada orang yang ada di sekeliling kita. Ke mana-mana pun kita pergi, pasti ada sahaja orang yang akan membenci kita semata-mata kerana kita percaya kepada Yesus. Walaupun mereka cuba membunuh tubuh kita, tetapi sekiranya Allah tidak mengizinkan hal itu, pasti kita akan selamat.   Sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus, kita akan dibenci oleh dunia ini kerana dunia telah membenci Tuhan Yesus terlebih dahulu. Hadapilah kebencian dan penganiayaan dengan penuh iman, kesetiaan dan keberanian. Tuhan Yesus memberi kita hidup yang kekal. Kita tidak akan binasa. Tiada sesiapa pun dapat merampas kita daripada tangan Tuhan Yesus.   Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku memohon kekuatan dan bimbingan-Mu apabila aku menghadapi pelbagai keadaan yang sangat sukar dalam hidup ini. Berilah aku iman yang teguh untuk menghadapi segala penganiayaan dan penderitaan. Biarlah aku mengarahkan mataku kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna imanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Dimanakah Damai Sejahtera Yang Dijanjikan Tuhan

    “… Damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.” (Lukas 2:14, AVB) Di manakah damai sejahtera yang dijanjikan Tuhan? Tembakan dan pembunuhan. Kerja penat, tetapi duit dalam bank tidak cukup untuk keluarga menyambut Natal. Ahli keluarga masih terbaring di atas katil hospital. Di manakah damai sejahtera? Tidak dapat dinafikan, inilah realiti kehidupan kita yang dicemari dosa. Tiada satu hari pun yang sempurna. Ada sahaja yang tidak betul. Malah, kadangkala batin dan jiwa penat untuk bangun dari katil bagi memulakan kehidupan seharian. Namun, “Allah mendengar keluhan mereka dan mengingati perjanjian-Nya.” Allah tidak lupa mahupun meninggalkan kita. Dia mendengar, Dia tahu, Dia ingat. Sebab itu Dia menganugerahkan Yesus kepada kita sebagai bukti bahawa Dia mendengar keluhan kita dan mengingati segala janji-Nya terhadap kita. Yesus bukan sahaja Anak Allah yang biasa, tetapi juga Anak yang Bapa kasihi dan berkenan (Lukas 3:22). Namun, kehidupan Yesus di bumi ini tetap bukan damai sejahtera sepanjang masa. Semasa masih kanak-kanak, Yesus sudah menjadi sasaran utama Raja Herodes untuk dibunuh. Dalam pelayanan-Nya, Mesias sering kali menghadapi ancaman daripada ramai orang, termasuk orang Farisi dan ahli-ahli Taurat yang fasih tentang ciri-ciri seorang Juruselamat. Pada malam terakhir-Nya, Dia yang tidak menganiaya sesiapa dikhianati dan ditinggalkan oleh murid-murid-Nya. Pada hari terakhir-Nya, Dia disalibkan. Sang Putera yang dikenan tinggi oleh Bapa-Nya tetap menderita sengsara. Namun, inilah keindahan Injil. Bapa rela mengorbankan Anak Kesayangan-Nya agar kita yang “berkenan pada hati-Nya” memperoleh kehidupan kekal. Anak Domba yang dikenan sanggup “mengetepikan martabat diri-Nya” agar kita diselubungi “jubah perbenaran” yang dibasuh dengan darah-Nya. Kita yang dikenan oleh Bapa Allah dan Anak Allah dimeteraikan dengan Roh Kudus sebagai “jaminan bagi warisan kita hingga penebusan orang yang dimiliki Allah”. Damai sejahtera bukanlah sebuah damai tanpa pergumulan, namun disebabkan Kristus datang, dalam kesusahan dan pergumulan kita tetap ada damai sejahtera. Bumi yang penuh dengan dosa mempunyai damai sejahtera kerana Juruselamat telah lahir bagi kita, hidup bagi kita, mati bagi kita, dan bangkit bagi kita. Dan seperti Yesus Kristus yang dikenan oleh Bapa, kita pasti akan bersama-sama dengan Bapa di Langit Baru dan Bumi Baru nanti, di mana tiada lagi penyeksaan mahupun penganiayaan. Di Langit Baru dan Bumi Baru nanti, kita akan memuji dan menyembah Allah bersama-sama dengan malaikat yang mengkhabarkan Injil damai sejahtera kepada para gembala dahulu. Kemuliaan bagi Allah di tempat yang Maha Tinggi. Sumber : Facebook @edmund kumar

  • Memilih Yesus, Memilih Penderitaan

    “Kamu akan dikhianati oleh ibu bapamu, adik-beradikmu, sanak saudaramu dan sahabat handaimu. Mereka akan membunuh beberapa orang antara kamu dan kamu akan dibenci oleh semua kerana nama-Ku.” Lukas 21:16-17 AVB   Tuhan Yesus memperingatkan setiap orang yang mahu mengikut-Nya supaya bersiap sedia untuk mengalami pelbagai tentangan dan penderitaan dalam hidup mereka. Sebenarnya, mengikut Tuhan Yesus bererti bahawa kita menolak semua kepentingan diri, keseronokan dunia dan menyerahkan segenap diri kepada-Nya. Memandangkan kita mengikut Yesus, maka dunia ini akan membenci kita kerana dunia terlebih dahulu telah membenci Yesus.   Oleh yang demikian, pengikut-pengikut Yesus harus sedar bahawa bantahan atau bangkangan bukan sahaja datang daripada mereka yang menentang pemberitaan Injil tetapi juga daripada orang tua, adik-beradik, sanak saudara, dan sahabat handai mereka sendiri.   Tegasnya, apabila kita memilih untuk mengikut Tuhan Yesus, janganlah hairan jika kita mungkin akan dikhianati oleh ibu bapa, adik-beradik, sanak saudara dan sahabat handai. Tidak dinafikan bahawa kita akan dibenci orang di dunia kerana nama Tuhan Yesus. Mereka akan menangkap dan menyerahkan diri kita untuk diseksa oleh penguasa yang menentang Allah. Bahkan beberapa antara kita akan dibunuh orang sehingga kita tidak mengetahui siapa lagi yang boleh dipercayai atau di mana lagi ada tempat yang selamat.   Nyatalah, memilih Tuhan Yesus bererti memilih penderitaan dan tentangan. Relakah kita berkorban demi-Nya? Ingatlah, Tuhan Yesus telah menanggung penderitaan, penghinaan, dan seksa salib demi penyelamatan kita.   Doa: Ya Tuhan Yesus, teguhkan hatiku untuk mengharungi pelbagai penderitaan dan ancaman yang datang daripada kuasa jahat atas sebab aku memutuskan untuk mengikut Engkau. Kuatkan iman dan kasihku untuk tetap taat setia dan melayani-Mu. Dalam nama-Mu yang maha berkuasa aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Setiap Kejadian ada Peluang untuk Memberikan Kesaksian

    “Inilah peluang bagimu untuk memberikan kesaksian. Jadi, teguhkanlah hatimu supaya tidak bimbang bagaimana hendak membela diri ” Lukas 21:13-14 AVB   Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa mereka akan mendengar tentang peperangan dan pemberontakan. Peristiwa-peristiwa ini akan berlaku terlebih dahulu, tetapi waktu akhir zaman tidak akan berlaku dengan segera. Kemudian Yesus menambah, “Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan; gempa bumi dan kebuluran serta wabak yang dahsyat akan terjadi di merata-rata. Perkara-perkara dahsyat dan tanda-tanda yang hebat turut akan kelihatan di langit.”   Namun begitu, sebelum segala perkara yang disebut itu berlaku, mereka akan ditawan dan dianiayai. Mereka akan didakwa di majlis saumaah (rumah ibadat) dan dipenjarakan. Mereka juga akan didakwa di hadapan raja dan pemerintah kerana nama Tuhan Yesus. Walaupun mereka akan ditangkap dan dianiayai, tetapi Yesus mendorong mereka supaya tidak gentar atau khuatir akan semuanya itu. Sebenarnya, semua itu membuka kesempatan kepada mereka untuk mengkhabarkan Berita Baik dan bersaksi tentang diri-Nya.   Oleh itu, sebagai murid-murid-Nya mereka janganlah terkejut apabila mereka ditimpa penganiayaan. Sebaliknya, mereka hendaklah meneguhkan hati kerana sewaktu mereka tidak mengetahui apa yang harus dikatakan untuk membela diri mereka, Allah tentu akan menolong mereka dengan memberi mereka kata-kata dan kebijaksanaan yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun.   Tegasnya, mereka harus tetap setia dan penuh beriman apabila mereka memilih untuk mengikut Tuhan Yesus sepanjang hidup mereka. Dalam apa-apa keadaan yang serba sulit atau mencabar pun, mereka mendapat peluang untuk bersaksi tentang pengharapan yang dimiliki mereka dalam Kristus kepada para penganiaya mereka.    Demikian juga dengan diri kita. Kita tidak perlu takut atau bimbang tentang penganiayaan yang akan kita alami kerana Allah akan campur tangan dan menolong kita untuk menghadapinya. Sesungguhnya, Dia akan bertindak bagi diri kita dan memperkasakan kita dalam segala yang kita katakan atau lakukan. Betapa baiknya kita dapat memberikan kesaksian tentang Tuhan Yesus Kristus!   Doa: Ya Tuhan Yesus, ajarlah aku untuk melihat segala perkara menurut pandangan mata-Mu agar aku akan menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk memberikan kesaksian dan memuliakan nama-Mu. Dalam nama-Mu yang agung aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Harga Natal

    "Apabila kita benar-benar memahami erti Natal, kita akan menyedari betapa mahalnya harga sebuah penebusan; kerana dosa tidak dipadamkan dengan sekadar kemaafan, tetapi dengan penyerahan nyawa Anak Tunggal Bapa." Mahal kerana dosa tidak boleh ditebus dengan penyesalan semata-mata. Tidak cukup dengan niat untuk berubah. Tidak selesai dengan pelayanan, doa, atau air mata. Jika dosa itu murah, Yesus tidak perlu lahir ke dunia. Jika dosa itu remeh, palungan dan salib tidak pernah diperlukan. Tetapi Natal membuktikan satu kebenaran yang berat: dosa manusia menuntut harga yang sangat mahal. “Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Yesus. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.”” ‭‭Matius‬ ‭1‬:‭21‬ ‭AVB‬‬ Harga itu bukan emas. Bukan perak. Tetapi nyawa Anak Allah sendiri. Bila saya mengerti Natal, saya sedar bahawa setiap dosa yang saya anggap kecil sebenarnya telah membawa Yesus turun dari syurga, lahir dalam kesederhanaan, dan akhirnya mati di kayu salib. Namun di sinilah keindahan Natal. Walaupun dosa itu mahal, kasih Tuhan lebih besar daripada harga itu. Yesus tidak datang kerana saya layak, tetapi kerana saya tidak mampu membayar. Maka respon yang sepatutnya terhadap Natal bukan sekadar perayaan, tetapi pertaubatan yang tulus dan kehidupan yang semakin menghargai harga penebusan itu. Mari berdoa: Tuhan, ajar saya melihat dosa seperti Engkau melihatnya, dan ajar saya menghargai kasih-Mu yang telah membayar harga yang terlalu mahal untuk hidup saya. Amin. Oleh Pr Apriathy Asong

  • Jangan Terkejut Dengan Peperangan dan Pemberontakan Terjadi

    “…Jangan takut apabila kamu mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan. Semua perkara ini mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba........” Lukas 21:9 Yesus sekali lagi memperingatkan semua pengikut-Nya supaya mereka tidak merasa takut apabila mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan di sana sini. Semua perkara ini memang harus terjadi terlebih dahulu sebelum tiba waktunya, namun hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba. Oleh itu pengikut-pengikut Yesus tidak perlu takut atau terkejut dengan semua yang berlaku di sekeliling mereka, kerana semuanya ini bukan kesudahannya, tetapi hanya tanda bahawa kesudahannya sudah dekat. Perkataan “jangan takut” ini diterjemahkan dalam versi lain sebagai “…jangan terkejut, …jangan gentar…”. Apa yang perlu dilakukan oleh pengikut-pengikut Yesus adalah sentiasa berhati-hati terhadap penyesat-penyesat yang muncul dan mengaku bahawa diri mereka adalah Mesias yang datang. Pengikut Yesus beranggapan bahawa semua yang berlaku merupakan tanda kedatangan Yesus untuk menggenapi keMesiasan-Nya. Oleh kerana tanggapan ini, Yesus menegur mereka supaya bersabar menantikan kedatangan-Nya yang kedua kali. Apa yang perlu mereka lakukan adalah sentiasa berjaga-jaga dalam hidup mereka terhadap penyesat yang datang menyerupai diri-Nya, supaya mereka tidak disesatkan oleh Mesias palsu yang menyatakan dirinya sebagai Mesias (Kristus, orang yang diurapi Allah secara khusus). Demikian juga dengan diri kita hari ini, kita tidak harus terkejut dengan peperangan dan pemberontakan yang sedang berlaku, tetapi kita harus berwaspada agar kita tidak disesatkan oleh Mesias palsu pada hari ini. Doa: Tuhan, ajarlah aku untuk sentiasa berwaspada terhadap penyesat yang muncul pada hari ini dan bukan kepada peperangan serta pemberontakan yang sedang terjadi. Bimbinglah aku, Tuhan, dalam setiap langkah hidup aku. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Penerapan Krismas

    Krismas... membawa kita untuk mengingati kedatangan Yesus ke dalam dunia ini, sebagai Juruselamat, Kristus dan Tuhan... Itulah yang diceritakan oleh malaikat kepada para gembala. Tapi, apakah penerapan Krismas bagi kita? Paulus menjelaskan itu dalam Filipi 2:5-11 dengan frasa, "Hendaklah kamu dalam hidupmu bersama, menaruh fikiran dan perasaan yang terdapat juga dalam Kristus Yesus..." Inilah kunci kepada penerapan Krismas – fikiran dan perasaan pada Yesus patut ada pada kita juga. Apakah fikiran dan perasaan yang perlu dimiliki orang Kristian? 1. Yesus, walaupun dalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah sebagai hal yang harus dipertahankan. Dia tidak memperjuangkan status-Nya, Dia tidak mengembang diri, atau berlagak hebat. Dia merendahkan diri, bahkan sampai mengosongkan diri. Apakah kita juga ada sikap yang sama? Makin berpangkat, makin susah merendahkan diri? Makin berstatus, makin temberang? Mari ada fikiran dan perasaan yang dimiliki Tuhan Yesus. 2. Dia mengambil sikap dan status seorang hamba. Pembawaan Yesus di dunia ini terselubung dalam sikap hamba. Bukan untuk memerintah dan menyuruh-nyuruh murid-murid-Nya, tetapi sebagai hamba, sampailah menjadi penebus manusia, dalam kematian-Nya di kayu salib. Dari palungan ke salib – dari kecomelan bayi kepada kehinaan dewasa dipukul manusia. Mahukah kita jadi hamba seperti Dia? Rela melayani daripada dilayani? Mengabdikan diri kepada Allah? 3. Dia taat sampai mati. Perasaan dan fikiran kita juga harus ke arah sana – ketaatan kepada perintah Allah. Boleh saja Yesus berkata tidak mahu, boleh saja Yesus menolak. Tetapi Dia taat kepada Allah sampailah kematian. Kita juga patut mempunyai fikiran dan perasaan yang sama. Paulus sudah katakan “Bagiku hidup adalah untuk Kristus dan mati adalah keuntungan.” (1:21) Apakah kita juga rela taat sampai mati? Setia sampai nafas terakhir? Perasaan dan fikiran yang sama seperti Kristus akan membawa kemuliaan dan pujian yang sama! Yesus, kerana kerendahan hati, sikap seorang hamba dan ketaatan sampai maut, menerima pujian dan Nama di atas segala nama – di mana semua lidah akan mengakui Dia Tuhan dan setiap lutut akan bertelut kepada-Nya. Kalau kita ambil pendekatan, fikiran dan perasaan yang sama, kita juga akan menerima pujian dan anugerah daripada Allah, bahkan memerintah bersama-sama dengan Kristus kelak di dunia. (2 Timotius 2:12, Wahyu 20:6) Oleh Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @ edmund kumar

  • Berjaga-Jagalah Terhadap Kemunculan Mesias Palsu

    “…Yesus berkata, ‘Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah dia!” dan “Masanya sudah tiba!” Jangan ikut mereka....’” Lukas 21:8 Setelah pengikut-pengikut Yesus mendengar tentang kehancuran Rumah Tuhan sehingga tidak ada satu batu pun akan tinggal tersusun, mereka bertanya kepada Yesus, “…Guru, bilakah perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?” Mereka ingin mengetahui waktu berlakunya kehancuran Rumah Tuhan kerana Yesus berkata bahawa pada masa itu akan muncul banyak orang yang menggunakan nama-Nya, lalu menipu dengan mengaku diri mereka sebagai Mesias atau utusan Tuhan. Sebaliknya, semua itu hanyalah penyamaran. Mereka menggunakan gelaran Mesias untuk menyesatkan orang dan mempengaruhi bangsa Yahudi, bahkan ada yang menetapkan waktu pembebasan daripada penjajahan Romawi, seolah-olah mereka diutus Tuhan. Kerana itu Yesus memperingatkan para pengikut-Nya, “…berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu.” Orang akan datang dengan mengaku, “Akulah dia!” atau “Masanya sudah tiba!” tetapi Yesus berkata, jangan ikut mereka. Yesus mengingatkan bahawa pada akhir zaman akan muncul banyak penyesat, tetapi para pengikut-Nya harus tetap teguh dan berjaga-jaga, tidak goyah dengan pengajaran atau pengakuan palsu. Oleh itu, marilah kita sentiasa berjaga-jaga. Jangan takut apabila mendengar berita peperangan atau pemberontakan. Semua ini harus berlaku terlebih dahulu, tetapi itu tidak bermaksud akhir zaman sudah tiba. Doa: Tuhan, aku datang kepada-Mu dan memohon bimbingan-Mu. Ajarilah aku akan kebenaran-Mu dan berpegang erat pada jalan-Mu, supaya aku tidak tertipu oleh penyesat yang muncul pada akhir zaman ini. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Natal Mengubah Hati, Bukan Hanya Suasana

    Ada ramai kawan-kawan yang berfikir: “Natal hanya tentang rumah kemas, hadiah, dan pesta.” Saya pernah berfikir begitu. Tapi saya belajar, NATAL SEJATI MENGUBAH HATI, BUKAN SUASANA SAHAJA. Hati yang menerima Yesus menjadi RINGAN, TENANG, DAN PENUH SUKACITA walaupun masalah tetap ada. Filipi 4:7 – “Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus.” Maksudnya: DAMAI SEJAHTERA TUHAN DATANG DARI HATI YANG MENGANDAALKAN-NYA, BUKAN KEADAAN LUAR. Natal adalah detik untuk hati berubah, lebih dekat dengan Tuhan, lebih siap mengasihi, dan lebih bersyukur setiap hari. Mari sambut Natal dengan hati yang terbuka, bukan sekadar suasana luar. Oleh Pr Apriathy Asong Sumber : Facebook @ aprilathy asong

  • Apa Yang Anda Kagumi Dengan Rumah Tuhan

    “…Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Tidak ada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya!”...” Lukas 21:6 Ketika beberapa pengikut Yesus dengan penuh kekaguman sedang bercakap-cakap tentang Rumah Tuhan—bagaimana Rumah Tuhan itu dihiasi dengan batu-batu yang indah serta pelbagai barang yang dipersembahkan kepada Tuhan—mereka sebenarnya sedang berusaha menarik perhatian Yesus terhadap keindahan bangunan tersebut. Bahagian luar Rumah Tuhan dihias dengan batu yang sangat indah, manakala bahagian dalamnya diperkaya dengan barang-barang yang bernilai dan dipersembahkan kepada Tuhan. Mereka menyangka bahawa Yesus juga akan terpesona seperti mereka terhadap keindahan fizikal Rumah Tuhan. Namun sebaliknya, Yesus berkata kepada mereka tentang kehancuran yang bakal terjadi. Yesus berkata, “…akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Tidak ada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya…” Yesus tidak terpesona dengan keindahan fizikal Rumah Tuhan, kerana bagi-Nya yang lebih penting ialah keadaan rohani umat Tuhan di dalamnya. Bagaimana pula dengan diri kita hari ini? Apa yang kita kagumi tentang Rumah Tuhan? Apakah kita lebih kagum dengan keindahan bangunan, kemewahan peralatan, atau dekorasi? Atau adakah kita kagum dengan kehadiran Roh Tuhan, ketetapan Allah yang dijalankan, pengajaran Firman, doa, dan persekutuan yang membangun jemaah? Apakah yang sebenarnya anda katakan tentang Rumah Tuhan anda hari ini? Doa: Tuhan, terima kasih atas Rumah-Mu yang Engkau berikan kepada aku, sehingga aku dapat bersekutu dengan Engkau setiap waktu dan menikmati hadirat-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • Memberi Ruang Dalam Ketidaksiapan

    Natal selalu membuat kita fikir tentang damai, tenang, dan harapan. Tentang suasana yang indah dan cerita yang kita sudah dengar sejak kecil. Tetapi Natal tahun ini buat saya merenung dengan lebih mendalam. Semalam, ketika saya berkongsi firman Tuhan tentang kisah Maria dan Yusuf, saya sedar satu perkara penting - Tuhan tidak menunggu hidup manusia selesai atau tersusun sebelum Dia datang. Maria dan Yusuf sendiri tak siap pada awalnya. Keadaan tidak jelas. Emosi bercelaru. Reputasi dipersoalkan. Masa depan terasa kabur. Everything felt messy . Bayangkan situasi mereka: Maria mengandung sebelum mereka sah menjadi suami isteri, dan Yusuf, yang tunanginya itu, harus membuat keputusan paling sukar iaitu menerima Maria sebagai isteri, walaupun bagi pandangan manusia itu akan merosakkan reputasi. Tetapi mereka berkata “ya” kepada rencana Tuhan. Mereka taat kepada rancangan Allah. Dan saya bertanya pada diri sendiri, jika Tuhan menunggu Maria dan Yusuf untuk “siap”, apakah yang akan berlaku kepada keselamatan manusia? Apa yang akan berlaku kepada masa depan kita? Mungkin Natal yang kita kenal sekarang tidak akan terjadi. Hidup kita hari ini pun sama. 1. Ada yang tidak siap dari segi kewangan - hutang belum habis, simpanan tak ada, hidup cukup-cukup makan. 2. Ada yang emosi masih bersepah - penat, burnout , senyum di luar tapi kosong di dalam. 3. Ada yang hubungan rumah tangga belum selesai - dingin, banyak diam, luka lama belum sembuh. 4. Ada yang sedang bergumul dalam percintaan - hubungan tak pasti, putus yang belum sembuh, doa tentang pasangan yang terasa sunyi. 5. Ada ibu bapa yang rasa gagal - anak makin besar, tenaga makin kurang, hati makin letih. 6. Ada yang masih datang gereja dan melayani, tapi jiwa sudah penat dan kering. 7. Ada yang masih bergumul dengan dosa lama, rasa malu, rasa tak layak. 8. Ada yang hidupnya masih kabur - kerja, masa depan, doa yang belum dijawab. 9. Dan ada juga yang sedang menanggung duka yang orang lain tak nampak. Dalam semua ini, kita selalu cakap: “Nanti bila hidup saya siap sikit.” “Nanti bila semuanya okay.” “Nanti bila hati saya sudah tenang.” Tapi Natal mengingatkan saya, Tuhan jarang menunggu hidup kita selesai atau tersusun. God entered the mess . Bukan selepas semuanya selesai, tetapi tepat di tengah “ketidaksiapan”. Selepas berkongsi firman semalam, saya melihat respon yang sangat menyentuh hati. Ramai yang meresponi - mereka mahu Tuhan masuk ke dalam keadaan hidup mereka sekarang, bukan versi hidup yang sudah siap atau sempurna. Baru mereka sedar bahawa justeru ketika hidup kita belum siaplah kita benar-benar belajar menerima kehadiran Yesus. Dan di situlah makna Natal menjadi lebih hidup bukan sekadar perayaan, tetapi pertemuan . Natal bagi saya hari ini bukan tentang perfect vibes , hiasan cantik, atau suasana ideal. Tetapi tentang memberi ruang kepada Tuhan walaupun hidup masih belum atau tidak teratur. Taat dahulu, baru kita faham rancangan-Nya, seperti Maria dan Yusuf. Lihat apa yang terjadi apabila Yusuf dan Maria taat dan dengar panggilan Tuhan? Yesus lahir. Rencana keselamatan manusia dimulai. Masa depan kita terbuka. Natal menjadi nyata bagi kita semua. Itu sebab ketaatan mereka mengubah sejarah. Dan itu juga mengingatkan kita: hidup belum siap bukan alasan untuk menolak Tuhan masuk. Sebaliknya, ketaatan kita hari ini membuka pintu bagi berkat yang tidak kita jangka. Kalau hidup kamu sekarang merasa tak siap, mungkin ini adalah titik dimana Tuhan ingin bertemu dengan kamu - maybe that’s exactly where God wants to meet you . Selamat menyambut Natal dengan hati yang terbuka. Matius 1:18-22 AVB KELAHIRAN KRISTUS “Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus: Ibu-Nya, Maria bertunang dengan Yusuf, tetapi sebelum perkahwinan mereka dilangsungkan, ternyata Maria mengandung melalui Roh Kudus. Yusuf, seorang yang salih, tidak mahu memalukan Maria di mata masyarakat. Dia berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam. Dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi bahawa malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, “Hai Yusuf, anak Daud! Janganlah takut mengambil Maria sebagai isterimu kerana anak di dalam kandungannya adalah daripada Roh Kudus. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Yesus. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.” Segala ini berlaku supaya terlaksanalah firman Tuhan melalui nabi-Nya: “Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, dan mereka akan menamai Dia Immanuel” yang bererti, Allah menyertai kita dalam bahasa Ibrani. Apabila Yusuf terjaga, dia pun mematuhi apa yang disampaikan oleh malaikat Tuhan itu lalu berkahwin dengan Maria. Tetapi Yusuf tidak bersentuh dengan Maria sebagai isterinya hinggalah Maria melahirkan Anak itu. Yusuf menamai Anak itu Yesus.” Oleh Pr Apriathy Asong

bottom of page